Saturday, January 16, 2010

Kelantan mahu kekal rekod bersih


KELANTAN hanya menumpukan untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Kangar pada aksi menentang Perlis malam ini.

Bagaimanapun, pengendali Kelantan, B. Sathianathan tetap berhati-hati kerana Perlis kini sudah mendapat semangat baru selepas menewaskan Kedah di Alor Setar, Selasa lalu.

Tanpa berselindung, bekas jurulatih kebangsaan ini percaya perlawanan malam ini pastinya sengit dan Kelantan tidak berdepan laluan mudah untuk menundukkan Singa Utara itu.

"Mungkin kita pernah menewaskan mereka pada separuh akhir Piala Malaysia lalu tetapi seperti juga kita, mereka juga menjadi sebuah pasukan yang berbeza untuk musim baru ini.

"Menewaskan Kedah di Alor Setar bukan tugas yang mudah tetapi mereka berjaya melakukannya dan kita perlu lebih berhati- hati," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, pemain The Red Warriors perlu bersedia dari segi mental terutama ketika berdepan dengan penyokong tuan rumah yang pastinya akan membanjiri stadium.

Katanya, jika memandang rendah kemampuan lawan, ia akan mengundang padah.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan keupayaan pemain terutama barisan pertahanan. Kita satu-satunya pasukan yang belum dibolosi dan ia perlu dikekalkan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menamakan dua pemain Perlis, Azrul Ahmad dan Ahmad Fakri Saarani sebagai pemain yang mampu menghampakan The Red Warriors.

Jelasnya, Kelantan masih belum mendapat- kan khidmat dua pemain tonggak, Norfarhan Mohamad dan Zairul Fitree Ishak yang masih dibelenggu kecederaan.

"Kedua-duanya masih belum boleh disenaraikan kerana cedera dan apa yang lebih positif adalah semua pemain berusaha untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama," jelas- nya.

Perlis tidak rela jadi mangsa Kelantan

Naib juara Liga Super 2009, Perlis tidak akan membiarkan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan menjadikannya sebagai mangsa ‘Gomo Kelate Gomo’ dalam kempen Liga Super di Stadium Utama Negeri di sini, malam ini.

Skuad Singa Utara ternyata mahu mengumpulkan tiga mata penuh ketika beraksi di gelanggang sendiri bagi mengukuhkan kedudukan dalam carta liga, sekali gus meranapkan impian skuad pelawat untuk mengutip jumlah mata yang sama.

Berdasarkan rekod Liga Super 2009, Perlis menjinakkan Kelantan 2-0 di sini, kemudian menang 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur ketika Kelantan terpaksa beraksi di stadium itu kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan Kelantan menggunakan Stadium Sultan Muhammed Ke-1V di Kota Bharu ekoran insiden luar jangka.

Dalam kempen Piala Malaysia pula, di peringkat separuh akhir, Kelantan menundukkan Perlis dengan kelebihan 5-1 apabila menang 2-0 di tempat sendiri dan menjinakkan tuan rumah 3-1 di sini.

Malam ini, Perlis tidak dapat menurunkan dua tonggak utamanya, Mohd. Badrul Azam Zambri akibat kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-22 ketika bertemu Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, Rabu lalu.

Selain itu, Perlis juga tidak dapat menurunkan pemain sayapnya, Solehin Kanasian Abdullah yang cuba dibeli Kelantan tahun 2010 kerana masalah kecederaan.

Walaupun tanpa Mohd. Badrol dan Solehin Kanasian, namun jurulatih Perlis, Mohd. Nidzam Adzha Yusof tidak melihat itu sebagai satu masalah buat skuadnya.

Sambil mengenepikan rekod terdahulu, beliau yakin anak buahnya mampu beraksi cemerlang untuk tidak membiarkan skuad Red Warriors pulang ke Pantai Timur dengan menggalas tiga mata.

“Tumpuan kami sekarang ialah kepada kekuatan pasukan yang semakin serasi, terutama dengan empat pemain tonggak bawah 23 kebangsaan yang semakin serasi bersama rakan-rakannya,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Empat pemain terbabit ialah penjaga gol utama, Mohd. Farizal Marlias, pemain pertahanan, Mazlizam Mohamad, pemain tengah, Amar Rohidan dan penyerang, Ahmad Fakri Saarani.

Mohd. Nidzam turut memuji kehebatan anak buahnya, terutama ketika menentang Kedah, walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang lebih 70 minit selepas Mohd. Badrul diperintah keluar padang, tetapi mampu mencipta memang.

