Thursday, September 30, 2010

'Awang import' mungkin kembali



BERDASARKAN cakap-cakap yang kedengaran dari Wisma FAM, peluang melihat semula aksi pemain import dalam Liga Malaysia musim depan, semakin cerah.

Berdasarkan pemerhatian dalam sesi percambahan minda bermula semalam, ia menjadi agenda utama yang disuarakan peserta dalam sesi dua hari di Shah Alam, semalam.

Sejak khidmat pemain import diharamkan selepas 2008, perjalanan Liga Malaysia dilihat suram dengan penurunan mendadak daripada segi jumlah penonton dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui, hanya Kelantan dan beberapa negeri saja mampu mengekalkan jumlah kehadiran penuh di stadium setiap minggu.

Antara persoalan yang dibangkitkan peserta daripada ahli gabungan dan pihak luar dalam sesi itu semalam ialah sama ada kehadiran pemain import benar-benar diperlukan, mampu menarik penonton, mampu menaikkan mutu skuad kebangsaan dan di dalam kemampuan pasukan yang mahu menggajikan khidmat mereka.

Semua pro dan kontra mengenai isu itu, serta beberapa isu lain yang terhasil dan diluluskan akan dibawa kepada majlis untuk diperkenankan Presiden, Sultan Ahmad Shah.

Jurulatih Selangor, K Devan yang hadir turut mencadangkan supaya khidmat import hanya dihadkan kepada pasukan Liga Super kerana penyerang tempatan wajar diberi peluang untuk berkembang bersama pasukan Liga Perdana.

Devan turut mencadangkan rombakan format dan pasukan bagi Piala Malaysia supaya pasukan negeri seperti Pulau Pinang dan Melaka tidak menghabiskan musim sekadar di peringkat liga.
Apa yang akan berlaku kepada pemain kedua-dua pasukan ini? Kita mahukan pemain terbabit dalam pertandingan sepanjang musim.

Soley Bersemangat Jalani Latihan


KOTA BHARU – Bekas pemain tengah Perlis, K Soley kini mula dapat menyesuaikan diri setelah menjalani latihan bersama skuad bola sepak Kelantan sejak pertengahan bulan ini.

“Sepanjang hampir dua minggu menjalani latihan dibawah kendalian Ketua Jurulatih, B Sathianathan saya tidak menghadapi sebarang masalah. Saya kini bersemangat dan dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diterapkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Walau bagaimana pun, saya kini dalam proses cuba menyesuaikan diri dengan corak latihan skuad Kelantan sedikit demi sedikit. Sudah pasti saya memerlukan sedikit masa untuk mempelajari kombinasi serta membentuk persefahaman bersama rakan sepasukan yang lain.

“Begitupun, sebagai pemain profesional, saya mengikuti segala perancangan yang diatur oleh jurulatih. Bagi saya, mana-mana jurulatih adalah sama sahaja. Yang membezakan mungkin taktikal masing-masing,” katanya.

Soley berkata, walaupun tidak berpeluang membantu Kelantan dalam kempen TM Piala Malaysia yang berlangsung sekarang tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk melihat pasukan Kelantan melangkah jauh dalam saingan kali ini.

“Sedikit terkilan kerana tidak dapat membantu Kelantan. Mungkin ada hikmahnya. Persediaan hari ini (latihan yang diikutinya) bagi memastikan tahap kecergasan saya tidak menurun disamping sebagai persiapan menghadapi musim depan.

Menurut Soley, beliau memuji kerjasama serta semangat yang ditunjukkan oleh rakan sepasukannya walaupun beliau masih baru menyertai skuad The Red Warriors.

“Kerjasama serta komitmen yang ditunjukkan rakan sepasukan juga cukup baik. Mereka sentiasa memberi sokongan kepada saya sepanjang menjalani latihan.

“Saya juga tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri tinggal di sini. Suasana persekitaran lebih kurang sama dengan di Kangar,” katanya yang kini menyewa di Pasir Hor.

Bekas pemain tengah Perlis itu menjadi pemain pertama mengesahkan tempat dalam senarai skuad Kelantan musim depan setelah mengikat kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan hampir dua bulan lalu.

Wednesday, September 29, 2010

Kelantan Tanpa Dua Tonggak


KOTA BHARU – Kelantan kempunan untuk mendapatkan khidmat dua tonggak utama, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat bagi menghadapi perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 3 Oktober ini setelah kedua-dua mereka kini menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi satu kejohanan di Vietnam bermula esok.

Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mengesahkan khidmat dua tonggak utama Kelantan itu hampir pasti disisihkan dalam pertemuan getir menentang skuad Jang di Paroi nanti.

“Saya tidak mahu peminat Kelantan terkeliru mengapa saya tidak menyenaraikan dua pemain ini dalam perlawanan itu. Kita tetap akan berjuang memburu kemenangan sekalipun tanpa khidmat mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Mereka kini menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Kejohanan Piala Bandaraya Ho Chi Minh yang dijadualkan bermula pada 28 sehingga 2 Oktober ini.

“Semangat juang pemain Kelantan tidak akan luntur sekalipun tanpa mereka. Sebelum ini pun kita pernah beraksi tanpa mereka, jadi saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap barisan pemain sedia ada memikul tanggungjawab itu nanti,” katanya.

Menurut Sathianathan, skuad kebangsaan dijangka pulang ke tanah air pada petang 3 Oktober ini, tarikh yang sama dimana perlawanan pertama pusingan kedua peringkat kumpulan TM Piala Malaysia dilangsungkan pada sebelah malam..

