Friday, September 17, 2010

Kelantan tekad menang, tebus aib

SHAH ALAM – Gergasi Pantai Timur, Kelantan bakal bermain berhabis-habisan dalam perlawanan kedua bertemu Selangor PKNS, hari ini.

Tiga mata penting pasti menjadi taruhan pasukan “The Red Warriors” setelah mengalami kekalahan yang tidak terduga digelanggang sendiri sewaktu menentang Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Menurut pengendali pasukan Kelantan, B. Sathianathan, anak buahnya berjanji untuk menebus kehampaan di Kota Bharu dengan mengutip tiga mata penuh di Stadium MBPJ, esok (hari ini).

“Para pemain berjanji dengan saya untuk mendapatkan tiga mata penuh. Malah, semangat anak buah saya kian membara untuk membawa kemenangan pasukan.

“Pemain juga berazam untuk tidak mengulangi kesilapan pada perlawanan tempoh hari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian,semalam.

Sathianathan memberitahu akan mengadakan sedikit rombakan dalam pasukannya setelah pemain tengahnya Mohd Norfarhan Mohamad mengalami kecederaan.

“Saya akan membuat sedikit perubahan dalam pasukan untuk menghadapi PKNS hari ini. Norfarhan mengalami kecederaan dan akan digantikan dengan pemain lain,” katanya.

Malah, bekas jurulatih kebangsaan itu menuntut pemainnya supaya kembali menemui sentuhan seperti yang telah dipamerkan dalam aksi Liga Super lalu.

Sathianathan juga menyeru kepada penyokong Kelantan supaya datang beramai-ramai ke Stadium MBPJ untuk memberi sokongan padu kepada barisan pemainnya.

Thursday, September 16, 2010

Media Berat Sebelah @ Penyokong Degil?


Dalam melaporkan isu bermain mercun, media dilihat terlebih dalam mengkritik penyokong Kelantan seolah-olah perkara ini tidak pernah berlaku di negeri-negeri lain, padahal setiap kali perlawanan negeri lain dentuman mercun masih lagi dijadikan acara sambutan berbanding Kelantan yang kebelakangan ini semakin berkurangan. Sikap degil penyokong Kelantan sendiri sekaligus memburukkan imej mereka sendiri dimata masyarakat kerana apa yang datang dari Kelantan pasti disensasikan.

Pihak KAFA yang kecewa dengan sikap-sikap degil ini, menyeru seluruh penyokong Kelantan berhenti membawa mercun ke stadium. Malah insiden rempuhan penyokong di pintu masuk stadium baru-baru sepatutnya tidak akan berlaku sekiranya penyokong bersabar dengan barisan-barisan penyokong yang sedang beratur dan mengikut arahan seperti yang diarahkan. Kekecewaan ini ditambah lagi apabila ada anak-anak kecil dan penyokong yang hadir cedera.

Sampai bila sikap degil dan tidak bertamadun terus menjadi budaya masyarakat kita, padahal nasihat demi nasihat sering diberikan. Tidak perlu kita terlalu terasa atau maah dengan media massa sekiranya sikap yang dihebohkan media ini sebenarnya masih lagi wujud dikalangan penyokong Kelantan.

Ramai percaya mereka yang masih berani membaling mercun sebenarnya mereka yang sering membuat onar ketika perlawanan Kelantan diluar Kota Bharu, mereka ini pulang ke kempung membuat onar di Kota Bharu pula, padahal penyokong di Kota Bharu sebelum ini lebih berdisplin dan menurut arahan yang telah diberikan sepanjang TM Liga Super lalu. Amat malang Kota Bharu yang dikenali Bandaraya Islam membawa imej jakun dan hina untuk umat Islam lain di Kelantan dek kerana segelintir penyokong yang tidak bertamadun ini. Sedih juga ada pemain Kelantan dan penyokong Kelantan sendiri terkena balingan mercun ini.

Oleh itu, KAFA menyeru usaha untuk mendidik dan menasihati penyokong supaya lebih berdisplin, tugas ini turut diambil seluruh penyokong Kelantan yang sedar untuk menasihati rakan-rakan terdekat dan saudara mara terdekat. Yakinlah bahawa bolasepak lebih seronok disaksikan dengan teriakan dan sorakan penyokong daripada dentuman mercun ini. Apakah pemain-pemain kita ini dewa yang diturunkan dari langit, sehingga pasukan tidak boleh kalah? sama-sama kita renungkan.

AWAS! PEMBAWA MERCUN AKAN DIGOMO NANTI......

Sathia luah rasa kecewa


KOTA BHARU - "Ini pengajaran berguna buat pemain."

Demikian luahan Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan (gambar) selepas melihat anak buahnya tewas di tangan juara bertahan, Piala Malaysia, Negeri Sembilan 0-1 pada aksi pembukaan di Stadium Sultan Muhammed ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Tanpa berselindung, Sathianathan melahirkan kekecewaan dengan persembahan anak-anak buahnya yang disifatkan tidak beraksi sebagai satu pasukan.

"Apa yang saya lihat, kita tidak beraksi secara berpasukan dan lebih ke arah corak permainan individu.

