Saturday, October 9, 2010

6 pasukan rebut slot suku akhir


Juara musim lalu perlu 1 mata elak pertembungan dengan Selangor

PERSOALAN enam pasukan yang akan mengiringi Selangor dan penyandang juara Negeri Sembilan ke suku akhir Piala Malaysia menghangatkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan, malam ini.

Negeri Sembilan, mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengutip 11 mata, tetapi masih memerlukan sekurang-kurangnya satu mata ketika berdepan PKNS di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk memastikan tidak bertemu juara Kumpulan D, Selangor pada suku akhir nanti.
Bagi PKNS yang kini di tangga ketiga dan ketinggalan satu mata di belakang Kelantan dalam Kumpulan A, mereka mahu mengulangi kemenangan ke atas Negeri Sembilan untuk mara sambil mengharapkan Kelantan tewas atau seri ketika berdepan KL Plus, seperti yang berlaku di Kota Bharu bulan lalu.

Dalam saingan Kumpulan B, hanya Kuala Lumpur tidak berpeluang mara ke suku akhir tetapi masih mampu menjadi penghalang Terengganu yang perlu mengutip mata penuh di Cheras untuk meneruskan saingan.

Jika Terengganu menang, hanya satu pasukan - Sabah atau Pahang - akan mara walau apapun keputusan dicatat pada perlawanan di Stadium Darul Makmur. Pahang kini mendahului kumpulan dengan sembilan mata, Sabah lapan dan Terengganu, tujuh.

Saingan Kumpulan C juga masih terbuka antara pendahulu, Johor FC yang mengutip sembilan mata, Perak dan Kedah dengan masing-masing mengumpul tujuh dan enam mata. Perak dan Kedah perlu menang besar ke atas Johor FC dan Tentera malam ini untuk menjamin kemaraan ke suku akhir.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan D, Perlis berazam memastikan kemenangan apabila melayan kunjungan Red Giants, Selangor pada pertemuan terakhir di laman sendiri, Stadium Utama Negeri Kangar.

Ketua Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, kemenangan ke atas pasukan juara Liga Super itu saja bakal mengesahkan tiket kemaraan skuad kendaliannya tanpa mahu memikirkan apa keputusan perlawanan T-Team dengan Felda United.

“Biarpun mengakui lawan bukan calang-calang, kita tidak ada pilihan melainkan menang dan mengutip mata penuh,” kata Yunus.

“Jika pemain mampu meneruskan rentak cemerlang ketika membenam FELDA United, 5-0 dan T-Team, 4-1, misi menang tidak mustahil walaupun Perlis tewas 0-1 di Shah Alam sebelum ini.”

Friday, October 8, 2010

Kelantan mula hidu peluang


TIGA mata penuh yang diraih Kelantan hasil kemenangan 4-0 ke atas PKNS di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin cukup melegakan jurulatih, B. Sathianathan.

Biarpun berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya, namun Sathianathan menyifatkan ia bukan aksi terbaik yang disajikan skuad The Road Warrior.

Menurut Sathianathan, apa yang harus dipuji adalah komitmen barisan pemainnya yang jelas menguasai perlawanan sehingga mampu menampilkan aksi memukau.

"Ini adalah sebahagian daripada perjalanan kita, aksi menentang KL Plus Sabtu ini cukup penting dan saya mahu mereka (pemain) tahu betapa perlawanan tersebut sangat penting untuk mereka, pengurusan dan seluruh penyokong Kelantan.

"Bahagian tengah cukup cemerlang menggerakkan permainan selain membuka ruang kepada jentera hadapan dan Piya (Badri Radzi) membuktikan mengapa dia disebut antara perancang terbaik Kelantan dan di negara kita," kata Sathianathan semalam.

Menurut beliau, pemain-pemain seperti Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Azizi Mat Rose dan Akmal Rizal Rakhli turut memainkan peranan penting mambantu Kelantan mencatat kemenangan besar malam kelmarin.

"Dengan momentum yang ada ketika ini saya yakin Kelantan berada pada landasan terbaik.

"Saya juga yakin dan sentiasa yakin Kelantan akan pergi jauh dengan memiliki pengurusan yang baik dan penyokong yang cukup mengagumkan.

