Saturday, May 22, 2010

Kijang Awasi Singa


Analisis prestasi terkini skuad Singa Utara menampakkan ada peningkatan setelah dilatih jurulatih baru Yunus Alif yang telah berjaya mengikat Kedah berkongsi mata selasa lepas. Kelincahan pemain-pemain Perlis Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Farizal bakal mengucar-kacir benteng Kelantan yang dipimpin bekas rakan sepasukan mereka Azizi Mat Rose yang menjadi pemain kental untuk ditembusi mereka sabtu nanti.

Perlawanan ini amat kompetitif bagi memastikan skuad Kelantan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pertemuan dengan Kedah dan mengekalkan pungutan tiga mata untuk terus menghimpit kedudukan Selangor yang baru sahaja menerima tamparan hebat setelah jurulatih K Devan dan Hardi Ahmad digantung 6 perlawanan manakala Safee Ali digantung 4 perlawanan oleh FAM disebabkan tragedi sewaktu perlawanan separuh akhir Piala FA bulan lepas.

Peluang dikala Selangor kehilangan penjaring utama dan jurulatih akibat digantung seharusnya dijadikan azimat bagi skuad Kelantan supaya dapat mengutip 3 mata penuh setiap perlawanan sebelum menentang Selangor 13 Julai nanti. Sungguhpun fokus utama penyokong hanya menumpukan perlawanan Kedah dan Selangor sebagai pencabar utama Kelantan, perlawanan dengan Perlis dan Pulau Pinang juga merupakan tugas yang berat pemain dan perlu difahami oleh semua penyokong sekiranya keputusan diluar jangkaan semua.

Ketika di Kota Bharu malam tadi, wartawan kami sempat mendapatkan komen Fadzli Lie yang berkerja di Nilai pulang ke kampung kerana ada urusan keluarga, beliau menjangkakan situasi perlawanan 50-50 dan stadium keramat akan memberi semangat yang hebat dengan sorakan puluhan ribu penyokong yang sentiasa memenuhi stadium. Semangat Kelantan juga akan dibantu dengar berita Selangor tetapi Kelantan perlu mengawasi pergerakan pemain Perlis dengan baik kerana Perlis akan bangkit habis-habisan untuk menebus kekalahan ditangan Kelantan ketika Piala Muhibbah Dato' Shahidan Kassim dan tewas pada Johor FC minggu lepas setelah mendapat suntikan semangat berjaya seri dengan Kedah.Beliau turut berharap pasukan kesayangannya terus mengungkil kemenangan bagi mengejar rapat Selangor seterusnya menjadi juara TM liga Super tahun ini.

Ramai penyokong mengeluh kerana konsep 1 penyokong 1 bendera masih belum berjaya diamati dan dijadikan 1 budaya baru penyokong Kelantan. Peristiwa dibaling batu dan kereta penyokong kita dirosakkan di Kangar masih lagi menghantui sesetengah penyokong yang terlibat namun pihak KAFA berharap sabtu nanti bukan medan untuk para penyokong Kelantan membalas dendam mahupun memulakan provokasi keatas penyokong Perlis yang dijangka hadir. Kita tidak lagi boleh menjadikan penyokong lain terus fobia ke stadium apabila setiap kali bertemu Kelantan. Kita perlu berusaha memberitahu pada rakyat Malaysia penyokong berbaju merah ini bukanlah seganas penyokong berbaju merah Thailand, kami tidak bersenjata hanya jumlah kami yang ramai dan sorakan padu kami yang menjadi senjata untuk mengerah pemain kami terus merobek gol-gol lawan kami. Biarlah sikap profesional kami hanya kami yang menilainya sekiranya pandangan serong pihak media masih membeku di kepala-kepala pihak media dan penyokong lain.Ayuh kita gemparkan stadium keramat kita dan penuhkannya......Gomo Kelate Gomo....sumbat gol ....bawa 3 mata

Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Main Bijak, Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo

Sunday, May 16, 2010

Malam Tadi Penyu Menangis


Ramai penyokong menyatakan kegembiraan dengan kejayaan ini, namun ada juga yang tidak berpuas hati dengan prestasi serangan yang hambar pada separuh masa kedua dan malah ada yang menganggap kemenangan pada malam tadi lebih kepada nasib iaitu bermula dengan jaringan gol sendiri Marzuki dan gol akhir penalti jaringan Norshahrul, hanya gol Indra Putra dianggap gol sebenar Kelantan. Ketua jurulatih ketika ditanya pendapat yang sama beliau mengatakan " Apa yang pasti kita dapat 3 gol dan 3 mata tanpa bolos pada malam ini, sudah pasti cukup untuk kita menang". Syukur kerana jadual perlawanan yang padat skuad Kelantan ternyata tidak mengganggu prestasi skuad Kelantan pada malam tadi.

Ketangkasan Khairul Fahmi menjaga gawang dan kekentalan jentera pertahanan Kelantan merupakan satu percaturan strategi yang kemas oleh Ketua Jurulatih. Keserasian pemain dengan formasi 4-3-3 juga antara faktor utama barisan pertahanan dan serangan berjaya mencari rentak kemenangan tanpa bolos ke atas Terengganu. Perlawanan ini juga memberi satu bonus buat Khairul Fahmi yang baru sahaja terpilih dalam skuad negara membuktikan bahawa beliau lebih cemerlang berbanding penjaga gol utama negara Sarbinee Allawee.

Melihat pada komen dan ulasan penyokong skuad Peteh, Pengadil menjadi sasaran utama melepaskan kekecewaan pasukan Terengganu. Tangisan sang penyu berjaya diselindungi dengan basahan hujan yang mula turun lebat pada minit ke 75, malah ketua jurulatih Terengganu yang begitu kecewa terus ke bilik persalinan tanpa memberi peluang untuk ditemuramah.

Kehadiran lebih 25,000 penyokong Kelantan sudah semestinya menjadi pemain ke 12 yang membantu Kelantan meraikan kemenangan selesa. Kehebatan dan kerancakan sokongan penyokong Kelantan dikagumi seluruh rakyat Malaysia, malahan ada pemanggil dari Perak dalam rancangan Wisel Penamat 12.30 pagi menyatakan ianya tidak dapat ditandingi dan suatu mengkagumkan. Bak kata Aziz Deraman bekas pengerusi DBP resipi 1 Malaysia tidak akan berjaya selagi masyarakat Malaysia tidak ada semangat seperti rakyat Kelantan pegang di seluruh dunia iaitu semangat " SAMO KELATE". Semangat inilah yang ada apabila hujan lebat ketika perlawanan malam tadi masih ada yang sedia menyaksikan perlawanan dan hanya pulang setelah yakin 100% Kelantan menang. Gegar dan gempita penyokong Terengganu rupanya hanya diruang siber sahaja, di stadium hanya segelintir sahaja yang berani menjejak kaki ke stadium. Terima kasih kepada media yang masih memaparkan aksi-aksi ganas penyokong Kelantan pada tahun lepas kerana dengan paparan seperti ini stadium Sultan Muhammad ke 4 dan stadium lain berjaya dipenuhi hampir 95% penyokong Kelantan. Mungkin media tidak sedar dengan paparan negatif inilah telah berjaya membuat penyokong pasukan lain takut untuk datang ke stadium yang melibatkan pasukan Kelantan.

Sedarlah petugas media-media Malaysia, penyokong Kelantan telah berubah kearah profesional, elakkanlah terus memberi gambaran negatif kepada penyokong Kelantan kerana sikap anda adalah antara faktor yang menyebabkan penyokong pasukan lain terus lesu, selain dari sikap terlalu mengagungkan liga luar negara yang keterlaluan. Berpijaklah dibumi yang nyata, sedarlah dan hargailah apa yang ada pada asal usul keturunan dan negara kita.



Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Main Bijak, Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo

(Malam ini Penyu Menangis-Petikan Tajuk Puisi Allahyarham J.M. Aziz - ALFATIHAH )

Sedikit Ulasan dan Analisis Kelantan menentang Terengganu.


Pertemuan sejiran Kelantan dan Terengganu dalam saingan liga super di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu berkesudahan Sang Kijang melompat tinggi membenam Penyu dengan jaringan 3-0.

