Saturday, July 9, 2011

Format baru saingan Liga M 2012 ditentukan Selasa ini

Teka-teki panjang mengenai jumlah pasukan, siapa dinaikkan dan siapa diturunkan dalam format baru pertandingan serta aksi pemain import dalam Liga Malaysia musim depan, bakal terjawab dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 12 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Amin berkata, segala keputusan dijamin akan mengambil iktibar dan bermatlamatkan untuk mengatasi masalah yang timbul akibat jadual padat liga musim ini dengan Piala Malaysia, September depan akan menjadi titik tolak awal komitmen persatuan.

"Saya akui memang ada sedikit kelemahan di pihak jawatankuasa ini bagi musim ini, tetapi kami berjanji akan mengambil iktibarnya demi menambah baik liga musim depan," katanya yang juga ahli Exco dan Naib Presiden FAM selepas majlis penyampaian hadiah kemenangan Liga Super dan Perdana 2011 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Antara persoalan yang kerap dicetuskan pasukan dan persatuan bola sepak negeri ialah sama ada pasukan di tempat ke-13 dan 14 Liga Super musim ini, Pahang dan Perlis bakal diturunkan ke Liga Perdana musim depan lalu digantikan juara dan naib juaranya, PKNS dan Sarawak atau mungkinkah perlawanan penentuan tempat itu dilangsungkan sesama mereka.

Soal kepulangan pemain import yang kali terakhir disaksikan dalam Liga M 2007-2008, bagi musim 2012 turut menjadi agenda penting mesyuarat Exco yang dijangka dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah memandangkan pada pandangan Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, mereka mampu menjadi pelaris tiket atau penggalak kehadiran penonton ke stadium.

Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Malaysia Super League pernah menyarankan pengambilan semula pemain import malah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang diterajuinya, sudah berkira-kira untuk mendapatkan khidmat mereka dengan wawasan lebih jauh sebagai persediaan ke Piala AFC 2012 selaku juara Liga Super musim ini.

Sementara itu, kata Hamidin, ekoran pemergian Harimau Muda A ke Slovakia bagi siri persahabatan sebagai persediaan pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2014, Pahang dan Sime Darby dipilih untuk berentap secara timbal balik bagi mengisi kekosongan satu tempat skuad bawah 22 tahun negara itu dalam persaingan Piala Malaysia, September depan.

"Piala Malaysia terhad kepada 12 pasukan terbaik Liga Super dan empat terbaik Perdana. Tanpa Harimau Muda A, Pahang dan Sime Darby yang masing-masing menduduki tempat ke-13 Super dan kelima Perdana, akan menentukan slot terakhir Piala Malaysia di Kuala Lumpur, 19 Julai dan Kuantan, 22 Julai," jelasnya.

Majlis penyampaian hadiah kemenangan berupa piala dan pingat semalam turut menyaksikan Kelantan selaku juara Liga Super mengaut ganjaran RM500,000; naib juara Terengganu dengan RM300,000 dan pemenang ketiga, Selangor RM200,000 sementara PDRM di tempat ketiga Perdana, RM50,000.

Penyerang Terengganu dan kebangsaan, Abdul Hadi Yahya pula menerima anugerah Kasut Emas Liga Super 2011 selaku penjaring terbanyak dengan 20 gol sementara Mohd. Fitri Omar dari Majlis Perbandaran Muar meraihnya bagi Liga Perdana dengan menjaringkan 19 gol sepanjang musim ini.

Red Warriors mahu gegar Piala AFC pula

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan Red Warriors akan menyertai Piala AFC 2012 sebagai juara Liga Super, malah sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat tiga pemain import dari beberapa negara tertentu yang sudah dikenal pasti bagi memperkuatkan pasukannya.

"Kalaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 12 Julai ini mungkin menolak pemain import bagi Liga M musim depan, Kelantan tetap mahu bawa mereka hanya untuk Piala AFC, kerana kami tidak mahu sekadar menjadi budak belasahan dan tidak mampu menyaingi lawan dengan persediaan yang tidak seberapa.

"Beberapa pemain dari Bosnia, Ivory Coast dan Nigeria juga akan menjalani ujian pemilihan dengan Kelantan pada minggu ini dan minggu depan, selain kami akan membuat persiapan awal dengan cuba meninjau calon pemain import di negara Amerika Latin, Afrika dan Eropah Timur," katanya, yang juga Timbalan Presiden FAM.

Beliau menghadiri majlis penyampaian hadiah kemenangan Liga Super dan Perdana 2011 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Mengenai khidmat Datuk M. Karathu yang cemerlang membawa Kelantan menjuarai Liga Super dan naib juara Piala FA: "Kami akan kekalkan beliau kerana kontraknya selama semusim dan bekas jurulatih, B. Sathianathan yang baru selesai menjalani penggantungan FAM, akan terus mengendalikan Akademi Bola Sepak Belia Kelantan Al Hambra (ARMY)."

Sementara itu, ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi menyifatkan panggilan Ong Kim Swee bagi menyertai skuad 39 pelatih Pilihan Malaysia menentang Chelsea sebagai medan menimba pengalaman baru dan bekerja lebih keras dalam memburu tempat pada perlawanan persahabatan 21 Julai itu.

Pemain tengah Kelantan yang tidak pernah menyarung jersi Harimau Malaya mahupun skuad bawah umur negara dalam karier bola sepaknya berkata, kepercayaan jurulatih skuad Kelayakan Olimpik itu turut membuktikan masih ada peluang bagi pemain berusia 28 tahun sepertinya asalkan sentiasa meningkatkan mutu permainan.

"Saya berdebar apabila mendapat tahu disenaraikan dalam skuad pelatih bagi perlawanan dengan Chelsea itu. Ia satu peluang mencari pengalaman antarabangsa dan menuntut kerja keras untuk merebut tempat dengan kebanyakan pemain Harimau Muda A.

"Ia bukan mudah kerana rentak permainan mereka yang pastinya lebih pantas dan sudah serasi sepanjang Kelayakan Olimpik, baru-baru ini," katanya.

Badri merupakan antara 10 tonggak senior yang dipanggil di samping penjaring gol ke atas Manchester United 2009, Amri Yahyah; Hairuddin Omar yang menanduk gol tunggal ke atas Chelsea pada 2003 selain Daudsu Jamaludin, S. Subramaniam, Farizal Marlias, Rizal Fahmi Rosid, Joseph Kallang Tie, Ismail Faruqi Ashari dan Shahrulnizam Mustapa.

Badri bagaimanapun menujukan kejayaannya memikat Kim Swee berpunca daripada kerjasama rakan sepasukan Kelantan khususnya dalam mencapai impian bergelar juara Liga Super selain sokongan padu penyokong Wira Merah sekali gus satu menyalakan semangatnya untuk mempertahankan Piala Malaysia, September ini.

Friday, July 8, 2011

Kelantan jaguh sebenar


KELANTAN membuktikan mereka jaguh sebenar saingan Liga Super apabila berjaya menjadi pasukan keenam menjulang piala berprestij tanah air itu selepas menumbangkan Sabah 2-0 di Kota Kinabalu kelmarin.

Dua gol jaringan Nor- shahrul Idlan Talaha sudah cukup untuk meletakkan The Red Warriors dalam kelasnya tersendiri selepas mengutip 56 mata daripada 26 perlawanan dengan melakar 17 kemenangan, lima seri dan empat kekalahan.