"Apabila penyokong hanya sentiasa mahukan kemenangan bermakna anda memiliki satu pasukan yang kuat.

"Saya percaya apa yang penyokong percaya bahawa mereka ada sebuah pasukan yang hebat untuk merangkul kejuaraan," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai peluang Kelantan ke suku akhir dan dijangka bertemu Selangor, Sathianathan berkata: "Untuk menjadi juara, kita tidak boleh takut dengan sesiapa. Bertemu Selangor atau pasukan mana sekalipun, kita sentiasa mahu berikan yang terbaik.

"Apa yang saya takutkan adalah pasukan saya sendiri. Saya takut mereka tidak bermain seperti yang saya dan penyokong mahukan."

Thursday, October 7, 2010

Hentikan Spekulasi Perpindahan Pemain


Memang lumrah isu perpindahan pemain dalam arena bolasepak antarabangsa tetapi ianya melibatkan perpindahan pemain dengan nilai jutaan ringgit berbanding Malaysia yang hanya berbicara sekitar gaji pokok asas RM2000 ke RM1500 sebulan. Fahamilah isi hati pemain terbabit, mungkin yang ada dalam benak fikiran mereka apakah benar majikan aku ingin memecat aku kalau benar baik aku merisik mana-mana kelab atau pasukan negeri yang berminat dengan khidmat aku? ini bermakna perkara yang direka-reka pihak tidak bertanggungjawab telah menjauhkan perasaan sayang pemain tadi kepada pasukannya sekarang kerana sudah mendapat jaminan bermain dengan gaji yang baru oleh pasukan baru.

Dikala semangat pemain dan penyokong Kelantan sedang membara ini, amatlah tidak elok sekiranya penyokong Kelantan sendiri bersenkongkol menjatuhkan moral pemain-pemain. Sudah tiba masanya kita membuang perasaan membezakan kudrat 'orang luar' dan orang Kelantan, apa yang penting kerjasama baik antara pemain untuk membawa kegemilangan pada Kelantan.

Malah penyokong Kelantan juga perlu sedar Peter Butler melarikan diri secara kurang ajar dari pasukan Kelantan, oleh itu kenapa masih timbul isu mengambilnya kembali. Yakinlah kejayaan yang dibawa oleh B. Sathianathan ini sudah cukup luar biasa untuk seluruh penyokong Kelantan.

Ingatlah jatuh bangun sesebuah pasukan bolasepak adalah bergantung pada kepintaran seseorang dalam menilai isu yang relevan atau tidak releven dibicarakan. Tidak salah memberi komen atau membuat spekulasi tetapi biarlah ianya berfakta dan bertanggungjawab, bukannya menggunakan nama samaran menghebohkan spekulasi entah benar, entah tidak ini.

Biarkan pemain-pemain memberi fokus sepenuhnya pada saingan Piala Malaysia yang masih jauh ini daripada memikirkan spekulasi merugikan ini.

Kelantan Berpesta Gol


KELANTAN 4
Mohd Farisham Ismail (m-28)
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-55)
Muhd Badhri Radzi (m-78)
Indra Putra Mahayuddin (pen m-85)

SELANGOR PKNS FC 0

KOTA BHARU – Kelantan kembali mengetuk pintu saingan ke peringkat suku akhir setelah berpesta gol mengalahkan Selangor PKNS FC dengan kemenangan 4-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan A, TM Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Beraksi di hadapan hampir 15,000 penyokong sendiri, barisan pemain Kelantan yang turun dengan misi hidup mati dalam perjuangan saingan TM Piala Malysia musim ini membuktikan mereka mampu meleraikan kekusutan peminat yang begitu cemas dengan situasi sukar The Red Warriors dengan mencatatkan kemenangan bergaya ke atas pasukan kelab dari Lembah Kelang itu.

Seawal minit keempat, Kelantan melakukan acahan awal apabila Muhd Badhri Radzi yang berjaya merebut bola dalam situasi kelam-kabut didalam kotak penalti pasukan pelawat namun penyudah Mohd Norfarhan Muhammad jauh tersasar dari pintu gol Selangor PKNS FC.

