Saturday, January 2, 2010

KBS minta FAM 'simpan' skuad B-23


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menyarankan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara tidak dilepaskan beraksi dengan pasukan negeri atau kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, sewajarnya skuad B-23 yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini, kekal sebagai pemain kebangsaan, bukannya sebagai pemain untuk pasukan negeri dan kelab.

"Kita akan berunding dengan FAM untuk menyuarakan perkara ini supaya mereka tidak boleh pergi bermain untuk negeri dan kelab tetapi kekal sebagai pemain kebangsaan.

"Ini kerana bukan semua pasukan negeri dan jurulatihnya mampu memberikan tahap lati- han, kemahiran dan stamina mengikut standard pemain kebangsaan," katanya kepada pemberita di Kuala Lipis semalam.

Ahmad Shabery berkata, pendekatan itu juga perlu diambil bagi mengelakkan pemain-pemain menjual permainan sekira- nya pengurusan negeri dan kelab gagal menawarkan gaji tinggi kepada mereka.

"Kita juga tidak boleh samakan seperti di England iaitu dalam Liga Perdana England kerana tahap kemahiran dan stamina pemain kelab lebih tinggi daripada pasukan kebangsaan mereka.

"Kelab seperti Manchester United, Liverpool, Chelsea dan beberapa pasukan lain mempunyai pemain terbaik dan bertaraf dunia tetapi pemain kebangsaan mereka gagal pada peringkat dunia," kata beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, barisan pemain B-23 perlu diberikan lebih banyak pendedahan dengan berlatih dan bermain dengan pasukan kelab di luar negara.

Ahmad Shabery berkata, skuad B-23 yang berjaya menundukkan Syria 4-1 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini telah membuktikan pemain-pemain semakin serasi.

Beliau turut berharap kesemua pemain itu terus dikekalkan bagi mewujudkan kesefaha- man yang jitu dan dapat memainkan peranan masing-masing semasa beraksi di padan

Rajagobal resah kecederaan tonggak


ecederaan dua pemain tonggak, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd Sabre Mat Abu meresahkan jurulatih K. Rajagobal, menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.

Lima hari menjelang perlawanan tersebut, belum ada kepastian kedua-duanya bakal pulih tepat pada masanya untuk diturunkan pada perlawanan di Dubai nanti.

Untuk itu, Rajagobal berkata, beliau akan memantau kecederaan yang dialami oleh kedua pemain itu sebelum memutuskan kesebelasan utama bagi perlawanan tersebut.

Tanpa menyebut secara spesifik mengenai kecederaan yang dialami oleh Mohd. Amri dan Mohd. Sabre, Rajagobal juga berkata, setakat ini beliau belum mempunyai senarai 11 pemain yang akan diturunkan kelak.

''Saya akan membuat keputusan pada saat akhir bagi menilai terlebih dahulu kekuatan mental pemain, selain daripada faktor kecederaan yang dialami oleh para pemain lain.

''Terdapat juga beberapa pemain lain selain Amri dan Sabre yang mengalami kecederaan, namun ia tidaklah terlalu serius dan masih boleh diturunkan bagi menghadapi UAE,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Pemain Selangor, Mohd. Amri sering bertindak sebagai perancang kepada bahagian serangan manakala Sabre, yang bermain di posisi pertahanan merupakan dua tonggak penting kepada skuad kebangsaan.

Perlawanan dengan UAE merupakan perlawanan terakhir skuad negara untuk menutup tirai cabaran dalam Kumpulan C pusingan kelayakan ke Piala Asia 2011.

Di atas kertas, peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir ternyata sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam kumpulan yang dihuni oleh Uzbezkistan dan UAE.

Satu-satunya peluang untuk Malaysia layak ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE, seterusnya mengharapkan UAE kalah dengan jaringan yang besar apabila berdepan Uzbezkistan.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata beliau akan menurunkan barisan terkuat walaupun menyedari perlawanan di Dubai mungkin tidak lagi memberikan sebarang makna.

''Memandangkan kami akan berada di sana, kami tidak akan sia-siakan peluang untuk menguji keupayaan sebenar skuad ini dengan memberi tentangan sengit kepada UAE,'' ujarnya.

Namun, beliau enggan mendedahkan sama ada akan menggunakan strategi bertahan atau menyerang dalam perlawanan itu nanti.

''Itu adalah rahsia taktikal, bagaimanapun kami akan positif dan tidak akan gentar terhadap reputasi UAE,'' katanya.

Mancini yakin ubah nasib Man. City

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini berharap kejayaan yang dikecapinya di Itali dapat diterjemahkan kepada kelab barunya, apabila memulakan kempen Pusingan Ketiga Piala FA menentang Middlesbrough hari ini.

Dia baru sahaja membimbing kelab Eastlands itu memenangi dua perlawanan awal di dalam kempen Liga Perdana England selepas menggantikan Mark Hughes yang dipecat.

Mancini ternyata mempunyai rekod cemerlang di dalam pertandingan kalah mati di Itali dengan memenangi Piala Itali, enam kali sebagai pemain dan empat kali selaku pengurus di tiga kelab berbeza iaitu Lazio, Fiorentina dan Inter Milan.

Dia juga berjaya memenangi kejuaraan liga bagi tiga tahun berturut-turut di antara musim 2003/04 hingga 2005/06 bersama Inter Milan.

Menurutnya, beliau yakin hasil pengalamannya sebelum ini mampu memberikan kejayaan pertama semenjak tahun 1976 kepada pemilik Man.City, Sheikh Mansour, jutawan dari Abu Dhabi.

''Kami cukup teruja dengan Piala FA dan saya tahu di England, ia merupakan satu pertandingan yang cukup penting."

''Di Itali, kebanyakan pasukan tidak memberi perhatian serius kepada persaingan piala kalah mati kecuali jika sudah melangkah ke peringkat separuh akhir, namun di sini ia ternyata berbeza.

''Adalah menjadi sesuatu yang hebat jika saya dapat membawa kejayaan kepada Man. City, sepertimana pengalaman saya memenangi Piala Itali sebelum ini," katanya.

Namun, tegasnya bagi mencapai misi itu, skuadnya perlu terlebih dahulu memenangi perlawanan menentang Middlesbrough.

Man. City kini berdepan dengan masalah kecederaan pemain yang cukup serius dan mereka bakal kehilangan beberapa tonggak penting Joleon Lescott, Wayne Bridge, Nedum Onuoha, Roque Santa Cruz dan Stephen Ireland apabila membuat kunjungan ke Riverside.

Sementara itu, Kolo Toure dan Emmanuel Adebayor akan mewakili negara masing-masing di kejohanan Piala Negara Afrika.

Bagaimanapun, Mancini enggan mengalah dengan situasi tersebut walaupun ia mungkin akan memberi kesan yang kurang baik untuk menghadapi pusingan awal Piala FA.

