Thursday, April 29, 2010

Kemeriahan Baju Merah Dikagumi, Dicemburui dan Digeruni



Kehebatan sokongan penyokong The Red Warriors sememang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana penyokong pasukan dari pantai barat mahupun pantai timur walaupun dilabelkan terlalu fanatik, ganas, miskin, mundur dan kurang hiburan, penyokong The Red Warriors tidak ambil peduli tentang apa yang dilabelkan pada mereka kerana apa yang penting kemeriahan ini dilakukan dengan ikhlas dan semangat yang jujur.

DIKAGUMI:
Penyokong Kelantan satu-satunya penyokong yang mampu mengekalkan jumlah kehadiran lebih 10 ribu setiap perlawanan di stadium utama pasukan sejak 2009 hingga sekarang. Kebanjiran penyokong berbaju merah sudah menjadi bualan hangat penyokong negeri lain yang begitu kagum dengan semangat kenegerian yang ada dalam jiwa seluruh penyokong Kelantan. Sikap buruk segelintir penyokong yang menjadi igaun ngeri penyokong Kelantan lain telah mula terhapus, suasana stadium ceria dengan sorakan dan paluan gendang Kelab penyokong serta jeritan si gadis-gadis yang makin ramai memenuhi stadium. Agak sukar untuk menghapuskan sikap prejudis rakyat Malaysia terhadap penyokong Kelantan kerana hanya perkara buruk sahaja dihebohkan berulang-ulang kali di media sedangkan setelah 11 perlawanan TM Liga Super 2010 berlangsung perkara baik dan sikap menyerupai penyokong liga eropah tidak pula dihebohkan.

Kemajuan dan kehebatan penyokong The Red Warriors bukan sekadar di stadium malah di ruang siber, sekiranya dilihat pada jumlah ahli Facebook di semua kelab penyokong ternyata Kelantan masih mendahului. Selain itu terdapat kemajuan yang belum pernah diusahakan oleh pasukan lain di Malaysia iaitu kemajuan dalam menerajui siaran langsung melalui internet yang diusahakan KAFA sejak 5 perlawanan Kelantan di luar Kelantan mendapat respon yang baik dari peminat walaupun kualiti masih diperingkat percubaan dan menghadapi masalah kelajuan internet di Malaysia yang masih dalam lingkungan 1 mbps kerana kualiti untuk siaran langsung melalui internet memerlukan capaian kelajuan lebih daripada 4 mbps. Kelemahan ini tidak menjadi masalah untuk skuad TRWC memberi laporan secara langsung kepada peminat yang berada diluar stadium seluruh dunia. Percubaan berani ini telah menjadikan laman web ini adalah web rasmi pasukan bolasepak pertama yang mempunyai liputan secara langsung melalui video dan audio di web di Malaysia dan tidak mustahil ianya akan menjadi ikutan web-web pasukan bolasepak negeri lain melalui respon yang diperolehi konti TRWC dari panggilan pasukan-pasukan dan kelab negeri lain.

Keluaran lebih 50 jenis produk sendiri berjenama WARRIORS mendapat sambutan hangat di kalangan penyokong setia Kelantan. Sambutan hangat ini mengatasi jumlah produk yang dikeluarkan sehingga ada yang terpaksa membuat tempahan awal dan sanggup membeli dengan harga yang mahal. Di kala peminat bolasepak dihebohkan dengan produk keluaran piala dunia 2010, produk KAFA tetap dihati dan menjadi pilihan utama. Hal ini juga menjadi buah mulut penyokong negeri lain yang hanya sekadar berbangga dengan produk seperti jersi, mafla, topi dan beberapa item sahaja. Pihak KAFA telah mencuba mengeluarkan pelbagai variasi jenis produk demi mencapai kepuasan semua peminat The Red Warriors. Disamping itu KAFA sedang berusaha untuk membuka kafe rasmi The Red Warriors di ibu negara dalam waktu terdekat ini.



