Thursday, September 9, 2010

Pertingkat kawalan keselamatan stadium

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta tuan rumah perlawanan pertama Piala Malaysia supaya meningkatkan kawalan keselamatan venue masing-masing, memandangkan ia berlangsung pada musim perayaan.

Perlawanan pertama Piala Malaysia akan berlangsung pada 14 September ini, ketika umat Islam masih merayakan Aidilfitri.

Timbalan Presiden FAM, Tan sri Annuar Musa (gambar) berkata, ketika itu kebanyakan penyokong setia masih berada di kampung halaman masing- masing.

Katanya, mereka akan mengambil kesempatan untuk membanjiri stadium bagi menyaksikan pasukan mereka beraksi.

Pada masa yang sama, beliau juga melahirkan kebimbangan jika penonton membawa masuk mercun ke stadium, kerana ia akan memberikan kesan negatif.

"Antara yang perlu diberikan perhatian mereka yang membawa masuk mercun ke dalam stadium, kita tahu sebelum ini pernah berlaku insiden yang membawa kemalangan terutama di stadium yang mempunyai kapasiti penyokong yang tinggi.

"Adalah sangat berbahaya kalau ada percubaan sedemikian, walaupun mungkin untuk tujuan berseronok.

'' Kita minta kerjasama polis, stadium dan tuan rumah supaya memberi perhatian khusus dalam aspek keselamatan," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Annuar turut menyeru penyokong dan peminat supaya memberikan kerjasama, dengan tidak membawa bahan yang dilarang ke dalam stadium.

Katanya, pihak keselamatan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mana-mana individu yang membawa mercun ke dalam stadium.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan di antara buku dan ruas, Kelantan menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan pada perlawanan tersebut.

Menurutnya, pertembungan tersebut akan menjadi tumpuan peminat Red Warriors, kerana ia merupakan ulangan final Piala Malaysia musim lalu.

"Kita jangkakan stadium akan penuh. Sekiranya ini berlaku, beberapa perkara ingin saya nyatakan. Pertama, kita harap penyokong faham kita tidak boleh benarkan terlalu ramai penyokong berada dalam stadium.

"Ini adalah salah satu daripada langkah keselamatan, kita akan berhenti dari menjual tiket-tiket bila mencapai satu jumlah yang kita fikir boleh ditampung oleh stadium," katanya.

Jelasnya, penjualan tiket akan bermula pada pukul 10 pagi pada hari perlawanan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV.

Wednesday, September 8, 2010

PEMUDA BERIBU-BAPAKAN BABI

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?”.

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. “Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Bai itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu di lap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian di lap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. “Wahai saudara ! Apa agama kamu?”. “Aku agama Tauhid”, jawab pemuda itu iaitu agama Islam. “Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu.” Kata Nabi Musa.
“Wahai tuan hamba”, kata pemuda itu. “Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.”, sambungnya.

“Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.”, tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. ‘Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami.”
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : “Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga.”
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibu bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibu bapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibu bapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibu bapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Raya Untuk Dirai, Bukan Untuk Ditangisi



Diharap semua rakyat Kelantan yang berada diperantauan dan di Kelantan agar sentiasa berwaspada di musim cuti hari raya aidilfitri ini kerana sebarang kecelakaan boleh berlaku sekiranya kita cuai atau alpa, tidak kira ketika memandu mahupun ketika menjamah juadah hari raya. Banyakkan kesyukuran ke hadrat Illahi yang masih memberi peluang kepada kita menyambut Aidilfitri . SALAM AIDILFITRI KEPADA SELURUH RAYA KELANTAN DARI

Norizam sandaran NS ganti Zaquan


BERIKUTAN kecederaan yang dialami ayam tambatan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Negeri Sembilan mungkin terpaksa menyandarkan harapan tinggi terhadap Norizam Salaman untuk menggalas tugas berat bertemu Kelantan pada saingan pembuka tirai Kumpulan A Piala Malaysia di Kota Bharu, 14 September ini.

Jika pemain import Johor, S Ragesh diterima pihak pengurusan pasukan, Norizam mungkin bergandingan dengan Ragesh tetapi jurulatih Wan Jamak Wan Hassan berkata, pihaknya tiada pilihan untuk mempertaruhkan Norizam bagi menggalas tugas mencabar itu kerana dia satu-satunya pemain berpengalaman berbanding pemain muda seperti Mohd Shaffik Rahman, Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Asyraf Al-Jafri.

Katanya, walaupun Norizam menjadi sandaran, pihaknya tidak bergantung sepenuhnya kepada seorang dua pemain untuk menyumbang gol, sebaliknya mahu semua pemain memainkan peranan masing-masing.

“Saya sering mengingatkan pemain supaya bermain sebagai satu pasukan, semua harus memikul peranan masing-masing dan saya yakin jika ini dapat dilaksanakan, kemenangan boleh dicapai.

