Thursday, August 18, 2011

Penyokong punya hal, KAFA sengsara


DENDA lagi. Apalah dengan nasib Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang sekali lagi bakal berdepan hukuman denda.

Semuanya gara-gara sikap segelintir penyokongnya yang membaling botol dan mercun ke dalam padang pada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun lalu.

Perkara tersebut disahkan oleh Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu, semalam.

“Dua hari lalu, KAFA telah menerima surat pertuduhan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas dua kesalahan pada perlawanan tersebut.

“Kesalahan pertama ialah melontar mercun ke dalam padang sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan dan ini merupakan satu kesalahan yang serius.

“Kesalahan kedua ialah membaling mercun dan botol ketika Kelantan memperoleh jaringan menerusi Nurul Azuwan Roya pada minit ke-79. Ini juga merupakan satu kesalahan yang membolehkan KAFA didenda," katanya.

Tambahnya, setiap kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 dan kedua-dua kesalahan yang dilakukan oleh segelintir penyokong Kelantan yang nakal itu menyebabkan pasukan bakal didenda RM20,000.

Pada perlawanan akhir itu, Terengganu berjaya bangkit untuk menumbangkan Kelantan 2-1

menerusi jaringan sendiri pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin yang tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit-minit terakhir perlawanan serta Ahmad Nordin Alias pada minit ke-109 masa tambahan.

Rosmadi memberitahu, walaupun jumlah denda itu dilihat agak kecil, namun bagi KAFA ia merupakan satu nilai yang besar.

Katanya, dengan jumlah tersebut KAFA mungkin dapat menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembangunan di peringkat akar umbi mahupun memantapkan lagi pasukan.

"Sehubungan dengan itu, saya merayu kepada semua penyokong supaya tidak mengulangi kesilapan

ini dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula 6 September ini. Kerja membakar mercun dalam stadium bukanlah perkara yang baik kerana ia akan membahayakan orang lain yang berada di dalamnya.

"Saya harap pemain dapat mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku kepada pasukan Kelantan sebelum ini dan janganlah kita membiarkan perkara tersebut berulang kembali dengan kata lain adakah kita mahu pisang berbuah dua kali," ujarnya.

Untuk rekod, sepanjang 2009-2010, Kelantan telah membayar denda kepada FAM hampir RM300,000 di atas kenakalan segelintir penyokongnya.

Fernandes semakin hampir kuasai QPR

an Sri Tony Fernandes dijangka mengambil alih Queens Park Rangers dalam tempoh 24 jam lagi dan menyatakan sokongan penuh terhadap pengurus kelab Liga Perdana Inggeris itu, Neil Warnock.

Ahli perniagaan terkemuka Malaysia itu bakal menjadi pemegang saham majoriti kelab dan difahamkan membeli lebih daripada 51 peratus pegangan, seperti yang dibincang sebelum ini.

Fernandes, yang memiliki syarikat penerbangan tambang murah Air Asia dan Team Lotus dalam F1 dilihat berada di Loftus Road, Sabtu lalu untuk menyaksikan perlawanan pembuka tirai QPR melayan kunjungan Bolton.

Meskipun dibelasah 0-4, Fernandes berkata: "Saya fikir Neil ialah seorang yang hebat dan dia menjalankan tugasnya dengan begitu cemerlang sehingga menjulang QPR pada kedudukan sekarang.

"Dia akan mendapat sokong penuh daripada saya. Saya fikir seseorang pengurus harus mendapat apa diingininya."

Pemimpin F1, Bernie Ecclestone yang memiliki 66 peratus saham dalam QPR berhasrat menjual pegangannya, justeru urus niaga kali ini pastinya menamatkan segala ikatannya dengan Loftus Road.

Hartawan industri keluli, Lakshmi Mittal juga diramal meningkatkan pegangannya kepada 33 peratus tetapi Fernandes akan memiliki kuasa penuh di QPR.

Satu sidang media bakal diadakan di Loftus Road hari ini bagi mengumumkan pengambilalihan tersebut.

Perkembangan itu pasti menggembirakan Warnock kerana Fernandes mahukan dia membawa masuk empat pemain baru sebelum tempoh perpindahan pemain berakhir.