DICEMBURUI:

Ada juga perkara yang dibuktikan penyokong The Red Warriors setaraf penyokong liga eropah dicemburui peminat lain yang memberi penilaian jakun dan sempit dengan mengatakan penyokong Kelantan tiada hiburan, tiada ASTRO dan pelbagai lagi telahan yang dilemparkan. Untuk pengetahuan masyarakat luar Kelantan, kami di Kelantan memiliki segala kemudahan yang ada termasuk kemudahan internet tanpa wayar yang disediakan oleh bukan syarikat telekomunikasi utama negera dan kalau setakat ASTRO ianya dilanggani oleh kebanyakan rumah di Kelantan. Sekiranya dinilai dari jumlah kumpulan penyokong Kelantan di Facebook, penyokong Kelantan memiliki lebih dari satu kumpulan selain Kumpulan The Red Warriors yang mana kesemuanya telah mencecah lebih 10 ribu pengikut. Penilaian-penilaian yang hendak diberikan kepada masyarakat Kelantan perlu diteliti dan dikaji sedalamnya sebelum membuat kenyataan kerana bagi masyarakat Kelantan dari fesyen hinggalah bolasepak, mereka tidak pernah menjadikan masyarakat di Malaysia sebagai ikutan dan pasti akan cuba mendahului lain dari yang lain serta meninggalkannya setelah apa yang dihasilkan menjadi ikutan atau tiruan masyarakat luar Kelantan. Dengan tidak menjadi kesalahan sekiranya mereka juga melabelkan peminat bolasepak negeri lain sudah mengambil perkara yang ditinggalkan seperti bermain mercun di stadium.

DIGERUNI:

Keberanian dan semangat kesatuan yang utuh dikalangan penyokong telah menimbulkan kegerunan penyokong luar Kelantan untuk hadir ke stadium Kota Bharu mahupun memulakan provokasi terhadap penyokong Kelantan. Namun sikap ini tidak boleh terus menjadi igauan ngeri penyokong lain dengan sentiasa meletakkan tanggapan negatif sebagai imej penyokong Kelantan. Penyokong Kelantan perlu mengekalkan imej sekarang sebagai jaminan kepada penyokong lain untuk turut serta memeriahkan kancah liga super ini. Biarlah penyokong lain gerun dengan semangat dan kemeriahan kita bukannya kerana sikap gedebe dan pencetus huru-hara. Ketika berbual-bual dengan masyarakat luar Kelantan sekarang mereka mula menyatakan seronok ke stadium melihat skuad Kelantan beraksi dan suasana kemeriahan malah ada yang bergurau tidak sanggup melihat skuad kita membelasah lawan dengan jaringan yang besar.



Walauapapun tanggapan atau pujian yang diberikan, kami menyeru semua penyokong terus memberikan sokongan setia yang tidak berbelah bagi kepada skuad kita dan berusahalah untuk memeriahkan diri di stadium mahupun di laman web ini. Hanya sorakan padu "Gomo Kelate Gomo" yang dapat mengekalkan momentum kemenangan dan sebagai bakal juara. Keunggulan kita hanya datang dari jiwa kita. Kehebatan skuad hanya datang dari pulangan yang berbaloi untuk mereka.



Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Main Biar Bijak..Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo

Sertai sekarang program kami.

Sunday, April 25, 2010

Masih Lagi Ledakan 3 Gol!!


Rentak dan strategi percaturan pemain yang dihasilkan oleh B. Sathiananthan dan Hashim Mustapha sememangnya berjaya kerana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah pada selasa lepas dapat dijinakkan dengan mudah sehingga ada satu ketika pasukan Kelantan hanya bermain-main hantaran antara satu sama lain. Ketiadaan Norhafiz Zamani Misbah yang dilayan kad merah telah menambah tekanan kepada semua pemain KL Plus dan hanya paluan gendang upahan KL Plus sahaja yang sentiasa rancak menghidupkan suasana suram KL Plus. Jaringan 2 gol berturut-turut untuk 2 perlawanan dapat dijadikan hadiah daripada Norshahrul Idlan Talaha kepada kedua ibubapanya dan famili yang sering hadir menyaksikan perlawanannya. Rehat yang panjang Hairuddin telah membuahkan hasil dengan jaringan yang cantik dan ramai peminat berharap ini adalah saat kebangkitan Hairuddin yang sudah lama tidak menjaringkan gol.