“Tanpa Mohd Aidil dan Mohd Zaquan, ia memang memberikan kesan tetapi saya yakin ia boleh dicapai jika semua beraksi pada tahap keupayaan sebenar,” katanya semalam.

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, dia sudah mendapat bayangan kesebelasan utama untuk berdepan Kelantan tetapi dalam masa sama, berharap kecederaan Mohd Zaquan segera pulih.

“Khidmat Zaquan amat diperlukan tetapi kita akur dengan keadaan yang menimpa pemain itu dan berharap dia segera pulih demi memastikan rentak pasukan untuk mempertahankan Piala Malaysia, tidak terus terjejas terutama pada peringkat awal pusingan ini,” katanya.

Tuesday, September 7, 2010

Negeri Sembilan tanpa Zafuan, Zaquan


SATU tamparan hebat buat juara bertahan Negeri Sembilan apabila khidmat dua pemain utama yang juga kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dijangka tidak dapat digunakan pada aksi pembuka tirai saingan Piala Malaysia berikutan masalah penggantungan kad kuning dan kecederaan dialami kedua-dua pemain berkenaan.

Mohd Aidil dikatakan masih terikat dengan penggantungan satu perlawanan selepas menerima kad kuning pada saingan Liga Super manakala Mohd Zaquan Adha dikatakan mengalami kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan.

Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan, berkata ketiadaan dua pemain berkenaan terutama pada perlawanan pertama bertemu Kelantan menjadi tamparan buat skuad bimbingannya itu dalam misi meraih kemenangan dan mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu.

Memang sesuatu yang malang buat pasukan apabila khidmat dua pemain itu tidak digunakan tetapi perlawanan tetap diteruskan dan kami akan terus berusaha mempertahankan reputasi pasukan selaku juara bertahan dengan menggunakan sepenuhnya barisan pemain yang ada.

Saya berharap situasi itu tidak mematahkan semangat pemain lain sebaliknya mahu mereka terus memberikan fokus kepada usaha mempertahankan maruah pasukan dengan memberikan komitmen sebaik mungkin bagi mencapai kemenangan dan seterusnya membawa pasukan pada landasan kejayaan, katanya semalam.

Zaquan malang


MALANG menimpa penyerang utama skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Dia terpaksa melupakan terus saingan Piala Malaysia, Sukan Asia 2010 dan Piala AFF Suzuki 2010.

Pemain Negeri Sembilan itu akan berehat selama enam bulan selepas disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kirinya.

Zaquan, 23, tercedera ketika skuad kebangsaan menentang kelab Qatar, Al-Jaish di Doha pada 30 Ogos lalu dan dia terus melakukan pemeriksaan di Hospital Pantai, Ampang semalam sekembalinya ke tanah air kelmarin.

Menurut Zaquan, dia akan menjalani ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) disusuli pembedahan ACL selepas Aidilfitri nanti.

“Pemeriksaan doktor pagi tadi (semalam) mengesahkan saya mengalami kecederaan ACL. Memang saya kecewa sangat selepas mendengar penjelasan doktor kerana saya akan terlepas dua kejohanan besar pada hujung tahun ini.

“Cuma keajaiban pada ujian MRI nanti yang membolehkan saya tidak dibedah. Tapi harapan saya tipis kerana kebiasaannya kecederaan seperti itu tetap kena bedah juga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas Zaquan, kecederaan ACL itu mengulangi detik malangnya ketika mengalami kecederaan sama pada lutut kanannya sehingga menyebabkan dia terlepas peluang ke Sukan Asia di Doha pada 2006.

“Mungkin ini badi Sukan Asia. Tapi saya anggap semua ini ada hikmahnya dan saya berazam untuk kembali bangkit membantu skuad kebangsaan selepas pulih nanti,” ujarnya.

Secara kebetulan, Zaquan juga dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Ayu Raudhah pada Januari depan dan mungkin inilah masa yang sesuai untuk pemain itu berehat seketika daripada bola sepak.

Dengan ketiadaan Zaquan, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal perlu mencari rakan gandingan baru buat Norshahrul Idlan Talaha untuk mengemudi jentera serangan skuad negara dalam Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November dan Piala AFF Suzuki 2010 pada Disember depan.

Bagi pasukan Negeri Sembilan pula, ketiadaan Zaquan pasti mengganggu persiapan mereka bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi mereka musim lalu.

Monday, September 6, 2010

Pasukan NS dapat tonik baru

NEGERI Sembilan akhirnya mendapat tonik baru selepas merakamkan kemenangan pertama dalam siri persahabatan apabila menewaskan Kuala Lumpur, kelmarin - pencapaian yang harus menerbitkan sifat yakin anak buah Wan Jamak Wan Hassan menjelang kempen Piala Malaysia.