''Kami memang tidak memiliki skuad yang besar jadi beberapa orang pemain muda di dalam skuad ini yang telah berlatih bersama skuad utama mungkin akan diberi peluang beraksi," katanya. - AFP

Friday, January 1, 2010

'Saya lelaki sejati'


KUALA LUMPUR: “Saya lelaki sejati dan tidak pernah terfikir untuk menjalin hubungan songsang dengan kaum sejenis apatah lagi golongan lelaki lembut. Cinta saya hanya untuk Ayu Raudhah.

“Alhamdulillah biarpun ada pihak cuba menabur pelbagai fitnah terhadap hubungan kami, cinta kami tetap utuh. Semoga percintaan kami berkekalan hingga ke jenjang pelamin,” kata pemain bola kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak, 22 mengenai tuduhan kononnya dia ada ‘kekasih gelap’.

Berikutan gosip itu Ayu yang juga adik kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan, didakwa menyerang kekasih gelap Zaquan itu baru-baru ini pada majlis hari jadi yang dihadiri rakan terdekat.

“Sepanjang minggu lalu saya tidak menghadiri sebarang majlis hari jadi dan Ayu juga sibuk menjalani penggambaran drama di Tapah. Jadi bila masanya kami terbabit dengan insiden itu,” katanya.

Tegas Zaquan tuduhan itu mengaibkan diri dan keluarganya, serta bimbang akan menjejaskan kerjaya bola sepaknya.

Menurutnya, sejak tersiarnya berita itu menerusi temu bual dengan Ayu Raudhah, pagi ini (semalam) dia terima banyak panggilan telefon.

“Saya terima ratusan panggilan telefon daripada kawan dan keluarga bertanya kesahihan berita itu. Mungkin dengan kedudukan saya sebagai insan yang dikenali ramai dan berkawan pula dengan pelakon popular, saya dapat menerima cerita itu sebagai gosip tetapi macam mana dengan keluarga saya.

“Tentu mereka tertekan apabila tersiarnya pelbagai cerita buruk mengenai anak mereka. Pagi (semalam) saya dan rakan sepasukan bermesyuarat dan dengan tersiarnya berita itu membuatkan saya berasa kurang selesa kerana ramai bertanya.

“Terus terang, saya tidak pernah menjalin hubungan songsang atau pernah ada kekasih lain. Saya adalah lelaki sejati dan berharap dapat berkongsi hidup ini dengan wanita yang dicintai. Ayu ada menghubungi saya bercerita mengenai perkara ini dan memang saya terkejut. Seingat saya, jika ada kelapangan saya selalu bersama Ayu jadi tidak patut timbul cerita saya ada kekasih gelap dan amat mengaibkan ‘awek’ yang dimaksudkan itu kaum sejenis saya,” katanya.

Menurut Zaquan, dia rasa dia tahu orang yang menyebarkan fitnah itu dan berharap segera hentikannya. Sebelum ini ada wanita mengaku sebagai teman wanitanya dan Ayu dikatakan penyebab terputusnya hubungan cinta mereka.

“Mujur Ayu faham dan kenal siapa saya. Dia sendiri menceburi bidang glamor yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan sudah biasa berhadapan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan orang ramai. Jadi apabila tersebarnya cerita seperti ini Ayu tidak melatah dan setiap perkara yang timbul kami bincang bersama.

“Saya berharap dengan penjelasan ini jangan ada lagi pihak yang menabur fitnah keterlaluan memalukan saya dan keluarga. Apapun jua, saya dan Ayu kena banyak bersabar dan tiada gunanya kami melenting kerana perkara itu tidak benar.

“Cuma saya kasihan ayah dan emak, tentu mereka tidak senang duduk sekarang. Bagaimanapun saya sudahpun menjelaskan perkara sebenar pada mereka,” katanya.

Siapa lebih hebat?


BAIK Negeri Sembilan mahupun Selangor, kedua-dua pasukan itu telah membuktikan kehebatan mereka pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2009.

Tatkala Negeri Sembilan melakar sejarah tersendiri dengan muncul juara Piala Malaysia, Selangor pula meraih tiga gelaran, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Kini, kedua-dua pasukan itu berpeluang membuktikan kehebatan mereka sekali lagi apabila bakal berentap pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandi- ngan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh berkata, aksi pembuka tirai Liga Super 2010 itu akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada pukul 8.45 malam 9 Januari ini.

"Harga tiket perlawanan ditetapkan untuk dewasa RM15 bagi tempat berbumbung dan RM8 tempat terbuka manakala kanak-kanak RM8 untuk tempat berbumbung dan RM4 tempat terbuka.

"Tiket-tiket akan mula dijual di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan stadium pada 8 Januari," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan Piala Sumbangsih 2010 di Kelana Jaya semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Setiausaha Eksekutif PBNS, Datuk Ibrahim Shamsudin.

Beliau berkata, pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 5 petang pada hari perlawanan bagi membolehkan pihak polis dan keselamatan stadium membuat pemeriksaan bagi mengelak para penonton dari- pada membawa masuk barang lara- ngan ke dalam stadium.

Che Mat berkata, penyokong tuan rumah dan Selangor akan diasingkan. Pengasingan penyokong kedua- dua pasukan itu adalah mengikut pe- raturan pertandingan yang telah diputuskan oleh FAM bermula tahun ini.

Katanya, langkah itu diambil bagi memudahkan Lembaga Disiplin FAM untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana penyokong pasukan yang dikenal pasti sekiranya berlaku kekecohan.

"Maknanya tidaklah semata-mata tanggungjawab ini terletak di tangan tuan rumah sahaja. Ini adalah untuk kebaikan bersama supaya perlawanan berjalan lancar.

"Harapan kami agar kekecohan di stadium yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi," katanya.

Beliau turut berharap agar pihak keselamatan terutama pihak polis dapat memperketatkan kawalan dengan menempatkan anggota yang mencukupi pada malam itu nanti.

"Saya juga memohon kepada peminat bola sepak yang datang ke stadium supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan nanti dan mengikut arahan keselamatan pihak polis supaya tidak berlaku kekecohan dan se- bagainya," katanya.

Jose Mourinho bukan ancaman saya - Ancelotti


Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti (gambar) telah memberitahu Jose Mourinho supaya melupakan sahaja hasrat untuk kembali membimbing Chelsea dalam masa terdekat.

"Dia (Mourinho) perlu tunggu kerana pada masa ini, saya masih lagi pengurus Chelsea dan saya akan terus kekal di sini."

"Seperti yang kita tahu, Mourinho adalah jurulatih bagi Inter Milan dan dia bukanlah ancaman saya."

Ancelotti menambah, beliau tidak terkejut apabila mengetahui Mourinho yang juga jurulatih Inter Milan berhasrat untuk kembali ke England.

"Dia (Mourinho) telah bersama Chelsea selama tiga musim dan dia tahu mengenai perkembangan bola sepak di England dengan baik.

"Saingan Liga Perdana England adalah yang terbaik di dunia dan tidak mustahil semua jurulatih ingin berada di sini," tambah Ancelotti yang merupakan pengurus keempat Chelsea selepas Mourinho dipecat.