Walaupun demam dan mendapat 2 suntikan rawatan demamnya, ternyata tidak menjadi penghalang buat Indra Putra untuk beraksi baik pada malam tadi. Semangat ini mengulangi semangat ketika kepalanya berdarah. Penyokong Kelantan harus berbangga dengan khidmat Indra Putra dan mahu memastikan pihak pengurusan menjaga segala urusan Indra Putra dengan baik. Perang psikologi yang dimulakan oleh Mat Zan Mat Aris ternyata memakan diri, apabila pada saat-saat akhir perlawanan hendak bermula Indra Putra masih lagi berbaju alas sejuk sehinggalah senarai nama pemain dikeluarkan mendapati nama Indra Putra turut tersenarai. Situasi ini sedikit sebanyak telah menggangu strategi yang telah diatur oleh Mat Zan Mat Aris yang lebih menumpukan kawalan pada Norshahrul Idlan dan Mohd Badhri.

Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas berkenaan perlawanan ini, beliau amat berpuas hati dengan permainan yang dipamerkan. Beliau akan memastikan momentum ini akan dapat dikekalkan ketika bertemu Pahang di Kota Bharu selasa nanti untuk penutup pusingan pertama TM Liga Super 2010 dan akan bertemu kembali Pahang di Kuantan sabtu nanti untuk permulaan pusingan kedua TM Liga Super 2010. Ucapan tahniah juga buat Azizi Mat Rose telah kali ketiga berturut-turut dinobatkan "PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN" begitu juga Khairul Fahmi penjaga muda yang beraksi cemerlang dan tenang.

Kejayaan para penyokong Kelantan menjaga imej terbaik untuk 11 perlawanan lalu sedikit tercemar pada malam tadi apabila masih ada penyokong yang membaling mercun dan membawa bendera politik yang sudah pasti bakal mengundang amaran atau denda dari FAM. Mungkin ramai penyokong masih beranggapan kenapa penyokong negeri lain boleh kenapa Kelantan tidak boleh? jawapan dari pihak kami amat mudah biarlah kita sentiasa memastikan kita terbaik dan lebih baik dari penyokong lain serta anggaplah hanya kita sahaja yang mampu mengangkat kembali imej kita sehingga digeruni dan dikagumi dari setiap sudut samada pengurusan, pemain dan penyokong. Peduli apa orang hendak kata pada kita yang pasti kita akan terus menjadi yang terbaik dan Juara semua situasi. Sikap membaling mercun yang ditunjukkan oleh si pembaling telah mengundang lawak dan marah dikalangan peminat lain kerana hanya sudut si pembaling sahaja yang kedengaran bunyi mercun dan telah mengundang bahaya kepada dirinya disebabkan pihak Polis dengan mudah dapat mencari dan mengesan si pembaling mercun itu tadi sungguhpun dilepaskan oleh pihak polis. Tindakan pihak polis sememangnya mendapat kerjasama daripada pihak KAFA kerana pihak KAFA tidak sanggup sentiasa menanggung denda disebabkan baling mercun dan membawa bendera politik. Ini bermakna pihak KAFA tidak akan bertanggungjawab dan berkompromi dengan mana-mana individu yang ditangkap.

Tahniah dan ribuan perhargaan kepada semua penyokong Kelantan kerana menjadikan kawasan sekitar dalam dan luar stadium pada malam tadi seolah-olah berada di Kota Bharu. Gelagat si Badut sujud mencium padang pada rehat separuh masa kedua telah membuat stadium riuh dengan ketawa dengan aksi selamba si badut sehinggalah dikejar rela. Fenomena kemeriahan bolasepak Kelantan tidak dapat dikecapi oleh mana-mana pasukan di Malaysia. Disamping kemajuan teknologi siaran langsung melalui yang diusahakan oleh TRWC amat membanggakan biarpun masih dalam proses peningkatan kualiti dan kelemahan sistem kelajuan internet di Malaysia yang masih belum mampu memberi impak yang baik kepada teknologi terkini yang cuba diusahakan oleh TRWC.

Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Main Biar Bijak...Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo