Saturday, December 12, 2009

Thailand 1 Malaysia 2 | SEA Games 2009





Hairuddin: Hati saya untuk 'Kelate'


PENYERANG Kelantan, Hairuddin Omar berharap segala kemelut yang melanda berikutan kontroversi bersama majikan lamanya, T-Team akan menemui jalan penyelesaian.

Baginya, tiada apa lagi yang perlu dibangkitkan kerana kini hatinya sudah bersama pasukan Kelantan untuk terus memburu kejuaraan musim 2010.

Menurutnya, segala masalah yang timbul mungkin disebabkan sedikit kekeliruan dan salah faham antara beliau dan majikannya itu.

"Saya harap semuanya sudah selesai dan tamat di sini sahaja. Tiada lagi isu yang perlu diperbesarkan kerana saya kini sudah menanda- tangani kontrak bersama Kelantan.

"Mungkin tahun ini bukan rezeki saya bersama T-Team dan sebagai anak jati Terengganu, sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan negeri tetapi itulah hakikat yang perlu saya terima," katanya ketika dihubungi di Bangkok semalam.

Tambahnya, sebelum ini dia begitu sedih dan kecewa selepas diberitahu T-Team sudah menutup pintu untuknya pulang berbakti.

Hairuddin yang beraksi bersama T-Team sebelum ini telah dipinjamkan kepada Negeri Sembilan untuk mengharungi kempen Piala Malaysia 2009.

Bagaimanapun, sebaik kempen tersebut selesai, Hairuddin yang mahu kembali ke pangkuan pasukan lamanya diberitahu bahawa tiada lagi tempat buatnya di dalam pasukan itu.

Jelasnya, kehadiran pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang bersedia untuk melamar serta menagih khidmatnya untuk musim depan amat dihargai.

"Saya sudah buka 'buku' baru, azam saya adalah untuk membantu Kelantan memburu kejuaraan musim depan dan saya cukup gembira di sini.

"Sebagai seorang pemain bola sepak, tiada yang lebih mengujakan selain bersama mereka (pemain) yang sentiasa berusaha untuk mengejar kejayaan," ujarnya.

Hairuddin juga cukup bertuah kerana keba- nyakan pemain yang beraksi bersama Kelantan musim ini adalah kenalan lama dan pernah beraksi bersamanya sebelum ini.

"Tiada yang baru bagi saya kerana kami semua sudah saling mengenali, cuma saya perlu berusaha mengekalkan kecergasan selain berlatih lebih kuat untuk menambah keserasian.

"Jurulatih Sathia (B. Sathianathan) juga sentiasa memberi dorongan dan beliau juga antara faktor saya datang ke sini (Kelantan)," jelasnya.

Skuad ATM diberi tempoh semusim


SKUAD Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya diberi tempoh semusim untuk mencapai kejayaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu dianggap boleh dicapai memandangkan ATM bagi musim 2010 ditunjangi oleh 14 pemain 'luar'.

"Saya beri mereka satu musim saja untuk berjaya. Saya mahu mereka menjadi juara dalam mana-mana kejohanan yang disertai sama ada Liga Perdana, Piala FA atau Piala Malaysia.

"Jika gagal, saya rasa inilah saja pertaruhan terakhir yang saya berikan untuk skuad ATM ini," katanya ketika melawat sesi latihan skuad ATM di Bukit Jalil baru-baru ini.

Sasaran itu dibuat bersandarkan nama-nama besar yang dibawa masuk ke dalam skuad ATM musim ini antaranya Khalid Jamlus, V. Saravanan, Ahmad Tharmini Saiban, Chan Wing Hoong, Nasril Nourdin, Danial Fadzly Abdullah dan Nafuzi Zain.

Bagi memantapkan pasukan, Ahmad Zahid berkata, skuad ATM yang dibimbing Razali Alias, Zulhamizan Zaka- ria dan Rashid Hassan itu akan meng- adakan empat perlawanan persahabatan sepanjang kunjungan mereka ke Perth, Australia dari 14 hingga 24 Disember ini.

"Di sana, kita akan menentang empat kelab Australia. Ia bagus untuk memastikan para pemain kita dapat membiasakan diri berhadapan dengan pasu- kan luar.

"Selepas pulang, kita akan terus sambung latihan di Padang MSN ini dan kita menggunakan Stadium Selayang sebagai gelanggang sendiri," jelasnya.

Skuad ATM yang mula berlatih sejak 1 Disember lalu turut dibarisi 11 pemain dari kalangan anggota ATM sendiri bagi melengkapkan senarai 25 pemain untuk beraksi dalam Liga Perdana 2010 bermula 11 Januari depan.

Skuad bola sepak ke separuh akhir


Malaysia melakar kejutan terbesar apabila membenam juara bertahan, Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A untuk melangkah ke separuh akhir, semalam.

Ahmad Fakri Saarani menjadi pemusnah juara lapan kali berturut-turut Sukan SEA mulai 1983, Thailand apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan babak kedua apabila mudah menolak masuk bola hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha.

Thailand, yang tidak pernah gagal ke separuh akhir Sukan SEA sejak 36 tahun lalu, iaitu mulai Sukan SEA 1963, hampir menafikan hajat Malaysia apabila mendahului menerusi sepakan bebas Arthit Sunthorphit pada minit ke-52.

Namun, Mohd. Nasriq Baharom berjaya mengimbangi kedudukan dengan gol penyamaan pada minit ke-80.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia muncul naib juara Kumpulan A dan akan bertemu juara Kumpulan B, Laos pada perlawanan separuh akhir Isnin ini.

Juara Kumpulan A, Vietnam pula bertemu naib Juara Kumpulan B, Singapura pada satu lagi separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara bola sepak Sukan SEA ialah 20 tahun lalu.

Mengulas kemenangan bermakna itu, jurulatih kebangsaan K. Rajagobal berkata, dia memuji semangat para pemain yang tetap tenang walaupun beraksi di bawah tekanan setelah ketinggalan di babak kedua.

Katanya, tekanan memihak kepada Malaysia kerana perlu menang sedangkan Thailand hanya perlu seri untuk layak ke separuh akhir.

“Saya bangga dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain terutama pada babak akhir, khusnya selepas kita mendapat gol penyamaan.