Mengulas aksi kalah mati Liga Juara-Juara bertemu Inter bulan depan, Ancelotti berkata: "Ia bukanlah satu undian yang baik tetapi saya sudah bersedia untuk menumbangkan Inter dan Mourinho."

PBSNT terpaksa bayar denda angkara penyokong Terengganu (Betuk ke?? atau sekadar mulut shj tuk Kaburkan mata org lain!!)

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terpaksa membayar hukuman denda hampir RM100,000 akibat tindakan liar penyokong Terengganu sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) 2009.

Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, pihaknya terpaksa membayar hukuman denda tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas perbuatan penonton membaling mercun atau objek kepada pengadil atau pemain dari pasu- kan lawan.

"Kita berharap biarlah penonton atau penyokong dapat menjaga kela- kuan mereka kerana FAM akan menggandakan jumlah denda sekira- nya perbuatan itu berulang lagi pada musim baru ini," katanya.

Abdullah berkata, PBSNT telah membuat keputusan iaitu mulai musim 2010 ini, semua tiket untuk perlawanan Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia akan dijual di kaunter stadium.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan tiket perlawanan palsu dijual kepada penonton oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Abdullah berkata, alat khas yang boleh mengesan kesahihan tiket akan ditempatkan di semua pintu masuk di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada setiap perlawanan nanti.

Menurut beliau, FAM mendapati tiket palsu berleluasa di beberapa buah negeri termasuk di Terengganu sejak beberapa tahun lepas.

"Jadi kalau ada peminat yang kena tahan di pintu masuk, kita tidak akan bertanggungjawab, dan kita harap peminat beli tiket di kaunter," kata- nya.

Abdullah menambah, PBSNT juga mengambil keputusan mengekalkan harga tiket iaitu RM10 untuk tempat terbuka dan RM20 untuk tempat berbumbung bagi kempen Liga M musim ini.

"Anggota pasukan keselamatan akan ditambah pada setiap perlawa- nan dan mereka tidak akan teragak- agak mengambil tindakan terhadap peminat yang membaling mercun atau objek ke tengah padang," jelas- nya.

Beliau berkata, PBSNT berjaya memperoleh hasil kutipan tiket sebanyak hampir RM100,000 pada saingan Liga Perdana musim lalu.

B-23 tambah yakin


Kemenangan besar 4-1 skuad bola sepak negara ke atas Syria, yang menduduki ranking jauh lebih baik berbanding Malaysia, adalah satu yang bukan mustahil.

Ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, walaupun pada awalnya beliau sendiri agak terkejut dengan jumlah jaringan yang mampu dihasilkan pada perlawanan persahabatan kelmarin, namun itulah hakikat dalam dunia bola sepak.

‘‘Inilah bola sepak. Kadang kala keputusan seperti ini memang boleh berlaku. Memang kita tidak menjangka mampu menang besar, tetapi inilah hakikatnya,’’ katanya.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Syria berada pada kedudukan ke-91 dunia dan ke-12 di Asia.

Ia jauh lebih baik berbanding skuad bola sepak Malaysia yang menduduki ranking ke-160 dunia dan ke-33 di peringkat Asia.

Namun, di atas padang lain pula yang berlaku apabila skuad Rajagobal mendominasi perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Tanpa diduga, skuad emas Sukan SEA XXV Laos ternyata bukan tandingan Syria apabila menang menerusi dua penalti oleh Shafiq Rahim di kedua-dua babak ditambah jaringan Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-77 dan K. Gurusamy pada minit ke-90.

Pasukan lawan memperoleh jaringan sagu hati juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.

Walaupun apa pun penilaian peminat terhadap kekuatan sebenar lawan Malaysia kelmarin, Rajagobal tetap menganggap ia kemenangan yang diperlukan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.

‘‘Kemenangan ini memberikan pemain keyakinan kepada pemain untuk berdepan UAE pada perlawanan Piala Asia nanti.

‘‘Saya memang mengharapkan prestasi skuad ini konsisten.

‘‘Kita menang ke atas Syria kerana berjaya menghasilkan gerakan-gerakan yang bagus.

‘‘Saya bangga kerana para pemain meneruskan persembahan menyakinkan setelah berjaya membawa pulang pingat emas Sukan SEA XXV.

‘‘Namun, dalam masa yang sama harap para peminat bersabar kerana perjuangan kita masih jauh.

‘‘Ada masa kita menang, jadi apabila kalah, para peminat kenalah terima bahawa ia adalah adat perlawanan,’’ katanya.

Peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2011 sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam Kumpulan C yang dihuni oleh Uzbekistan dan UAE.

Satu-satunya peluang untuk layak ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE.

Selepas itu, Malaysia terpaksa mengharapkan UAE pula kalah besar apabila berdepan Uzbekistan.

Thursday, December 31, 2009

Tutup tirai 2009 penuh bergaya





MASIH segar dengan kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini, skuad bola sepak negara menutup tirai 2009 dengan noktah kejayaan.

Malam tadi, skuad kendalian K. Rajagobal itu mudah membenam Syria 4-1 pada aksi persahabatan yang dicemari mutu pengadilan teruk di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia jelas begitu bersemangat beraksi di hadapan 3,000 penonton apabila lebih banyak menguasai permainan berbanding Syria yang berkedudukan ranking ke-91 dunia.

Seawal minit kedua, Zaquan Adha Radzak mempersia-siakan peluang terbuka di depan pintu gol apabila sekadar menyepak sipi setelah menerima hantaran leret daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Pada minit ke-15, gawang Syria berjaya dibolosi Zaquan tetapi gol itu dibatalkan selepas penjaga garisan mendapati bola hantaran Norshahrul telah pun keluar dari kawasan permainan.

Malaysia sekali lagi memperoleh peluang keemasan pada minit ke-20, kali ini hantaran lintang Safiq Rahim dari sebelah kanan yang ditanduk cantik Ahmad Fakri Saarani berjaya ditepis penjaga gol Syria.

Gol pertama Malaysia akhirnya menjelma pada minit ke-31 apabila Safiq dengan tenang berjaya menyempurnakan sepakan penalti setelah Norshahrul dijatuhkan pertahanan Syria.

Babak kedua bermula, Rajagobal hanya membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Aidil Zafuan Radzak dan Mazlizam Mohamad bagi menggantikan Muslim Ahmad dan Nasriq Baharom.

Gol kedua Malaysia menyusul pada minit ke-63 apabila Safiq sekali lagi mudah menyempurnakan sepakan penalti yang diberi pengadil setelah Norshahrul diterjah pertahanan Syria.

Syria bagaimanapun berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-68 apabila dihadiahkan sepakan penalti kontroversi setelah pemain Malaysia dikatakan menolak seorang pemain Syria ketika sepakan sudut diambil.

Malaysia tidak tersentak dengan jaringan itu, sebaliknya terus garang dengan memperoleh gol ketiga pada minit ke-77 menerusi Zaquan yang merembat kencang hantaran Abdul Manaf Mamat.