Biarpun gagal menjulang Piala FA (Jun lalu), piala Liga Super ini merupakan buah tangan kedua Datuk M. Karathu untuk seluruh penyokong bola sepak Kelantan selepas Piala Sumbangsih.

Bagi Karathu, kejayaan itu cukup bermakna untuknya serta seluruh pasukan ketika mereka kini akan mempersiapkan pasukan untuk mempertahankan trofi Piala Malaysia yang di- menangi musim lalu.

"Ia sesuatu yang baik selepas kita gagal mendakap Piala FA, kita akhirnya berjaya membawa pulang piala Liga Super. Saya fikir ia motivasi yang baik untuk para pemain kita mengharungi kempen Piala Malaysia nanti.

"Bagi saya ini juga hadiah cukup bermakna buat selu- ruh rakyat Kelantan, terutama penyokong The Red Warriors yang sentiasa bersama pasukan," katanya.

Tambahnya, perlawanan menentang Sabah kelmarin cukup penting ketika dua lagi pasukan, Selangor dan Terengganu turut mengintai peluang.

Jelasnya, memenangi perlawanan di tempat lawan bukan suatu yang mudah, namun semangat dan kekuatan yang ada pada pemainnya untuk menjulang gelaran juara itu cukup kuat untuk mereka membenam Sabah.

"Ia suatu perlawanan yang sengit. Sabah sebuah pasukan yang baik, teruta- manya ketika mereka mendapat sokongan daripada peminat sendiri. Saya fikir gol pertama jaringan Nor- shahrul Idlan Talaha 'membunuh' sedikit harapan mereka dan membakar semangat pemain kita.

"Selepas menjaringkan gol pertama, Sabah banyak melakukan serangan sebab itu saya rasa kita perlu memasukkan pemain yang boleh bertahan dan kita keluarkan Mohd. Izwan Sola- huddin dan masukkan Aziz Ismail," ujarnya

Bagaimanapun, pada penghujung permainan, barisan pertahanan Kelantan agak leka sehingga dihukum oleh Sabah yang menjaringkan gol untuk merapatkan jurang selain menambah semangat untuk mereka mencari lebih gol.

"Kita bertahan dengan cukup baik, sebab itu kalau anda tengok, kadang-kadang ada sembilan pemain kita berada di bawah dan mereka boleh melakukan serangan pantas dan ia berkesan selepas kita berjaya mendapat gol kedua.

"Pada penghujung permainan kita agak leka sehingga Sabah berjaya dapatkan satu gol. Selepas itu para pemain mula mengatur kedudukan dan kita berjaya menyekat Sabah daripada terus mendapatkan gol penyamaan," jelasnya.

Rajagobal hairan helah Singapura


"SAYA pun rasa hairan. Sebelum ini mereka (Singapura) sudah menggugurkan ramai pemainnya selepas gagal pada Piala Suzuki AFF 2010.

"Tetapi selepas undian Kelayakan Piala Dunia 2014, mereka berasa yakin akan bertemu Malaysia dan kembali menyenaraikan pemain-pemain senior ini."

Demikian komen jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tentang senarai 25 pemain Singapura yang diumumkan kelmarin bagi menghadapi Malaysia pada pusingan kedua Kela- yakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini.

Selepas gagal melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010, Per- satuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah bertindak membubarkan skuad kebangsaannya dan mahu membina skuad baru.

Namun berdasarkan senarai 25 pemain yang dikeluarkan FAS kelmarin, hanya 12 pemain merupakan muka baru, manakala baki 13 lagi pemain adalah dari skuad Piala Suzuki AFF 2010 termasuk tonggak utama seperti Lionel Lewis, Daniel Bennett, Mustafic Fahrudin dan Aleksandar Duric.

"Jadi saya tak rasa terkejut apabila Singapura panggil semula tonggak utama mereka. Cuma kita akan buat persiapan kita sendiri selepas menghadapi kesukaran untuk mengatasi Taiwan.

"Kita akan gunakan segala kelebi- han yang pemain kita miliki walaupun tahu Singapura masih dibarisi pemain-pemain berpengalaman. Kita akan mencuba yang terbaik untuk layak ke pusingan ketiga," kata Raja- gobal ketika ditemui Kosmo! di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Seramai 20 pelatih skuad kebangsaan kembali menjalani latihan pertama petang semalam selepas mereka selesai tugasan bersama skuad negeri pada aksi terakhir Liga Super malam kelmarin.

Enam pemain Kelantan - Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha, Farisham Ismail, Rizal Fahmi Ab. Rosid, S. Chanthuru dan Shakir Shaari - bagaimanapun tidak dapat berlatih petang semalam setelah penerbangan mereka dari Kota Kinabalu mengalami kelewatan.

Sementara itu, Rajagobal mengesahkan bahawa beliau akan mengekal- kan barisan 26 pelatih sedia ada untuk persiapan menghadapi Singapura termasuk bagi aksi persahabatan menentang Arsenal pada Rabu depan dan Liverpool pada 16 Julai.

"Jika ada keperluan seperti berlaku kecederaan, saya akan panggil mana- mana pemain yang berada dalam senarai 68 pemain yang telah kita daftar.

"Safee Sali masih belum pulih sera- tus peratus dan hanya menjalani latihan ringan pada hari ini (semalam). Bagaimanapun, saya akan pantau perkembangannya dengan fisioterapis pasukan," jelasnya.

Selain 23 pemain yang dibawa ke Taipei, tiga pemain yang digugurkan sebelum ini tersenarai kembali iaitu Azmi Muslim, Shahrizal Saad dan Rizal Fahmi.

Manakala empat pemain lagi tidak dipanggil semula untuk kem latihan kali ini iaitu Syed Adney Syed Hussein, Hisyamuddin Shaari, Yong Ku- ong Yong dan K. Sasikumar.

Kelantan kempen awal, Norshahrul janji ledak


Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu menyasarkan kempen mempertahankan Piala Malaysia musim ini selepas dinobatkan sebagai juara Liga Super, kelmarin.

Untuk itu, Karathu yang baru mengambil alih pengendalian skuad Red Warriors sejak enam bulan lalu menegaskan bahawa anak-anak buahnya perlu komited bagi menghadapi setiap perlawanan.

''Kejuaraan ini merupakan hadiah buat Kelantan. Kita tahu ramai penyokong datang dari Kota Bharu ke Sabah untuk menyaksi dan memberikan sokongan dalam perlawanan ini. Kita amat terharu dengan sokongan mereka. Kalau tidak ada penyokong tidak ada bola sepak.

''Bagi memastikan momentum kita terus konsisten, kita akan mulakan kempen untuk Piala Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, kelmarin.

Begitupun, Karathu agak gusar kerana bakal kehilangan sebahagian pemainnya yang akan berlatih bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 dan perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Liverpool minggu depan.

''Ini adalah antara masalah saya hadapi. Seramai 10 pemain dipilih untuk berlatih bersama Harimau Muda. Apa pun, saya harap mereka dapat latihan baik, namun dalam masa sama, moga-moga mereka tidak cedera," katanya.

Sementara itu, peledak Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha berkata, kegagalan meraih penjaring terbanyak Liga Super musim ini tidak langsung mematahkan semangatnya.

