Tuesday, October 26, 2010

KAFA rayu penyokong bersopan


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa merayu kepada lebih 50,000 penyokong fanatik The Red Warriors yang akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, supaya menjaga kelakuan mereka bagi menafikan tohmahan orang ramai yang mengatakan penyokong Kelantan tidak berdisiplin.

Katanya, penyokong Kelantan harus menunjukkan sikap profesional mereka dengan saling menasihat antara satu sama lain dan jangan sekali-kali memalukan Kelantan dengan menimbulkan kekecohan seperti membakar mercun serta terbabit dalam perbalahan.

Beliau berkata, sebarang perbuatan yang menyalahi peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh memberi kesan buruk kepada KAFA dan yang lebih memeritkan lagi ialah tindakan itu boleh mengganggu tumpuan pemain di padang.

“Saya berharap penyokong The Red Warriors kali ini menjadi lebih profesional, mematuhi segala arahan FAM dan jangan sekali-kali menentang arus kerana ia bukan saja menyebabkan KAFA kena denda, malah turut menjejaskan mutu permainan pemain, yang juga terpaksa memikul bebanan harapan menggunung rakyat Kelantan.

“Penyokong seharusnya memberi tumpuan kepada perlawanan dengan menyokong tanpa berbelah bagi kepada pasukan kita, meskipun pasukan ketinggalan, jangan tinggalkan stadium walaupun ketinggalan. Jadilah penyokong setia, tetap bersama walaupun apa keadaan sekali pun,” katanya pada sidang media di Wisma KAFA, semalam.

Annuar berkata, perlawanan kali ini bakal menyaksikan satu kelainan kerana pemain Kelantan tidak lagi mahu sentiasa berada di tempat kedua, malah ingin membuang kenangan pahit tahun lalu.
“Kita ke Stadium Nasional Bukit Jalil kali ini dengan semangat baru, membawa balik Piala Malaysia dan sejarah pahit tahun lalu akan menjadi penguat semangat untuk membenam Negeri Sembilan,” katanya.

Sathianathan lega


KETUA jurulatih Kelantan, B Sathianathan menyifatkan hukuman penggantungan enam bulan serta denda RM2,000 dikenakan ke atasnya itu bukan penyebab untuk meminta simpati.

Jauh sekali bagi menghalangnya terus menabur bakti kerana hanya dengan kemenangan pada final Piala Malaysia Sabtu ini dapat menutup mulut pengkritik.

“Saya lega akhirnya hukuman itu ditangguhkan dan sekarang adalah masa untuk saya dan penolong jurulatih, Hashim Mustapha menyusun strategi terbaik bagi mencapai apa yang dicita-citakan oleh seluruh rakyat Kelantan,” katanya

'Jangan harap rampas piala'- N.sembilan


"JANGAN fikir boleh rampas Piala Malaysia daripada kami."

Itu amaran pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang akan memainkan peranan sebagai benteng terakhir skuad Hoben Jang Hoben itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Katanya, final ulangan dengan Kelantan ini dijangka lebih menarik apabila Negeri Sembilan mempunyai misi mempertahankan kejuaraan manakala Kelantan ghairah untuk membalas dendam, sekali gus turut ingin menjulang piala berprestij itu.

Menurut Aidil, piala yang menjadi kemegahan dan dinanti-nantikan Negeri Sembilan sejak 61 tahun yang lalu itu tidak akan diserahkan dengan mudah kepada Kelantan.

Ujarnya, secara peribadi, dia mahu rakan-rakan sepasukannya mengulangi kejayaan seperti tahun lalu dan tidak perlu ada rasa gentar untuk berdepan dengan skuad Kijang.

"Mungkin dari segi penyokong, Kelantan dilihat hebat apabila lautan merah akan membanjiri stadium. Tetapi itu bukan faktor, sebaliknya nasib kedua pasukan ditentukan dalam tempoh 90 minit sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Kedua-dua pasukan akan menurunkan barisan pemain yang sama seperti tahun lepas dan mungkin satu atau dua pemain baru akan diturun buat kali pertama, namun ia akan ditentukan oleh jurulatih kelak," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kata Aidil, antara pemain Kelantan yang akan diberi tumpuan ketika berada di ka- wasan pertahanan Negeri Sembilan ialah Norshahrul Idlan, Akmal Rizal dan Indra Putra Mahayuddin.

Ujarnya, perkara penting yang harus dilakukan mereka ialah mengawal rentak permainan selain mencari gol awal.

Aidil yang bermain di posisi pertahanan akan bergandingan dengan Shukor Adan dan mereka bertekad untuk tidak membiarkan penyerang pasukan lawan bergerak bebas sepanjang perlawanan itu nanti.

Sementara itu, kembar Aidil, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak yang direhatkan akibat kecederaan berkata, dia sedih kerana tidak dapat berjuang bersama rakan- rakan lain untuk mempertahankan piala yang menjadi kebanggaan semua.

Dia berharap rakan-rakan sepasukannya mampu menampilkan aksi terbaik dalam usaha mempertahankan piala tersebut di Negeri Sembilan.

"Saya sedih kerana tidak dapat bersama, namun saya yakin kami akan muncul juara," katanya.

Mohd. Zaquan terpaksa berehat selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut dan dia kini sedang menjalani latihan fisioterapi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Monday, October 25, 2010

Aduh ! Bahana Baru Dari FAM

Terperanjat dan amat menyedihkan semua peminat Kelantan apabila hari ini tepat jam 3 petang tadi KAFA menerima pemberitahuan tentang FAM telah membuat keputusan menaikkan harga tiket daripada RM20 kepada RM30. Kenaikan mendadak 50% harga tiket ini amat memeranjatkan kerana sekiranya untuk menampung kos kerosakan selepas perlawanan sudah pasti KAFA yang dikenakan denda dan membayarnya.