Seminit kemudian, Malaysia terpaksa beraksi 10 pemain setelah Zaquan dilayangkan kad kuning kedua kerana dianggap pengadil sengaja melengah-lengahkan perlawanan ketika dia hendak ditukarkan dengan Ahmad Shakir Md. Ali.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang usaha Malaysia untuk menambah jaringan apabila memperoleh gol keempat pada masa kecederaan menerusi pemain gantian, K. Gurusamy.

Mengulas mengenai kejayaan anak-anak buahnya semalam, Rajagobal berkata: "Nampaknya kita berada di landasan terbaik untuk menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2011 menentang UAE di Dubai pada 6 Januari depan.

"Kadang kala pasukan kuat pun boleh tewas tetapi saya gembira dengan kemenangan ini.

"Saya bangga dengan persembahan para pemain. Bukan senang kita nak bolosi pasukan kuat dengan empat gol. Harap kita dapat terus kekal fokus dan konsisten.

"Mungkin Syria pandang rendah pasukan kita. Tapi kita lihat mereka mula mengasak pada babak kedua. Tentang pengadil, saya tak mahu komen, anda sendiri yang boleh menilainya," kata Rajagobal.

'Satu pengajaran berguna'


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan menganggap insiden keganasan penyokong pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Isnin lalu sebagai satu pengajaran berguna.

Menurut Takiyuddin, aspek keselamatan yang longgar ditambah sikap para penyokong itu sendiri menyumbang kepada berlakunya insiden yang dianggapnya tidak pernah berlaku dalam sejarah penganjuran kejohanan tersebut.

"Kawalan keselamatan yang longgar mungkin serba sedikit menjadi faktor tetapi sikap penonton yang tiada semangat kesukanan dengan menyerbu padang telah memburukkan lagi keadaan.

"Kita jadikan ini sebagai pengajaran untuk masa akan datang dengan tidak boleh mengambil ringan soal keselamatan semasa perlawanan dan perlu mendidik para penyokong.

"Tapi dalam masa sama, kita berasa gembira juga kerana penyokong memberikan sambutan hangat terhadap kejohanan ini, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya adakah pihak PBSMM sudah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta penjelasan pihaknya, Takiyuddin berkata, setakat petang semalam, mereka masih belum menerimanya.

"Tetapi kami akan minta Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK) sebagai tuan rumah untuk menyediakan laporan dari segi persiapan dan keselamatan jika kami menerima surat daripada FAM itu. Kemudian kami akan balas semula penjelasan tersebut kepada pihak FAM," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin menganggap saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-69 kali ini sebagai berjaya dengan faktor utamanya ialah suntikan penajaan daripada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd.

"Kami jangka saingan musim 2010 nanti akan lebih menarik dengan kami merancang membuat beberapa perubahan dan kejutan. Lagipun Puncak Niaga akan terus menjadi penaja kejohanan ini pada tahun depan," ujarnya.

Skuad B-23 teruskan rentak gemilang

Skuad bola sepak kebangsaan yang membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA XXV Laos, meneruskan persembahan menyakinkan apabila mengalahkan Syria 4-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pasukan bimbingan K. Rajagobal yang menamatkan penantian 20 tahun pingat emas acara bola sepak Sukan SEA di Laos, baru-baru ini menang hasil penalti pada kedua-dua babak yang disempurnakan oleh Shafiq Rahim.

Zaquan Adha Abdul Razak mengukuhkan kedudukan hasil jaringan pada minit ke-77.

K. Gurusamy memadamkan sisa harapan Syria menerusi gol keempat pada minit ke-90.

Pasukan lawan memperoleh jaringan sagu hati juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.

Perlawanan semalam merupakan perlawanan persahabatan tunggal yang diharungi oleh skuad kebangsaan yang sedang dalam persediaan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.

Peluang kita untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2011 sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam Kumpulan C yang dihuni oleh Uzbekistan dan UAE.

Satu-satunya peluang untuk layak ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE. Selepas itu, Malaysia terpaksa mengharapkan UAE kalah besar apabila berdepan Uzbekistan.

Walaupun tiada aksi pantas seperti ketika perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV menentang Vietnam, jentera serangan skuad kebangsaan yang diterajui Zaquan Adha melancarkan asakan bertali arus.

Malaysia sepatutnya di depan seawal minit kedua apabila Zaquan Adha hanya berdepan dengan penjaga gol lawan tetapi sepakannya jauh tersasar.

Zaquan hampir menebus kehampaan kerana gagal menyempurnakan peluang gol awal apabila berjaya meletakan bola ke dalam gawang Syria pada minit ke-15 tetapi bola lebih awal telah keluar dari garisan gol.

Bermula asakan dari bahagian tengah, Norshahrul yang membawa bola sehingga ke kawasan penalti dijatuhkan pada minit ke-30 sehingga memberikan penalti kepada skuad Rajagobal.

Shafiq Rahim yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti, tenang memperdaya penjaga gol lawan.

Dominasi Malaysia berterusan di babak kedua namun sekurang-kurangnya tiga peluang gol dalam tempoh 10 minit pertama selepas bermain bersambung dihampakan oleh penyudah tumpul.

Mirip gerakan yang membawa sepakan penalti pertama yang memberikan gol awal kepada skuad negara, Norshahrul sekali lagi dijatuhkan di dalam kawasan penalti pada minit ke-62.

Shafiq sekali lagi tidak mengecewakan hampir 3,000 penyokong apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Zaquan mencatat nama sebagai penjaring menerusi jaringan pada minit ke-77 sebelum Gurusamy melengkapkan kemenangan bergaya hasil jaringan pada minit ke-90.

Wednesday, December 30, 2009

JJHEAIK sahkan perkahwinan kedua Sultan Kelantan


Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) hari ini mengesahkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra telah berkahwin dengan isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad, 30, pada 31 Disember 2007.

Pernikahan itu disahkan oleh Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai, Rujuk JHEAIK, Hasnan Ramli ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini lewat petang ini.

“Saya hanya boleh mengesahkan perkahwinan Sultan Kelantan dengan isteri kedua baginda itu,’’ katanya.

Semalam akhbar The Malay Mail dalam versi online melaporkan misteri identiti salah seorang daripada dua wanita yang dibawa melawat Sultan Ismail Petra yang gering di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada pukul 4.20 pagi 8 Oktober lalu.

Laman web tersebut semalam melaporkan pengakuan Elia Suhana sebagai isteri kedua Sultan Kelantan.

Elia Suhana dalam laman web tersebut mendakwa terpaksa mendedahkan kedudukan sebenar dirinya bagi memperbetulkan laporan akhbar Malay Mail pada 21 Disember lalu yang menyiarkan berita dua wanita dibawa secara senyap-senyap ke hospital itu bagi melawat Sultan Kelantan.

Penyiaran berita yang bertajuk Police Ruckus In Royal Ward dalam akhbar itu didakwa Elia Suhana telah menimbulkan pandangan negatif terhadap baginda, institusi kesultanan dan polis istana.

Utusan Malaysia hari ini turut menerima kenyataan akhbar setebal lima muka surat melalui faks yang ditandatangani Elia Suhana dan dikatakan turut dihantar kepada semua media untuk membuat penjelasan itu.