Selepas tiga seri dan satu kekalahan sebelum ini kemenangan sulung ini memancarkan wajah ceria kepada ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya yang yakin kejayaan terbaru itu dapat menyuntik semangat rakan sepasukan memberi persembahan cemerlang pada perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kelantan di Kota Bharu, 14 September ini.

Saya yakin kemenangan ke atas Kuala Lumpur akan memberi impak positif kepada seluruh pasukan, katanya.

Walaupun kami belum mencapai tahap 100 peratus seperti dikehendaki jurulatih, namun saya berharap pemain dapat terus memberi kerjasama untuk sama-sama berjuang demi memartabatkan imej pasukan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pihaknya juga yakin semua pemain skuad itu sudah bersedia untuk menggalas cabaran, malah mereka sudah menunjukkan komitmen tinggi untuk misi mempertahankan mahkota kejuaraan.

Apa yang penting kami perlu mengekalkan prestasi dan persefahaman serta berusaha menterjemahkan sepenuhnya strategi yang diaturkan jurulatih kerana ia adalah kunci kepada kejayaan yang kami sasarkan, katanya.

Peluang terakhir pikat Rajagobal


JIKA mahu terus kekal dalam skuad kebangsaan, pemain perlu mengekalkan prestasi bermula pada saingan Piala Malaysia. Jika tidak, mereka berhadapan kemungkinan diketepikan daripada skuad kendalian K. Rajagobal itu.

Selepas menjalani latihan selama tiga minggu sepanjang bulan Ramadan ini, pemain negara kini kembali ke pangkuan skuad negeri masing-masing.

Apa yang pasti, mereka perlu mengekalkan prestasi cemerlang kerana selepas ini skuad negara ada tugas yang lebih mencabar untuk diharungi.

Sepanjang kem latihan mereka selama tiga minggu, secara keseluruhannya prestasi mereka boleh dianggap membanggakan.

Latihan itu merangkumi beberapa aksi persahabatan dengan kelab tempatan dan luar negara.

Mereka bermula dengan aksi pemanas pada 24 Ogos lalu yang menyaksikan skuad negara menang 3-1 ke atas KL Plus.

Selepas itu, skuad Rajagobal ini terbang ke Doha, Qatar untuk mengadakan dua aksi persahabatan di bumi Arab tersebut.

Pada aksi pertama (30 Ogos lalu), mereka tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish dan selepas itu tewas 0-3 kepada skuad kebangsaan Oman pada Jumaat lalu.

Walaupun tewas tetapi ilmu yang mereka peroleh daripada latihan pendedahan itu sangat berharga yang dilihat boleh membantu meningkat keyakinan serta semangat pemain.

Kini 16 pelatih skuad kebangsaan itu kembali ke pasukan negeri masing-masing untuk menghadapi tiga perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 14, 17 dan 20 September depan.

Baki enam lagi pelatih pula terus terbang ke Slovakia dari Doha untuk menyertai skuad Harimau Muda yang kini berkelana selama tiga bulan di negara Eropah Timur itu.

Namun, kesemua mereka akan kembali ke kem lati- han pusat kebangsaan pada 21 September untuk persiapan menghadapi kejohanan jemputan Piala Ho Chi Minh City 2010 di bandar raya terbesar Vietnam itu dari 28 September ini hingga 2 Oktober depan.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, beliau mahu menjadikan kejohanan tersebut sebagai persiapan terbaik skuad negara bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bermula 7 November depan.

“Saya mahu memanfaatkan tiga perlawanan pada kejohanan di Vietnam itu untuk saya betul-betul beri peluang kepada para pemain bagi merebut 20 tempat ke Sukan Asia.

“Saya tidak mahu pemain beri alasan bahawa saya tidak memberi peluang kepada mereka untuk memperagakan kemampuan masing-masing.

“Selepas itu, saya hanya akan dapat mengumpulkan kembali pemain selepas final Piala Malaysia (30 Oktober) dan kita akan adakan satu aksi persahabatan sebelum terbang ke Guangzhou pada 5 November,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Pada kejohanan jemputan membabitkan empat pasukan B-23 itu, skuad negara yang hanya dibarisi empat pemain berusia lebih 23 tahun akan bertemu Vietnam (28 September), Iran (30 September) dan Singapura (2 Oktober).

Buat masa ini, empat pemain yang dilihat berpeluang cerah untuk mengisi tiga slot pemain lebih umur ke Sukan Asia 2010 ialah penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, Azmi Muslim, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha.

Sunday, September 5, 2010

Tidak ada kejutan


HAJAT skuad bola sepak kebangsaan untuk mencipta kejutan ke atas Oman tidak kesampaian.

Sebaliknya, skuad negara terpaksa akur dengan pasukan yang menghuni ranking ke-81 dunia itu apabila tewas 0-3 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Al-Wakra di Doha, Qatar awal pagi semalam.