''Insya-Allah, tak dapat hari ini saya akan jadikannya pembakar semangat saya untuk cuba lagi tahun depan.

''Dengan kejayaan ini, saya berharap agar jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dapat beri peluang saya bermain melawan Singapura. Saya janji main 100 peratus dan melebihi semasa menentang Taiwan tempoh hari," katanya.

Harimau terpaksa telan


Seperti dijangka, Malaysia tidak punyai pilihan melainkan bakal berdepan gergasi-gergasi Asia dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik London tahun depan.

Pada majlis undian yang dilangsungkan di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil semalam, skuad Harimau Muda diletakkan dalam Kumpulan C bersama pemenang pingat pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010, Jepun di samping Bahrain dan Syria.

Dapat mengelak bertemu Australia, Korea Selatan, Iraq, Qatar mahupun Uzbekistan mungkin dianggap sebagai undian yang memihak Malaysia, namun dua negara Asia Barat yang bakal dihadapi anak-anak buah Ong Kim Swee bukanlah calang-calang pasukan.

Lebih getir, Harimau Muda akan bertandang ke Jepun bagi aksi pembukaan pada 21 September ini.

Negara Matahari Terbit - Jepun, tiada perlunya untuk diuar-uarkan keunggulan pasukan itu dalam kancah bola sepak Asia.

Skuad Blue Samurai adalah satu-satunya pasukan dari benua ini yang pernah meraih pingat dalam sejarah sejak acara bola sepak mula diperkenalkan pada 1990 di Paris. Mereka meraih gangsa di Mexico City 1968.

Malaysia pula pernah tampil sekali pada Munich 1972, sementara Syria pula beraksi sekali pada Moscow 1980 - temasya yang Malaysia layak tetapi diboikot. Syria ketika itu menggantikan Iran yang turut menyertai boikot tersebut.

Bahrain yang merupakan satu-satunya pasukan dalam Kumpulan C yang masih belum pernah layak ke saingan temasya sukan terbesar dunia itu, pastinya mengintai peluang mengulangi kejayaan skuad senior mereka layak ke Piala Dunia 2010.

Setiap juara kumpulan akan menempah tiket automatik ke London, sementara tiga naib juara kumpulan akan bertembung sesama sendiri untuk merebut slot terakhir, dengan pemenangnya akan bermain dalam perlawanan penentuan bertemu pasukan dari Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

Kim Swee yang ditemui selepas majlis semalam menyifatkan keputusan undian tersebut sebagai 'tidak banyak berbeza' memandangkan Malaysia diletakkan sebagai pasukan tercorot di kalangan 12 pasukan.

"Sebelum undian lagi saya tahu kita bakal mengharungi ujian getir berdepan pasukan-pasukan terkuat Asia, jadi undian sebentar tadi tidak membawa sebarang perbezaan.

"Jepun, seperti kita tahu, baru memenangi pingat emas Sukan Asia tahun lalu dan saya percaya masih ada sebilangan besar pemainnya dikekalkan dalam skuad Olimpik.

"Syria pula ialah pasukan yang sentiasa beraksi cemerlang dalam kejohanan remaja AFC, begitu juga Bahrain, antara pasukan gergasi Asia," ujarnya.

Mengenai perlawanan pembukaan di Jepun dua bulan akan datang, Kim Swee berkata, dia akan cuba mengaturkan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Korea Selatan sebelum bertandang ke Jepun.

Katanya, perlawanan menentang Korea Selatan akan memberi input terbaik mengenai Jepun kerana kedua-dua pasukan tersebut mempunyai ciri yang hampir serupa.

"Dari aspek cuaca, saiz fizikal, corak permainan, Korea dan Jepun tidak banyak berbeza, maka daripada perlawanan itu kita akan lebih bersedia menghadapi Jepun pada aksi sebenar nanti.

"Pendekatan sedemikian adalah sama seperti persiapan sebelum turun menentang Lebanon tempoh hari di mana kami bersinggah di Qatar terlebih dahulu untuk aksi pemanas badan sebelum perlawanan kelayakkan," jelasnya.

Sambil mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri, Kim Swee mengakui tiga perlawanan yang dilangsungkan di tanah air harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk memburu mata penuh.

"Tiga perlawanan di sini adalah sangat penting untuk kita cipta kejutan dan lakar kemenangan. Saya yakin dengan adanya perancangan rapi tiada apa yang mustahil," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Jepun, Hiromi Hara enggan mendabik dada biarpun pada hakikatnya pasukannya diundi dalam kumpulan yang agak mudah.

Hiromi juga menjangkakan saingan sengit datangnya daripada Malaysia pada aksi pembukaan nanti.

"Malaysia sebuah pasukan yang kuat, mereka memiliki pemain-pemain yang mantap," tambahnya.

Thursday, July 7, 2011

Kelantan sahkan kejuaraan


Kelantan cemas seketika sebelum mengesahkan kejuaraan Liga Super 2011 apabila diasak pasukan tuan rumah Sabah pada babak akhir perlawanan, sebelum menang 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam.

Peledak utama Red Warriors, Noorshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukannya apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-5 dan ke-71.

Selepas jaringan kedua itu, Kelantan yang hanya menantikan wisel penamat dibunyikan, cemas apabila Sabah bangkit memberi tentangan dengan memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.

Jaringan tersebut menyuntik semangat pemain Sabah untuk memburu gol penyamaan dengan melakukan asak bertali arus, namun gagal menembusi gawang Kelantan yang dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat.

Kemenangan pada perlawanan terakhir semalam membolehkan Kelantan mengumpul 56 mata dan tidak mampu dicabar Selangor dan Terengganu.

Sebaliknya Selangor menutup saingan musim ini dengan penuh kehampaan, apabila bukan sahaja gagal memintas Kelantan, sebaliknya tercicir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Kedudukan naib juara pula menjadi milik Terengganu apabila berpesta gol dengan membelasah Felda United 6-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya meledak empat gol pada minit ke-22, ke-42, ke-70 dan ke-82, manakala dua gol lagi dijaringkan Ree Shafiq Alwi minit ke-16 dan Abdul Manaf Mamat minit ke-18.

Gol Felda United pula dijaringkan Mat Asmarul Fadzil Hassan minit ke-45 dan Mohd. Shazwan Zainon minit ke-85.

Negeri Sembilan menutup saingan musim ini dengan kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Ahmad Fakri Sharani minit ke-36 dan Shahurain Abu Samah minit ke-59.

Kedah menamatkan saingan di tangga keempat selepas menang 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot, Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan menerusi jaringan tunggal Mohd. Fiqri Md. Isa minit ke-69.

Lima 'import' taruhan Singapura


SINGAPURA mempertaruhkan lima pemain 'import' dalam misi mereka menyekat kemaraan Malaysia pada saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014.

Jurulatih, Radojko Avramovic menyenaraikan lima pemain 'import' dalam skuad kendaliannya itu yang terdiri daripada 25 pemain.

Antara import yang menjadi sandaran mereka ialah dua pemain dari China, Qiu Li dan Shi Jiayi serta Daniel Bennett (England), Mustafic Fahrudin (Serbia) dan Aleksandar Duric (Bosnia) yang kesemuanya telah diberi kerakyatan Singapura.

Avramovic bagaimanapun tidak menyenaraikan dua lagi pemain dari Nigeria iaitu Agu Casmir dan Precious Emuejeraye yang beraksi pada Piala Suzuki AFF 2010.