Turut dilampirkan salinan sijil perkahwinan serta kad perakuan nikahnya.

Kafa bincang atasi kelemahan di stadium

Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan berbincang dengan Pengurusan Perbadanan Stadium Sultan Mohamed ke-IV di sini hari ini bagi menangani isu penonton menyelinap masuk stadium tanpa tiket untuk menyaksikan perlawanan bola sepak musim akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Hashim Tuan Yaakob berkata, Kafa juga akan menekankan isu kelonggaran kawalan pintu masuk stadium setiap sesi perlawanan termasuk perlawanan persahabatan bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia 2010 ini.

“Kita akan mengadakan perjumpaan esok (hari ini) dengan pihak stadium bagi berbincang atau mengadakan post-mortem mengenai kelemahan dalam mengendalikan perlawanan bola sepak itu supaya ia tidak berulang,” katanya.

Tuan Hashim diminta mengulas mengenai saranan peminat bola sepak Kelantan agar Kafa menyiasat insiden pintu utama Stadium Sultan Mohamed Ke-IV dibolosi penonton yang tidak bertiket pada perlawanan persahabatan di antara Kelantan dengan Narathiwat FA, Sabtu lepas.

Mereka berpendapat kejadian itu mengecewakan kerana menidakkan hak penonton yang telah membeli tiket perlawanan.

Menurut Tuan Hashim, Kafa kerugian dianggarkan beribu-ribu ringgit kerana kejadian itu.

“Soalnya kita ingin mendapat penjelasan apa punca sebenar yang menyebabkan insiden itu boleh berlaku, kerana pintu utama itu biasannya hanya dibuka untuk kemudahan kenderaan pasukan keselamatan Polis Simpanan Ringan Persekutuan mengawal penonton dalam sesuatu perlawanan.

“Sedangkan pada perlawanan persahabatan (malam itu), kita tidak menggunakan khidmat anggota polis berkenaan, kecuali ia diperlukan,” katanya.

Chelsea tetap garang tanpa Drogba - Ancelotti


Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menegaskan, pasukannya mampu bersaing tanpa Didier Drogba yang pulang mewakili negaranya bagi saingan Piala Negara-Negara Afrika.

Pemain antarabangsa Ivory Coast itu diberi pelepasan menangguhkan penerbangannya ke Angola bersama rakan sepasukan, Salomon Kalou dan keputusan itu ternyata memberi kesan apabila pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Fulham.

Pada perlawanan di Stamford Bridge itu, Drogba mendapat peluang daripada hantaran silang Branislav Ivanovic pada separuh masa kedua sekali gus menenggelamkan jaringan pembukaan Zoltan Gera untuk Fulham.

Jaringan itu menambah catatan berharga 19 gol buat Drogba dalam kesemua perlawanan musim ini, menjadikan dia begitu penting kepada pasukan pendahulu Liga Perdana England itu sepanjang Januari ini, jika dia terpaksa berkhidmat di Angola.

Bagaimanapun, Ancelotti tetap bertahan bahawa dia akan melakukannya (juara) meskipun tanpa Drogba.

Chelsea juga semakin selesa dengan lima mata berkelebihan daripada Manchester United dan dilihat mampu bertahan di tangga teratas.

"Didier telah menjaringkan 19 gol tetapi tanpa dia, tahun ini, kita akan melakukan yang terbaik..

"Kami menang tiga perlawanan dalam Liga Juara-Juara tanpanya. Kita akan melakukan perkata sama dalam Liga Perdana England nanti.

"Florent Malouda atau Daniel Sturridge boleh bermain. Ia bergantung kepada perlawanan," kata Ancelotti.

Sementara itu, pemain pertahanan Fulham, Chris Smalling menyumbat gol ke gawang sendiri, 15 minit selepas Chelsea mengikat permainan 1-1.

Kemenangan itu mengakhiri bulan yang penuh kepayahan buat Ancelotti yang kalah kepada Manchester City, seri dengan West Ham, Everton dan Birmingham.

Bagaimanapun, Ancelotti berkata, permainan terakhir Chelsea pada 2009 bermakna bermulanya kemaraan buat Blues.

"Ia bukanlah bulan (Disember) yang baik buat kami tetapi ia telah berakhir. Kami akan melakukannya dengan baik pada Januari.

"Kami akan bukan yang terbaik tetapi akan kekalkan posisi teratas. Bukan perkara mudah untuk mengubah permainan ini, tetapi terdapat azam dan kemahuan yang hebat daripada pasukan dan saya berasa sungguh gembira.

"Kami bermain bersama dan Fulham bukan pasukan mudah untuk ditentangi. Mereka amat tersusun dari segi pertahanan dan mendapat dua gol menentang mereka adalah sangat baik bagi kami," kata bekas ketua AC Milan itu.

Sementara itu, pengurus Fulham, Roy Hodgson pula merasakan pertembungan itu, sukar di pihaknya kerana terpaksa bertahan dalam tempoh yang agak lama dalam perlawanan.

Namun, kehilangan pemain pertahanan Ghana, John Pantsil yang cedera lutut pada separuh masa kedua membuktikan ia memberi begitu banyak beban pada Fulham.

Kecederaan itu tidak hanya meruntuhkan Fulham tetapi kepada Ghana yang juga mengharapkan pemain itu berada dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika nanti.

"Dia (Pantsil) cedera, terseliuh lutut. Sama ada dia ke (Piala Negara-Negara Afrika) akan bergantung kepada ujian imbasan nanti.

"Jika kecederaannya memakan masa sebulan untuk sembuh, dia tidak akan ke sana. Buat masa ini, lututnya teruk dan kami tidak akan hantarnya balik.

"Saya lebih bimbangkan dia akan tertinggal sepanjang musim, ekoran bahaya akibat terseliuh lutut," tegas Hodgson

Berbatov optimis peluang United

Penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov percaya pasukannya mampu mengekalkan kejuaraan Liga Perdana England musim ini menjelang perlawanan menentang Wigan Athletic di Old Trafford, hari ini.

Inspirasi Wayne Rooney yang membawa kemenangan 3-1 ke atas Hull City, Ahad lalu mengurangkan jarak antara mereka dengan pendahulu liga, Chelsea kepada dua mata sebelum pertemuan antara The Blues dan Fulham kelmarin.

Pengurus United, Alex Ferguson dalam kenyataan awal musim ini berkata, jika pasukannya semakin hampir dengan Chelsea menjelang tahun 2010 mereka mampu untuk muncul juara buat kali keempat berturut-turut dan Berbatov sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“Saya rasa kami mempunyai kedudukan yang baik, masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi dan ia akan menjadi lebih sukar tetapi selepas penghujung saingan saya berasa kami akan berada di tangga teratas.

“Kami berdepan dengan kesukaran selepas menghadapi masalah kecederaan tetapi kami masih mempunyai pasukan yang bagus dan pemain sudah kembali sembuh, kami akan meneruskan rentak kemenangan.