“Ketika kedudukan seri 1-1, kelebihan masih memihak kepada Thailand, namun, pemain terus melakukan asakan dan akhir berjaya menjaringkan gol kemenangan.

“Apa yang kita capai hari ini berbaloi dengan kesungguhan pemain yang beraksi bermati-matian untuk memburu kemenangan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Steve Darby, berkata, dia tiada alasan terhadap kekalahan pasukannya kerana Malaysia bermain lebih baik.

“Sepuluh minit terakhir memusnahkan kami. Setelah Malaysia mendapat gol penyamaan, mereka tidak henti-henti mengasak dan akhir memperoleh gol kemenangan.

‘‘Saya bertanggungjawab terhadap kekalahan pasukan saya,” katanya.

Friday, December 11, 2009

Malaysia ke separuh akhir bola sepak Sukan SEA

VIENTIANE 11 Dis. - Malaysia mara ke separuh akhir bola sepak lelaki pada temasya Sukan SEA ke-25 selepas berjaya menumbangkan Thailand 2-1 pada perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Utama di sini sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, Malaysia yang menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A akan bertemu tuan rumah Laos, selaku juara Kumpulan B manakala Thailand akan ditentang oleh Singapura.

'Misi hidup atau mati'


Mampukah skuad bola sepak negara menumbangkan gergasi Asia Tenggara, Thailand hari ini?

Bukan mahu mempersoal kemampuan anak-anak buah K. Rajagobal itu tetapi berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasu- kan di pentas Sukan SEA sejak edisi 2001 di Kuala Lumpur, skuad negara masih belum mampu mencipta kemenangan ke atas Thailand.

Untuk rekod, skuad negara kendalian Allan Haris ketika itu tewas 0-1 kepada Thailand pada final temasya Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan tidak bertemu pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.

Pada temasya 2005 di Filipina, skuad negara bimbingan Norizan Bakar tewas 1-2 kepada Thailand dalam saingan peringkat kumpulan.

Di Korat, Thailand dua tahun lalu, skuad negara yang dibimbing B. Sathianathan, tidak berentap dengan Thailand.

Bagaimanapun, itu sekadar rekod dan hari ini, skuad negara kembali 'dipertemukan' dengan Thailand dalam misi memburu slot separuh akhir temasya Sukan SEA XXV.

Pertembungan dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional itu ibarat misi hidup atau mati bagi anak-anak buah Rajagobal.

Andai tewas atau seri sekalipun, mereka sudah boleh berkemas awal untuk pulang ke tanah air.

Namun, pastinya kem bola sepak negara tidak mahu langkah mereka terhenti pada peringkat kumpulan, sekali gus menghancurkan impian mereka merangkul pingat emas buat kali pertama sejak temasya 1989 di Kuala Lumpur.

"Saya harus akui perlawanan menentang Thailand ibarat 'misi hidup atau mati' skuad negara. Kita sudah tiada pilihan lain kecuali menang ke atas Thailand.

"Yang penting, pemain saya dapat menghadapi perlawanan itu dengan tenang dan me- ngikut setiap arahan yang saya berikan. Kami kena hadapi perlawanan itu dengan sikap positif tanpa ada sebarang tekanan," kata Rajagobal ketika ditemui semalam.

Bagi menghadapi Thailand, skuad negara agak tempang di barisan serangan apabila pe- nyerang, Zaquan Adha Abd. Radzak yang masih mengalami sakit mata tidak dapat beraksi kerana menjalani hukuman penggantungan dua perlawanan.

Tempat Zaquan dijangka diisi Abdul Manaf Mamat untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan prestasi Manaf dan Norshahrul di barisan sera- ngan. Tidak mustahil mereka akan berada dalam percaturan saya bagi menghadapi Thailand nanti," kata Rajagobal yang sedikit pening tentang siapa yang bakal diberi tanggungjawab menjaga gawang.

Farizal atau Sharbinee?

Andai pengalaman jadi ukuran, penjaga gol skuad bola sepak negara, Farizal Marlias bakal menjadi pilihan berbanding rakan seposisinya, Sharbinee Allawee pada aksi menentang Thailand hari ini.

Pada temasya Sukan SEA XXV, Farizal mendapat kepercayaan jurulatih K. Rajagobal untuk menjadi penjaga gol utama sementara Shar- binee bertindak sebagai penjaga gol simpanan skuad negara.

Kini kedua-dua penjaga gol muda negara itu dilihat berada pada prestasi terbaik menjelang pertemuan penting menentang Thailand pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang ini.

Farizal yang juga penjaga gol Perlis beraksi ketika skuad negara membelasah Timor Leste 11-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A minggu lalu.

Dia sekali lagi diturunkan ketika skuad negara tumbang 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan penuh kontroversi ekoran pergaduhan yang melibatkan anak-anak buah Rajagobal dengan pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok.

Bagaimanapun, tindakan Farizal yang didakwa membaling botol ke arah pengadil menyebabkan dia dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan dan secara auto- matik dia tidak dapat diturunkan ketika skuad negara menentang Kemboja.

Ketiadaan Farizal menyebabkan Rajagobal menurunkan Sharbinee sebagai penjaga gol utama ketika berdepan dengan Kemboja yang menyaksikan skuad negara mencipta kemenangan 4-0.

"Saya gembira kerana dapat membantu Malaysia meraih kemenangan ketika menentang Kemboja seterusnya membuka peluang kami untuk mara ke separuh akhir.

"Apabila diberitahu oleh jurulatih saya akan diturunkan bagi menggantikan Farizal pada perlawanan dengan Kemboja, saya cukup gembira dan tidak sabar beraksi.

"Alhamdulillah, saya dapat beraksi dengan baik dan amat berpuas hati dengan prestasi saya pada perlawanan itu," kata Sharbinee yang bersaing dengan Farizal dan Syed Adney Syed Hussein untuk mendapatkan tempat dalam skuad negara ke Laos.

Sharbinee dianggap antara wira skuad negara pada pertemuan dengan Kemboja kerana dia berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya pihak lawan termasuk menyelamatkan satu sepakan penalti Kemboja.

Kelemahan fizikal lawan senjata kita

Walaupun kalah, ada sesuatu yang boleh diambil daripada perlawanan dengan Vietnam, Ahad lalu yang boleh dijadikan senjata untuk menundukkan Thailand, hari ini.