Senarai 25 pemain Singapura bagi menghadapi Malaysia di Stadium Jalan Besar pada 23 Julai dan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai itu dikeluarkan di laman web ww.fas.org.sg semalam.

Antara sembilan pemain Piala Suzuki AFF 2010 yang digugurkan ialah Baihakki Khaizan, Noh Alam Shah dan Noh Rahman manakala Hassan Sunny dan Khairul Amri Kamal mengalami kecederaan.

Justeru seramai 12 pemain baru dipanggil kali ini bagi membantu baki 13 pemain Piala Suzuki AFF 2010 lain yang dikekalkan.

Antara muka baru ialah Ismail Yunos, Shaiful Esah, Hamqaamal Shah Hamzah, Hariss Harun, Andrew Tan dan Khairul Nizam Kamal.

"Ini merupakan 25 pemain terbaik yang kami ada. Saya tidak akan panggil pemain lain kerana tiada masa lagi untuk membuat eksperimen. Harap tiada masalah kecederaan," kata Avramovic.

Selepas menewaskan Maldives 4-0 pada 7 Jun lalu dan Etoile FC 2-1 pada 30 Jun lalu, skuad Singapura bakal mengharungi aksi persahabatan terakhir menentang Laos pada 18 Julai.

Manakala skuad negara kendalian Datuk K. Rajagobal akan kembali berkumpul di Wisma FAM, Kelana Jaya petang ini sebagai persediaan menghadapi Arsenal pada Rabu depan dan Liverpool (16 Julai) sebelum berkunjung ke Kota Singa.

Wednesday, July 6, 2011

Kelantan juara Liga Super 2011

Penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira Red Worriors selepas membantu pasukannya menjulang trofi Liga Super 2011 buat kali pertama, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Datuk M. Karathu itu dinobat sebagai juara musim ini selepas menundukkan Sabah dengan keputusan 2-1 di Stadium Likas.

Lebih manis kejuaraan semalam juga membolehkan skuad Red Warriors menamatkan kemarau tujuh tahun tanpa gelaran Liga Super sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

Keputusan lain, Negeri Sembilan menewaskan Perlis 2-0, Pahang kecundang kepada Kedah 0-1, Harimau Muda A sekadar seri 2-2 menentang Johor FC, Selangor seri tanpa jaringan menentang Perak dan Terengganu menang 6-2 menewaskan Felda United.

Hanya selangkah buru mahkota


MENCARI satu mata keramat. Itu misi yang mahu dilaksanakan Kelantan dalam pemburuan mereka menjulang trofi Liga Super musim ini.

Andai berjaya meraih sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang Sabah di Stadium Likas malam ini, Kelantan bakal ditabalkan selaku juara baharu Liga Super yang mula diperkenalkan pada 2004.

Dengan dua pencabar terdekat Kelantan, Selangor dan Terengganu turut memburu status yang sama, skuad The Red Warriors itu tampak memiliki sedikit kelebihan.

Keputusan seri ketika menentang Sabah sudah memadai buat Kelantan untuk dijulang sebagai juara.

Jika itu berlaku, Selangor yang akan menentang Perak di Ipoh, perlu menang dengan meledak lebih daripada 12 gol tanpa membiarkan gawang mereka dibolosi untuk memintas kedudukan Kelantan pada perlawanan terakhir tersebut.

Terengganu pula perlu mengatasi Felda United sekurang-kurangnya dengan tujuh gol tanpa bolos sambil mengharapkan Kelantan dan Selangor tumbang bagi membolehkan mereka meraih kejuaraan berganda musim ini.

Biarpun perkiraan itu dilihat sebagai suatu yang sukar buat Selangor dan Terengganu mencabar kedudukan Kelantan, namun barisan pemain The Red Warriors tidak perlu meletakkan risiko terhadap keputusan melibatkan kedua-dua pasukan tersebut.

“Sabah merupakan pasukan yang baik. Pada aksi di Kota Bharu sebelum ini, mereka beraksi dengan baik dan berjaya mengikat Kelantan.

“Walaupun berada agak bawah dalam carta liga, saya percaya mereka akan beraksi dengan lebih baik di di depan penyokong sendiri.

“Bagaimanapun, saya opti- mis dengan keupayaan pasu- kan Kelantan dan kita pasti ke sana untuk memenangi perlawanan.

“Ramai yang anggap satu mata sudah cukup tetapi saya tidak mahu fikir tentang itu kerana kita sentiasa turun untuk menang,” kata Karathu ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, tiada persiapan istimewa dilakukan bagi menghadapi Sabah, namun beliau yakin Kelantan tidak mempunyai masalah untuk mencapai kemenangan sekiranya para pemain mengikut arahan selain mengekalkan disiplin serta sentiasa bekerja keras untuk memburu gol.

Kehadiran semula lima tonggak yang menyarung jersi kebangsaan jelas membuatkan Karathu mampu tersenyum kerana Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, Shakir Shaari, Farisham Ismail dan Khairul Fahmi Che Mat berada dalam senarai perancangannya untuk turun menentang Sabah.

“Memang mereka adalah senjata kita yang sangat penting dan kesemua mereka ada dalam senarai saya.

“Namun kita akan memantau dari segi tahap kecergasan dan kecederaan untuk memastikan mereka dalam kesebelasan malam esok (malam ini).

“Pemain-pemain saya sudah beberapa kali beraksi dalam perlawanan besar dan penting, saya harap mereka mampu mencari ketenangan dan tidak terlalu tertekan.

“Tekanan yang melampau mampu 'membunuh' kita dan saya tidak mahu perkara itu berlaku,” jelasnya.

Tekad Kijang


KELANTAN tidak lagi rela berputih mata sebaliknya mahu memastikan trofi Liga Super menjadi milik mereka buat kali pertama kali ini.

Selepas sekadar menamatkan saingan musim lalu di tangga kedua dan melihat penuh cemburu Selangor menjulang trofi buat kali kedua berturut-turut, peluang kini terbentang luas buat Kelantan mengambil alih gelaran juara jika berjaya melunaskan misi terakhir, menewaskan Sabah di Stadium Likas malam ini.


Skuad The Red Warriors kini menguasai takhta liga dengan 53 mata hasil 16 kemenangan selepas 25 perlawanan manakala pencabar terdekat Selangor ketinggalan dua mata dan Terengganu di tempat ketiga, tiga mata di belakang.

Walaupun hanya memerlukan satu mata saja dalam perlawanan terakhir itu, skuad kendalian Datuk M Karathu itu tetap memburu kemenangan bagi mengesahkan mereka selaku juara mutlak yang tidak pernah dikecapinya sejak 1979 lagi.


“Kami bukan bermain untuk seri tapi mencari kemenangan, kalau seri nanti minit-minit akhir Sabah dapat jaringkan gol, susahlah,” katanya sambil merujuk kegagalan Kelantan di final Piala FA apabila dibolosi gol saat akhir untuk Terengganu menang 2-1.


Karathu berkata, semangat pemainnya yang amat dahagakan kejayaan semakin memuncak malah kehadiran semula penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha yang bakal menambah sengat barisan utama Kelantan.

“Pemain sedar mereka kini berpeluang mencipta sejarah sebagai pasukan yang menjulang trofi Liga Super pertama untuk Kelantan, ini akan menjadi motivasi tambahan buat mereka.


