Saturday, July 23, 2011

Tak sabar membaham

Jurulatih Taiwan, Lee Tae-Ho, baru-baru ini menyatakan Singapura yang menewaskan mereka 3-2 pada 20 Julai lalu ternyata lebih baik berbanding Malaysia.

Seolah-olah merendahkan kemampuan Malaysia yang menyingkirkan mereka di pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014, jurulatih itu mendakwa, Singapura mempunyai pemain yang matang dan beraksi lebih tersusun berbanding Malaysia.

Pandangan itulah yang menjadi perhatian media Singapura yang diajukan kepada jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagobal pada sidang akhbar semalam.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 55 tahun itu tidak cepat melatah, sebaliknya optimis terhadap kemampuan pemainnya sendiri.

''Semua orang boleh menyatakan pendapat mereka masing-masing. Itu terpulang pada mereka.

''Kita mungkin boleh mendapat 80,000 pendapat berbeza daripada 80,000 orang yang datang menonton sesuatu perlawanan. Saya tidak ambil kisah dengan pendapat jurulatih Taiwan kerana saya hanya mahu memberikan fokus kepada pasukan saya sahaja.

''Sebagai jurulatih, saya lebih tahu kemampuan pemain saya sendiri," katanya pada sidang media di Hotel Amara, semalam menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura, hari ini.

Bercakap mengenai Singapura, beliau berkata, cara permainan Singapura sedikit mirip skuad negara berdasarkan apa yang beliau perhatikan daripada rakaman video dua aksi persahabatan terakhir.

''Apa yang saya dapat nilai, kekuatan dan kelemahan kami tidak banyak berbeza antara satu sama lain, jadi saya sama sekali tidak akan mengambil mudah. Apa yang saya harapkan, pada perlawanan esok (hari ini), pasukan kami dapat menampilkan rentak menarik untuk mencapai kemenangan," ujarnya.

Friday, July 22, 2011

Perkemas kubu

JIKA Singapura berhajat untuk menembusi gawang skuad negara dengan mudah pada pertembungan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 esok, mereka sebenarnya boleh menyimpan saja hasrat itu.

Ini kerana benteng Harimau Malaya pimpinan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal bersedia untuk bangkit membuktikan mengapa mereka berhak bergelar raja Asia Tenggara ketika ini.


Menurut pertahanan tengah, Mohd Muslim Ahmad, pemain pertahanan bersedia memperkemaskan permainan selepas dikecam hebat angkara aksi longlai dalam pusingan awal dengan Taiwan sebelum ini serta aksi persahabatan menentang Arsenal dan Liverpool yang menyaksikan mereka melepaskan keseluruhan 14 gol.

“Kami sudah memperoleh pengajaran daripada perlawanan sebelum ini termasuk ketika bertemu dengan kelab hebat seperti Arsenal dan Liverpool.


“Apa yang kami perlu lakukan adalah bermain dengan lebih disiplin serta memberi fokus dalam permainan kerana kami sedar Singapura pasti mahu mencari kelebihan di laman sendiri,” katanya yang tiba di Kota Singa semalam bersama dengan skuad seramai 24 pemain.


Muslim sekadar beraksi sebagai pemain gantian dalam dua pertemuan dengan Taiwan yang berkesudahan agregat 4-4 untuk Harimau Malaya mara dengan peraturan gol di tempat lawan ke pusingan kedua.

Bagaimanapun kecederaan yang menimpa Mohd Adil Zafuan Abd Radzak pada babak pertama perlawanan dengan Arsenal memberi ruang untuk tonggak skuad Olimpik itu bergandingan dengan Mohd Fadhli Mohd Shas.


Namun pertahanan negara dipersalahkan apabila melepaskan gol mudah apabila kalah 4-0 dan 6-3 kepada Arsenal dan Liverpool.

“Kami perlu kekalkan disiplin dalam permainan dari awal hingga wisel penamat ditiup,” tekad Muslim jika dia mendapat kepercayaan Rajagobal kali ini.


Selepas aksi pertama di Stadium Jalan Besar esok, Malaysia dan Singapura akan bertemu sekali lagi pada 28 Julai ini bagi memastikan tempat ke pusingan peringkat kumpulan.

Chelsea puji Malaysia


Chelsea perlu tabik kepada skuad Pilihan Malaysia apabila status gah mereka selaku naib juara Liga Perdana Inggeris musim lalu sekadar menyaksikan mereka menang 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Skuad Blues hanya menang hasil jaringan kontroversi Didier Drogba, apabila penjaga garisan, M. Sivanesan membenarkan jaringan hasil sepakan percuma penyerang sensasi Chelsea itu pada minit ke-78.