“Saya bukan seorang jurulatih yang tidak berperikemanusiaan. Saya tidak mahu memperjudikan nasib mereka. Sudah pasti mereka kepenatan setelah bermain pada perlawanan sebelum itu (2 Oktober) sementara keesokkan harinya skuad kebangsaan menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

“Mereka perlu diberi rehat secukupnya. Mereka terpaksa mengharungi tiga perlawanan antarabangsa dalam tempoh enam hari. Anda bayangkan bagaimana mereka hendak bermain bersama pasukan negeri sehari selepas itu. Saya berharap para peminat Kelantan memahami masalah ini.

“Mengikut peraturan Fifa sekali pun, setelah mereka bermain dalam perlawanan antarabangsa, mereka perlu mempunyai sedikit masa rehat sebelum dibenarkan bermain di dalam liga domestik negara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, skuad kebangsaan akan menentang tuan rumah Vietnam pada perlawanan pembukaan di Stadium Thong Nat pada 28 September ini, diikuti bertemu Iran dua hari kemudian sebelum menutup tirai menentang Singapura pada 2 Oktober ini.

Vietnam balas dendam di Saigon


HO CHI MINH CITY – Dendam Vietnam yang tewas kepada Malaysia pada final acara bola sepak Sukan SEA 2009 di Laos pada Disember lalu akhirnya terbalas.

Mereka berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas skuad kebangsaan Malaysia pada aksi sulung Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 di Stadium Thong Nhat di sini malam tadi.

Kegagalan Malaysia menahan asakan awal pasukan tuan rumah menjadi punca kekalahan tersebut biarpun mereka selepas itu dilihat berjaya mendominasi permainan berbanding Vietnam.

Namun, Vietnam yang dibantu sokongan 15,000 penyokong sendiri jelas menguasai sepenuhnya babak awal permainan yang berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Seawal minit kelapan, kesilapan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat yang membuat sepakan lemah hampir dihukum Tran Dinh Dong tetapi bola lambungnya sedikit melepasi palang gol.

Namun, gawang Malaysia bocor juga pada minit ke-19 setelah Ngu- yen Anh Duc mudah menolak masuk bola muntah Khairul Fahmi hasil percubaan awal Nguyen Ngoc Dieu untuk gol pertama Vietnam.

Tujuh minit kemudian, Vietnam mendapat gol kedua sekali lagi me- nerusi Ngoc Dieu yang mudah me- lepasi dua pertahanan tengah Malaysia, Aidil Zafuan Radzak dan Nasriq Baharom sebelum melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Hanya selepas setengah jam beraksi barulah anak-anak buah K. Rajagobal dilihat menemui rentak dan mula melakukan beberapa percubaan tepat ke arah pintu gol Vietnam.

Pada minit ke-44, peluang Malaysia kembali cerah apabila memperoleh gol pertama setelah penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong tergelincir ketika melakukan sepa- kan percuma di penjuru kanan.

Bola yang tepat menuju ke arah Norshahrul Idlan Talaha tidak dipersia-siakan penyerang Malaysia itu untuk merembat masuk bola ke gawang terbuka bagi merapatkan kedudukan.

Babak kedua bermula, rentak Malaysia semakin tersusun apabila berjaya menguasai permainan dan dilihat lebih banyak mengasak ke arah kubu pertahanan tuan rumah.

Bagi menambah sengat di bahagian serangan, Rajagobal telah memasukkan Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani bagi menggantikan Fandi Othman dan Safee Sali pada minit ke-65 dan 70.

Namun, Malaysia tetap gagal mencari gol penyamaan biarpun masa kecederaan selama lima minit diberikan pengadil.

“Saya sudah beritahu pemain, Vietnam tentu mahu membuktikan sesuatu di hadapan penyokong mereka serta mahu membalas dendam tewas pada Sukan SEA 2009.

“Memang kita tidak beraksi baik pada 30 minit pertama apabila pemain hilang tumpuan, hilang kawalan bola serta dibolosi dua gol yang berpunca daripada kesilapan pertahanan.

“Tetapi kita bangkit dan menguasai babak kedua dengan aksi lebih baik dan agresif. Kita patut boleh seri atau menang.

“Jadi kita tak perlu rasa terlalu kecewa,” kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, pada perlawanan terdahulu yang berlangsung di gelanggang sama, Singapura dan Iran sekadar mencatat kepu- tusan seri 1-1.

Iran mendahului pada minit ke-22 menerusi sepakan percuma Aliasgaridehaghi Hamidreza tetapi Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 hasil tandukan pemain gantian, Luo Zhenlun Eugene selepas sepa- kan sudut.

Perlawanan kedua esok menyak- sikan Malaysia bakal bertemu Iran manakala Vietnam bertemu Singapura.

Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli (Sabre Mat Abu), Nasriq Baharom (Muslim Ahmad), Aidil Zafuan Radzak (ketua pasukan), Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan, Safiq Rahim, Amar Rohidan (Gary Steven Rob- bat), Fandi Othman (Baddrol Bakhtiar), Norshahrul Idlan Talaha (Izzaq Faris Ramlan), Safee Sali (Ahmad Fakri Saarani).

Vietnam: Bui Tan Truong, Nguyen Quoc Long, Nguyen Thanh Long Giang, Nguyen Minh Duc (ketua pasukan), Tran Dinh Dong (Vo Hoang Quang), Dinh Thanh Trung (Mai Tien Thanh), Nguyen Ngoc Dieu (Phan Thanh Hung), Bui Van Hieu, Nguyen Duc Thien (Hoang Danh Ngoc), Le Van Thang (Nguyen Thai Duong), Nguyen Anh Duc.

PENGADIL: Mahapab Chaiya Alee (Thailand).