“Selain Nurul (Azwan Roya) yang digantung perlawanan, saya tidak berdepan masalah menurunkan barisan terbaik esok (malam ini) termasuk pemain kebangsaan yang baru menjalani latihan bersama hari ini (semalam). “Norshahrul boleh bermain esok (hari ini), saya juga tidak bimbang mengenai Khairul Fahmi (Che Mat) kerana saya masih mempunyai seorang lagi penjaga gol, Mohd Shahrizan (Ismail) yang beraksi cemerlang sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Karathu tetap berwaspada kerana tidak mahu diaibkan Sabah di saat akhir memandangkan pasukan lawan itu memiliki rekod baik di laman sendiri musim ini.


Ketika Kelantan bertandang ke Kota Kinabalu, dua lagi pasukan yang berpeluang muncul juara Liga Super musim ini, Selangor dan Terengganu turut berkunjung ke gelanggang lawan. Selangor akan menentang Perak di Stadium Perak di Ipoh manakala Terengganu berdepan Felda United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Peluang terbaik Red Warriors

Pasukan The Red Warriors mesti mengutip sekurangkurangnya satu mata ketika bertemu Sabah malam ini, sekiranya mahu mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini.

Selepas gagal menjuarai Piala FA, Kelantan di bawah bimbingan Datuk M. Karathu kini berada pada landasan terbaik untuk menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu, bagi bergelar juara liga buat pertama kali.

Malah, Karathu mengakui ini merupakan peluang terbaiknya untuk menebus kehampaan tewas 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA sebelum ini.

"Kita ke Kota Kinabalu dengan misi yang cukup jelas iaitu mencipta kemenangan. Sudah pasti Sabah akan bermain mati-matian dan tidak memberi laluan mudah, namun kita sudah bersiap sedia menjadi pasukan keenam mengalahkan mereka di tempat sendiri kali ini.

"Ini bukan sahaja berkisar mengenai soal untuk kita mengutip mata tetapi lebih penting bagi kami ialah memburu kejuaraan liga yang pertama. Kejuaraan liga sudah terlalu hampir dengan kami," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sehubungan itu, Karathu menuntut barisan pemainnya mempamerkan semangat juang yang tinggi sebagai watak seorang juara.

Beliau memberitahu, meskipun turun tanpa kelibat pemain sayap, Mohd. Nurul Azuwan Roya yang menghadapi penggantungan, kembalinya lima tonggak utama yang menggalas tugas bersama skuad kebangsaan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Farisham Ismail, S. Chanturu, Mohd. Shakir Shaari dan Khairul Fahmi Che Mat memberikan tonik buat Kelantan untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Segalanya cukup sempurna sekarang. Lima tonggak akan bersama dengan kita termasuk Norshahrul Idlan yang sudah boleh beraksi.

"Saya percaya berbekalkan semangat di atas kejayaan membantu skuad negara mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, bakal menjadi pembakar semangat kepada lima pemain tersebut untuk beraksi lebih baik.

"Kecuali Nurul Azuwan yang terpaksa disisihkan kerana menjalani penggantungan perlawanan. Saya percaya penggantinya Mohd. Izuan Salahuddin mampu beraksi dengan baik mengisi posisi sayap kiri.

"Malah, motivasi dalam kalangan pemain juga cukup bagus ketika ini. Mereka mengerti ini merupakan peluang terbaik untuk membawa Kelantan bergelar juara dan mereka sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mencipta sejarah baru ini," jelasnya.

Tuesday, July 5, 2011

Tottenham Hotspur pilih Malaysia sebagai pangkalan di Asia

Malaysia dipilih sebagai pangkalan Kelab Liga Perdana England (EPL), Tottenham Hotspur dalam meningkatkan program pembangunan bola sepaknya di rantau Asia.

Duta kelab berkenaan, Gary Mabbutt berkata, program yang dijalankan dengan usaha sama syarikat Football Focus Asia itu, akan menggilap pemain bola sepak berpotensi di negara ini dan juga Asia.

"Menerusi program ekstensif ini, yang bakal membawa jurulatih Tottenham ke Malaysia, bola sepak akan dibangunkan setaraf standard EPL, dari peringkat akar umbi, bagi menjana kejayaan sukan berkenaan di Malaysia bagi tahun-tahun akan datang.

"Alangkah bagusnya jika kita dapat menyaksikan rakyat Malaysia yang pertama beraksi dalam EPL dan bermain untuk Tottenham,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Tottenham Hotspur Membangunkan Bola Sepak Malaysia di sini hari ini.

Kelantan elak tumbang di Likas


Meskipun Kelantan memerlukan satu mata untuk bergelar juara Liga Super musim ini, ketua pasukannya Mohd. Badri Radzi menuntut kerja keras rakan sepasukan bagi memastikan The Red Warriors mencapai kemenangan ke atas Sabah dalam aksi terakhir liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu, esok.

Anak kelahiran Kampung Atas Paloh ini berkata, hanya kemenangan sahaja yang akan menjamin peluang The Red Warriors untuk bergelar juara sekali gus menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu.

''Kita tidak boleh bergantung kepada orang lain untuk membantu kita meraih kemenangan. Untuk itu setiap peluang yang ada harus digunakan sebaik mungkin dengan menjaringkan gol agar kita mendapat tiga mata penuh dan muncul juara.

"Inilah peluang terbaik buat kita untuk mencipta sejarah baru iaitu bergelar juara Liga Super buat kali pertama selepas gagal melakukannya pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Badri turut mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah kemampuan Sabah yang pastinya akan turun habis-habisan untuk mengecewakan Kelantan.

"Ruang rehat selama tiga minggu ini telah kami gunakan dengan baik dalam memperkemaskan pasukan dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatih. Secara keseluruhannya saya dan rakan sepasukan telah bersedia untuk perlawanan ini," ujarnya.

Brazil hambar

Juara bertahan Brazil sekadar seri 0-0 dengan Venezuela pada perlawanan pertama Kumpulan B kejohanan Copa America semalam selepas mereka dinafikan sepakan penalti dan percubaan terbaik Alexandre Pato pula sekadar singgah di palang.

“Ini langkah permulaan untuk melakar sejarah dan kami pastinya akan mengingati perlawanan ini,” kata penyerang Venezuela, Nicolas Fedor selepas menyaksikan pasukannya meraikan keputusan seri bagaikan mencatat kemenangan.


Venezuela terselamat selepas keputusan kontroversi pengadil Bolivia, Raul Orosco tidak memberikan sepakan penalti kepada Brazil biarpun bola terkena tangan dalam kotak penalti di hujung babak pertama.

Penjaga gol, Renny Vega berjaya menepis percubaan itu namun bola lantunan itu dirembat Robinho sehingga memaksa pemain pertahanan, Oswaldo Vizcarrondo menghalang dengan badannya.


Namun bola sepakan Robinho itu nampak seperti terkena tangan sebelum terkeluar dan pengadil hanya memberikan sepakan penjuru.


Brazil mendominasi babak pertama dan Pato melepaskan rembatan kencang terkena palang pada minit ke-38.