“Pengurus kami tahu apa yang perlu dilakukan terutama sekali dalam menukar perancangan yang diperlukan dan saya pasti kami akan berada di tangga teratas selepas hujung musim,” katanya.

Mereka kehilangan hampir kesemua pemain pertahanan utama seperti Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, John O’Shea, Wes Brown, Gary Neville dan Jonny Evans yang bergelut dengan masalah kecederaan.

Kelebihan dijangka kembali buat United selepas pasukannya mendapat semula pertahanan Brown dan Vidic dalam perlawanan menentang Hull dan dia percaya kehadiran kedua-dua pemain akan membantu mereka menewaskan Wigan.

Prestasi Wigan pula sekarang ini kurang memberangsangkan. Mereka gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan, hanya mengumpul satu mata dari empat perlawanan di tempat lawan dan melepaskan 39 gol dalam 18 perlawanan liga, kedua paling lemah di belakang Hull.

Seri 1-1 menentang Blackburn Rovers menyebabkan mereka semakin menghampiri zon penyingkiran dengan memungut hanya 19 mata tetapi kebangkitan Wigan menentang pasukan Sam Allardyce membolehkan pengurus mereka, Roberto Martinez meletakkan harapan buat anak buahnya supaya memberi saingan kepada United.

“Bagi saya prestasi kami ketika bertemu Blakcburn merupakan mata kebangkitan.

“Kami akan berkunjung ke sana dan cuba mencatat kemenangan. Bagaimanapun ia memang sukar. Anda lihat prestasi mereka ketika di tempat sendiri begitu hebat, mereka mempunyai pasukan bagus dan mampu melakukan aksi berbeza,” katanya.

United masih gagal menurunkan Ferdinand dan Evans, kedua-dua pemain mengalami kecederaan betis dan Neville pula bergelut dengan kecederaan pangkal paha, manakala Nani dan Federico Macheda mampu diturunkan selepas sembuh dari kecederaan.

Sementara itu, Wigan kehilangan pemain tengah, Mohamed Diame, yang mengalami koyakan ligamen dan tidak akan beraksi sehingga Februari depan

Belang Tevez makin terserlah di bawah Mancini

WOLVERHAMPTON, England - Jaringan dua gol Carlos Tevez menyaksikan kemenangan kedua Manchester City di bawah pengurus baru, Roberto Manchini yang menumpaskan Wolves 3-0 dalam Liga Perdana England, semalam.

Penyerang Argentina itu membolos gawang pada minit ke-33 sebelum pemain tengah Sepanyol, Javier Garrido memperdayakan Wolves sekali lagi dengan tendangan percuma menakjubkan pada minit ke-69 pada perlawanan yang berlangsung di Molineux dalam suasana sejuk itu.

Tevez yang juga bekas pemain hadapan Manchester United itu turut mengungguli permainan dengan meledakkan satu lagi gol buat City yang sebelum ini dikritik kerana pertahanannya yang lemah, menjadikan kemenangan kedua berturut-turut di bawah pengurus baru dari Itali itu,

Craig Bellamy turut dilihat mampu meletakkan pasukan pelawat di hadapan lebih awal, namun percubaan jarak dekat terkena palang gol sebelum membantu Tevez menjaringkan gol pembukaan.

Kemenangan itu menyaksikan kedudukan City menyamai mata dengan pasukan tangga kelima liga, Aston Villa.

Sementara itu, pemain Wolves, Chris Iwelumo dan Kevin Doyle juga hampir memberikan jaringan buat tuan rumah sebelum jaringan Garrido memberikan City sedikit kelegaan.

Bellamy yang terlepas peluang menjaringkan gol pada awalnya akhirnya berjaya menerobos pertahanan, Jody Craddock sebelum mengumpan boa kepada Tevez yang mudah memperdayakan penjaga gol Amerika Syarikat, Marcus Hahnemann.

Tuesday, December 29, 2009

PBNJ tak bayar gaji pemain tiga bulan


SELEPAS barisan pemain Perak menuntut gaji tertunggak, semalam pasukan Johor pula tampil menagih tunggakan tiga bulan gaji yang belum dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Salah seorang pemain Johor, Hardi Ahmad mendakwa, dia dan 24 lagi pemain pasukan itu hanya menerima gaji terakhir pada penghujung Ogos lalu.

"Bayangkan sudah empat bulan tunggakan ini berlarutan. Gaji yang tertunggak adalah untuk bulan September, Oktober dan Novem- ber.

"Saya mewakili rakan-rakan yang lain berharap PBNJ faham situasi kami yang mempunyai tanggungan untuk menyara keluarga.

"Saya benar-benar berharap tunggakan ini dapat diselesaikan segera," kata Hardi kepada Kosmo! semalam.

Kecewa dengan apa yang berlaku itu, Hardi, 30, terpaksa mengambil keputusan meninggalkan pasukan Johor dan menyertai Felda United bagi saingan Liga Malaysia 2010.

"Bukan saja gaji sebenarnya, bonus perlawanan juga termasuk dalam kontrak dan jumlah yang belum dibayar PBNJ kepada kami ialah RM4,000.

"Jadi secara keseluruhannya, PBNJ masih berhutang kira-kira RM20,000 kepada setiap seorang pemain musim lalu," jelas pemain yang berasal dari Kelantan itu.

Johor yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana musim lalu bakal beraksi pada saingan Liga Super 2010 tetapi berikutan masalah tunggakan gaji, kebanyakan pemain musim lalu telah 'angkat kaki' meninggalkan skuad Jengking itu.

Perlis juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009


ALOR SETAR - Dendam 13 tahun Perlis berbalas malam tadi apabila mencipta kemenangan 2-0 ke atas Kedah untuk menjuarai perlawanan Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 dalam saingan akhir mendebarkan yang turut dicemari rusuhan penonton di Stadium Darulaman, di sini.

Insiden tersebut berlaku pada lima minit terakhir permainan apabila sebilangan penonton memasuki padang untuk memaksa pengadil Mohd. Nazer Mohd. Said dari Selangor memberhentikan perlawanan pada lima minit terakhir saingan.

Ini turut mengundang aksi tegang di tengah gelanggang yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan Mohd. Nazer kepada dua pemain Perlis, Romdhizat Jamian dan Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman dan seorang pemain Kedah, Mohd. Fazliyata Taib.

Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas campur tangan pasukan Polis Simpanan Persekutuan untuk perlawanan disambung kembali.

Sebelum itu, Perlis yang ditewaskan Kedah dalam perlawanan akhir pada 1996 itu beraksi cemerlang walaupun bermain di gelanggang lawan dengan menghasilkan jaringan menerusi Romdhizat pada minit keempat dan Andrien Jurad Chamrong pada minit ke-18.

Kemenangan anak-anak buah jurulatih Kamal Idris Ali itu mencatat kejuaraan kali ketiga selepas melakukannya pada 1967 dan 1993. Pada 1967 Perlis menewaskan Singapura 3-0 manakala pada 1993 pasukan berkenaan mengalahkan Pulau Pinang 1-0.