Bola sepakan Drogba yang dilakukan dari jarak 20 meter, jelas belum melepasi garisan gol selepas terkena palang dan melantun semula kembali ke arah penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi namun Sivanesan mengangkat bendera bagi mengesahkan jaringan tersebut.

Malaysia menolak peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-84 menerusi A. Thamil Arasu, namun dia gopoh apabila hanya berhadapan penjaga gol Chelsea, Peter Cech dan langsung tidak dicabar oleh pertahanan Chelsea, tetapi dia percubaannya jauh tersasar.

Tidak banyak harapan diberikan kepada skuad Pilihan Malaysia yang menggunakan 13 tonggak Harimau Muda di samping dibantu 9 pemain senior, namun persembahan mereka terbaik jika dibandingkan dengan dua keputusan sebelum ini ketika skuad Harimau Malaya kalah 0-4 kepada Arsenal dan 3-6 kepada Liverpool.

Seperti mana yang dijanjikan jurulatih Ong Kim Swee, dia menurunkan semua pemain senior pada permulaan perlawanan dengan hanya dua pemain skuad Olimpik, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Zubir Azmi mengisi kesebelasan utama.

Sementara Chelsea tidak menyenaraikan beberapa pemain utama seperti Peter Cech, Didier Drogba, Ashley Cole, John Obi Mikel dan John Terry sebaliknya memberikan ruang kepada beberapa pemain muda seperti Ryan Bertrand dan Joshua McEachran pada babak awal perlawanan.

Kim Swee berkata, percaturan menggandingkan pemain senior berhasil apabila dapat membimbing pemain muda dalam skuad Pilihan Malaysia sehingga mengikat kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama.

"Malahan pada babak kedua, apabila saya menurunkan sebahagian besar pemain muda, permainan lebih tersusun malahan kita hampir menyamakan kedudukan.

"Ia merupakan satu persembahan baik daripada skuad negara malam ini sebagai persediaan ke Kelayakan Olimpik," katanya.

Saingi sambutan hangat terhadap Liverpool Sabtu lalu 80,000 saksi aksi The Blues


Lebih 80,000 penyokong memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea di sini, semalam.

Jumlah itu menyamai kehadiran pada perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Liverpool di venue yang sama Sabtu lalu.

Jumlah kehadiran kedua-dua perlawanan tersebut jauh lebih tinggi berbanding aksi kelab Liga Perdana Inggeri, Arsenal yang menentang skuad K. Rajagobal di stadium yang sama Rabu lalu iaitu 65,000 orang.

Peminat fanatik Blues mula memenuhi tempat duduk stadium seawal pukul 6 petang, sekali pun perlawanan bermula pukul 8.45 malam.

Kali terakhir Chelsea mengadakan kunjungan ke negara ini pada Julai 2008, dengan perlawanan persahabatan berkesudahan berpihak kepada Blues 2-0 di Stadium Shah Alam.

Kehadiran Blues yang dalam Siri Jelajah Asia di bawah bimbingan jurulatih baru, Andre Villas-Boas membuka peluang lebih luas kepada penyokong setia Chelsea di negara ini, memandangkan perlawanan diadakan di Stadium Nasional dengan kapasiti tempat duduk yang lebih besar berbanding di Stadium Shah Alam.

Sambutan luar dugaan dipamerkan penyokong Chelsea terserlah dengan suasana gamat di Stadium Nasional dengan jeritan penyokong terutama apabila barisan pemain bintang Blues memasuki padang.

Namun, dalam keasyikan menyaksikan bintang antarabangsa Chelsea, sorakan dan sokongan padu buat skuad Pilihan Malaysia tetap tidak dilupakan oleh para penyokong yang turut melaungkan nama Malaysia.

Thursday, July 21, 2011

Malaysia lawan sukar


Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERUJA...Anelka menunjukkan cara mengawal bola ketika klinik khas bola sepak di Chelsea Blue Pitch, Damansara Damai, semalam.
TERUJA...Anelka menunjukkan cara mengawal bola ketika klinik khas bola sepak di Chelsea Blue Pitch, Damansara Damai, semalam.

