Thursday, February 18, 2010

Kelantan harungi perlawanan sukar

KOTA BHARU - Setelah seri di gelanggang lawan pada perlawanan pertama, hayat Kelantan dalam kempen Piala FA musim ini kini akan ditentukan di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua pusingan kedua, Sabtu ini.

Bagi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, perlawanan kedua itu begitu kritikal bagi membolehkan Wira Merah mara ke suku akhir.

''Ia perlawanan 'mesti menang' sekaligus menyingkirkan Kedah selaku juara 2007/2008 bagi melebarkan laluan Kelantan memburu impian," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan ribuan penyokong memenuhi ruang Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, bagi memberikan sokongan padu.

Beliau yakin tempoh 90 minit perlawanan akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan Kelantan mara ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan menyifatkan keputusan seri bertemu Kedah dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelmarin, bukan tekanan buat diri dan pasukannya.

Sebaliknya keputusan tersebut dianggap sebagai pembakar semangat sebelum turun beraksi Sabtu ini di laman sendiri dengan sokongan para peminat tempatan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, pemainnya menunjukkan corak permainan yang bagus, walaupun gagal menjaringkan gol.

"Keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan, para pemain sudah mula menampakkan keserasian dan mereka bermain bermati-matian ketika bertemu Kedah.

"Walaupun mengusai perlawanan, namun sekali lagi nasib tidak menyebelahi apabila kita gagal memanfaatkan setiap peluang yang terhidang," ujarnya.

Ketumpulan jentera serangan Kelantan menyebabkan mereka gagal menyempurnakan setiap peluang yang dimiliki.

Kafa hantar pesanan cemas


Tuntut penyokong banjiri stadium semarak semangat skuad Kelantan

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menghantar mesej cemas kepada penyokongnya, semalam menuntut mereka membanjiri Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Sabtu ini menyemarak semangat pemain ketika berdepan saingan penentuan menentang Kedah dalam perlawanan kedua, pusingan kedua Piala FA.

Kegagalan pasukan bergelar Red Warriors itu meraih kemenangan ketika turun beraksi di gelanggang sendiri Sabtu ini, bermakna mereka terpaksa melupakan impian menggapai trofi kejuaraan itu, musim ini selepas kecewa tewas kepada Selangor dalam final, tahun lalu.



Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan hanya kemenangan yang menjadi penyambung hayat pasukan itu dalam saingan Piala FA musim ini, selepas sekadar seri 0-0 ketika berkunjung ke gelanggang lawan di Alor Setar, kelmarin.

"Perlawanan menentang Kedah amat kritikal bagi Kelantan. Kita mesti menang dalam saingan ini kerana ia adalah penentu kempen Piala FA 2010.

"Saya minta penyokong Kelantan membanjiri stadium. Jangan lupa pakai baju merah dan membawa sama bendera Kelantan serta sepanduk Red Warriors.

"Ayuh kita palukan gendang dan sorakan menggegar Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk pastikan Kelantan layak ke suku akhir musim ini," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, semalam.

Malah, pesanan sama juga dihantar Annuar kepada penggerak penyokong setia Kelantan di seluruh negeri menerusi sistem pesanan ringkas (sms) daripada telefon bimbit peribadinya.

Wednesday, February 17, 2010

Kelantan dalam KRITIKAL sabtu ini

Assalamualaikum semua penyokong dan peminat The Red Warriors, saya berasa gusar dengan keputusan perlawanan malam tadi yang berkesudahan seri tanpa jaringan. Keresahan ini timbul kerana The Red Warriors bakal berdepan dengan tugasan yang amat berat kerana hanya kemenangan sahaja yang akan melayakkan Skuad kita ke pusingan yang seterusnya. Sama-sama kita berdoa agar skuad kita berjaya dengan tugasan ini dan bersedia menerima tekanan hebat penyokong sendiri dengan tenang dan penuh semangat kemenangan.