Asakan bertali arus dilancar pemain Brazil untuk memberi tekanan kepada pertahanan Venezuela dengan Neymar beraksi di bahagian sayap bergandingan dengan pemain pertahanan kiri, Andre Santos manakala Daniel Alves pula mengasak di bahagian kanan dan Robinho memberi ancaman di tengah.


Venezuela beraksi lebih baik pada babak kedua dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang namun gagal memecahkan kebuntuan.

Pemain pertahanan kiri Gabriel Cichero membuat hantaran lintang dan berjaya ditanduk kemas Fedor namun penjaga gol, Julio Cesar, antara beberapa pemain skuad Piala Dunia Brazil tahun lalu yang kekal, berjaya menghalang percubaan itu.


Kemudian penyerang Salomon Rondon yang mendapat lorongan bola daripada Arango kerana tidak mahu memberi peluang kepada Fedor yang tidak dikawal sebaliknya dia membuat keputusan menggelecek Lucio di sebelah kiri sebelum terjatuh sehingga dilayangkan kad kuning kerana sengaja menjatuhkan badan.


“Saya fikir mereka bukan lagi pasukan yang mudah ditewaskan. Ini perlawanan 11 pemain menentang 11 pemain dan semua orang ada peluang,” kata Julio Cesar

Tawaran City sukar ditolak Gunners

Manchester City melakukan bidaan berganda �27 juta (RM130 juta) untuk mendapatkan khidmat dua pemain Arsenal, Gael Clichy dan Samir Nasri.

City semakin hampir memuktamadkan perjanjian bernilai �7 juta (RM34 juta) buat Clichy dan akan menawarkan Gunners sesuatu yang sukar untuk ditolak sekiranya Nasri seperti dijangka, gagal bersetuju dengan kontrak baru di Emirates.


Clichy dilihat meninggalkan sebuah restoran di Manchester, malam kelmarin ketika dia bersedia untuk menjadi pemain utama pertama meninggalkan Arsenal musim panas ini.

Sementara itu, juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United masih mencari pemain begitu juga pengurus baru Chelsea, Andre Villas-Boas.


Nasri, yang dibeli dengan harga �15.8 juta (RM76.5 juta) dari Marseille pada 2008, tidak akan kembali ke London Colney hingga Khamis ini kerana diberikan tambahan cuti, seperti pemain Arsenal lain yang terbabit dengan tugasan antarabangsa sebelum ini.


Pemain tengah Gunners itu memberikan bayangan untuk meninggalkan kelab itu selepas mengakui dia terlalu inginkan menjulang trofi kejuaraan.

“Tanpa sebarang kejuaraan yang anda miliki, anda tidak boleh dicalonkan bagi anugerah Ballon D'Or. Saya ke England untuk memenangi trofi kerana saya belum memenangi apa-apapun dalam karier saya, kecuali Kejuaraan B-17 Eropah pada 2004.


“Kami sudah mendapat gaji yang besar. Keutamaan kini adalah untuk mengembangkan karier dan memenangi kejuaraan. Ini lebih penting daripada perkara lain,” kata Nasri.

Cesc Fabregas, yang bercuti di Sepanyol, dijangka kembali bersama skuad senior hari ini.


Barcelona masih berusaha untuk melengkapkan perpindahan semula pemain itu ke bekas kelabnya ketika remaja dengan perpindahan bernilai �35 juta (RM169.5 juta).


Minggu lalu, pemain tengah Arsenal itu memberitahu wartawan di Tordera, Sepanyol: “Jika seseorang pemain berada dalam pasaran perpindahan ia kerana kelab tidak mahukannya lagi. Saya tiada masalah.” Pemain tengah Marseille dan Perancis, Mathieu Valbuena, 26, disebut-sebut sebagai pemain yang diintai pengurus Arsenal, Arsene Wenger sekiranya beliau kehilangan Fabregas dan Nasri.

Misi benam Singapura


TAIWAN sudah ditunjuk jalan keluar, inikan pula Singapura. Justeru, pertembungan Malaysia dengan barisan skuad kebangsaan ‘import’ Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan pasti sengit. Andai berjaya mengatasi Singapura kelak, Malaysia mempunyai alasan tersendiri untuk bermegah kerana lawan mereka merupakan pasukan yang diwakili pemain import dan bukannya seratus peratus anak jati tempatan.

Malaysia layak ke pusingan kedua selepas membenam cabaran Taiwan dengan kelebihan jaringan di tempat lawan. Agregat terikat 4-4 tetapi skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu telah menghasilkan dua gol di tempat lawan malam kelmarin meskipun pada aksi tersebut Malaysia tewas 2-3. Pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lepas, Malaysia menang 2-1. Ranking antara Malaysia dengan Singapura juga tidak jauh berbeza. Malaysia berada di tangga ke-144 dunia manakala Singapura menghuni tangga ke-142.

Rekod kemenangan juga agak seimbang namun, Singapura yang dibimbing Rodojko Avramovic itu mendapat bye pusingan pertama dan telah mengadakan dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi saingan pusingan kedua. Pada 7 Jun lalu, Singapura mudah menewaskan Maldives 4-0 menerusi dua jaringan Qiu Li, Shi Jiayi dan Aleksandar Duric. Pada Khamis lalu pula, Singapura berjaya menewaskan kelab Perancis yang beraksi di Liga Singapura, Etoile FC 2-1 hasil jaringan Li dan Duric. Kemenangan yang mereka raih itu memang hebat tetapi, semuanya disumbangkan oleh ‘warganegara import’ mereka.

Malaysia pula seri 1-1 dengan Etoile FC pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, Mac lalu. Li, 30, dan Jiayi, 28, merupakan dua pemain kelahiran China yang mendapat kerakyatan Singapura manakala Duric, 41, dari Bosnia mula beraksi untuk Singapura sejak 2007. Biarpun Avramovic telah menggugurkan beberapa muka lama seperti Baihakki Khaizan, Noh Alam Shah, Precious Emuejeraye dan Agu Casmir untuk senarai 33 pelatih bagi kelayakan Piala Dunia 2014, majoriti daripada pemain utama lain masih dikekalkan dalam skuad.

Arsenal, Liverpool asah taring Harimau


Siri Jelajah dua kelab gergasi Liga Perdana England (EPL), Arsenal dan Liverpool bakal menjadi medan persediaan skuad Harimau Malaya sebelum menentang Singapura dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal berkata, pertemuan dengan dua kelab EPL itu sudah cukup memadai untuk mengasah kemahiran pemain-pemain negara sebelum berdepan Singapura pada 23 Julai ini.

Tambahnya, perlawanan menentang Arsenal pada 13 Julai ini dan Liverpool pada 16 Julai mampu memberi pendedahan kepada para pemain negara terutama dalam mempertingkatkan tahap kecergasan.

''Saya lihat perlawanan persahabatan ini adalah sesuatu yang baik buat pemain dan sudah tentu saya akan pastikan semua pemain memperoleh peluang sebegini.

''Ini adalah satu persediaan yang amat baik dari segi mental dan fizikal sebelum beraksi pada perlawanan pusingan kedua Piala Dunia,'' katanya kepada pemberita di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Sementara itu, Rajagobal memberitahu, layak beraksi untuk pusingan kedua pada 23 Julai ini seakan memberi nafas baru buat pasukan kebangsaan.

''Saya yakin pemain kita mampu memberi persembahan lebih baik berbanding yang aksi pada pusingan pertama menentang Taiwan.