“Jika semasa bertemu Kedah mereka boleh beraksi baik walaupun bermain dengan 10 orang dan menang 1-0, saya percaya semangat juang yang sama akan dipamerkan semasa bertemu Kelantan nanti,” tegasnya.

Tuesday, January 12, 2010

12/01/10 - Selasa : Latihan Jam Petang 5.00








Punca tiga aksi liga ditunda

TIGA daripada tujuh perlawanan Liga Super terpaksa ditunda ke malam esok disebabkan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) perlu menghadiri majlis penyampaian insentif atlet-atlet Sukan SEA 2009 Laos di Putrajaya hari ini.

Tiga perlawanan tersebut iaitu Kedah bertemu Perlis di Alor Setar, Johor bertemu Negeri Sembilan di Johor Bahru dan Kelantan bertemu Johor FC di Kota Bharu.

Manakala baki empat perlawanan lain kekal berlangsung mengikut jadual asal iaitu pada malam ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, perubahan jadual perlawanan itu dibuat bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelewatan para pemain skuad B-23 itu kembali ke venue-venue perlawanan bagi mewakili negeri atau kelab masing-masing.

"Majlis itu sepatutnya berlangsung pada 6 Januari lalu tetapi apabila Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendapati skuad kebangsaan berada di Dubai pada ketika itu, mereka tunda ke tarikh baru iaitu 12 Januari (hari ini).

"Kebetulan terdapat tujuh perlawanan Liga Super dan seramai 17 pemain skuad B-23 negara terlibat kecuali tiga pemain Harimau Muda. Jadi sebab itu kita tunda tiga perlawanan ini," kata Azzuddin ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Biarpun pemain-pemain tersebut boleh saja terbang ke Alor Setar, Johor Bahru dan Kota Bharu sejurus majlis tersebut berakhir, Azzuddin berkata, FAM tidak mahu mengambil risiko sekiranya berlaku kelewatan atau penangguhan jadual penerbangan sekali gus boleh menjejaskan perancangan pasukan yang terlibat.

"Bagi empat pemain dari Selangor, mereka tiada masalah kerana akan beraksi di Stadium Shah Alam. Begitu juga dua pemain dari Terengganu yang akan bertemu Perak, pihak kami telah sediakan kereta untuk hantar mereka terus ke Ipoh," jelas Azzuddin.

Dalam pada itu, ditanya berhubung rancangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menghantar pemain skuad B-23 negara ke kelab luar, Azzuddin berkata, Shabery akan ke United Kingdom pada minggu ini untuk melawat beberapa kelab di sana.

"Ketika ini belum ada lagi pengesahan yang kukuh, cuma kita nak meneliti dan bincang dulu dengan kelab-kelab ini. Pemain-pemain buat masa ini telah kembali ke pasukan negeri mereka.

"Tapi untuk musim ini, kita akan adakan latihan pusat skuad kebangsaan sebulan sekali dengan perlawanan persahabatan akan diatur selain latihan di luar negara. Tapi ia tidak akan bertembung dengan jadual liga," kata Azzuddin.

KAFA jangka dapat tutup kebocoran hasil


Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjangkakan kutipan tiket dapat ditingkatkan 20 peratus kepada RM2.4 juta pada tahun ini setelah beberapa langkah menutup ‘kebocoran’ diambil.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Hashim Tuan Yaakob berkata, pertambahan itu kelak dijangka dapat menampung sebahagian daripada kos perbelanjaan mengurus pasukan yang kini dianggarkan hampir RM4.5 juta.

Katanya, langkah tambahan diambil bagi tujuan itu di samping mengetatkan kawalan di pintu masuk Stadium Sultan Mohammed IV termasuk menubuhkan pasukan khas untuk memantau petugas-petugas yang terlibat.

‘‘Kawalan keselamatan pada Perlawanan liga Malaysia yang akan bermula pada 13 Januari ini akan diperketatkan bagi mengatasi masalah kekurangan kutipan hasil walaupun stadium penuh penonton.

‘‘Ia dijangka mampu meringankan beban KAFA memandangkan jumlah tajaan daripada syarikat-syarikat besar terhad dan turut bergantung kepada kutipan tiket termasuk melalui penajaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Tuan Hashim menambah, bagi meningkatkan kawalan di pintu masuk stadium, selain anggota polis, KAFA turut menempatkan anggota Rela, anggota Keselamatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pegawai KAFA.

‘‘Masalah timbul apabila tiket habis dijual, penonton penuh stadium tetapi sering kali berlaku ‘‘kekurangan’' jumlah kutipan tanpa dapat dikesan,” katanya.