Perlawanan Kelantan bertemu Kedah sabtu ini adalah KRITIKAL bagi kita, pertarungan mesti MENANG ini penentu bagi kempen TM Piala FA 2010. Saya minta semua penyokong The Red Warriors membanjiri stadium seramai mungkin dan jangan lupa pakaian Merah, bawa Bendera Kelantan serta Bendera The Red Warriors. Elakkan membawa bendera politik. Pastikan paluan GENDANG dan SORAKAN dapat mengegarkan Stadium Sultan Muhammad ke 4. Dengan ini saya dan penyokong amat berharap skuad kita mara ke SUKU AKHIR TM Piala FA 2010 dengan menyingkirkan Kedah juara 2007/08.Yakin Kita Boleh !!!!!

Walauapapun keputusan pada sabtu ini nanti, saya menyeru kepada semua penyokong bertenang dan elakkan daripada menimbulkan situasi yang akan menyusahkan orang lain. Jadikan pengalaman salah seorang penyokong kita yang kehilangan matanya selamanya dek kerana tindakan kurang bijak orang lain. Sekiranya kita menang elakkan daripada mengutuk pasukan lawan dan sekiranya kita kalah harap semua penyokong elakkan pergaduhan atau provokasi.

Terima Kasih

Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo

Kelantan Masih dihantui "BADI SERI"

Keputusan perlawanan TM Piala FA Pusingan Kedua pada malam tadi menyaksikan Kelantan masih dihantui 'Badi Seri'. Ramai peminat The Red Warriors menyatakan kerisauan dengan keputusan malam ini seolah-olah menggambarkan Kelantan ketandusan 'Kaki Gol' walaupun dibarisi antara penjaring terbanyak liga pada musim lepas. Sekalung tahniah kepada barisan pertahanan The Red Warriors yang sentiasa berkerja keras memastikan gol tidak dibolosi. Dengan keputusan malam ini, perlawanan di Kota Bharu pada 20/2/2010 Sabtu nanti, skuad The Red Warriors perlu menang dan harus mengatur dan mengkaji setiap sudut kelemahan yang perlu diperbaiki bagi melancarkan jentera serangan maut gol.

Jutaan terima kasih kepada RTM kerana pada 20/2/2010 sabtu ini juga dijangkakan ada siaran langsung Kelantan vs Kedah di RTM. Kepada yang masih bercuti dan berada di Kelantan, kami mengalu-alukan untuk datang dan memberi sokongan padu pada skuad kesayangan kita.

Tuesday, February 16, 2010

ANALISIS: Buktikan Kelate boleh Gomo Kedah

Walau apa pun strategi skuad lawan, Ketua Jurulatih B. Sathianathan pasti akan menyediakan ramuan dan resipi padat serta padu untuk menjamin keselesaan kepada skuad The Red Warriors dalam mengharungi perlawanan kedua dan sokongan serta cemuhan peminat setia The Red Warriors. B. Sathianathan perlu cepat melahirkan penyerang yang bijak merebut dan mencipta peluang didepan gol dan bukannya penyerang yang hanya tahu merembat liar didepan gol. Kehebatan NorShahrul Idlan perlu dipergunakan sepenuhnya selain pemain bertaraf bintang lain seperti Piya, Hai-o, Akmal dan Indra perlu membuktikan pelaburan terhadap mereka tidak sia-sia, prestasi tahun lepas perlu dikembalikan. Ramai menjangkakan The Red Warriors mampu layak ke akhir piala FA tetapi diharap dengan harapan ini jangan pula membuat pemain bermain dengan lewa dan selesa setelah dilabel skuad bintang kerana kerahan tenaga pemain untuk gol kemenangan perlu di maksima sehingga wisel terakhir dengan jaminan kemenangan berbaloi untuk peminat yang datang dan terus memberi sorakan padu.



Dijangka lebih 5 buah bas telah ditempah dan ratusan peminat telah sedia untuk memenuhi Stadium Darul Aman malam ini. Diharap skuad The Red Warriors dapat menghadiahkan satu kemenangan yang bermakna untuk peminat setia ini. GOMO KELATE GOMO... PINTU BUKIT JALIL MENANTI KITA LAGI TUUUU............AMARAN AWAL....ELAKKAN MEMBAWA MASUK MERCUN...