''Saya juga akan memberitahu pemain agar tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang dilakukan ketika menentang Taiwan sewaktu menghadapi Singapura nanti,'' jelas Rajagobal.

Monday, July 4, 2011

Kelantan buru tiga mata penuh


KELANTAN bertekad untuk meraih mata penuh pada aksi terakhir Liga Super musim ini bertemu Sabah pada Rabu ini, sekali gus dinobatkan selaku juara buat kali pertama.

Kelantan menyuarakan keinginan itu ketika juara Piala FA musim ini, Terengganu dan juara bertahan Liga Super, Selangor yakin mereka masih berpeluang memintas skuad The Red Warriors.

Bagi pengurus Kelantan, Azman Ibrahim, meskipun Kelantan hanya perlu mencatat keputusan seri untuk dinobatkan selaku juara baharu, beliau enggan mengambil risiko, sebaliknya mahu mencatat kemenangan dalam perlawanan itu.

Azman berkata, kunjungan ke Negeri Di Bawah Bayu itu bukan semata-mata mahu mencatat seri tetapi mahu memburu tiga mata penting untuk memastikan pasukan tersebut muncul juara liga musim ini.

"Inilah peluang terbaik kita menjulang kejuaraan selepas mencuba selama tiga tahun untuk bergelar juara dan para pemain juga menye- dari kita sudah terlalu hampir untuk mencapai impian tersebut.

"Saya tidak mahu bergantung kepada keputusan lain kerana apa yang kita kecapi hari ini (menduduki tangga teratas liga) adalah hasil usaha gigih kita semata-mata.

"Kegagalan dalam perlawanan akhir Piala FA lalu menjadi pengajaran dan ia menjadi suntikan semangat kepada pemain dan kita tidak mahu kecewa lagi," katanya.

Tambahnya, The Red Warriors tetap tidak memandang mudah pertemuan ini kerana Sabah merupakan sebuah pasukan yang cukup liat untuk ditumbangkan, terutamanya di tempat sendiri.

Azman memberitahu, berdasarkan sesi latihan yang ditunjukkan oleh barisan pemain, beliau optimis misi untuk membawa pulang piala itu ke negeri ini buat pertama kali ternyata tidak mustahil.

"Siapa kata kita tidak boleh mengalahkan Sabah di Kota Kinabalu. Kalau Selangor, Terengganu, Johor FC, Harimau Muda dan T-Team mampu berbuat demikian, saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama.

"Malah dua pencabar terdekat kita iaitu Terengganu dan Selangor juga sudah pasti berhadapan tugas sukar kerana bermain di tempat lawan," ujarnya.

Katanya, tidak mudah bagi Terengganu untuk berhadapan dengan KL Felda United FC kerana hanya Kelantan, Selangor, Kedah dan Perak yang pernah menewaskan pasukan itu di tempat mereka.

Sementara itu, Azman turut mengesahkan kesemua lima pemain Kelantan yang bersama skuad kebangsaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Taiwan akan kembali menyertai pasukan esok.

Lima pemain tersebut ialah Nor- shahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Farisham Ismail, Mohd. Shakir Shaari dan S. Chanturu.

'Tumpu perlawanan menentang Singapura'

Skuad kebangsaan diharap dapat mengekalkan kecemerlangannya apabila menentang Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia pada 23 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya berharap skuad Harimau Malaya tidak terlalu terbawa-bawa dengan keadaan perlawanan kedua melawan Taiwan di Taipei, semalam yang menyaksikan pengadil 'menghadiahkan' tiga sepakan penalti untuk pasukan tuan rumah.

''Walaupun beberapa keputusan pengadil boleh dipertikaikan, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan buat skuad negara untuk terus bermain dengan cemerlang," katanya kepada pemberita selepas menonton perlawanan tersebut bersama kira-kira 300 remaja di Restoran Lagenda 17 di sini, semalam.

Turut sama menyaksikan perlawanan itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Azhari Shaari dan beberapa pemain legenda bola sepak negara seperti, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Mubin Mokhtar.

Shabery berkata, skuad kebangsaan telah banyak menghasilkan keputusan yang membanggakan dan sebagai pasukan yang mula dihormati di rantau ini, Malaysia perlu membuktikan kebangkitannya melalui pertarungan dengan jiran terdekat, Singapura nanti.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa gembiranya kerana prestasi yang dicatatkan oleh skuad kebangsaan berjaya menambah keyakinan dan kesetiaan para peminat dan penyokong bola sepak tanah air.

''Keyakinan adalah sesuatu yang sukar dibina dan ia boleh hancur dalam sekelip mata, jadi, saya harap skuad Harimau Malaya terus memberikan keputusan yang cemerlang buat rakyat Malaysia," katanya.

Kelayakan Piala Dunia: Malaysia tewas tapi mara

Harimau Malaya melakar sejarah bola sepak tanah air apabila layak buat kali pertama ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.

Sekalipun tumpas 2-3 kepada Taiwan, namun, berdasarkan kiraan gol di tempat lawan skuad kebangsaan yang terikat agregat 4-4 dalam aksi di Stadium Perbandaran Taipei di sini, semalam membolehkan mereka layak ke saingan seterusnya.

Sunday, July 3, 2011

Congak Stategi terbaik


KEBIJAKSANAAN ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal mengatur strategi sekali lagi diperlukan untuk membolehkan Harimau Malaya menamatkan badi 34 tahun gagal mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

Selepas kejayaan membimbing skuad bawah 23 tahun menamatkan penantian 20 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan Sea pada 2009 dan meleburkan penantian 14 tahun untuk memenangi Piala AFF 2010 buat kali pertama, jurulatih itu sekali lagi memikirkan strategi terbaik untuk memerangkap Taiwan pada aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014, malam ini.

Percaturan yang berkesan diperlukan untuk membolehkan Harimau Malaya mempertahankan kelebihan jaringan selain sentiasa bersedia mengasak kubu lawan bagi mencari gol tambahan yang boleh memudahkan lagi tugas untuk menyingkirkan Taiwan yang melaungkan keyakinan tinggi selepas mencuri satu gol ketika tewas 1-2, Rabu lalu.

Beliau bagaimanapun dilihat tidak boleh memilih untuk mengamalkan corak permainan bertahan sepenuhnya ketika lawan hanya memerlukan kemenangan 1-0 untuk memastikan kemaraan mereka ke pusingan kedua menentang Singapura yang mendapat bye.

Yang pasti beberapa pertukaran pemain akan berlaku terutamanya di barisan pertahanan yang dianggap Rajagobal ‘tidur’ pada separuh masa kedua sehingga membiarkan lawan meraih gol penting ketika perlawanan menuju ke penghujung.

Pemain pertahanan kental, Mahali Jasuli dijangka mengisi posisi pertahanan kanan menggantikan Helmi Remeli yang jelas gugup pada aksi pertama Rabu lalu selain elemen kejutan yang dijangka diteruskan oleh Rajagobal kerana masih mempunyai sejumlah pemain yang mampu beraksi dengan baik dalam kesebelasan utama.

Antaranya tiga tonggak Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanthuru, selain pemain pertahanan, Mohd Muslim Ahmad dan pemain sayap lincah, Mohd Ashaari Shamsuddin.