Pada m-10, percubaan Azizi Matt Rose dinafikan tiang gol pasukan pelawat sementara tindakan susulan Norshahrul Idlan Talaha selepas itu sekadar menyepak angin.

Percubaan terbaik Kelantan hadir pada m-27, kali ini menerusi sepakan percuma Muhd Badhri namun tandukan susulan Azizi sekali lagi mengecewakan penyokong setia Kelantan.

Selang seminit kemudian, Kelantan memulakan aksi pesta gol malam tadi apabila pemain pertahanan, Mohd Farisham Ismail mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Saiful Amar Sudar setelah percubaan terdahulu Indra Putra Mahayuddin ditepis oleh beliau.

Kelantan jelas menguasai hampir keseuluruhan babak perlawanan ini sementara pasukan Selangor PKNS FC yang turun dengan misi sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri di Kota Bharu pula dilihat lebih banyak bertahan.

Pada m-38, Kelantan sekali lagi kempunan untuk menjaringkan gol. Sepakan percuma Muhd Badhri mengenai tiang gol pasukan pelawat biarpun Saiful Amar sudah pun tertewas.

Pasukan pelawat yang lebih banyak bertahan sebelum itu turut mempunyai peluang terbaik pada m-40 namun rembatan Muhammad Zamri Hassan yang menerima umpanan Mohd Alafi Mahmud sedikit tersasar sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Babak kedua, Kelantan sekali lagi memulakan aksi agresif dengan menyerang bertali arus. Pada m-47, Norshahrul Idlan berpeluang menambahkan koleksi jaringan tetapi rembatan rendahnya terus ke dakapan Saiful Amar.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring gol penting pada perlawanan malam tadi. Segalanya bermula pada m-55, apabila beliau berjaya melepasi perangkap ofsaid pertahanan lawan dan seterusnya memperdayakan penjaga gol pasukan pelawat dengan merembat kencang menghasilkan gol kedua Kelantan.

Pada m-60, palang gol pasukan pelawat sekali lagi menjadi penghalang diatas kebangkitan pasukan Kelantan apabila rembatan ‘first timer’ Mohd Norfarhan mengenai palang tersebut.

Pasukan pelawat yang bermain dalam keadaan tertekan turut mencuri peluang pada m-63 apabila hantaran lintang Ketua Pasukan, Mohd Fadhil Mohd Hashim namun tandukan Muhammad Zamri pula tersasar.

Sementara percubaan G Mahathevan pada m-72 pula dari luar kotak penalti diselamatkan Zairul Fitree Ishak diatas garisan gol dalam situasi kelam-kalut di depan pintu gol Kelantan.

Muhd Badhri menamatkan badi kekecewaannya malam tadi apabila merembat kencang menewaskan Saiful Amar pada m-78 setelah menyambut baik hantaran lintang Norshahrul Idlan.

Malam pesta gol di Kota Bharu di akhiri menerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakan Ketua Pasukan, Indra Mahayuddin pada m-85. Pengadil, Shukri Nor tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti itu setelah bola terkena tangan pemain pertahanan, Mohd Khairul Nizam Hanif didalam kotak penalti.

Indra Putra yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan tersebut mudah menyepak masuk ke penjuru sebelah kanan menewaskan Saiful Amar buat kali keempat dalam perlawanan malam tadi.

Kebangkitan lewat babak minit-minit akhir pasukan pelawat menerusi tandukan Muhammad Zamri yang sempat ditepis keluar Khairul Fahmi tidak memberi apa-apa kesan di atas kemenangan besar Kelantan ke atas Selangor PKNS FC dalam perlawanan malam tadi.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan A, Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan mereka selaku pendahulu pasukan setelah mengalahkan KL Plus FC 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak (Mohd Daudsu Jamaluddin), Azizi Matt Rose, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Muhd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad (S Chanturu), Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Cik Hisamuddin Hassan).
FORMASI : 4-4-2