“KAMI akan berdepan perlawanan yang sukar kerana mereka (Malaysia) pasti mahu menang ke atas Chelsea dan akan bermain bermati-matian,” kata penyerang Blues, Nicolas Anelka menjelang pertembungan dengan skuad pilihan Malaysia dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Walaupun secara realitinya kelab Liga Perdana Inggeris itu memiliki ramai pemain bintang, Anelka, 32, memilih untuk berhati-hati bagi mengelak daripada ditimpa kejutan skuad kendalian Ong Kim Swee dalam kunjungan ketiga mereka ke Malaysia selepas 2003 dan 2008.


“Chelsea akan berusaha untuk menang perlawanan ini dan akan memberikan yang terbaik kerana pertemuan kali ini lebih sukar. Pasukan yang beraksi lebih baik akan menang,” katanya yang ditemui pemberita selepas sesi klinik bola sepak Chelsea di Damansara Damai semalam.

Ini kali kedua pemain Perancis itu menyertai Jelajah Asia Chelsea selepas mencipta nama selaku penjaring ketika menumpaskan Malaysia 2-0 pada 2008 di Stadium Shah Alam.


Anelka yang menyertai Chelsea pada 2008 dan membantu mengekalkan trofi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge pada musim 2009/10 gembira dapat menyertai rombongan 26 pemain Chelsea bersama pengurus baru Andre Villas-Boas ke Malaysia sebagai persiapan pra musim mereka.


“Cuaca di sini agak panas tapi saya sudah menjangkakan keadaan ini kerana pernah datang ke sini sebelum ini. Saya amat gembira datang ke sini untuk bertemu peminat dan menentang pasukan Malaysia.

“Kami mempunyai pengurus baru yang sangat bagus dan kami menjalani latihan keras bersamanya. Setakat ini kami sudah menang dua perlawanan (Wycombe Wanderers 3-0 dan Portsmouth 1-0) dan berharap rentak kemenangan ini dapat diteruskan sepanjang persiapan pra musim bagi mengharungi musim baru nanti,” katanya.


Mengulas mengenai kedudukannya dalam skuad selepas kehadiran bintang Sepanyol Fernando Torres serta tonggak utama Didier Drogba, dia bersedia ersaing bagi memastikan tempat dalam kesebelasan utama.

Joseph, Daudsu tidak rela

Namanya di kalangan penyokong setia Terengganu tidak perlu diperkenalkan lagi, malah dia dianggap antara arkitek kebangkitan skuad Penyu pada musim ini terutamanya selepas memenangi Piala FA.

Kreativitinya membuka ruang kepada barisan penggempur di samping mempunyai hantaran silang berkualiti menjadi aset buat pemain berusia 24 tahun ini menjadi sebutan di kalangan pengikut bola sepak tempatan.

Namun, pemuda yang berasal dari Sarawak dari suku kaum Kenyah ini ternyata belum dapat menambat hati pengendali skuad negara, Datuk K. Rajagobal untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.

Akhirnya peluang yang amat ditunggu oleh Joseph Kallang menjadi kenyataan walaupun individu yang memanggilnya bukanlah Rajagobal, sebaliknya jurulatih skuad Olimpik dan Harimau Muda, Ong Kim Swee bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Chelsea.

Sambil menyifatkan ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan, dia mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Kim Swee.

''Terus terang saya tidak menyangka mendapat peluang sebegini, sudah lama saya impikan menyarung jersi negara, ia adalah impian buat mana-mana pemain.

''Walaupun ramai yang memberikan sokongan kepada saya untuk beraksi bersama skuad negara tetapi rezeki belum berpihak kepada saya.

''Jadi, apabila mendapat peluang sebegini, sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang mahu membuktikan apa yang saya boleh lakukan pada perlawanan dengan Chelsea nanti serta membalas sokongan yang diberikan oleh peminat,'' katanya yang ditemui selepas sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dia merupakan salah seorang daripada sembilan pemain senior yang dipanggil Kim Swee untuk digandingkan dengan 13 pemain skuad Olimpik pada perlawanan dengan The Blues malam ini.

Tambah Joseph, dia sama sekali tidak gentar dengan reputasi besar Chelsea kerana apa yang penting dia mahu memberikan yang terbaik demi menjaga maruah negara.

''Saya mahu bermain baik pada malam esok (hari ini) dan membuka ruang kepada rakan sepasukan mendapatkan gol dan paling penting, kita mampu memberikan saingan," katanya.

Sementara itu, Daudsu Jamaluddin, yang mempunyai pengalaman menentang Chelsea pada tahun 2008, menyifatkan skuad kali ini jauh berbeza dengan sebelum ini.