Sementara Kedah, selain mencatat kejuaraan 1996, sebelum itu menjuarai pertandingan sama pada 1948 dan 1949, 1952 dan 1953 serta 2005.

Kemenangan semalam menyaksikan Perlis selain merangkul piala pusingan, membawa pulang hadiah RM30,000 manakala Kedah memperoleh RM15,000.

Lebih menggembirakan, Andrien Jurad turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009.

Di Stadium Darulaman semalam, perlawanan boleh diibaratkan sebagai bermulanya era baru bola sepak Melayu berdasarkan kepadatan 30,000 penonton yang memenuhi segenap penjuru stadium.

Ia turut disaksikan Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Malik Mu'adzam Shah; Puteri Sultan Kedah, Tunku Datuk Seri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Tan Sri Rozali Ismail dan Presiden PBSMM, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebaik perlawanan edisi ke-69 itu bermula, Kedah yang disokong ribuan penonton di gelanggang sendiri memulakan asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi kegagalan mencari penyudah menyaksikan skuad hijau kuning kempunan gol awal.

Sebaliknya, serangan balas yang diatur pantas skuad Perlis menghasilkan jaringan apabila Romdhizat menyepak kencang mengatasi penjaga gol Kedah, Mohd. Khairul Azuan untuk mendahului 1-0 pada minit keempat.

Ternyata jaringan pendahuluan itu menyemarakkan semangat Perlis untuk meneruskan asakan sehingga membuatkan pertahanan hijau kuning yang diperkuatkan pemain skuad Liga Super Kedah, Mohd. Fazliata semakin cemas.

Akhirnya Perlis menambah jaringan menerusi sepakan percuma Andrien Jurad dari jarak 25 meter menerjah penjuru gawang pada minit ke-18 dan kedudukan kekal sehingga berakhir separuh masa pertama.

Menyedari ketinggalan, Kedah cuba bangkit mencari jaringan penyamaan menerusi asakan bertali arus ke kubu Perlis tetapi ternyata sekali lagi kegopohan melakukan hantaran di kalangan pemain tuan rumah menyelamatkan pasukan pelawat.

Ronny, Marzuki bentuk pertahanan mantap Penyu

Terengganu mungkin akan menjadi sebuah pasukan yang sukar untuk ditembusi menjelang saingan Liga Super yang bakal membuka tirai minggu depan apabila Ronny Harun bakal digandingkan di bahagian pertahanan bersama ketua pasukan, Marzuki Yusof.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh jurulatih mereka, Irfan Bakti Abu Salim yang menganggap pengalaman Ronny bakal membantu skuad Terengganu untuk mencatatkan keputusan cemerlang pada awal saingan musim baru ini.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Perlis itu masih mencari kombinasi terbaik bukan sahaja di bahagian pertahanan malah di setiap posisi yang dianggapnya amat penting bagi mempersiapkan sebuah pasukan yang mantap.

"Jika di bahagian pertahanan saya melihat Ronny agak menonjol walaupun dia adalah pemain baru untuk musim akan datang selepas berhijrah dari Kedah, manakala pemain lain masih dalam proses untuk menyesuaikan diri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, mereka sedang menghampiri persiapan terakhir dan perlawanan persahabatan seterusnya ialah menentang Pahang, Jumaat ini.

"Kami harus mempersiapkan pasukan sebaik mungkin kerana perlawanan pertama Liga Super 9 Januari ini adalah menentang naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan.

"Bagaimanapun saya lihat pemain sudah bersedia terutama sekali selepas mengharungi perlawanan empat penjuru baru-baru ini," kata bekas jurulatih Perlis itu.

Irfan berkata, beberapa kelemahan pasukan sudah dikenalpasti dan akan diperbaiki secepat mungkin sebelum aksi liga 2010 bermula.

"Semua ini telah dinilai dalam perlawanan empat penjuru di mana kami seri ketika bertemu KL Plus 2-2, menang ke atas Johor FC 2-1 dan seri menentang pasukan T-Team 1-1.

"Selepas saingan akhir kejohanan tersebut ketika kami kalah 2-1 kepada T-Team saya melihat kelemahan ketara pemain adalah dari faktor kecergasan.

"Januari ini kami akan mengharungi tujuh perlawanan dalam tempoh sebulan, oleh itu kami memerlukan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik," katanya.

Selain Ronny, Terengganu telah mendapatkan lima lagi muka baru iaitu K. Rajan, Tengku Hasbulah Raja Hassan, Mohd Firdaus Mohd Faudzi, Joseph Kalang Tie dan Helmi Remeli.

Monday, December 28, 2009

KAFA keluarkan produk sendiri


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak lagi dibelenggu masalah kewangan menjelang musim depan apabila mereka dijangka meraih jutaan ringgit hasil jualan barangan keluaran persatuan tersebut, lapor RIZALMAN NOR.

Bagi mengukuhkan sumber kewangan, KAFA telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek untuk mengeluarkan barangan sendiri yang mempamerkan logo KAFA dan tulisan The Red Warriors.

Pengerusi Jawatankuasa Barangan dan Pemasaran KAFA, Azlan Mohd. Yusoff berkata, semua barangan yang akan dipasarkan nanti menjadi hak milik terpelihara persatuan itu.

"Kita akan mendapat sumber kewangan yang kukuh dengan penjualan barangan seperti jersi, baju-T, topi, beg, pelekat kenderaan dan pelbagai lagi barangan cenderahati untuk dimiliki oleh penyokong setia bola sepak Kelantan.

"KAFA kini membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen bagi memasarkan barangan tersebut kepada orang ramai," katanya kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Menurutnya, tindakan KAFA berdaftar dengan perbadanan tersebut bertujuan menjamin kualiti semua barangan yang akan berada di pasaran nanti.

Azlan memberitahu, tidak akan ada lagi jualan barangan cenderahati yang dicetak rompak di pasaran pada musim depan.

"Sebelum ini, terdapat sesetengah pihak yang menjual barangan menggunakan logo KAFA sesuka hati tanpa mendapat kebenaran sekali gus menjejaskan pendapatan persatuan ini.

"Selain itu, penggunaan logo terutama pada jersi dan baju-T yang tidak mengikut standard KAFA juga telah menjejaskan imej persatuan itu," ujar beliau.

Beliau berkata, peniaga yang mendapatkan barangan daripada pengeluar yang tidak sah sebelum ini tidak perlu bimbang kerana KAFA memberi jaminan bahawa ejennya akan mendapat keuntungan yang lumayan hasil jualan barangan tersebut.

Setakat ini, lebih 20 peniaga telah berdaftar dengan KAFA dan semua barangan akan berada di pasaran awal bulan depan.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang sebagai ejen di Wisma KAFA, Kubang Kerian.

Setahun sudah berlalu


"SETAHUN sudah berlalu, mana bayaran tunggakan gaji kami?"

Begitu pertanyaan yang diajukan oleh bekas ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang belum melunaskan tunggakan gaji bekas-bekas pemain Liga Super Perak sejak setahun lalu.

Shahrul yang mewakili 15 bekas pemain dan pegawai skuad Seladang bagi musim 2008 berkata, mereka sudah puas menunggu pembayaran tunggakan tersebut.