Rentetan masalah itu katanya menjadi salah satu sebab KAFA mengalami kerugian yang pada tahun lepas dianggarkan bernilai hampir RM400,000.

Beliau juga memberitahu, penggunaan tiket elektronik ‘touch n go’ kepada penaja yang diperkenalkan mulai tahun ini mendapat sambutan baik di kalangan penonton dengan 200 tempat duduk daripada 510 daripadanya telah terjual.

‘‘Sebanyak 510 tempat duduk tajaan di astaka yang kini sebahagiannya telah terjual yang antara lain menawarkan masuk menggunakan kad elektronik ‘touch n go’ yang lebih cepat dan tepat.

‘‘Pemegang The Red Warrios Fan Club akan memperoleh tiket tempat duduk astaka untuk semua perlawanan Liga Super, pusingan awal Piala FA dan peringkat kumpulan Piala Malaysia serta perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Mohammed IV kecuali perlawanan suku akhir dan separuh akhir Piala FA dan Malaysia.

‘‘Bagi yang menaja RM1,500 hingga RM2,999 mereka juga masuk di pintu utama dan ditempatkan di kawasan terpilih beserta cendera hati daripada KAFA.

Siaran langsung Liga M di Astro semakin jadi kenyataan - FAM

Jika dilihat dari segi prinsip, syarikat siaran berbayar, Astro dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah hampir bersetuju untuk menayangkan siaran langsung Liga Malaysia musim ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, pihaknya sekarang ini hanya menunggu untuk menandatangani perjanjian daripada Astro yang akan dilakukan bila-bila masa sahaja.

"Perbincangan ini sudah dilakukan sejak pertengahan musim lalu dan Astro telah menunjuk minat untuk menyiarkan perlawanan siaran langsung bagi saingan Liga Super dan Liga Perdana," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, semalam.

Jelasnya, walaupun Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menjadi penyiar rasmi bagi saingan Liga Malaysia tetapi siaran langsung yang bakal ditayangkan oleh Astro tidak akan bertembung dengan menyiarkan perlawanan yang sama pada hari yang sama.

"Setakat ini belum ada sebarang bantahan daripada RTM dan kami amat memahami prinsip mereka tetapi untuk kebaikan sukan bola sepak saya rasa perkara ini tidak akan menjadi satu masalah.

"Kami hanya menunggu masa untuk menandatangani perjanjian dengan Astro dan satu sidang akhbar mengenai majlis ini akan diadakan nanti," katanya.

Kata Azzuddin, perlawanan siaran langsung yang bakal ditayangkan oleh Astro diadakan pada Jumaat, ini bermakna salah satu perlawanan Liga Super akan diadakan lebih awal sehari manakala perlawanan Liga Perdana sememangnya berlangsung pada hari Jumaat setiap minggu.

Ditanya mengenai kehadiran penonton yang pasti akan terjejas kerana sudah tahu lebih awal bahawa perlawanan hari Jumaat akan disiarkan secara langsung, Azzuddin berkata, mereka bersedia untuk berdepan dengan risiko.

"Kalau seseorang peminat itu betul-betul meminati bola sepak, mereka akan datang ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka, siaran langsung ini memberi peluang kepada mereka yang tinggal jauh dari stadium," ujarnya.

Monday, January 11, 2010

Kelantan bangga bawa pulang satu mata


TERENGGANU seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Shar- binee Allawee Ramli yang menidakkan peluang Kelantan untuk membawa pulang mata penuh ke Kota Bharu dalam perlawanan pertama Liga Super malam kelmarin.

Tanpa berselindung, jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mengakui bahawa Terengganu bernasib baik kerana penjaga gol muda itu beraksi cemerlang selepas Kelantan hampir menguasai keseluruhan permainan.

Bagaimanapun, Sathianathan berkata, beliau begitu berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang disifatkan sebagai petanda baik ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) baru bermula.

"Kita bermain dengan baik dan saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan apabila kita banyak mencipta gerakan dan hampir menjaringkan gol, namun penyudah sedikit tumpul.

"Saya juga mengakui bahawa penjaga gol Terengganu (Sharbinee) bermain dengan baik apabila berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya lima percubaan kami," kata Sathianathan ketika ditemui Kosmo! semalam.

Tambahnya, satu mata sudah memadai memandangkan rekod Kelantan ketika bertandang ke Terengganu sebelum ini kurang baik.