Gawang skuad negara bolos seawal minit keenam apabila Hassan Rabia merembat masuk gol pertama tuan rumah.

Amad Al Hosni menambah dua lagi gol Oman, masing-masing pada minit ke-36 dan ke-45.

Biarpun tewas, jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal tetap optimis dan berfikiran positif terhadap persembahan anak-anak buahnya yang majoriti berusia 23 tahun dan ke bawah.

"Secara keseluruhan, kita bermain bagus dan tidak jauh beza dengan Oman. Jika pemain tampil aksi seperti pada separuh masa kedua, kita mungkin boleh seri atau menang.

"Tetapi kita bermula dengan gugup. Apa yang buat saya marah, kita tak sepatutnya melepaskan gol awal pada minit keenam itu.

"Mungkin gerak balas Sharbinee Allawee Ramli (penjaga gol) agak lambat tetapi saya tidak salahkan dia kerana semua pemain buat kesilapan.

"Saya harap kita hanya ketinggalan 0-2 sebelum masa rehat tetapi Oman berjaya menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Doha semalam.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat masuk menggantikan Sharbinee pada babak kedua dan tampil cemerlang mempertahankan gawang skuad negara daripada terus dibolosi.

Namun Rajagobal jelas merasai ketiadaan penyerang utama, Zaquan Adha Radzak yang tidak dapat diturunkan selepas cedera lutut ketika mereka tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish pada Isnin lalu.

"Kita tiada penyudah luar biasa selepas ketiadaan Zaquan. Dia mampu melakukan larian deras selain memiliki mentaliti yang bagus. Itu kekurangan kita pada perlawanan ini," jelasnya.

Skuad negara berlepas pulang lewat malam tadi dan tiba di tanah air hari ini dengan kesemua pemain terus dilepaskan ke pasukan negeri masing-masing bagi menghadapi Piala Malaysia bermula 14 September depan.

Hati Saya Untuk Kelantan: Soley


KOTA BHARU – “Hati saya untuk Kelantan.” Demikian pengakuan ikhlas bekas pemain tengah kanan Perlis musim ini, K Soley ketika ditanya mengenai minat beliau memilih untuk beraksi bersama dengan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Soley berkata, dia sudah lama teringin untuk beraksi bersama dengan Kelantan, dan kedatangan beliau adalah di atas kepercayaan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan juga kepercayaan peminat bola sepak Kelantan sendiri.

“Walaupun ada beberapa pasukan lain menawarkan kontrak kepada saya, bagi saya pilihan yang terbaik ialah pasukan Kelantan.

“Saya ada sasaran untuk bersama dengan Kelantan, sekurang-kurangnya saya mahu menjulang satu piala sepanjang saya mewakili Kelantan,” katanya ketika ditemui ketika sidang akhbar dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Kafa semalam.

Soley berkata, antara tarikan utama mengapa beliau memilih beraksi bersama Kelantan ialah kerana faktor penyokongnya, di samping komitmen yang jitu yang ditunjukkan pihak pengurusan Kelantan sendiri menjadi landasan yang sesuai bagi beliau meneruskan karier bola sepaknya.

“Penyokong Kelantan lebih fanatik berbanding dengan penyokong negeri kelahiran saya (Kedah). Saya tidak ada tekanan di sebalik gelagat penyokong seperti ini kerana saya pernah melaluinya sewaktu bermain bersama dengan Kedah.

“Apa yang penting, sebagai pemain bola sepak kita perlu mesra dengan mana-mana peminat. Mereka semua berada di belakang kita memberi sokongan, jadi mengapa harus untuk kita tidak boleh mendekati mereka,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan yang bakal dihadapinya merebut posisinya, beliau melihat perkara itu merupakan satu persaingan yang sihat di kalangan pemain-pemain Kelantan sendiri.

“Bagi saya, itu semua persaingan yang sihat dalam mana-mana pasukan, tetapi kedatangan saya ini disertai dengan semangat kerja berpasukan yang tinggi. Yang selebihnya terpulang kepada jurulatih yang akan menentukannya.

“Sebagai pemain bola sepak profesional, saya perlu mengikut arahan yang ditetapkan jurulatih dan apa yang lebih penting, semangat berpasukan lebih diutamakan berbanding individu,” katanya.

Aksi lincah K Soley tidak asing lagi kerana beliau pernah mengenali beberapa rakan dalam pasukan Kelantan yang lain seperti Indra Putra Mahayuddin, Zairul Fitree Ishak dan S Subramaniam sewaktu beliau dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan tidak dalam dulu.

K Soley memulakan karier bola sepaknya bersama dengan Kedah bermula pada tahun 2002 sehingga 2007, sebelum mengambil keputusan meneruskan kerjayanya bersama Singa Utara pada tahun berikutnya.