Selain Shahrul, Mohd. Hamsani Ahmad, Khalid Jamlus, Daniel Fadzly Abdullah, Chan Wing Hoong dan pemain-pemain lain masih menunggu pembayaran tunggakan gaji tersebut.

Penolong jurulatih, Mohd. Zakaria Mohamed dan Talib Saidi merupakan pegawai skuad Seladang yang belum menerima bayaran tunggakan gaji itu.

"Setahun sudah berlalu tetapi bayangan PAFA untuk melunaskan tunggakan tersebut masih samar," jelas bekas ketua pasukan itu di Ipoh semalam.

Beliau bersama-sama bekas pemain Perak tahun 1970-an dan 1980-an telah beraksi dengan pasukan pilihan Menteri Besar Perak dalam perlawanan persahabatan di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

Pasukan bekas pemain Perak telah mencatat kemenangan 3-2 ke atas pasukan Pilihan Menteri Besar Perak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Antara bekas pemain yang beraksi adalah Azizol Abu Haniffa, Roefandi Yusof dan Wan Ahmad Kamal.

"Kami cuma inginkan hak kami sahaja setelah memerah segala keringat dan berpenat lelah bagi mengangkat nama Perak," kata Shahrul.

"Inikah balasan yang kami terima setelah berjuang bermati-matian untuk Perak," tambahnya.

Beliau mendakwa PAFA berhutang lebih kurang RM500,000 kepada 15 bekas pemain dan pegawai skuad Seladang yang merupakan tunggakan empat bulan gaji.

"Kami amat terkilan dengan kenyataan Presiden PAFA, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin yang menyatakan bahawa persatuan itu tidak dapat menjelaskan tunggakan tersebut kerana tiada sebarang tuntutan daripada kami," tegas Shahrul.

Katanya, mereka sudah menghantar beberapa pucuk surat kepada PAFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai masalah tersebut.

"Namun begitu, kami tidak menerima sebarang jawapan yang positif daripada PAFA dan FAM," jelas Shahrul.

Sebelum ini, Nizar berkata, tunggakan gaji bekas jurulatih, Steve Darby, tiga pemain import dan dua pemain tempatan berjumlah RM272,000 sudah dilunaskan melalui FAM.

Ketiga-tiga pemain import dari Chile itu adalah Carlos Caceres, Jorge Munoz dan Mario Barios serta dua pemain tempatan, Mohd. Hardi Jaafar dan S. Subramaniam.

Presiden PAFA itu mengakui penyelesaian masalah tunggakan gaji ke atas lima individu tersebut telah membolehkan Perak beraksi dalam Liga Super 2010 seperti yang disyaratkan oleh FAM.

Nizar menyatakan PAFA tidak dapat membayar tunggakan gaji pemain-pemain lain kerana tiada sebarang tuntutan daripada mereka.

"Tuntutan sudah dibuat dan kami berharap PAFA dapat membayarnya secara ansuran jika kantung PAFA tidak mencukupi," kata bekas ketua pasukan itu.

Shahrul berkata, mereka sedia berbincang dengan PAFA pada bila-bila masa bagi mencari jalan penyelesaian masalah tunggakan tersebut.

Sunday, December 27, 2009

Seri Diikat Narathiwat - Angkara Penyudah Tumpul


Jentera serangan Kelantan dilihat tumpul apabila gagal menjaringkan sebarang gol ketika diikat 0-0 Narathiwat Fc dalam siri perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, malam tadi.

Walaupun menurunkan barisan terbaik di bahagian serangan, Kelantan bagaikan terkedu untuk menyudahkan sebarang peluang yang terhidang menyebabkan hampir 12 000 penyokong pulang kehampaan.

Mempertaruhkan S. Chanturu, Hairudin Omar dan Norfarhan Mohamed, Kelantan mengatur gerak pertama mengancam kubu Narathiwat yang dikawal Issama-e Yusoh tetapi tandukan Hairudin gagal menerjah jaring.

Tidak lama kemudian, hasil satu sepakan lambung Badri Radzi, Chanturu yang tidak dikawal seakan-akan mampu memberikan gol pertama tetapi dia gagal melepaskan sepakan akibat pintasan dari pertahanan Mahamasabri Awae Buasa.

Minit ke-17, Hairudin sekali lagi mengancam dengan melepaskan satu sepakan kencang tetapi sedikit melambung diatas palang gol melegakan pemain pertahanan Narathiwat.

Tidak memberi laluan mudah, Narathiwat juga mengatur beberapa serangan berbahaya melalui gandingan kapten pasukan, Assari Guno dan Wiroj Senbat menyebabkan Rizal Fahmi serta Azizi Mat Rose tertekan menahan asakan.

Pertengahan babak pertama, hasil satu serangan balas, Assari Guno melakukan satu hantaran rendah kepada Ware-de Sakor tetapi gerakan pemain ini disekat Azizi Mat Rose yang melakukan satu terjahan menolak bola keluar ketika Ware berkedudukan baik menolak bola kedalam gawang.

Terkejut dengan serangan Narathiwat, Kelantan melakukan perubahan taktikal dengan Chanturu bermain di posisi sayap kiri dan Farhan naik keatas mengatur serangan bersama Hairudin tetapi percaturan ini masih gagal membuahkan hasil sehingga wisel penamat dibunyikan.

Memasuki babak kedua, Sathianathan melakukan dua pertukaran mengeluarkan Farhan dan Khairan Eroza mengantikan mereka dengan Akmal Rizal dan Wan Zaman.

Kemasukan dua pemain ini merubah sedikit tempo permainan dengan Kelantan melakukan serangan berbahaya. Hasil satu percubaan Indra Putra minit ke-51, Akmal Rizal nyaris menjaringkan gol tetapi sepakan derasnya tinggi melepasi palang walaupun ketika itu hanya berhadapan satu sama satu dengan Fae-Sun Ya.

Akmal sekali lagi mengancam gawang Narathiwat apabila bola sambungannya hasil hantaran Chanturu menewaskan penjaga gol lawan tetapi bola tersebut diselamatkan diatas garisan gol oleh pemain pertahanan pada minit ke-56.

Kelantan yang terdesak mencari gol mengeluarkan Hairudin mengantikan dengan Che Hishamudin dan kemasukan pemain licik ini juga gagal menyuntik sebarang peluang untuk Kelantan mencari gol pertama.

Minit ke-74, Kelantan membuat beberapa pertukaran untuk memperkukuhkan barisan pertahanan dan Subraniam membuat penampilan pertama di Kota Bharu apabila masuk mengantikan Rizal Fahmi manakala Zamri dikeluarkan digantikan dengan Farisham Ismail.

Walaupun beberapa serangan bahaya diatur sang Kijang, Narathiwat Fc tetap ampuh menahan kubu mereka dari dibolosi dan setelah tambahan masa dua minit oleh pengadil, perlawanan ditamatkan dengan Kelantan diikat seri 0-0 juara divisyen dua liga selatan Thailand tersebut.