Tonggak tengah pasukan kebangsaan, Shafiq Rahim berkata, keupayaan memberi tentangan terhadap kekuatan fizikal pemain Vietnam pada perlawanan tersebut boleh digunakan apabila berdepan Thailand yang sedikit lemah dari segi fizikal.

"Kelebihan Vietnam terletak pada kekuatan fizikal mereka dan kita berjaya menyaingi kelebihan tersebut ketika menentang mereka, Ahad lalu.

"Saya percaya jika para pemain mengambil kesempatan terhadap kelemahan fizikal Thailand, kita mungkin mampu menundukkan mereka.

"Saya juga dapati jentera serangan pasukan Thailand pada temasya kali ini tidaklah sebegitu kuat seperti mana skuad yang memenangi emas pada Sukan SEA 2007 di negara mereka sendiri," katanya.

Malaysia perlu menang ke atas Thailand jika mahu ke separuh akhir.

Skuad K. Rajagobal kini di tangga ketiga kumpulan A dengan enam mata, satu mata di belakang Thailand dan Vietnam.

Nelayan di Kelantan diminta berwaspada ke laut

PASIR PUTEH 10 Dis. - Lebih 500 nelayan laut dalam dan tradisional di Kelantan diminta berhati-hati ketika turun ke laut berikutan keadaan ombak di Laut Cina Selatan yang masih berbahaya walaupun cuaca cerah sejak tiga hari lepas.

Komander Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, Rozali Mohd Said berkata, sebahagian daripada nelayan itu sudah mula turun ke laut memandangkan keadaan cuaca di daratan yang cerah selepas tidak keluar ke laut sejak tiga minggu lepas.

"Keadaan mungkin boleh berubah pada bila-bila masa disebabkan tempoh musim tengkujuh belum berakhir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Thursday, December 10, 2009

Hairuddin milik Kelantan



PENYERANG prolifik kelahiran Terengganu, Hairuddin Omar kini sah menjadi milik Kelantan selepas menandatangani kontrak setahun bersama pasukan itu.

Hairuddin yang sebelum ini menjadi pemain buruan pasukan Negeri Sembilan akhirnya membuat keputusan menyarung jersi The Red Warriors selepas turut menolak tawaran pasukan yang disertainya musim lalu, T-Team.

Beliau sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Negeri Sembilan selepas berjaya membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia apabila menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir 7 November lalu.

Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan yang sudah pun menjangkau usia 30 tahun itu akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan kariernya di bumi Cik Siti Wan Kembang.

Menurutnya, keluarga adalah faktor utama kenapa beliau membuat keputusan untuk menyertai Kelantan pada musim depan.

"Saya berasal dari Setiu yang terletak bersempadan dengan Kelantan dan ia menjadi salah satu sebab kenapa saya memilih Kelantan untuk musim depan.

"Tawaran yang diberikan Kelantan juga cukup baik dan peluang beraksi bersama rakan-rakan lama seperti Indra, Farhan dan Akmal perlu untuk saya pertimbangkan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, KAFA melalui Penolong Setiausaha Agungnya, Arif Hassan telah menemuinya malam kelmarin dan secara rasmi kontrak selama setahun telah dimeterai.

Katanya, keputusan menyertai Kelantan dilakukannya untuk mencuba 'angin baru' selain mahu bersama-sama Kelantan mencipta sejarah menjulang Piala Malaysia musim depan.

"Secara jelasnya, saya sudah dihubungi oleh coach Sathia (B.Sathianathan) selepas perlawanan akhir Piala Malaysia berakhir yang memberi tawaran kepada saya untuk menyertai Kelantan.

"Ketika itu saya masih belum membuat sebarang keputusan dan kini saya yakin keputusan yang saya ambil untuk bersama Kelantan adalah yang terbaik," ujarnya.

Pada pertandingan Piala Malaysia lalu, Hairuddin turut mencetak nama sebagai pemain yang menghampakan pasukan negeri kelahirannya, Terengganu pada perlawanan peringkat separuh akhir.

Beliau juga turut membunuh harapan Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia apabila gol kedua Negeri Sembilan hasil jaringannya, kurang satu minit selepas wisel separuh masa kedua dibunyikan menerjah gawang Kelantan.

Sementara itu, Arif ketika dihubungi semalam memberitahu, Hairuddin telah sah didaftarkan sebagai pemain ke-25 pasukan Kelantan untuk beraksi musim depan.

Jelasnya, Hairuddin semalam telah pun terbang ke Bangkok untuk menyertai pasukan Kelantan menjalani latihan dalam siri perlawanan persahabatan di sana.

T-Team kecewa

T-TEAM dan Negeri Sembilan berputih mata apabila Hairuddin Omar sah menjadi pemain Kelantan semalam.

Penyerang berusia 30 tahun yang sebelum ini melahirkan hasrat kembali ke pangkuan T-Team selepas membantu Negeri Sembilan meraih kejuaraan Piala Malaysia, menunggu sehari sebelum tarikh terakhir pendaftaran pemain untuk memberi persetujuan mewakili pasukan negeri Che Siti Wan Kembang.

Pemain kelahiran kampung Saujana, Setiu, itu mengaku terkilan kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan T-Team yang bersama-sama berusaha menjadi naib juara Liga Perdana dan seterusnya layak ke Liga Super.

“Kalau boleh saya memang mahu kembali ke negeri kelahiran saya walaupun pihak pengurusan Negeri Sembilan juga memberi tawaran menarik untuk terus bersama mereka dalam musim baru Liga Super.

“Namun, apakan daya pihak pengurusan T-Team dan saya tidak dapat mencari kata sepakat dalam hal ini dan saya terpaksa mencari jalan lain untuk meneruskan kerjaya bola sepak saya,” katanya sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand untuk menyertai latihan bersama rakan sepasukan Kelantan yang lain.

Beberapa hari sebelum itu, penolong pengurus T-Team, Rosdi Awang, berkata pihak pengurusan pasukan menutup pintu kepada Hairuddin untuk kembali menyertai pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu itu.

“Kami sudah memberi banyak ruang dan masa kepada Hairuddin untuk pulang menandatangani perjanjian baru selepas tamatnya pertandingan Piala Malaysia namun dia seperti tidak berminat berbuat demikian.