Norshahrul Idlan Talaha dan Indra Putra Mahayuddin membuktikan ketajaman mereka didepan gawang apabila muncul selaku pemusnah untuk mengecewakan pasukan lawan.

Manakala Terengganu pula seharusnya menyalahkan diri sendiri diatas kekalahan malam tadi setelah beberapa peluang keemasan yang terhidang langsung gagal disempurnakan penyerang mereka.

Kehadiran Abdul Manaf Mamat, Ashaari Shamsudin, Sharbinee Allawee dan beberapa pemain berpengalaman lain tidak membantu pasukan pelawat untuk mengancam Red Warriors di hadapan 25 000 penyokong setia mereka yang membanjiri Stadium.

Malah mereka dihukum dengan gol pembukaan Kelantan hasil jaringan sendiri Marzuki Yusof akibat silap faham dengan penjaga gol, Sharbinee Allawee.

Tidak lama kemudian, Indra Putra mencatatkan nama dalam senarai penjaring setelah berjaya menjaringkan gol kedua Kelantan melalui sepakan kencang dari luar kotak penalti setelah mendapat umpanan cantik dari Norhsharul Idlan Talaha.

Kelantan terus mengganas apabila dikurniakan satu sepakan penalti setelah Norshahrul dijatuhkan Sharbinee Allaawee didalam kotak dan pengadil bertugas, Mohd Yusof Mat Karim tidak teragak-agak memberikan penalti walau ada cubaan membantah dari pemain Terengganu.

Norshahrul yang mengambil sepakan itu tenang menyempurnakan ke penjuru kiri menewaskan sama sekali Sharbinee yang tersilap jangkaan merebahkan badan.

Selepas gol tersebut, Kelantan dihidangkan dengan beberapa peluang menambah gol pada babak pertama dan kedua melalui percubaan Chanturu yang terkena tiang, sepakan Farhan, Indra dan Badri Radzi melambung tinggi serta tandukan bebas Farhan dan Hairudin didepan gawang gagal mengancam pintu gol Terengganu.

Tamat perlawanan, Indra Putra dinobatkan pemain terbaik setelah memberikan persembahan baik sepanjang perlawanan.

B. Sathianathan yang ditemui selepas perlawanan turut berpuas hati dengan corak persembahan anak buahnya namun pihak media gagal mendapat ulasan dari Irfan Bakti setelah jurulatih Terengganu tersebut memilih untuk memasuki bilik persalinan akibat rasa tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil.

Rumusan perlawanan keseluruhan, Kelantan berhak memungut tiga mata setelah memberikan persembahan bertenaga sepanjang perlawanan malah berjaya memberikan tekanan berlipat kali ganda kepada pemain pelawat.

Kelantan menguasai dengan baik segenap posisi selain menekan pemain lawan untuk melakukan beberapa kesilapan mudah. Cuma, Kelantan sedikit tertekan di bahagian tengah setelah Shakir Shaari dikeluarkan untuk diganti dengan Wan Zaman.

Kelantan juga perlu berterima kasih dengan aksi pemain pertahanan setelah beberapa cubaan lawan untuk menjaringkan gol berjaya diatasi apabila mereka cekap memintas selain melakukan beberapa terjahan bersih mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kunci kejayaan paling besar Kelantan semalam ialah semua pemain yang diturunkan fokus kepada perlawanan dan dapat menyerap tekanan dengan baik selain menggunakan seratus peratus sorakan penyokong untuk menundukkan lawan.

Manakala rumusan di pihak Terengganu, kealpaan pertahanan disamping gagal mengawal jentera serangan Kelantan menjadi punca kekalahan besar mereka kepada Sang Kijang.

Kawalan yang longgar dan membenarkan pemain Kelantan berleluasa mengawal kawasan mereka menjadi penyebab utama tetapi mereka juga perlu mengambil iktibar setelah pada awalnya melaungkan keyakinan untuk membenam lawan namun gagal sama sekali memberikan persembahan seperti yang dilaungkan.

Irfan Bakti pula seharusnya memikirkan taktikal yang berkesan andai bermimpi untuk mengejutkan Kelantan di Kota Bharu tetapi dia gagal sama sekali malah dilihat tertekan sejak dari permulaan perlawanan.