Tuesday, August 16, 2011

Real, Barcelona sama kuat


Real Madrid dan Barcelona seri 2-2 dalam perlawanan pertama Piala Super Sepanyol kelmarin di hadapan 80,000 penyokong di Santiago Bernabeu.

Mesut Ozil membuka jaringan Real pada minit ke-13 sebelum David Villa dan Lionel Messi meletakkan Barcelona di depan.

Bagaimanapun, Real berjaya menyamakan kedudukan menerusi Xabi Alonso sembilan minit selepas separuh masa kedua bermula.

Jurulatih Barcelona, Josep Guardiola yang masih menjadi pengurus belum tewas di Santiago Bernabeu, tetap berhati-hati menjelang perlawanan pusingan kedua esok.

"Kami harap dengan beraksi di harapan penyokong sendiri kami mempunyai kelebihan, saya sangat berpuas hati dengan usaha mereka tetapi mereka tetap bahaya," katanya.

Kapten Real Madrid, Iker Casillas gembira dengan persembahan Real.

"Kami bermain baik dan saya gembira, sedikit demi sedikit kami mampu untuk menandingi Barcelona dan memenangi piala," katanya.

Barcelona melakukan kejutan dalam membariskan kesebelasan utama dengan Gerard Pique, Xavi Hernandez, Sergi Busquets serta Pedro hanya diletakkan di bangku simpanan tetapi pemain yang baru dibeli Alexis Sanchez diturunkan.

Tidak ada pembelian pemain dilakukan oleh Jose Mourinho yang meletakkan kesebelasan yang sama ketika mereka tewas 0-5 kepada Barcelona dalam liga musim lepas.

Bagaimanapun, ini adalah pasukan Real yang berbeza, selepas lapan minit tandukan jarak dekat Karim Benzema berjaya diselamatkan penjaga gol, Victor Valdes.

Usaha Real berhasil dengan jaringan pertama melalui Ozil yang tenang menyudahkan hantaran Karim Benzema. Ketika itu Real mendominasi perlawanan tatkala Barca bergelut untuk beraksi seperti biasa.

Selepas 35 minit kelab Catalan itu berjaya melancarkan serangan pertama dan Villa berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan lencong kaki kanan.

Mereka berjaya mendahului melalui Messi hasil kesilapan Pepe dan Sami Khedira.

Aksi separuh kedua bermula dengan perlahan sehinggalah Xabi Alonso menyamakan kedudukan pada minit ke-53 melalui rembatan rendah selepas Barcelona gagal untuk mengeluarkan sepakan sudut dari kawasan bahaya

Selangor tempang tanpa Khairul Anuar


Selangor menerima tamparan hebat menjelang sepak mula Piala Malaysia 6 September ini apabila terpaksa melupakan khidmat bek tengah berpengalaman, Khairul Anuar Baharum akibat kecederaan lutut.

Bekas pemain kebangsaan itu terpaksa dibedah ligamen depan lutut (ACL) dan bakal berehat beberapa bulan ketika turun pada 10 minit terakhir perlawanan persahabatan pra musim dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), minggu lalu.

Pengurus pasukan Gergasi Merah Datuk Hamidin Amin mengesahkan kehilangan Khairul Anuar, yang turut dikenali sebagai Acong yang cuba kembali menikmati suasana perlawanan dan mendapatkan tahap kecergasan sejak baru pulih daripada kecederaan pangkal paha.

Musibah baru ini sedikit sebanyak mampu menjejaskan perancangan jurulatih K. Devan bukan sahaja dalam menghadapi empat lagi persahabatan pra musim mulai esok hingga minggu depan, bahkan persaingan Kumpulan D Piala Malaysia.

Selepas memulakan pramusim dengan mengejutkan skuad kebangsaan 1-0, Selangor hanya menang 1-0 ke atas ATM di Stadium Shah Alam tetapi sekadar seri tanpa jaringan dengan Felda United di gelanggang sama, Sabtu lalu.

"Sekalipun cuma menang satu gol, keputusan semua perlawanan ini tidak begitu penting kerana matlamat sebenarnya ialah menguji gandingan dan percaturan tertentu serta mendapatkan momentum sebelum ke Piala Malaysia.

"Kami tidak mahu pasukan memuncak terlalu awal dalam siri persahabatan sehingga terlupa misi lebih penting ialah melakukannya dan menjulang Piala Malaysia musim ini," kata Hamidin, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Selangor akan berdepan Kelantan di gelanggang sama, esok dengan mengenakan tiket perlawanan berharga RM5 sebelum menentang Johor FC dan Sime Darby juga di situ dan bertandang ke Paroi untuk menghadapi naib juara 2010, Negeri Sembilan, minggu depan.

Musim ini menyaksikan Merah Kuning terlepas Piala Sultan Ahmad Shah dan sekadar menduduki tempat ketiga Liga Super biarpun sempat mendahului carta dalam beberapa minggu selain disekat Kelantan secara agregat 6-2 pada separuh akhir Piala FA.

Kegagalan merangkul salah satu gelaran Liga Super atau Piala FA itu meleburkan impiannya untuk kembali beraksi dalam Piala AFC 2012 setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan semula khidmat pemain import ke Liga M, musim depan.

Monday, August 15, 2011

Air mata Chong Wei - Gagal saingi ketangkasan pemain pilihan ke-2, Lin Dan pada final


"KEKALAHAN ini memang perit, tetapi saya sudah mencuba sedaya upaya, mungkin nasib tidak menyebelahi saya," kata jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei yang berlinangan air mata sejurus tunduk kepada musuh tradisi, Lin Dan pada final Kejohanan Dunia di Arena Wembley, semalam.
Kekecewaan pemain nombor satu dunia berusia 29 tahun itu memang perit kerana dia hanya dipisahkan satu mata daripada kejuaraan pertamanya tetapi kegagalan mematikan bulu tangkis Walaupun mendahului dua kali 20-19 dan 21-20 pada set penentuan menyaksikan impian besarnya itu lebur.

"Lin Dan memang seorang pemain yang berani mengambil risiko ketika berdepan detik genting apabila dia terus mengasak menyebabkan saya tertekan dan melakukan kesilapan.

"Walaupun kecewa tetapi kekalahan ini belum mematikan semangat saya untuk cuba memenangi kejuaraan berprestij ini. Jadi, saya akan cuba memenanginya pada penampilan terakhir 2013 nanti," katanya yang tampil beraksi dalam final pertamanya selepas gagal dalam lima percubaan sebelum ini.

Aksi kedua-dua pemain itu jelas menepati pertembungan final impian dengan permainan bermutu dan mendebarkan selama 86 minit sebelum Lin Dan keluar sebagai pemenang 22-20, 14-21, 21-23.

Chong Wei selepas itu terus mengalami kekejangan otot dan terpaksa mendapatkan rawatan kerana final itu disifatkan paling sengit dalam 25 pertemuan kedua-dua jaguh itu sejak 2004.
Kekalahan Chong Wei itu bukan saja impiannya untuk memahat nama selaku pemain pertama negara menjuarainya kejohanan itu musnah, tetapi turut menyaksikan kemarau tanpa gelaran negara selama 34 tahun terus berpanjangan.

Sebaliknya, Lin Dan, 28, membuktikan dia adalah legenda apabila memenangi kejuaraan berprestij itu buat kali keempat selepas menjulangnya pada 2006, 2007 dan 2009.

Malah, kejuaraan itu adalah koleksi kejuaraannya yang ke-44 sejak 2002 dan keempat tahun ini selepas Terbuka Korea, Jerman dan Kejohanan Asia.

"Apa yang membezakan kedua-dua pemain itu ialah Lin Dan berani mengambil risiko sewaktu berdepan situasi genting. Itu yang dilakukannya dan ia berjaya," kata jurulatih Chong Wei, Tey Seu Bock.

Sementara itu, Lin Dan berkata dia hanya mencuba nasib dengan mengasak Chong Wei ketika dia ketinggalan dan lawan sudah diambang kejuaraan pada penghujung permainan.

"Sebagai pemain saya harus mengambil risiko dan tindakan terus mengasaknya berhasil apabila Chong Wei melakukan kesilapan. Ini kejayaan bermakna dan memberi rangsangan terbaik menghadapi Sukan Olimpik tahun depan," katanya.