“Akhirnya, kami terpaksa membuat keputusan untuk tidak lagi menerimanya kerana terpaksa memikirkan nasib dan hala tuju pasukan yang mungkin memerlukan pemain baru mengambil tempat pemain berkenaan,” katanya.

Rajagobal tidak mahu panik


Riak wajah jurulatih skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) K. Rajagobal cukup tenang ketika beliau membawa anak-anak buahnya 'membaik pulih' kecergasan masing-masing di kolam renang Doa Chan Palace pagi semalam.

Rajagobal sedikit pun tidak menunjukkan tertekan menjelang pertemuan penting menentang Thailand pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang esok.

"Inilah sahaja jalan yang kita ada, tiada lagi pilihan. Sekarang, pemain saya kena meningkatkan kembali tahap kecergasan mereka sebelum bertemu Thailand Jumaat ini.

"Saya gembira kerana pemain sudah mula mendapat motivasi dan semangat mereka juga semakin tinggi selepas kami menang dengan Kemboja semalam (kelmarin).

"Saya harap pemain saya dapat mengekalkan mood yang ada sekarang sehingga hari perlawanan menentang Thailand nanti,"kata Rajagobal ketika ditemui semalam.

Dalam nada cerianya, Rajagobal juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila tidak dapat menurunkan ayam tambatannya, Zaquan Adha Abd. Radzak yang tidak dapat beraksi menentang Thailand kerana menjalani penggantungan perlawanan.

"Zaquan masih lagi mengalami sakit mata dan pada masa yang sama, dia masih digantung satu perlawanan. Tetapi inilah masanya juga buat pemain penyerang saya membuktikan kualiti yang ada pada mereka.

"Saya percaya pemain yang lain masih mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zaquan. Buktinya, mereka telah menunjukkan kemampuan mereka ketika menentang Kemboja,"tambahnya.

Pada aksi menentang Vietnam Ahad lalu, Zaquan yang hanya dimasukkan sebagai pemain gantian disebabkan mengalami sakit mata, telah mengutip dua kad kuning dan secara automatik menerima kad merah.

Situasi itu menyebabkan Zaquan dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan.

Bagaimanapun, disebabkan tindakan penyerang Negeri Sembilan itu yang cuba menyerang pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok selepas tamat perlawanan, dia dikenakan penggantungan dua perlawanan.

Ketika ditanya mengenai percaturannya untuk berdepan dengan Thailand, Rajagobal menjawab: "Sudah pasti saya turunkan barisan terbaik. Kami mahu menang dan begitu juga dengan Thailand.

"Dalam sehari dua ini saya akan menilai tahap kecergasan pemain. Mungkin ada sedikit rombakan kecil tetapi misi kami tetap sama iaitu memburu kemenangan.

"Anda boleh melihat sendiri bagaimana saya melakukan perubahan ketika menentang Kemboja. Disebabkan Farizal Marlias (penjaga gol) tidak dapat beraksi kerana digantung satu perlawanan, saya tiada pilihan kecuali menurunkan Sharbinee Allawee.

"Begitu juga dengan K. Gurusamy dan S. Kunanlan yang beraksi dalam kesebelasan utama. Mereka telah menunjukkan mutu permainan yang baik. Dari sini, saya akan terus berbincang dengan pembantu saya sebelum membuat keputusan menurunkan kesebelasan utama kami," kata Rajagobal.

Ketika ini, Thailand dan Vietnam berkongsi tujuh mata untuk berada di tangga pertama dan kedua manakala skuad negara meraih enam mata hasil dua kemenangan dan sekali tewas.

Vietnam hampir pasti mara ke separuh akhir apabila dijadualkan menentang Kemboja dalam satu lagi aksi Kumpulan A sementara satu slot lagi menjadi buruan skuad negara dan juga Thailand.

Hanya dua pasukan terbaik Kumpulan A akan mara.

Ronaldinho selamatkan Milan


Ronaldinho menyelamatkan AC Milan apabila sepakan penaltinya pada babak kedua berjaya mengikat FC Zurich 1-1 awal pagi semalam untuk membawa Milan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Kelab Itali itu harus berterima kasih kepada Real Madrid yang menewaskan Marseille 3-1 pada satu lagi perlawanan dalam Kumpulan C.

Zurich yang sudah pun tersingkir daripada persaingan berjaya mendahului Milan pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma Milan Gajic.

Ronaldinho bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil setelah Marco Boriello dijatuhkan Alain Rochat yang turut dilayangkan kad merah.


Milan menamatkan saingan dengan sembilan mata manakala Zurich hanya empat mata. Real di tangga teratas dengan 13 mata sementara Marseille di tempat ketiga dengan tujuh mata dan akan beraksi dalam Liga Europa.

Jurulatih Zurich, Bernard Challandes berkata, pasukannya tetap berbangga selepas dibelasah 5-2 oleh Real dan 6-1 oleh Marseille sebelum ini.

"Kami memang mengimpikan aksi di Liga Juara-Juara. Kami telah merasainya dan mahu menamatkannya dengan baik. Kami berpuas hati dengan keputusan seri ini," kata Challandes.

Jurulatih AC Milan, Leonardo pula menyatakan, pasukannya tidak beraksi begitu baik dalam perlawanan itu tetapi layak ke pusingan kedua adalah sesuatu yang lebih penting.

"Terdapat banyak faktor ketika beraksi. Kami memiliki ramai pemain yang mengalami masalah fizikal dan ia menyukarkan persiapan kami," kata Leonardo.

Peluang terbaik untuk atasi Thailand

Jika kita mahu mengatasi musuh ketat, Thailand, inilah masanya.

Itu kata jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A acara bola sepak yang akan menentukan hidup mati kita ke separuh akhir.

Keyakinan tinggi itu dilaungkan selepas menyaksikan kesungguhan para pemain membenam Kemboja, kelmarin.

Walaupun menang 4-0 ke atas skuad yang dilabel pasukan belasahan, ada keistimewaan yang diserlahkan oleh pemain pada perlawanan tersebut.

Semangat tidak kenal erti kecewa, sentiasa bergerak dalam satu pasukan serta kekuatan fizikal pemain amat ketara pada perlawanan tersebut.

“Inilah bekalan yang akan kita bawa apabila menentang Thailand nanti.

“Perlawanan dengan Kemboja membuktikan para pemain sentiasa memperbaiki permainan mereka di sepanjang perlawanan.