Jelas Sathianathan, apa yang penting para pemainnya memahami tugas masing-masing dan mampu mencipta peluang untuk memburu gol.

"Bagaimanapun, kita perlu bekerja lebih keras di bahagian benteng yang agak kurang konsisten terutama ketika sera- ngan balas pantas dan hantaran bola tinggi pihak lawan.

"Apa yang penting perlawanan semalam menampakkan bahawa semua pemain mampu berperanan menghasilkan gol dan tidak mengharapkan baha- gian serangan sahaja," ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan penyerang Kelantan, Norfar- han Mohamad, Sathianathan memberi- tahu: "Saya lebih senang untuk bercakap mengenai tanggungjawab semua pemain dan bukannya mengharapkan seorang pemain sahaja yang mampu melakukan sesuatu.

"Keseluruhan Liga M mempunyai 26 hingga 30 perlawanan dan jika anda hanya mengharapkan seorang pemain sahaja, ia sudah tentu menyukarkan," jelasnya.

Beliau turut memuji gandingan Akmal Rizal Rakhli dan Hairuddin Omar yang semakin serasi dan percaya kedua-dua pemain ini mampu memberi tonik baru kepada Kelantan.

Ferguson undang masalah

Alex Ferguson telah mengheret dirinya berdepan dengan masalah bersama Persatuan Bola Sepak England (FA) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Pengurus Manchester United itu berang dengan Mark Clattenburg yang memerintahkan pemain tengah Scotland, Darren Fletcher keluar padang selepas penyandang juara itu mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana England menentang Birmingham City, kelmarin.

Ferguson baru-baru ini dikenakan hukuman tidak boleh berada di bangku simpanan dalam dua perlawanan kerana mengkritik kecergasan pengadil Alan Wiley awal musim ini dan masih mempunyai penggantungan dua perlawanan oleh FA.

Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya untuk menimbulkan satu lagi kekecohan dengan pengadil di St. Andrews dalam perlawanan yang membolehkan United berada di tangga teratas mengatasi Chelsea jika mereka mencatatkan kemenangan.

Fletcer diperintah keluar padang selepas menerima dua kad kuning, kad kedua diterima selepas melakukan kekasaran ke atas penjaring gol Birmingham, Cameron Jerome tiga minit sebelum perlawanan tamat, dalam aksi yang sekali lagi mengecewakan buat pasukan bimbingan Ferguson, seminggu selepas mereka disingkirkan dari saingan Piala FA oleh Leeds United.

Kurang menumpukan perhatian kepada kekurangan yang terdapat pada pemainnya, Ferguson lebih gemar untuk menyerang Clattenburg.

"Saya menyaksikannya menjadi pengadil ketika Arsenal menentang Spurs baru-baru ini dan seseorang perlu diperintah keluar padang dan dia tidak melakukannya. Ia memang amat lembut, sangat lembut.

"Sudah lama saya tidak menyaksikan pemain tidak dikenakan tindakan keluar padang akibat keputusan pengadil yang sangat lembut, ia sama sekali tidak masuk akal.

"Ada keputusan yang sangat pelik dan hebat berlaku di atas padang. Pengadil memberikan keputusan ofsaid ke atas gol kami dan ia adalah gol sendiri (yang bukan ofsaid) tetapi dia masih mahu memberikan keputusan ofsaid," katanya.

Ferguson, yang akan disoal mengenai penjelasan ke atas komennya terhadap pegawai FA, mengakui beliau gembira dengan keputusan seri selepas menentang pasukan yang sedang meningkat naik, Birmingham yang dilatih oleh Alex McLeish, pernah beraksi di bawah pengurus United ketika dia membawa pasukan Aberdeen.

Pengurus United telah melakukan tujuh pertukaran daripada pasukan yang tewas kepada Leeds tetapi terpaksa mengeluarkan Dimitar Berbatov kerana kecederaan lutut.

"Berbatov mengalami kecederaan lutut yang tidak serius ketika beraksi minggu lepas, saya mahu dia berehat dan kembali cergas semula.

"Kami sangat berpuas hati dengan mendapat satu mata kerana ia sangat sukar beraksi di sini, ia bukan sesuatu yang teruk mendapat satu mata.

"Ia saingan yang sengit. Saya telah mengatakan perkara ini sejak berbulan-bulan lalu, saya tidak pasti ada yang mendengarnya.

"Bertandang ke Birmingham bukan satu tugas yang mudah. Pasukan seperti Birmingham telah menunjukkan peningkatan, Alex mempunyai pemain yang boleh berlari jauh. Ia adalah kelebihan yang memberi kesukaran buat kami," katanya.