SELANGOR PKNS FC : Saiful Amar Sudar, Mohd Khairul Nizam Hanif, Mohd Nazrul Shah (Mohamad Zawaie Ramle), Mohd Fitri Omar (Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul), Mohd Khairi Zainuddin, G Mahathevan, Mohd Fadhil Mohd Hashim (KP), P Rajes, Mohd Khairu Azrin, Mohd Alafi Mahmud (Mohamad Idris Ahmad), dan Mohammad Zamri Hassan.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (4) Selangor PKNS FC (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (8) Selangor PKNS FC (4)
Sepakan sudut : Kelantan (9) Selangor PKNS FC (4)
Sepakan percuma : Kelantan (16) Selangor PKNS FC (9)
Offsaid : Kelantan (2) Selangor PKNS FC (2)
Kekasaran : Kelantan (7) Selangor PKNS FC (14)
Kad kuning : Kelantan (Azizi Matt Rose) Selangor PKNS FC (Mohd Khairu Azrin)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Tujuh minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) Selangor PKNS FC (40%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Shukri Nor
Penolong Pengadil 1: Sivanesan a/l Muniandy
Penolong Pengadil 2: Wan Ismail Wan Ali
Pegawai Keempat : Mohamad Che Meh
General Kordinator : Arif Hassan
Komisionel Perlawanan : Ismail Yaacob

Wednesday, October 6, 2010

Pemain Tiada Pilihan Lain Kecuali Menang! Tegas Penyokong TRW

Melihat prestasi semasa pasukan PKNS sememangnya sukar disekat kecemerlangan mereka sejak bermula saingan piala Malaysia ini. Pasukan yang dilihat adik kepada pasukan utama negeri Selangor ini sentiasa konsisten dalam aksi mereka seperti juga pasukan utama negeri Selangor.

Prestasi Kelantan yang dilihat masih terumbang-ambing setiap kali separuh masa perlawanan dan kembali konsisten separuh masa kedua amat merisaukan seluruh penyokong Kelantan yang mula sejuk dari memasang impian ke final piala Malaysia. Kemenangan keatas PKNS 1-0 di stadium MBPJ 17 september lalu, masih tidak meyakinkan para penyokong prestasi pemain Kelantan ketika ini.

Namun aksi separuh masa kedua ketika Negeri Sembilan ahad lalu dilihat lebih tersusun dan berjaya menarik hati penyokong walaupun masih terdapat kelemahan di barisan penyudah dan pertahanan. Kelantan dilihat tiada pemain yang bijak menghidu peluang gol dan lebih tertumpu kepada gol-gol mudah sahaja, Kelantan dilihat juga tiada pemain yang boleh dikategorikan pemain pembunuh gawang. Norshahrul seolah-olah menghampiri zaman kemerosotannya apabila dilihat tidak lagi berbisa di arena tempatan bersama Kelantan dan antarabangsa bersama Malaysia. Sudah jarang melihat aksi penyudah yang baik didepan gawang dilakukan oleh Norshahrul.

B. Sathiananthan diperhatikan bijak melakukan percaturan menukar posisi Daudsu dan Norfarhan ahad lalu ketika menentang Negeri Sembilan. Mungkin sudah tiba masanya B. Sathianathan mengubah posisi yang sesuai atau meletakkan gandingan yang sesuai untuk Norshahrul yang kini sentiasa dijaga dan dikekang hebat pasukan lawan yang sudah boleh membaca setiap gerak geri Norshahrul.

Akmal Rizal antara pemain dan penyelamat penting pada pasukan Kelantan sejak 4 perlawanan lepas. Badri pula dilihat kurang mencipta peluang gol dan penyudah yang baik. Hairuddin masih lagi mencari prestasi sebenarnya yang sudah mula hilang dan kurang menyengat. Sekiranya prestasi Che Hishamuddin sudah kembali pulih, ketua jurulatih perlu memberi peluang kepada beliau mempamerkan aksinya.

Gandingan S Chanturu dan Norshahrul antara pilihan yang mungkin boleh dipertimbangkan ketua jurulatih kerana S. Chanturu banyak mencipta peluang menarik kepada Norshahrul ketika saingan TM liga super dan keupayaan Zairul Fitree menjaringkan gol pada perlawanan menentang Negeri Sembilan tidak boleh dipandang remeh.