''Chelsea kini di bawah pengurus baru, Andre Villas-Boas, jadi tidak boleh dibandingkan dengan masa kali terakhir kami berjumpa dahulu.

''Walaupun ada pemain yang masih kekal, gaya permainan mereka sudah tentu berbeza,'' yang mengakui faktor gugup tidak boleh diketepikan semasa berdepan Chelsea nanti memandangkan mereka bakal berhadapan dengan skuad yang mempunyai ramai berkelas dunia.

Pada perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Shah Alam pada tahun 2008, skuad negara tewas 0-2.

Wednesday, July 20, 2011

Tiket dijual 26 Julai ini

PEMINAT yang ingin menyaksikan perlawanan pusingan kedua kelayakan bola sepak Piala Dunia 2014 di antara Malaysia dan Singapura pada 28 Julai ini boleh mendapatkan tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula 26 Julai ini.

Bagi penyokong Malaysia, tiket boleh dibeli di Pintu Kuning dan Merah dari jam 9 pagi hingga 7 malam pada 26 dan 27 Julai manakala 9 pagi hingga waktu rehat perlawanan pada 28 Julai.


Selain itu, penebusan tiket yang dibeli secara online juga boleh dibuat di Pintu Merah.

Penyokong Singapura pula boleh membeli dan membuat penebusan tiket yang dibeli secara online di Pintu Biru.


Tiket akan dijual secara online mulai hari ini dengan RM50 untuk tempat duduk utama, RM30 (tempat duduk terbuka) dan RM5 (kanak-kanak bawah umur 12 tahun).


Tiket secara online boleh dibeli melalui laman web www.tickethotline.com.my. Tiket juga dijual di Stadium MBPJ, Petaling Jaya dan Stadium Shah Alam (Pintu A) pada 26 dan 27 Julai dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Singapura ampuh sebab 'import'


SINGAPURA hanya mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Taiwan pada aksi per- sahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Ia persiapan terakhir skuad kendalian Ra- dojko Avramovic itu menjelang aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Malaysia di gelanggang sama, Sabtu ini.

Apa yang jelas, Singapura masih bergan- tung harap kepada penyerang 'import' vete- ran berusia 41 tahun, Aleksandar Duric dari Bosnia sebagai peledak utama mereka.

Pada aksi persahabatan pertama menentang Maldives pada 7 Jun lalu, Singapura menang 4-0 menerusi satu jaringan Duric dan Shi Jiayi serta dua ledakan Qiu Li.

Kemudian pada 30 Jun lalu, Singapura menang tipis 2-1 ke atas kelab Perancis, Etoile FC 2-1 juga hasil jaringan Diruc dan Qiu Li.

Pada aksi menentang Taiwan malam kelmarin, Duric terus menjadi harapan apabila meledak dua gol buat Singapura, manakala satu lagi gol disumbang Fazrul Nawaz.

Seperti Duric, Qiu Li dan Jiayi juga pemain 'import' yang berasal dari China selain Daniel Bennett (England) dan Mustafic Fahrudin (Serbia).

Biarpun sekadar menang tipis, Avramovic tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut dan juga persembahan anak-anak buahnya.

"Masih terdapat beberapa aspek yang perlu kami tingkatkan, tetapi terdapat bebe- rapa aspek positif dapat dilihat. Kami berjaya cipta banyak peluang dan melakukan hantaran dengan baik.

"Saya tetap puas hati dengan persemba- han pasukan dan perlawanan ini memberi ruang kepada pemain memperbaiki kesilapan sebelum bertemu Malaysia," kata Avramovic pada sidang media selepas perla- wanan.

Taiwan merupakan pasukan yang berjaya disingkirkan skuad kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal pada pusingan pertama, manakala Singapura pula mendapat bye.

Namun jurulatih baru Taiwan, Tee Tae Ho seakan-akan cuba memperlekehkan kemampuan skuad Harimau Malaya dengan berkata: "Singapura lebih stabil dan matang, manakala Malaysia agak kurang stabil dan tidak matang."

Pengalaman pertama Wan Zack, Piya


Kedua-dua pemain ini ternyata berbeza dari segi pengalaman mahupun umur, namun Wan Zack Haikal Wan Nor dan Bahdri Radzi bakal berdepan satu lagi peristiwa yang belum pernah mereka lalui, iaitu menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, esok.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi kepada kedua-dua pemain Pantai Timur ini jika diturunkan oleh jurulatih pasukan Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee dalam perlawanan persahabatan sempena Siri Jelalah Asia kelab London itu.