“Ketika menentang Kemboja, kita bergelut di babak pertama, sukar menembusi pertahanan mereka.

“Dalam masa yang sama, pertahanan kita juga terpaksa bekerja keras menyekat asakan Kemboja.

“Memasuki babak kedua, para pemain mula berubah, mendengar arahan, inilah yang membanggakan saya.

“Jika para pemain kita mahu ke separuh akhir, inilah masanya untuk mereka menundukkan Thailand,” katanya di sini, semalam.

Malaysia menduduki tangga ketiga dengan enam mata dalam Kumpulan A acara bola sepak.

Juara bertahan Thailand di tangga teratas dengan tujuh mata mengatasi Vietnam di tangga kedua berdasarkan perbezaan jaringan.

Perlawanan Malaysia-Thailand akan berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos pada pukul 4 petang waktu Malaysia.

Begitupun Rajagobal mengakui skuad bawah 23 Thailand, yang dibimbing oleh bekas jurulatih Perak, Steve Darby, masih merupakan pasukan yang baik.

Katanya, kelebihan Thailand adalah dari segi taktikal tetapi mereka kurang dari segi fizikal.

“Walaupun Thailand kemas dari segi taktikal permainan, kita tidak gentar. Kita juga ada kelebihan.

“Untuk mencapai sasaran ke separuh akhir, saya mahu pemain melupakan kekalahan 1-3 kepada Vietnam.

“Inilah peluang terbaik untuk kita mengatasi Thailand. Kita akan mendapat keputusan yang diharapkan jika kita bermain secara berpasukan,” katanya.

Wednesday, December 9, 2009

Hairuddin ke Kelantan?


SELEPAS berjaya memikat beberapa pemain bintang yang akan memantap- kan skuad musim depan, Kelantan seperti masih belum berpuas hati.

Kini giliran penyerang sensasi T-Team, Hairuddin Omar menjadi sasaran mereka.

Bekas pemain kebangsaan itu yang berjaya menjulang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan, November lalu dikhabarkan akan menjadi pemain kelapan menyarung jersi Kelantan untuk musim depan.

Sumber Kosmo! memberitahu, Hairuddin kini hampir pasti akan menyer- tai Kelantan untuk menghadapi saingan Liga Super musim 2010.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Hairuddin kini berada pada peringkat akhir perbinca- ngan sebelum menandatangani kontrak bersama The Red Warriors.

"Perbincangannya sudah pada peringkat serius dan sekiranya ia menjadi realiti, kehadiran Hairuddin pastinya memantapkan lagi kekuatan Kelantan.

"Jika segalanya berjalan lancar, beliau akan menandatangni kontrak sece- pat mungkin dan akan terbang ke Bangkok untuk menyertai sesi latihan bersama pasukan Kelantan di sana," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, ketika tarikh pendafta- ran pemain akan berakhir hari ini, Hairuddin mungkin akan menjadi pemain terakhir melengkapkan senarai pemain Kelantan musim depan.

Jelasnya, kehadiran Hairuddin akan memantapkan lagi bahagian serangan Kelantan yang kini memiliki Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli, Nurshahrul Idlan Talaha, Norfarhan Mohamad dan S. Chanturu.

Sebelum ini Norhafiz Zamani Mis- bah dan K. Soley turut dikaitkan akan beralih angin ke Kelantan, namun ia tidak dapat direalisasikan.

"Apa yang jelas, kehadiran Hairuddin pastinya akan memberi impak kepada pasukan kerana beliau merupakan seorang pemain yang berkualiti.

"Kehadirannya bersama pasukan Negeri Sembilan ketika menewaskan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia lalu membuktikan beliau masih merupakan seorang pemain yang perlu diberi perhatian," ujarnya.

Hairuddin sebelum ini turut dikaitkan akan menyertai Negeri Sembilan selepas membantu skuad Rusa menjulang Piala Malaysia sebagai pemain berstatus pinjaman.

Malaysia raih semula keyakinan


Skuad bola sepak kebangsaan meraih tiga mata yang diperlukan dalam misi untuk ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA apabila menang 4-0 ke atas Kemboja di sini, semalam.

Namun, andai skuad kendalian K. Rajagobal itu berhajat menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik pada temasya kali ini, mereka perlu mencipta kemenangan ke atas pasukan pilihan, Thailand pada aksi terakhir Kumpulan A, Jumaat ini.

Bangkit pada separuh masa kedua memastikan kemenangan besar buat skuad K. Rajagobal selepas dikekang lawan dalam babak pertama.

Barisan serangan yang tumpul dan jarang melakukan gerakan menarik, menyebabkan skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke-35 untuk menghasilkan gol pembukaan menerusi Abdul Manaf Mamat

Jaringan itu menjadi detik kebangkitan buat Malaysia apabila giliran Norshahrul Idlan Talaha menokok gol kedua pada minit ke-76.

S. Kunanlan meledak gol ketiga pada minit ke-81 untuk memastikan Malaysia terus selesa sebelum Shafiq Rahim menamatkan permainan menerusi jaringan penalti pada minit ke-85.

Kemenangan 4-0 itu merupakan bekalan terbaik untuk bertemu Thailand pada Jumaat ini yang mana skuad kebangsaan perlu menang untuk layak ke separuh akhir.

Rajagobal yang lega dengan kemenangan tersebut berkata, kejayaan membenam Kemboja melonjakkan semangat pemain setelah kalah 1-3 kepada Vietnam, kelmarin.

“Kita telah mendapat bekalan terbaik apabila bertemu Thailand nanti.

“Jadi, jika kita mahu ke separuh akhir, inilah peluangnya dengan mengalahkan Thailand.

“Memang kita akui Thailand sebuah pasukan yang baik, tetapi kemenangan ke atas Kemboja ini membuktikan kita tidak kurang hebatnya berbanding mereka,” katanya.

Perlawanan yang dijangka mudah semalam, sebaliknya hampir bertukar detik malang apabila Kemboja mempamerkan permainan bertenaga dan acap kali mencemaskan benteng pertahanan skuad negara pada babak pertama.

Barisan serangan skuad negara kurang bermaya akibat ketiadaan Zaquan Adha Abdul Razak yang digantung kerana menerima kad merah ketika kalah kepada Vietnam.

Gandingan Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Manaf dan S. Kunanlan gagal memberi tekanan serius kepada benteng pertahanan lawan.

Jaringan Abdul Manaf mencetuskan sedikit peningkatan mutu permainan apabila dia mudah menewaskan penjaga gol Kemboja, Samrith Seiha selepas mendapat hantaran jauh dari bahagian pertahanan.

Asakan bertali arus Kemboja hampir membawa padah kepada skuad kebangsaan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-44.

Pemain Kemboja, Kouch Sokumpheak berjaya meletakkan bola ke gawang hasil penalti yang mengelirukan Mohd. Sharbinee Allawee.

Namun, pengadil dari Maldives, Saleem Ali mengarahkan Sokumpheak melakukan sekali lagi sepakan penalti dan Mohd. Sharbinee tidak melakukan kesilapan apabila tepat mengagak sepakan penalti kedua.

Mohd. Sharbinee sekali lagi menyelamatkan gawang daripada dibolosi apabila kemas menepis sepakan bebas pemain lawan pada minit ke-64.

Tuesday, December 8, 2009

Pahang dapat ihsan FAM (MEME AGOK DOH)


REKOD 'cemerlang' Pahang yang tidak pernah turun ke liga bawahan berterusan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan skuad Tok Gajah itu akan kembali bersaing dalam Liga Super 2010 yang ber- mula 9 Januari depan.

Pahang sebelum ini sepatutnya telah tersing- kir ke Liga Perdana 2010 setelah tewas 1-5 ke- pada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super 2009 pada 25 Julai lalu, sekali gus menduduki tangga kedua tercorot.

Pada 15 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis FAM juga mengesahkan bahawa Pahang akan turun beraksi dalam Liga Perdana 2010 bersama-sama pasukan tercorot Liga Super 2009 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, Mesyuarat Majlis FAM semalam yang dipengerusikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM bertindak 'menyelamatkan' pasukan negeri itu pada saat akhir sambil 'mengorbankan' skuad B-21 kebangsaan, Harimau Muda A.

"Hari ini (semalam) mesyuarat Majlis FAM telah membuat sedikit perubahan untuk pasu- kan-pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

"Setelah dibincang secara panjang lebar, Harimau Muda A dicadangkan untuk tidak beraksi dalam Liga Super 2010 supaya pemain-pemainnya dilepaskan beraksi untuk pasukan negeri masing-masing.

"Bagi menggenapkan 14 pasukan, Pahang dinaikkan semula ke Liga Super. Liga Perdana pula, kami akan jemput satu pasukan dari Liga FAM untuk menggenapkan 12 pasukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh pada sidang media semalam.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Pahang dipilih menggantikan Harimau Muda A kerana 'kedudukannya' yang paling atas dalam senarai asal pasukan-pasukan Liga Perdana 2010.

"Tiada soal pilih kasih. Keputusan ini telah dipersetujui oleh suara majoriti dalam mesyuarat Majlis FAM hari ini (semalam).

"Harimau Muda B iaitu skuad B-19 kebangsaan akan kekal dalam Liga Perdana manakala Harimau Muda A di bawah jurulatih Azraai Khor Abdullah hanya akan dikumpul apabila ada tugasan antarabangsa," jelas Khairy.

Kosmo! pada 27 Julai lalu telah melaporkan tentang kemungkinan Pahang akan diselamatkan lagi oleh FAM daripada terjerumus ke saingan Liga Perdana.

Keputusan FAM semalam sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan mereka ketika menukar format Liga Malaysia 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.

FAM ketika itu mengubah format daripada lapan pasukan kepada 14 pasukan, sekali gus menyelamatkan Pahang yang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan pada Liga Super 2006.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda ketika mesyuarat semalam memberitahu, Datuk Gulzar Mohammad telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden FAM secara sukarela berkuat kuasa 22 November lalu atas alasan kesihatan dan tumpuan kepada pernia- gaannya.

Selain itu, pada tarikh yang sama, FAM turut melantik Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Bendahari FAM yang baru mengganti- kan Datuk Cheong Keap Tai.

'Jangan buat kecoh lagi'


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi amaran keras kepada skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara yang kini berada di Laos supaya tidak mengulangi tindakan luar kawalan dan mencetuskan kekecohan dalam kejohanan antarabangsa.

FAM bagaimanapun tidak memutuskan sebarang tindakan akan diambil ketika ini kepada skuad bawah 23 negara itu setelah beberapa pemain bertindak melampau ketika menentang skuad Vietnam di Sukan SEA Laos, kelmarin.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin menegaskan, badan bola sepak negara itu akan hanya membuat keputusan untuk mengambil sebarang tindakan selepas meneliti laporan daripada pengurus dan jurulatih pasukan kebangsaan sebaik sahaja skuad itu tiba di Malaysia nanti.

Katanya, FAM kini masih menunggu laporan terperinci berhubung insiden beberapa pemain negara yang bertindak menyerang pengadil perlawanan, Kim Jong Hyeok dari Korea Selatan ketika pasukan kebangsaan menentang Vietnam.

"Pemain negara melakukan serangan ke arah pengadil kerana mutu pengadilan yang teruk dan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan adalah tidak munasabah, malah menimbulkan keraguan.

"Tindakan pengadil dari Korea Selatan itu membuatkan pemain Malaysia beremosi dan berasa marah.

"Meskipun begitu, FAM tidak menghalalkan tindakan para pemain melakukan serangan ke arah pengadil. Ia satu tindakan kurang bijak dan boleh memalukan nama negara.

"Sehubungan itu, FAM akan hanya mengambil tindakan selepas berakhirnya persaingan di Laos dan menerima laporan daripada pengurus serta jurulatih negara," katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya mesyuarat Exco FAM, di sini, semalam.

Sebelum bermulanya sidang akhbar tersebut, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berkenan untuk menyerahkan wang ganjaran persaraan kepada tiga bekas pemain bola sepak negara.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, FAM telah meminta jurulatih negara, K. Rajagobal dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang juga pengurus pasukan untuk memberi amaran kepada pemain dan memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

Katanya, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA XXV, Laos Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz yang turut menyaksikan pertemuan Malaysia dengan Vietnam tersebut turut melahirkan rasa kurang senang.

Jelasnya, Dr. Ramlan turut tidak bersetuju dengan beberapa keputusan yang telah dibuat oleh pengadil dari Korea Selatan itu di sepanjang perlawanan.