HANYA MENANG SAHAJA MAMPU MEMBERIKAN KEYAKINAN KEPADA KAMI BAHAWA SEMEMANGNYA MASIH ADA HARAPAN UNTUK PIALA MALAYSIA...........JOM PAKAT GI STADIUM........JANGE LUPO DOA & SOLAT ANDA SEBELUM PERLAWANAN BERMULA.............

Sunday, October 3, 2010

Kelantan hitung nasib


KELANTAN tidak mempunyai pilihan lain kecuali pulang dengan tiga mata penuh ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Skuad The Red Warriors itu perlu memanfatkan sebaik mungkin baki tiga perlawanan peringkat Kumpulan A andai berhajat mara ke peringkat suku akhir.

Pengendali Kelantan, B. Sathianathan dilihat tidak mempunyai banyak masalah menurunkan barisan terbaik malam ini kecuali ayam tambatan, Nurshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang menyertai skuad kebangsaan ke Vietnam.

Menurut Sathianathan, selain mahu membalas dendam ke atas Negeri Sembilan ekoran kekalahan di Kota Bharu pada 14 September lalu, Kelantan mahu lebih selesa melangkah ke saingan suku akhir dengan mencipta kemenangan dalam baki tiga perlawanan Kumpulan A.

"Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahukan kemenangan tetapi bola sepak bukan satu perkiraan yang mudah, segalanya bergantung apa yang berlaku di padang.

"Saya tidak ada Lionel Messi (bintang Barcelona) ketika bertemu Negeri Sembilan, jadi rombakan pemain tidak terlalu besar.

"Para pemain sudah tahu apa yang peminat dan pihak pengurusan mahukan dan saya tahu pemain juga sudah siap untuk itu," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Kelantan kini kembali diperkuat dengan kehadiran Norfarhan Mohamad dan Hairuddin Omar selain, penyerang lincah, Ramzul Zahini Adenan selepas berehat panjang.

Sathianathan berkata, dia mempunyai banyak pilihan dan mereka yang disenaraikan pastinya adalah kesebelasan terbaik yang mampu merencanakan tugas menundukkan anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan.

"Tekanan sudah tentunya ada tetapi saya mahu pemain lebih tenang dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika beraksi dan saya percaya kita mampu melakukan sesuatu untuk mengisi salah satu slot ke pusingan kedua.

"Siapa jua yang akan diturunkan malam esok (malam ini), mereka adalah yang terbaik," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Kelantan dijadualkan bertemu Selangor jika anak-anak buahnya muncul naib juara Kumpulan A, Sathianathan memberitahu: "Soal siapa lawan kita nanti, bukan suatu yang harus saya bimbangkan. Bertemu Selangor atau sesiapapun juga adalah sama kerana jika kita beraksi dengan baik kita mampu menewaskan mereka."

Semua Ada Tugas Penting Untuk Di GALAS!!

Dikala media geger pasal pilihanraya di Galas, Malam Ahad ini ada misi penting untuk di galas oleh seluruh pemain dan penyokong pasukan The Red Warriors tanpa mengira idealogi politik bagi memastikan misi meraih kemenangan atau sekurang-kurangnya mengutip 1 mata menjadi kenyataan.

bagi yang dekat dengan Paroi, jangan anda kecewa atau menyesal ahad ini sekiranya kekecewaan yang diterima, jika sokongan anda sekadar di depan TV kerana anda tidak berjaya menjalankan tugas anda selaku pemain ke 12 yang paling dekat dengan kesebelas pemain yang lain.

Misi 3 Oktober amat sengit dan menjadi pilihan RTM untuk menyiarkannya secara langsung. Jika perlawanan pusingan pertama, penyokong Kelantan mampu membuktikan pada Zainal Abidin Rawok dan ASTRO bahawa penyokong Kelantan paling ramai dalam persaingan piala Malaysia sehingga kawasan luar stadium yang disediakan skrin layar liputan secara langsung ASTRO juga dipenuhi, Adakah mampu penyokong Negeri Sembilan membuktikan mereka juga boleh hadir beramai-ramai ke stadium Paroi ahad ini? Kita cabar penyokong Negeri Sembilan. Diingatkan cabaran ini hanya pada jumlah kehadiran penyokong ke stadium, bukan untuk mengwujudkan sebarang provokasi atau masalah-masalah lain.