Bagi pemain kelahiran Pahang, Wan Zack, semuanya berjalan lancar dan dia sudah bersedia seratus peratus untuk berdepan dengan pemain bertaraf dunia walaupun pada usia yang amat muda, iaitu 20 tahun dan masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Saya mengikuti segala arahan jurulatih terutama sekali dari segi taktikal sebagai persediaan penting untuk bertemu dengan pemain Chelsea yang rata-ratanya mempunyai fizikal lebih besar daripada saya," kata pemain Harimau Muda A itu yang ketika ini mewakili skuad Olimpik negara.

Jelas Wan Zack, bukan mudah untuk menentang Chelsea, tambahan pula kesemua pemain skuad itu mempunyai pengalaman dalam saingan EPL mahupun perlawanan antarabangsa mewakili skuad negara masing-masing.

"Saya tetap berasa gugup tetapi saya berjanji akan memberi komitmen seratus peratus dan saya berazam untuk menjaringkan gol, walaupun saya sedar ia bukan satu misi mudah. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mencapai cita-cita tersebut," kata pemain sayap kanan itu.

Sementara itu, Badhri atau terkenal dengan panggilan Piya, dia berasa bangga selepas disenaraikan dalam skuad Pilihan Malaysia walaupun ia bukanlah skuad kebangsaan sebenar.

Ini kerana ia adalah pengalaman pertamanya menyarung jersi kebangsaan sejak dia mula bermain bola sepak pada usia remaja.

"Saya akan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. Ini adalah pentas terbaik untuk saya belajar dan membuktikan bahawa saya layak diserapkan dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal," kata ketua pasukan Kelantan itu.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, walaupun diberi peluang singkat untuk berlatih bersama pemain senior yang lain serta bersama pemain muda, dia akan memberikan persembahan terbaik terutama sekali untuk merencanakan serangan.

Tuesday, July 19, 2011

Kelantan destinasi pertama CCFC


KELAB Bola Sepak Cardiff City (CCFC) telah memilih Kelan- tan ini sebagai destinasi pertama dalam siri program Jelajah 1Malaysia Cardiff City (1MCC-CCFC) membabitkan lapan jurulatih dari kelab tersebut.

Menerusi program itu seramai 207 pelatih Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red War- riors (ARMY) terlibat dalam Klinik Bola Sepak bersama CCFC.

Dalam menjayakan klinik sehari menerusi program berkenaan bersama ARMY, CCFC turut menjanjikan komitmennya bagi membantu membangunkan program pembangunan bola sepak remaja di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Chan Tien Ghee berkata, pihaknya cukup gembira kerana dapat bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menjayakan klinik bola sepak selama sehari itu.

“Pembangunan bola sepak remaja pada hari ini sebenarnya cukup penting. Kalau kita perhatikan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah pun terlibat dalam sukan bola sepak.

“Bagi CCFC sendiri, kami cukup teruja apabila bercakap mengenai pembangunan bola sepak remaja. Kita cuba mendekatkan masyarakat dengan program seperti ini,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, selepas ini, menerusi program tersebut CC- FC akan menyusul ke beberapa buah destinasi seperti Pahang, Kedah serta beberapa negeri lain dalam menjayakan program klinik bola sepak.

Menurutnya, program tersebut amat bermakna dalam usaha mendedahkan teknik bola sepak berkesan di kalangan pemain remaja khususnya.

Tien Ghee yang melihat fenomena luar biasa dalam siri jelajah tersebut turut menyatakan hasratnya tentang kese- diaan untuk membuka cawangan akademi CCFC di negeri Kelantan.

“Sudah pasti kita akan datang ke sini lagi. Berdasarkan fenomena luar biasa di sini, saya bersedia membuka cawangan di negeri ini,” ujarnya.

Paraguay kejutkan juara bertahan


Selepas kegagalan Argentina, Brazil menjadi pasukan pilihan yang kedua tersingkir daripada kempen Copa America tahun ini.

Juara bertahan, Brazil dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Paraguay pada aksi suku akhir di Stadium Ciudad de La Plata awal pagi semalam.

Kejayaan Paraguay ke atas Brazil itu hadir menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.

Ia merupakan kejayaan pertama Paraguay mara ke peringkat separuh akhir sejak kali terakhir melakukannya pada 1989 yang mana mereka turut layak ke pentas final.