Kelantan bersemangat

KOTA BHARU – Setelah berehat hampir dua minggu, Kelantan akan bertandang ke Alor Setar untuk bertemu Kedah dalam saingan pusingan kedua Piala FA, hari ini..

Sepanjang tempoh tersebut, Kelantan menggunakan kesempatan memperkemaskan barisan pemain, termasuk mengadakan kem motivasi untuk mengembalikan semula moral pemain.

Bertandang ke gelanggang lawan yang pernah menewaskan mereka di laman sendiri, memberikan sedikit tekanan buat pengendali skuad Red Warriors, B.Sathianathan.

Ini ditambah dengan misi yang cukup besar iaitu membawa pulang bekalan jaringan selesa ke Kota Bharu pada perlawanan kedua nanti.



Kelantan yang mendapat “bye” pada pusingan pertama, tampil selaku naib juara musim lalu, pasti mengharapkan sentuhan ajaib Sathianathan, untuk mengulangi apa yang dilakukan Peter Butler pada musim lepas.



Pertemuan hari ini bukan sahaja menguji kredibiliti kedua-dua jurulatih pasukan, tetapi pertarungan kali ini tertumpu pada ketajaman penyudah kedua-dua pasukan.

Kelantan pasti mengharapkan sentuhan penyudah berbisa yang juga peledak sensasi kebangsaan, Nor shahrul Idlan Talha bersama gandinganya untuk merobek gawang gol yang dikawal oleh Helmi Eliza Elias.

Sementara itu, Kedah pasti mengharapkan sentuhan berbisa penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, Azlan Ismail.

Kedah dijangka memberi saingan sengit kepada Red Warriors, jika berjaya melepasi pusingan kedua, kedua-dua pasukan dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

Laluan mudah dilihat menanti pasukan yang layak, kerana lawan mereka selepas ini adalah dari saingan Liga Perdana.

Kedah pasti menjanjikan gandingan mantap di posisi pertahanan yang dikemudi oleh pertahanan kebangsaan Mohd Azmi Muslim,Mohd Sabree Mat Abu bersama V.Thirumurugan, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin, yang mampu menyekat kemaraan rangkaian penyerang Kelantan.

Biarpun ketiadaan Khryll Muhaimeen, yang berehat lama akibat kecederaan lutut, rangkaian jentera tengah mereka harus diawasi.

Gandingan Shahrul Nizam Mustapa, Ahmad Fauzi Shaari, Badrol Bakhtiar bersama Khairul Helmi Johari mampu mendominasi jentera tengah jika dibiarkan bergerak bebas.

Gandingan Mohd Azlan Ismail bersama Mohd Zamri Chin, juga harus dirantai secukupnya oleh pertahanan Kelantan, jika tidak mahu berputih mata.

Posisi penjaga gol memperlihatkan saingan sengit bagi merebut tempat antara penjaga gol veteran, Halim Napi dengan rakan pelatihnya, Syed Adney pasti memeningkan kepada Sathianathan untuk membuat pilihan.

Persiapan di posisi pertahanan Kelantan tampak sedikit terjejas ekoran perkhabaran bahawa pertahanan kental mereka, S. Subramanian mengalami kecederaan.

Namun, itu bukan masalah besar buat Sathianathan.

Rangkai pilihan pemain yang dimiliki, mampu memberikan kelebihan dalam menyusun strategi untuk mengekan asakan lawan.

Kelibat Azizi Mat Rose pasti ditagih untuk merantai pergerakan Azlan Ismail dan membentuk gandingan yang mantap bersama Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Farisham Ismail.

Di bahagian jentera tengah, Kelantan pasti mengharapkan sentuhan Indra Putra Mahayuddin, Muhd. Badri Radzi dan Mohd. Shakir untuk merencanakan pergerakan bagi memastikan barisan serangan tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bola.

Posisi serangan, peminat pasti mengharapkan perubahan drastik dilakukan oleh Sathianathan jika mahu membawa bekalan selesa ke Kota Bharu.