Percaturan paling menarik adalah bahagian sayap yang dilihat menjadi kelebihan Harimau Malaya selama ini untuk membuka ruang mencipta jaringan berikutan kehadiran beberapa pemain yang mempunyai larian yang pantas, kemahiran yang menarik serta keyakinan tinggi seperti S Kunanlan, Chanthuru, Mohd Ashaari dan Mohd Amirulhadi Zainal.

Malah Harimau Malaya berkemungkinan turun dengan ‘wajah baru’ dengan beberapa pertukaran drastik untuk mengejutkan ketua jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung yang tampak berkeyakinan tinggi mencipta kemenangan.

Kunanlan yang mempunyai larian pantas, bersedia menggalas sebarang tugas diberikan Rajagobal terutamanya dalam mengucar-kacirkan pertahanan lawan seperti yang dilakukan pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu lalu.

“Saya juga bersedia sekiranya jurulatih mahu menggunakan saya (larian pantas) untuk melakukan serangan balas seperti di Piala AFF sebelum ini. “Benteng pertahanan Taiwan tidaklah sekukuh yang disangka, mereka boleh dibolosi,” kata pemain berusia 25 tahun itu dengan penuh keyakinan.

Mengenai corak permainan Harimau Malaya yang dilihat sedikit menurun, Kunanlan berkata ia mungkin berpunca daripada ketiadaan pertandingan kompetitif sejak awal tahun ini.

Harimau Malaya memenangi aksi pertama dengan keputusan 2-1 sekali gus dilihat sebagai tugas yang sukar berikutan lawan hanya memerlukan kemenangan 1-0 pada pertemuan timbal balik

'Faktor X' ancam Harimau Malaya

Pemain Taiwan yang berpangkalan di Eropah, Xavier Chen mampu menambahkan kegusaran jurulatih Datuk K. Rajagobal pada perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Taipei, hari ini.

Xavier, 27, boleh diumpamakan 'Prof. X' yang menjadi adiwira filem dan komik terkenal, X-Men yang mencetuskan misteri dengan penampilan pertama bersama Taiwan hari ini, setelah tidak sempat beraksi ketika Malaysia menang 2-1 di Bukit Jalil, Rabu lalu.

Ketika itu, dia baru sahaja mendapat kebenaran bermain daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Namun pemain pertahanan kanan yang beraksi dengan kelab di Belgium itu, disebut-sebut bakal mencetuskan kesukaran buat barisan penyerang skuad negara pada perlawanan di Stadium Perbandaran Taipei hari ini.

Sejauh mana keserasian bekas ketua pasukan Bawah 19 Belgium itu dengan rakan sepasukan, mencetuskan tanda tanya.

Ini kerana Xavier kurang fasih bertutur bahasa Mandarin dan baru mendapat kerakyatan, Mei lalu biarpun memiliki pengalaman beraksi untuk KV Mechelen dan berguru di Akademi RSC Anderlecht.

"Mungkin masalah komunikasi di padang tetapi saya sudah belajar dan memahami beberapa perkataan penting Mandarin untuk memudahkan permainan dan keserasian saya," kata pemain itu yang pernah bersama KV Kortrijk pada 2003.

Mengulas kehadiran 'watak baru' dalam skuad Taiwan, K. Rajagobal berkata: "Kehadirannya merupakan satu cabaran buat kami dan boleh jadi kelebihan pihak lawan atau pun kita. Dia baru kali pertama bermain dengan Taiwan dan mungkin tidak begitu arif seperti mana rakan sepasukannya yang telah bermain di Bukit Jalil mengenai corak permainan pasukan kita (dalam perlawanan pertama).

"Namun walau siapa pun yang tuan rumah turunkan, apa yang lebih penting ialah bagaimana cara kita beraksi esok (malam ini demi merebut tempat ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia menentang Singapura, 23 dan 28 Julai)," katanya.

Menyertai Xavier nanti ialah Victor Chou, 19, pertahanan tengah atau pemain tengah kelahiran Sepanyol dan berpengalaman mewakili pasukan Divisyen B Segunda, UD Salamanca.

Pemain itu cuma memanaskan bangku simpanan pada aksi Bukit Jalil yang dimenangi Malaysia 2-1 menerusi jaringan Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Radzak.

Sementara itu, Rajagobal masih mahu menunggu sehingga perlawanan pukul 7 petang ini (waktu Malaysia) untuk menentukan siapa penjaga gol utama yang direbut sengit oleh tiga pemain, Sharbinee Allawee Ramli, Khairul Fahmi Che Mat, yang baru pulih daripada kecederaan bahu dan Nasril Nourdin.

"Apabila kita ada banyak pilihan pemain, ia satu perkembangan baik bagi pasukan kerana semua bersaing sengit bagi satu posisi penting ini. Saya juga akui prestasi Sharbinee memberangsangkan (pada aksi di Stadium Nasional, Rabu lalu) namun kita akan terus bergantung kepada prestasi semasa," katanya.

Ahmad Fakri Saarani yang disebut-sebut akan digandingkan semula dengan Abdul Hadi Yahya ekoran ketiadaan Safee Sali yang tercedera berkata: "Saya berjanji untuk mengurangkan kesilapan mensia-siakan peluang gol pada perlawanan pertama itu, saya akan cuba mendapatkan gol awal kita."

Kali terakhir penyerang Negeri Sembilan kelahiran Kota Bharu, menyumbat gol skuad negara sepanjang tahun ini ialah ketika perlawanan persahabatan diikat 1-1 oleh kelab Perancis, Etoile FC di Singapura, Februari lalu.

Bolivia ikat Argentina 1-1

PEMAIN gantian, Sergio Aguero menyelamatkan maruah tuan rumah, Argentina apabila jaringannya pada minit ke-76 menghampakan Bolivia untuk mencipta kejutan pada aksi pembukaan Copa Amerika 2011 di Stadium La Plata sebentar tadi.

Penyokong tuan rumah tersentak seketika apabila Edivaldo Rojas memberikan gol pendahuluan buat Bolivia pada minit ke-48, namun jaringan menarik Aguero mengikat perlawanan dengan keputusan 1-1.

Chinese Taipei yakin benam Malaysia

JURULATIH Chinese Taipei, Lo Chih-Tsung tetap optimis pasukannya mampu memenangi perlawanan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia walaupun ketinggalan satu jaringan.

Keyakinan pengendali berusia 55 tahun itu berlandaskan persembahan berdisiplin mereka ketika di Kuala lumpur selain bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri esok.

“Aksi di Kuala Lumpur sebenarnya bukanlah corak sebenar permainan kami. Dan kami mengamalkan taktik menyerang balas dan bakal digunakan pada perlawanan timbal balik, esok.

“Walaupun tewas 1-2 pada aksi pertama, satu gol yang diperolehi berjaya membangkitkan semangat pemain untuk bertemu Malaysia,” katanya.

Selain itu, kem Chinese Taipei menerima khabar gembira kerana bakal diperkuatkan dengan khidmat pertahanan kiri kelahiran Belgium, Xavier Chin.

Chin tidak bermain di Kuala Lumpur kerana menunggu pelepasan daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa).

Manakala, seorang lagi pemain yang berpangkalan di Eropah, iaitu Victor Chou tidak diturunkan ketika menentang Malaysia.

Pasukan yang memenangi perlawanan esok bakal bertemu Singapura.

Bagi skuad Rajagobal pula, mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke pusingan berikutnya.