Pada aksi itu, penjaga gol Paraguay, Justo Villar dijulang sebagai wira apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan pemain Brazil, Thiago Silva dan Elano.

Dua lagi sepakan Brazil yang diambil oleh Andre Santos dan Fred gagal disem- purnakan.

Jurulatih Paraguay, Gerardo Martino berkata, Brazil sepatutnya memenangi perlawanan itu dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

"Brazil sepatutnya tidak berdepan kesu- karan untuk memenangi perlawanan pada masa sebenar kerana mereka dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.

"Namun inilah bola sepak. Kadang-kadang keputusan beginilah yang kita akan terima.

"Kami (Paraguay) tidak beraksi seperti mana yang kami kehendaki tetapi nasib masih memihak kepada kami," kata Martino.

Sementara itu, harapan Brazil untuk me- raih kejuaraan ketiga berturut-turut pada kempen Copa America kini sudah berkubur dengan kekalahan di tangan Para- guay itu.

Sebagai rekod, Brazil telah lapan kali me- menangi kempen Copa America sebelum ini iaitu pada tahun 1919, 1922, 1949, 1989, 1997, 1999, 2004 dan 2007.

"Ia pasti akan mengecewakan apabila kamu tidak mencapai seperti mana yang telah dirancang.

"Kami (Brazil) tewas di tangan pasukan yang masih belum memenangi kempen Copa America (Paraguay), namun kini mereka telah layak ke peringkat separuh akhir.

"Inilah bola sepak dan kami perlu belajar bagaimana caranya untuk mengelakkan perkara-perkara seperti ini berlaku," kata jurulatih Brazil, Mano Menezes

Monday, July 18, 2011

9 senior taruhan Pilihan Malaysia


JURULATIH skuad Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee mempertaruhkan sembilan pemain senior untuk menghadapi Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

Pilihan Malaysia merupakan gabungan pemain-pemain skuad Olimpik negara serta beberapa pemain senior yang tidak terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal menghadapi Singapura pada Sabtu ini.

Sembilan pemain senior itu ialah Norhafiz Zamani Misbah, 30, Amri Yahyah, 30, Hairuddin Omar, 32, Badhri Radzi, 29, Daudsu Jamaluddin, 26, S. Subramaniam, 26, Shahrulnizam Mustapa, 30, Joseph Kalang Tie, 24, dan penjaga gol, Farizal Marlias, 25.

Mereka bakal digabung bersama pemain-pemain berusia bawah 22 tahun yang menjadi tonggak skuad Olimpik negara seperti Irfan Fazail, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Fandi Othman dan Zubir Azmi.

Menurut Kim Swee, 41, kesemua tonggak senior tersebut telah menunjukkan sikap yang positif sepanjang seminggu sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Isnin lalu.

“Kesemua pemain senior ini nampak sudah mula membentuk keserasian dengan pemain-pemain muda sedia ada dalam skuad Olimpik ini.

“Bertemu Chelsea ini merupakan satu perlawanan bagi pemain-pemain merasai pengalaman menentang bintang-bintang dunia.

“Mungkin bagi pemain-pemain senior ini, ia merupakan pentas untuk membuktikan bahawa mereka masih layak dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan,” kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Skuad Pilihan Malaysia itu memulakan sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil petang semalam setelah mendaftar masuk di hotel penginapan pasukan, Palace Of The Golden Horses di Seri Kembangan.

Kim Swee turut mengingatkan para pemainnya supaya tetap mengambil serius perlawanan menentang Chelsea itu bagi menjaga maruah dan nama Malaysia.

“Kita dapat lihat pada dua aksi skuad kebangsaan menentang Arsenal dan Liverpool, gol yang dilepaskan cukup mudah. Jadi para pemain perlu berhati-hati mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” ujarnya.

Kim Swee turut menamakan Norhafiz Zamani sebagai kapten skuad Pilihan Malaysia bagi menghadapi Chelsea yang tiba di Kuala Lumpur pada tengah hari ini.

Argentina tersingkir, Uruguay mara


Uruguay menyingkirkan tuan rumah, Argentina daripada Copa America menerusi penentuan penalti, semalam selepas penjaga gol, Fernando Muslera menafikan sepakan Carlos Tevez untuk kedudukan 5-4 selepas terikat 1-1.

Uruguay meledak gol pendahuluan menerusi Deigo Perez sebelum pemain tengah itu dibuang padang tujuh minit sebelum berakhir babak pertama.