"FAM akan mengkaji sebarang tindakan selepas pasukan ini tiba di Malaysia dan menerima laporan penuh daripada pengurus serta jurulatih.

"Namun, kita tidak boleh menghukum seluruh pasukan kerana tindakan seorang dua pemain. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Pemain Malaysia tidak pernah ada rekod buruk sebelum ini dan mereka juga sangat berdisiplin. Saya tidak mahu perkara ini didahulukan ketika ini, sebaliknya FAM perlu melihat laporan penuh," ujarnya.

Struktur bangunan tidak kuat punca kereta terjunam

Struktur tembok bangunan penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu seorang wanita terjunam ke dalam bangunan itu semalam.

Ketua Polis Kelantan SAC1 Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil boleh runtuh sebagaimana berlaku semalam.

"Dinding itu dibina dengan bata setinggi 1.8 meter dan tidak terdapat besi di dalam bagi menguatkan dinding itu daripada mudah runtuh,” katanya kepada pemberita pada majlis Berkhatan Beramai-ramai anak warga PDRM, Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Pada kejadian pukul 5 petang semalam, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Baharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Kerajaan negeri kaji semula tahap keselamatan di setiap pasar raya

Kerajaan Kelantan akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan di setiap pasar raya di negeri itu susulan kejadian di pasaraya KB Mall petang semalam apabila dua mangsa terkorban dihempap sebuah kereta yang terjatuh daripada parkir di tingkat tiga pasaraya tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi memperhalusi dan membincangkan mengenai aspek keselamatan di setiap pasaraya.

"Pagi ini Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melawat ke tempat kejadian dan hasil daripada itu beliau telah mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) supaya mengadakan mesyuarat segera hari ini.

"Kita akan panggil jabatan berkaitan seperti polis, bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pengurusan pasaraya KB Mall pada mesyuarat itu bagi membincangkan langkah seterusnya selain akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan pasaraya di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian di sini hari ini.

Mangsa yang maut adalah Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, kedua-duanya dari Kolej Kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Baharu manakala dua lagi yang parah iaitu rakan mereka Rashidah Ahmad Lutfi, 24, dan pemandu kereta jenis Ford Laser TX3, Nor Ain Said, 19.

Monday, December 7, 2009

Pemain negara 'mengamuk'



VIENTIANE, Laos - Skuad bola sepak negara tiba-tiba 'mengamuk' di tengah padang.

Puncanya hanya satu - mempertikai cara pengadilan pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok.

Insiden 'panas' itu berlaku di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang semalam yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3 kepada Vietnam pada aksi Kumpulan A temasya Sukan SEA XXV.

Biarpun perlawanan itu tidak memihak kepada skuad negara tetapi anak-anak buah K. Rajagobal itu pastinya lebih mendapat tumpuan gara-gara kekecohan yang dicetuskan mereka di tengah padang.

Insiden tersebut bermula selepas Jong Hyeok melayangkan kad merah kepada Aidil Zaquan Adha Abd. Radzak pada masa kecederaan babak kedua.

Sebelum itu, Zaquan yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-59 telah menerima kad kuning pertama lima minit sebelum perlawanan berakhir.

Penyerang kelahiran Negeri Sembilan itu kemudiannya mengutip kad kuning kedua dan secara automatik dilayangkan kad merah pada masa kecederaan kerana didakwa melakukan terjahan keras terhadap pemain Vietnam, Tran Dinh Dong.

Sejurus selepas wisel penamat dibunyikan, Zaquan dan semua pemain negara termasuk pemain simpanan menyerbu ke arah Jong Hyeok sebagai membantah keputusan yang dibuat oleh pengadil terbabit.

Bermula Dari situ, berlaku beberapa insiden tolak menolak antara pemain negara dengan Jong Hyeok serta pembantu pengadil, Zleng Weixiang dari China dan Shahidul Islam dari Bangladesh.

Melihatkan keadaan semakin tegang dan tidak terkawal, pegawai keselamatan terpaksa berkejar ke tengah padang bagi mententeramkan keadaan.

Bagaimanapun, insiden yang berlaku hampir lima minit itu dapat dikawal dengan baik apabila Rajabobal dan beberapa pegawai skuad bola sepak negara termasuk penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal dan jurulatih kecergasan, Rosov Bozik campur tangan.

Mengulas mengenai insiden memalukan itu, Rajagobal berkata, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh anak-anak buahnya.

"Saya amat kecewa dengan apa yang telah berlaku. Sebelum perlawanan bermula, saya telah ingatkan pemain agar menampilkan mutu permainan terbaik.

Bagaimanapun, saya agak terkejut kerana perlawanan ini berakhir dengan insiden kekecohan yang melibatkan pemain saya dengan pengadil.

"Tetapi saya faham mengapa pemain bertindak sedemikian. Mereka terlalu kecewa dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil sehingga menyebabkan mereka hilang pertimbangan.

"Sebagai pemain muda, mereka harus menjaga emosi dan tingkahlaku jika tidak, inilah yang berlaku," kata Rajagobal pada sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Rajagobal menambah, beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat menjadi punca anak-anak buahnya bertindak ganas sehingga sanggup menyerang pengadil perlawanan.

"Pemain saya cukup bersemangat untuk menghadapi perlawanan menentang Vietnam selepas kami berjaya mencatatkan kemenangan besar ketika membelasah Timor Leste 11-0 Rabu lalu, tetapi pengadil telah merosakkan semuanya," jelas Rajagobal.

Sunday, December 6, 2009

Tragedi Di KB Mall: 2 Terbunuh, 2 Cedera Parah

Sebuah kereta jenis Ford Laser TX3 berwarna kuning dipercayai dipandu dengan laju dibahagian atas tempat letak kereta Pasaraya KB Mall dan merempuh dinding penghadang lalu tembus ke bahagian tengah escalator utama Pasaraya KB Mall sehingga mengakibatkan kematian 2 orang pengunjung dan 2 lagi dilaporkan parah.

Mereka yang terbunuh dikatakan sedang berada diatas escalator sebelum ditimpa oleh kereta tersebut yang jatuh dari tempat letak kereta tingkat 3 bangunan KB Mall. mereka yang terbunuh dan tercedera dimaklumkan sebagai pelajar Kolej Masterskill Kota Bharu yang berjunjung ke KB Mall.