"Ini menunjukkan para pemain kurang berdisiplin di atas padang menyebabkan kita terperangkap dengan corak permainan baik yang ditunjukkan oleh pihak lawan," katanya.

Tambahnya, walaupun Negeri Sembilan tidak mempunyai banyak peluang, namun mereka berjaya menggunakan peluang yang dimiliki sebaik mungkin dan akhirnya berjaya menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan itu.

Pada perlawanan akan akan datang, saya harap pemain dapat kembali semula ke prestasi sebenar dan mereka perlu mendisiplinkan diri dan mengelakkan daripada dibolosi," ujarnya.

Dalam pada itu, Sathianathan nyata berpuas hati dengan persembahan penjaga gol, Syed Adney Syed Hussien yang disifatkan beraksi dengan cemerlang pada perlawanan itu.

"Khairul Fahmi (Che Mat) yang mengalami sakit leher sebelum ini perlu bersaing dengan Syed Adney (Syed Hussien) bagi merebut kembali posisi penjaga gol utama Kelantan."

Monday, September 13, 2010

Dua Finalis Jadi Tumpuan


KOTA BHARU – Pertembungan dua finalis Piala Malaysia musim lalu, Kelantan menentang Negeri Sembilan pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan TM Piala Malaysia pada hari Selasa ini dijangka menarik perhatian hampir puluhan ribu penyokong setia bola sepak Kelantan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, perlawanan pembukaan itu yang dilangsungkan dalam suasana sambutan musim perayaan dijangka menarik perhatian ramai termasuk anak perantauan Kelantan yang pulang bercuti di kampung halaman.

“Memang perlawanan ini menjanjikan satu perlawanan yang menarik, ianya merupakan ulangan pertemuan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu baru-baru ini.

“Saya sudah bagitau kepada pasukan Kelantan, ini adalah satu-satunya peluang untuk kita menjadi juara setelah kita menjadi naib juara kepada semua kejohanan seperti Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super baru-baru ini.

“Matlamat selanjutnya adalah untuk memburu kejuaraan. Untuk menjadi juara maka kita harus menang setiap perlawanan. Malah bagi saya pasukan yang datang bermain di Kota Bharu, mereka bermain secara bertahan untuk mendapatkan keputusan seri.

“Keputusan seri bagi pasukan pelawat adalah satu kemenangan. Bagi kita selaku tuan rumah, keputusan seri merupakan satu tamparan. Dan jangan lupa pertandingan Piala Malaysia juga menggunakan peraturan gol ditempat lawan dan pasukan pelawat sudah pasti mahu memanfaatkan peraturan tesebut

Annuar turut mengingatkan bahawa pasukan Kelantan harus mengambil ikhtibar diatas situasi tersebut kerana Kelantan pernah tersingkir dalam kejohanan Piala FA musim ini angkara peraturan gol di tempat lawan.

“Kita tidak mahu mencatatkan keputusan seri yang banyak dalam saingan kali ini. Kita perlu menjadi pasukan yang agresif, mempunyai penyudah yang baik serta menjaringkan gol seberapa banyak yang boleh sebelum kita bertandang ke Paroi nanti.

Sementara itu, Annuar tidak melahirkan rasa kecewanya diatas kekalahan tipis 0-1 pasukan Kelantan kepada Felda United FC dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini sebaliknya menganggap ianya satu pengajaran berguna untuk The Red Warriors.

“Perlawanan persahabatan merupakan peluang kepada ketua jurulatih membuat beberapa percubaan taktikal. Kita tidak menurunkan barisan terkuat, kerana Norshahrul Idlan (Talaha) dan Khairul Fahmi (Che Mat) tidak bersama.

“Kekalahan itu adalah sesuatu yang sangat baik. Ia umpama satu pil yang harus kita makan. Biar rasa pahit tetapi ada mustajabnya. Ini membuktikan bahawa dalam kempen Piala Malaysia, mana-mana pasukan lebih-lebih lagi Kelantan jangan memandang rendah pada kemampuan pasukan lain.

“Dalam Piala Malaysia, pasukan-pasukan yang ada kelemahan, mereka meminjam pemain pasukan lain, jadi mereka cuba untuk meningkat keupayaan masing-masing. Kedua, pasukan underdog akan turun habis-habisan untuk mengalahkan atau mencatatkan keputusan seri dengan pasukan pilihan.

“Jadi banyak pasukan menentang Kelantan akan turun sebagai underdog, dan mereka akan bermain bersungguh-sungguh dan tidak mahu kalah. Kalau pasukan kita memandang mudah maka kita akan terhukum. Jadi kekalahan dalam perlawanan persahabatan dengan Felda United di Kota Bharu baru-baru ini, harus dilihat sebagai satu penyedar bahawasanya kita bukan sebuah pasukan yang tidak boleh dikalahkan.

Menurut Annuar, pemain Kelantan harus mempunyai sikap dan mentaliti untuk turun sebagai juara setiap kali turun beraksi.

“Mereka harus turun dengan satu sikap yang positif. Kalau Kelantan hendak menjadi juara, maka harus mempunyai mentaliti sedemikian. Kalau pemain ingin fokus untuk menjadi juara Piala Malaysia, maka mereka seharusnya bersikap professional untuk muncul juara.