Adakah misi ini akan menjadi tragedi Oktober atau Kenangan indah Oktober amat meresahkan hati seluruh penyokong dan pemain? Tekanan pada perlawanan amat berat, ramai penyokong mula bertindak sebagai jurulatih ketiga apabila ramai yang mula mengatur pemain kesukaan mereka dan berharap pemain pilihan mereka dipilih untuk beraksi ahad nanti. Walauapapun rumusan penyokong semua, kita perlu akur dan berserah sepenuh keyakinan kepada pilihan yang dibuat oleh ketua jurulatih B. Sathiananthan kerana beliau lebih mengetahui tahap prestasi dan kesihatan seseorang pemain.

Pemain diingatkan lebih berhati-hati dan bersungguh-sungguh semasa peluang 90 minit masih ada walaupun The Red Warriors mendahului, peristiwa menentang KL Plus tempoh hari amat menusuk hati dan perasaan seluruh peminat The Red Warriors. Sikap acuh tak acuh dan sambil lewa diakhir perlawanan telah membawa padah yang sukar diterima oleh semua.

Penilaian peminat pada 3 perlawanan lalu amat rendah dengan hanya memberi nilai 30% daripada keupayaan sebenar, Kelantan dalam saingan TM liga super yang dinilai pada kadar purata 70-85%. Jika hendak dibandingkan dengan keupayaan pemain Selangor yang sentiasa kekal pada nilai 80-99% bagi semua permainan Selangor, ketua jurulatih Kelantan perlu memperbaiki dan mengkaji penilaian ini. Purata jaringan gol Selangor pada kadar 2.5 gol bagi setiap perlawanan dan Kelantan pula masih dikadar 0.7 gol bagi setiap perlawanan. Kelantan dilihat kurang "kaki pembunuh" didepan gol. Bagi setiap perlawanan Kelantan pada tahap saingan pusingan pertama piala Malaysia sekarang, kadar untuk mencapai menang hanya 25%, Kalah 35% dan seri 40%, unjuran ini amat membimbangkan sekiranya tiada sebarang perubahan dilakukan dalam saingan pusingan kedua piala Malaysia ini.

Keputusan undian setakat hari ini untuk perlawanan 3 Oktober ini , 74.8% menjangkakan Kelantan akan menang, 17.7% meramal Kelantan akan Kalah dan 7.5% pula meramal Kelantan akan seri.

Keputusan undian setakat hari ini untuk impian menjadi juara piala Malaysia 2010, 81.8% masih yakin Kelantan mampu membawa pulang piala ini ke Kota Bharu dan 18.2% sudah tidak yakin Kelantan mampu merangkul kejuaraan ini.

Ianya sekadar penilaian dan ramalan, peluang masih ada untuk semua pemain dan peminat membuktikan The Red Warriors mampu mencipta kegemilangan pada tahun ini setelah piala Malaysia sahaja yang tinggal untuk dikecapi nikmat di perlawanan akhir. Semua pemain dan peminat jangan terlalu yakin dan berlagak kerana semua pasukan mengimpikan menjuarai kejohanan ini, sebarang keputusan yang diterima, penyokong diingatkan menerimanya secara terbuka dan rasional. Hanya usaha dan doa yang mampu kita lakukan, selebihnya berserahlah pada ketentuan Illahi kerana semuanya ada hikmah tidak mampu kita rungkaikan.

Jom kita pakat geger riuh stadium paroi ahad ini........Pada penyokong yang berkonvoi diingatkan mematuhi peraturan jalanraya dan berhati-hati.......penyokong yang hadir juga diingatkan mengelakkan membawa senjata berbahaya, mercun dan segalanya yang dilarang oleh pihak keselamatan.....Elakkan diri anda terlibat dengan sebarang provokasi dan insiden yang tidak diingini kerana tiada kompromi oleh pihak keselamatan.....Keselamatan lebih diutamakan!!! Maghi pakat maghi.....gomo kelate gomo...