Wigan mahu uji Baddrol


KELAB Liga Perdana England, Wigan Athletic dikhabarkan mahu menawarkan ujian percubaan kepada pemain skuad bola sepak kebangsaan, Baddrol Bakhtiar.

Berita mengejutkan itu telah dipaparkan di sebuah laman web bola sepak United Kingdom, www.eyefootball.com kelmarin dengan tajuk Baddrol Bakhtiar to join Wigan?.

Baddrol yang baru berusia 23 tahun merupakan pemain skuad Liga Super Kedah dan boleh beraksi di posisi sayap mahupun sebagai penyerang.

Berdasarkan laporan berita tersebut, usaha Wigan untuk mendapatkan Baddrol adalah sebagai salah satu langkah kelab itu meluaskan peluang perniagaan barangan cenderamata mereka ke Malaysia.

Namun sejauh mana kebenaran berita tersebut masih belum dapat dipastikan apabila Baddrol sendiri mendakwa dia belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada pihak Wigan.

“Saya tak tahu apa-apa tentang perkara ini. Mungkin khabar angin saja. Saya tak pasti. Saya sendiri pun tak tengok lagi laman web terbabit,” kata Baddrol ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya andai laporan itu benar dan tawaran rasmi daripada Wigan bakal menyusul selepas ini, Baddrol berkata: “Kalau betul memang ada tawaran, insyaallah saya akan pergi dan cuba.”

Baddrol sebelum ini pada 2008 ketika usianya baru mencecah 20 tahun bersama-sama Bunyamin Umar pernah dihantar berlatih selama dua minggu ke sebuah lagi kelab Liga Perdana England, Chelsea.

Wigan di bawah bimbingan pengurus, Roberto Martinez memulakan kempen saingan liga musim ini dengan mencatat keputusan seri 1-1 dengan pendatang baharu, Norwich City malam kelmarin.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad turut terkejut dengan berita tersebut, tetapi menganggap ia sesuatu perkembangan yang positif andai benar-benar berlaku.

“Saya pun tak tahu tentang berita ini. Tapi jika benar, pada saya ia satu perkembangan positif dan baik untuk bola sepak negara,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! kerana kini berada di luar negara.

Kalah penuh bermaruah


Pemain negara telah mengerah sehabis keringat sebelum tunduk 1-2 kepada kehebatan samba Brazil dalam acara bola sepak Kumpulan B Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 di Pusat Sukan Bao‘an Xixiang, semalam.

Kedua-dua gol Brazil dijaringkan Jefersom Berger pada minit ke-20 dan ke-69.

Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Mohd. Bunyamin Omar pada minit ke-87 selepas Muhd. Afham Zulkepli dijatuhkan oleh penjaga gol Brazil, Carlos Nunes.

Kekalahan juga meranapkan peluang Malaysia untuk menghidu peluang ke suku akhir selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan.

Meskipun begitu, tiada apa yang harus dikesali oleh anak-anak buah Aminuddin Hussin kerana telah mempamerkan semangat juang yang tinggi di samping dapat memberikan saingan hebat kepada dua pasukan berkelas dunia, Ukraine dan Brazil.

Berada pada kelas tersendiri, rentak samba Brazil sukar ditangani oleh barisan pemain Malaysia semenjak awal perlawanan.

Namun persembahan mantap ketua pasukan Amiriziwan Taj Tajudin pada bahagian pertahanan menutup ruang penyerang lawan yang ditunjangi Berger bermaharajalela mendapatkan gol.

Berger hampir meletakkan Brazil di hadapan namun percubaan leret pemain itu tersasar.

Namun dia tidak menunggu lama untuk meledak pada minit ke-12 hasil rembatan mudah dalam kotak penalti melalui gerakan menarik dari sebelah kiri pintu gol Malaysia.

Malaysia tetap mampu sekali-sekala melancarkan serangan balas walaupun tenggelam akibat penguasaan besar Brazil pada pertama melalui gerakan bijak Reuben Thayaparan yang melorongkan bola kepada Muhd. Nursalam Zainal Abidin yang keseorangan dalam kotak penalti.