Argentina bagaimanapun menyamakan kedudukan melalui Gonzalo Higuain dan kemudiannya menyaksikan Javier Mascherano dilayangkan kad merah sebelum perlawanan berakhir.

Perlawanan yang diheret sehingga ke masa tambahan, gagal menghasilkan sebarang gol dan kedua-dua pasukan sekadar terikat dengan kedudukan 1-1.

Uruguay akan bertemu Peru pada separuh akhir selepas mereka mengalahkan Colombia 2-0 dalam satu lagi aksi suku akhir, semalam.

"Hari ini (semalam) kami terpaksa bertarung habis-habisan. Dua pasukan yang bersaing hadir pada kejohanan ini untuk menjadi juara tetapi ini baru suku akhir dan perjalanan kami masih lagi jauh,'' kata kapten Uruguay, Diego Lugano kepada pemberita.

Jurulatih Argentina, Sergio Batista ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, dia amat kecewa, tetapi para pemain telah memberikan segala-galanya yang termampu.

"Saya tidak boleh berkata yang saya gembira kerana tiada sesiapa pun suka mereka tersingkir, tetapi saya puas hati dengan persembahan para pemain," ujarnya.

Uruguay berjaya melakar kejutan ke atas tuan rumah selepas mendahulu dengan kedudukan 1-0 pada minit keenam menerusi sepakan bola mati.

Sepakan percuma oleh Diego Forlan yang kini memiliki 80 cap, berjaya ditanduk pertahanan, Martin Caceres, sebelum Perez menggelongsor untuk meledakkan gol ke gawang lawan.

Bagaimanapun, gol itu tidak kekal lama apabila Argentina menyamakan kedudukan pada minit ke-11, apabila Lionel Messi yang membuat hantaran silang untuk disempurnakan Higuain menerusi tandukan.

Uruguay selepas itu terpaksa bermain 10 orang pada minit ke-38 apabila Perez yang mengasari Mascherano dilayangkan kad merah.

Meskipun, terpaksa bermain dengan 10 pemain, Uruguay tetap mengancam kubu Argentina dengan sepakan percuma Forlan sering kali mengkucar-kacirkan pertahanan tuan rumah.

Namun, tidak kurang juga dengan Argentina yang turut melakukan serangan bertali-arus menerusi gerakan yang dicipta Messi.

Peluang terbaik berjaya dicipta Argentina pada minit ke-79, apabila Messi menghantar bola ke Higuain yang kemudiannya merembat kencang ke arah gawang lawan, namun berjaya ditepis keluar Muslera untuk sepakan sudut tuan rumah.

Percubaan turut hadir menerusi Luis Suarez yang melorong bola kepada Forlan yang berada di dalam kotak penalti, tetapi penjaga gol, Sergio Romero berjaya menyelamatkan keadaan.

Pada minit ke-90, Mascherano mengasari Suarez dan dia yang dilayangkan kad kuning kedua telah diperintah keluar padang.

Benteng pertahanan perlu dibaiki

Taring sudah sedia menggigit, namun kuku masih belum tajam untuk menahan serangan.

Itu mungkin gambaran sesuai buat skuad Harimau Malaya yang masih mempunyai kelemahan di bahagian pertahanan sehingga mendapat perhatian ramai pihak selepas perlawanan persahabatan Jelajah Asia menentang dua kelab Liga Perdana England Arsenal dan Liverpool.

Bagi jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan kesilapan kecil yang dilakukan pemain pertahanan masih lagi berulang sehingga membolehkan pasukan lawan mudah mendapatkan jaringan.

Katanya, kesilapan kecil dalam kotak penalti yang mampu memberikan gol percuma kepada pihak lawan sewajarnya dihindari sebelum menentang Singapura dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu ini.

''Bahagian serangan sudah cukup baik apabila berupaya mendapatkan gol melalui Safee Sali, namun kesilapan mudah yang mampu mengundang padah harus dielakkan pemain.

''Saya dapat rasakan bahawa jurulatih, Datuk K. Rajagobal telah menilai perkara tersebut dan akan melakukan sesuatu ketika menghadapi perlawanan penting menentang Singapura,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh berpendapat, aksi skuad kebangsaan wajar dipuji kerana mempamerkan peningkatan cemerlang terutama di bahagian serangan dan tengah.

''Secara keseluruhannya saya gembira dengan aksi Malaysia semalam (kelmarin) terutama selepas beberapa hari menentang Arsenal.