Mangsa, Siti Nor Amira Samsuddin 19, Siti Nor Diana Azman 18 dan Rashidah Ahmad Lutfi 24, berada dieskalator berkenaan ketika kejadian berlaku. Siti Nor Amira yang cedera parah dikepala, terbunuh ditempat kejadian, manakala Siti Nor Diana menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital setelah mengalami pendarahan yang teruk di kepala.

Seorang lagi mangsa, Rashidah yang cedera parah masih berada di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta berkenaan dipercayai melarikan diri dan gagal dikesan sehingga kini. pihak KB Mall telah menghentikan dengan serta-merta semua operasi perniagaan didalam KB Mall sebaik sahaja kemalangan tersebut berlaku. tidak diketahui berapa hari operasi perniagaan akan dihentikan berikutan pihak KB Mall terpaksa melakukan kerja baik pulih yang banyak.

Setakat ini, jumlah kerugian masih belum diketahui dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan pihak polis.













Kereta tersebut dikatakan dipandu dengan laju dari lokasi ini dan merempuh tembok lalu terjunam kedalam KB Mall

Sempat Lagi Mencuri


Ke 3-3 remaja yang ditahan kerana mencuri sedang disoal-siasat pihak polis didalam bilik keselamatan KB Mall

Dalam perkembangan berkaitan, 3 remaja lelaki telah ditahan didalam KB Mall oleh para pegawai yang bertugas setelah dikesan cuba mencuri pakaian ketika para pegawai bertugas sedang sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan siasatan kemalangan tersebut.

Ke 3-3 remaja tersebut yang dikenal pasti berasal dari Pengkalan Chepa telah ditahan setelah seorang pengawal menahan mereka yang dikesan memakai beberapa lapis pakaian yang dicuri. ke 3-3 remaja tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke bilik pengawal KB Mall dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

Bola sepak Sukan SEA: Malaysia gagal sekat Vietnam

Skuad bawah 23 tahun kebangsaan gagal meneruskan kecemerlangan apabila tewas 3-1 kepada Vietnam pada perlawanan kedua peringkat kumpulan, bola sepak lelaki Sukan SEA ke-25 di Laos hari ini.

Malaysia yang membelasah Timor Leste 11-0 pada perlawanan pertama ketinggalan seawal minit ke-12 hasil jaringan Thanh Binh dan kemudian diikuti gol kedua oleh Mai Tien Thanh, 10 minit kemudian.

Nguyen Trong Hoang menambah duka Malaysia apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47 manakala gol saguhati diperoleh melalui jaringan sendiri pemain Vietnam, Vo Hoang Quang minit ke-25.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Thailand, Vietnam dan Timor Leste. - Utusan

Sengat Jengking bisa

JOHOR melangkah bergaya ke pusi- ngan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja- Raja selepas mencatat kemenangan besar 6-3 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Jalan Raja Muda petang semalam.

Menyedari kekalahan 1-3 pada aksi suku akhir pertama di Larkin Isnin lalu yang perlu segera ditebus, Kuala Lumpur yang diperkuatkan oleh beberapa pemain Liga Perdana, bangkit merapat defisit melalui gol pendahuluan pemain KL Plus, Nor Adli Fadli pada minit ke-40.

Tersentak dengan gol awal itu Johor segera bangkit untuk menyamakan kedudukan melalui Abdul Halim Rosli selang enam minit kemudian.

Kesungguhan Kuala Lumpur untuk segera mengejar keputusan agregat terserlah melalui pergerakan pantas ke kubu Johor, akhirnya pada kecederaan separuh masa pertama, Mohd. Saiful Nizam Mohamad merembat kencang menewaskan penjaga gol Johor, Norazlan Rozali untuk mendahului 2-1.

Rentak permainan kedua-dua pasukan semakin pantas pada separuh masa kedua yang menyaksikan Johor memerlukan tiga minit selepas sepak mula untuk menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti, Mohd. Shaufiq Kosaini.

Pada minit ke-59 pintu gol Kuala Lumpur terus bocor, kali ini melalui jaringan Mohd. Zaini Kamar.

Keadaan kelam-kabut di benteng pertahanan Kuala Lumpur terus digunakan oleh Johor untuk menghasilkan gol keempat melalui Mohd. Shaufiq Kosaini yang juga jaringan peribadi keduanya.

Ketinggalan 2-4 belum berjaya mematahkan semangat pemain-pemain Kuala Lumpur. Faizel Abdul Hamid bertindak untuk jaringan ketiga pasukannya pada minit ke-76.

Menyedari kelebihan semakin memihak kepada Johor, barisan bimbi- ngan Ederes Selamat itu tetap memperagakan corak permainan menyerang, hasilnya gol kelima disumbangkan oleh Mohd. Fitri Amir Ramli pada minit ke-81.

Sisa-sisa perjuangan Kuala Lumpur akhirnya berakhir melalui gol keenam Johor hasil jaringan Mohd. Zaini Kamar minit ke-91 sebelum pengadil perlawanan, Mohd. Nazeri Mohd. Said meniup wisel penamat.

Dengan kemenangan itu, Johor mara dengan agregat 9-4.

Menanti Johor pada separuh akhir pertama di Kangar, 12 Disember ini ialah pasukan Perlis yang mengalah- kan ATM 3-1 di Stadium Mindef.

Pada perlawanan suku akhir yang lain Singapura menang 6-5 ke atas PDRM pada masa tambahan.

Remaja perempuan mangsa keenam banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Remaja perempuan berumur 14 tahun menjadi korban terbaru banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Selasa lalu.

Norsahirah Ismail, yang merupakan remaja Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap sawan sejak kecil dipercayai lemas setelah terjatuh di kawasan rumahnya di Kampung Banggol Nyior Tepoh, di sini, yang dinaiki air setinggi satu meter.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata, kejadian berlaku ketika keluarga mangsa sedang bersiap sedia untuk berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.

"Norsahirah dipercayai terjatuh ke dalam air ketika berada di tangga dekat pintu belakang rumah. Sebaik menyedari kehilangannya, anggota keluarga beliau memulakan gerakan mencari dan menemui mangsa yang tenggelam di dalam air kira-kira 15 minit kemudian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zamri berkata, keluarga mangsa cuba memberikan bantuan kecemasan namun remaja itu dipercayai telahpun meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.