Meskipun begitu, Nursalam melepaskan peluang keemasan terbaik mendapatkan gol walaupun hanya berhadapan satu antara satu dengan penjaga gol Brazil pada minit ke-35 apabila sepakan sipi ke bahagian kanan gawang lawan.

Perlawanan yang berat sebelah pada separuh masa pertama berjaya diimbangi oleh skuad negara pada babak kedua namun Brazil tetap mampu menggegar gawang Malaysia sekali lagi pada minit ke-69 oleh Berger.

Sunday, August 14, 2011

‘Serah Tevez, kami lepaskan Nasri’


Arsenal sekali lagi membuat kejutan apabila memberitahu kepada kelab mewah Liga Perdana England, Manchester City supaya ‘menyerahkan’ Carlos Tevez jika berhasrat memikat Samir Nasri.

“Serahkan Tevez jika mahukan Nasri,” tegas pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Tevez dilaporkan mahu keluar dari City pada musim panas ini dan Wenger yang tertekan untuk membeli pemain bertaraf bintang, secara tiba- tiba membuat tawaran tersebut.

Pemain sayap, Nasri berharap agar dapat berhijrah ke City yang menjanjikannya kontrak bernilai £180,000 (RM878,172) seminggu.

Namun, The Gunners bakal kehila- ngan ketua pasukan, Cesc Fabregas yang mahu beraksi bersama bekas kelabnya, Barcelona dan Wenger pula kini dikatakan sengaja menangguhkan perjanjian dengan City sambil berharap dapat menyambar Tevez melalui pertukaran.

The Gunners juga dikatakan sanggup mengeluarkan sedikit dana bagi menampung harga bintang Argentina yang bernilai £50 juta (RM243 juta) itu.

Sekiranya perpindahan itu berjaya, Arsenal bakal membelanjakan sekitar £25 juta (RM121 juta) hasil penjualan Nasri yang mempunyai baki setahun sebelum dilepaskan secara percuma pada musim panas ini sekiranya tidak menandatangani kontrak.

Bagaimanapun, Arsenal berharap dapat menandatangani pemain City itu dengan yuran perpindahan bawah £10 juta (RM48 juta).

Tevez dilaporkan mahu meninggalkan City supaya dapat bersama kelu- arganya yang berada di Argentina.

Mencongak strategi sekat 'Samba'

Tiada ruang lagi untuk satu lagi kekalahan buat skuad bola sepak Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) yang akan melakukan perhitungan dengan raja bola sepak dunia, Brazil di Pusat Latihan Sukan Bao'an Xixiang dalam aksi kedua Kumpulan B malam ini.

Berdepan misi berduri mencari kemenangan yang mungkin dianggap mustahil, jurulatih, Aminuddin Hussin masih menyimpan nada optimis bahawa anak-anak buahnya ada kemampuan mengalahkan Brazil.

Selepas melakukan tinjauan rapi perlawanan membabitkan Brazil dan Rusia dalam aksi sulung kumpulan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, dia mengakui sudah ada pelan tersendiri bagi menyekat rentak 'samba' Brazil.

''Apa yang saya lihat pada perlawanan antara Brazil dan Rusia dua hari lepas, kebanyakan pemain mereka ada skil individu yang tinggi dan kita perlu bermain mengikut taktikal tersendiri bagi mengekang pergerakan lawan.

''Jika pemain mengikut strategi yang betul dan pantas melakukan serang balas, kita mampu bersaing di samping harus bijak menyambar kesempatan yang ada dan tidak mustahil kita mampu mengalahkan Brazil.

Biarpun kagum dengan kemahiran bola sepak yang tinggi Brazil, jurulatih bawah 16 tahun negara berkata, dia dapat menghidu beberapa kelemahan yang mungkin dapat dieksploitasi bagi menghukum raja bola sepak dunia itu.

''Barisan pertahanan mereka saya dapati ada kelemahan tertentu yang mungkin boleh memberikan kita ruang menyerang.

''Saya akan melakukan strategi bersesuaian bagi memecahkan tembok pertahanan lawan walaupun tahu Brazil lebih gemar menguasai bola jika diikut cara permainan mereka," katanya