''Berhubung kelemahan di bahagian pertahanan saya cuma menggangap mereka ini masih belum banyak memperoleh pengalaman, namun itu semua dapat diperbaiki kerana pemain kita masih muda lagi,'' kata Dollah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz ketika ditemui berkata, skuad kebangsaan diramal mampu mengekang asakan Singapura sekali pun pasukan negara jiran itu menerima suntikan Awang import.

''Skuad Harimau Malaya telah diberi pendedahan sewajarnya di peringkat antarabangsa terutama dalam berhadapan dengan pemain dari Eropah dan saya berasakan para pemain kita tidak menghadapi masalah untuk menghadapi Singapura,'' katanya.

Sunday, July 17, 2011

Safiq, Safee dapat perhatian


Jaringan menerusi sepakan percuma kapten Safiq Rahim dan dua gol daripada Safee Sali jelas membuka mata Liverpool bahawa Malaysia juga mampu melahirkan pemain berkelas dunia.

Penolong jurulatih Liverpool, Steve Clark mengakui kehebatan kapten Malaysia itu dalam mele- dakkan gol pertama agak mengejutkannya.

Malah menurut Clarke lagi, kemasukan Safee pada 20 minit terakhir permainan berjaya menaikkan semangat pemain negara dengan ketajaman penyudah dan keghairahan memburu gol.

"Bagi saya jaringan pemain No. 8 (Safiq) menerusi sepakan percuma sangat cantik sekali.

"Malah dia juga banyak memainkan peranan dalam gerakan Malaysia," kata Clark pada sidang media semalam.

"Penyerang No. 10 (Safee) pula bermain dengan hebat. Dua jari- ngannya serta keghairahannya memburu gol berjaya memberi tekanan kepada kami.

"Ia satu perlawanan yang baik bagi mereka dan saya rasa aksi keseluruhan pemain Malaysia agak bagus. Mereka bertahan dengan baik dan sangat kompetitif," tambahnya lagi.

Menurut Clarke, kombinasi pemain Liverpool pada babak pertama lebih bertenaga berbanding babak kedua yang disifatkannya bermain secara terbuka.

"Kami bermula dengan baik, banyak menguasai bola dan mencipta peluang.

"Tetapi kombinasi pemain babak kedua agak longgar dan kami banyak kehilangan bola. Jadi sudah pasti saya lebih gembira dengan kombinasi pemain di babak pertama.

"Babak kedua juga permainan sangat terbuka oleh kedua-dua pihak.

"Saya puji tentangan yang diberikan pemain Malaysia kerana mereka dapat menjaringkan tiga gol. Ia sesuatu yang bagus bagi mereka," tambahnya.

Arsenal nyaris tumbang di China

Arsenal bangkit dari ketinggalan ketika menentang Hangzhou Greentown untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Carlos Vela pada minit kecederaan pada aksi persahabatan siri jelajah pramusim di Asia semalam.

Pemain Hangzhou Greentow, Sebastian Vasquez menjaringkan gol pendahuluan pada minit ketujuh menewaskan penjaga gol Arsenal, Vito Mannone.

Arsenal yang kali pertama berkunjung ke China sejak aksi pramusim di Beijing pada 1995, turun menentang pasukan Liga Su- per China itu di bandar Yiwu, 285 kilometer dari selatan Shanghai.

Skuad The Gunners telah menjalani latihan di Austria sepanjang musim sejak 2001, namun beralih ke Asia tahun ini bagi mempromosikan kelab mereka kepada peminat di benua itu.

China adalah kunjungan kedua dalam siri jelajah Asia setelah menewaskan Malaysia 4-0, Rabu lalu.

Sementara itu, Denilson mungkin akan meninggalkan Arsenal selepas pemain tengah itu dikaitkan dengan pinjaman ke kelab Brazil, Sao Paulo.

Menurut laporan media, bekas kelab Denilson telah membuat tawaran untuk pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan Stadium Emirates menerusi pinjaman jangka panjang.

Denilson bergelut untuk mempamerkan potensi sebenar di Arsenal sejak menyertai skuad The Gunners pada tahun 2006.

Pemain Brazil itu tidak menyembunyikan keinginan untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas ini selepas berbincang bersama pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

"Saya telah berjumpa Wenger dan memberi tahu dia apa yang saya rasa. Dia bersetuju untuk melepaskan saya. Ini adalah musim terburuk dalam karier saya dan saya cukup kecewa.

"Saya adalah seorang pemenang dan saya datang ke sini untuk memenangi trofi tetapi saya telah berada di sini selama lima tahun dan tidak memenangi apa-apa.