Birmingham berjaya memecah rekod 1907-08 dengan mencatatkan 12 kemenangan tanpa kalah dan hanya jaringan sendiri Scott Dann yang menghalang mereka mencatat kemenangan.

Bagaimanapun, McLeish enggan terbawa-bawa dengan rekod tersebut dan menambah bahawa terus berada di EPL adalah sasarannya, walaupun ia sudah pasti akan berlaku selepas mereka berada di tangga kelapan liga.

"Apa yang berlaku masih belum lagi muktamad kerana kami mungkin tewas dalam baki perlawanan yang lain.

"Ia adalah rekod untuk dibanggakan tetapi saya tidak tertarik dengan statistik," kata bekas pemain pertahan Scotland itu.

Pemain tengah Sporting Gijon, Michel adalah di antara tetamu yang hadir ke St Andrew dan dijangka melengkapkan perpindahan 2.75 juta pound awal minggu depan bergantung kepada ujian kecergasan. - AFP

Sunday, January 10, 2010

Gambar Kelate vs Tganu







Pertemuan dua musuh tradisi Kelantan dan Terengganu berakhir dengan seri tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan TM Liga Super 2010 di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Syah malam tadi.

Beraksi di arena lawan bukanlah halangan buat Kelantan apabila bermain secara menyerang dan mengusai hampir keseluruhan perlawanan semalam. Sebaliknya Terengganu yang beraksi di laman sendiri gagal menggunakan kelebihan tersebut.

Memburu tiga mata penting, Kelantan mempertaruhkan kesebelasan terbaik mereka, apabila memberikan persembahan bertenaga dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan.

Kelantan berpeluang memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke- 11 menerusi kapten pasukan Indra Putra Mahyudin namun gagal membuahkan hasil. Serangan bertali arus memaksa pemain Terengganu berkampung di laman sendiri.

Tersentak dengan serangan berlati arus pasukan pelawat, tuan murah mula memperkemaskan jentera serangan. Mereka hampir berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke 17, namun sepak percuma Zairol berjaya di selamatkan oleh pertahanan Kelantan.

Kelantan sekali lagi berpeluang berada dihadapan namun hantaran Akmal Rizal di minit ke 21 gagal di sambut oleh rakan sepasukan, walaupun pintu gol sudah pun terbuka luas. Separuh masa pertama menyaksikan Kelantan mengusai hampir keseluruhan permainan, namun di gagalkan oleh penyudahan yang tumpul.

Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan tampil lebih bernafsu apabila melancarkan serangan berlati arus memburu gol pembukaan. Hasilnya diminit ke 46 kelantan hampir- hampir berjaya memecahkan kebuntuan namun sepakan menerusi percuma dari Kapten Pasukan indra terus kedakapan pengaja gol Terengganu Mohd Sarbinee Alawi. Selang seminit kemudian pasukan tuan rumah pula mengamcam kubu Kelantan menerusi sepakan kencang dari Zairol namun berjaya diselamatkan oleh Syed Adney.

Menyedari ketumpulan jentera penyudah, Ketua Jurulatih Kelantan B. Sathianathan membuat pertaruhan apabila membawa masuk tonggak utama kebangsaan Nor Sharul Idlan untuk menambah sengat dibahagian depan. Kemasukan Shahrul ternyata memberikan nafsu lebih besar kepada Kelantan untuk memburu gol. Serangan bertali arus Kelantan hampir membuahkan hasil diminit -minit akhir perlawanan, namun kekebalan Mohd Sarbinee Alawi di pintu gol Terengganu menyaksikan Kelantan membawa pulang 1 mata dari Kuala Terengganu.

Selangor raih piala sumbangsih

Selangor membuka tirai bola sepak Liga Super musim ini dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam ini.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan dan menggamatkan kira-kira 25,000 penonton selepas Idris Karim menanduk masuk bola hasil sepakan percuma ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad pada minit ke-27.

Perlawanan sumbangsih itu turut disaksikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Besar Tampin Syed Razman Syed Idrus Al Qadri, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selepas rehat, pasukan ”The Red Giant” bimbingan K. Devan bangkit memberi asakan bertalu-talu dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi Safee Sali dan berselang tujuh minit kemudian, D. Surendran berjaya menyumbat gol kemenangan buat Selangor.

Sementara di Stadium Tan Sri Dato” Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor, Azlan Ismail menjadi wira pasukan Kedah selepas berjaya menjaringkan hatrik pada minit ke-32, 81 dan 86 menentang Johor.