Wednesday, January 11, 2012

Red Warriors calar ego Lions XII


JARINGAN penalti Muhammad Ghaddar memastikan Kelantan berjaya menjinakkan Singapura Lions XII 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Pembimbing skuad Red Warriors, Peter Butler melakukan rombakan pada perlawanan itu apabila tidak menyenarai pemain importnya, Antwi Agraye manakala Mohd Nor Farhan Muhamad berada di bangku simpanan.

Kelantan yang terpaksa mengambil tempoh agak lama untuk menyesuaikan diri dengan padang rumput tiruan mula mengatur serangan pada minit ke-12 hasil rembatan deras Indra Putra Mahayuddin tetapi ditepis penjaga gol tuan rumah, Izwan Mahbud.

Peluang terbaik Lion XII mencipta jaringan hadir pada minit ke-18 selepas Safuwan Ibrahim bijak melambungkan bola dari luar kotak penalti hampir memerangkap penjaga gol, Mohd Khairul Fahmi Che Mat yang sudah tergamam di gawang sendiri.

Skuad bimbingan V Sundramoorthy yang mendapat sokongan padu lebih 7,000 penyokong yang membanjiri stadium menghadiahkan jaringan pertama pada minit ke-31 selepas pemain pertahanan, Baihakki Khaizan menanduk masuk menewaskan Khairul Fahmi hasil sepakan percuma Shahdan Sulaiman.

Ketika aksi menuju penghujung babak pertama, Norshahrul Idlan Talaha memastikan gol penyamaan apabila merembat kencang hasil bola sepakan lintang Daudsu Jamaluddin.

Tindakan Butler mengeluarkan Nurul Azwan Roya yang agak kurang menyerlah dengan memasukkan Nor Farhan membuahkan hasil apabila bekas pemain T-Team itu bijak melorongkan bola kepada Ghaddar sehingga memaksa Izwan menjatuhkan pemain import dari Lubnan itu dalam kotak penalti pada minit ke-78.


Ghaddar yang masih tercari-cari jaringan pertama bersama Kelantan mudah merembat leret untuk menewaskan Izwan bagi memastikan Kelantan membawa pulang tiga mata.

Tuesday, January 10, 2012

Saya berasa kecewa - Hamidin


"SAYA berasa kecewa dengan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang disiarkan beberapa media tempatan semalam (kelmarin)."

Demikian respons Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika mengulas kontroversi baharu yang melanda PBSNT.

Kekeliruan tersebut tercetus ekoran surat pekeliling yang dikeluarkan oleh FAM bertarikh 23 Disember lalu.

"Saya kecewa kerana beliau (Che Mat) menuduh saya sebagai 'celupar' dalam kenyataan saya berhubung surat pekeliling itu.

"Mungkin ini sekadar salah faham atau penilaian yang diterima oleh pihak PBSNT berlainan. Saya selalu ingatkan kepada seluruh pasukan negeri dan kelab bahawa sebarang kekeliruan, sila rujuk kepada FAM.

"Tetapi surat pekeliling edaran 23 Disember lalu, seluruh kandungan surat itu adalah jelas dan saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah membuat apa- apa tuduhan kepada PBSNT tetapi di sini saya ingin tegaskan maksud (surat pekeliling) itu kekal dan tiada mengatakan pasukan Terengganu (tarikh pemain import beraksi di Liga Malaysia) dilanjutkan," katanya kepada pemberita di Padang SUK semalam.

Terdahulu, dalam surat pekeliling berkenaan, FAM menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari (semalam).

Dua pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva Santos Carniet disahkan akan menyarung jersi Penyu bagi saingan Liga-M dan juga kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dalam reaksi segeranya kepada Kosmo! pada 6 Januari lalu memberitahu, kedua-dua pemain itu boleh beraksi pada kejohanan AFC dan bukannya Liga-M.

Ini kerana menurutnya, hasil semakan FAM sebelum ini mendapati kedua-dua pemain itu tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh FAM sebelum ini.

Azzuddin menambah, Terengganu dan mana-mana pasukan yang gagal membuat pendaftaran pemain import pada 8 Disember lalu boleh kembali berbuat demikian sebaik pendaftaran dibuka semula April depan.

Meskipun Azzuddin sudah memperjelaskan kekeliruan berhubung tarikh pemain import, Che Mat sekali lagi tampil menjelaskan pendiriannya bagi membersihkan maruah persatuan negeri itu yang dianggap masih belum cukup memulihkan penderitaan PBSNT.

Justeru, Che Mat mahu Hamidin juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, sendiri membuat permohonan maaf kepada PBSNT atas kekeliruan yang timbul daripada surat pekeliling itu.

Namun, Hamidin meluahkan keyakinan, dalam masa sama turut meluahkan rasa kesalnya kerana Che Mat selaku bekas Naib Presiden FAM dan JKPT seharusnya lebih peka dengan perkara ini.

Hamidin menambah, Setiausaha Agung PBSNT, Abdullah Salleh merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) JKPT boleh menjelaskan perkara itu kepada Che Mat.

"Abdullah Salleh bersama lain-lain AJK telah bermesyuarat empat kali sepanjang November dan Disember tahun lalu.

"Di dalam mesyuarat itu, kami tidak pernah mencadang atau membangkitkan untuk melanjutkan tarikh pemain import untuk Terengganu kerana keputusan jawatankuasa telah dilampirkan di dalam surat ini (pekeliling 23 Disember).

"Semua 22 pemain ini adalah kekal beraksi sehingga 2 April yang mana tarikh kedua jendela perpindahan pemain import dan tempatan dibuka.

"Jadi, sekiranya PSBNT kurang jelas, mereka boleh bertanya sendiri kepada Abdullah atau merujuk perkara ini kepada FAM."

Hamidin turut menjelaskan, penambahan dua pemain import Terengganu yang akan beraksi pada AFC itu sahaja dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kelulusan FAM.

Ditanya mengenai Che Mat menuntut permohonan maaf tersebut, Hamidin memberitahu, beliau menghormati Che Mat dan tiada perselisihan faham berlaku.

Liverpool hadapi Man. United


LONDON - Liverpool diundi bertemu Manchester United pada aksi pusingan keempat kempen Piala FA.

Pertemuan tersebut pasti mengimbas kembali insiden yang berlaku selepas penyerang Liverpool, Luis Suarez menghamburkan kata-kata berunsur perkauman kepada tonggak pertahanan United, Patrice Evra dalam saingan Liga Perdana England pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, Suarez sudah didapati bersalah dan dikenakan hukuman penggantungan sebanyak lapan perlawanan serta dijangka terlepas aksi yang bakal berlangsung di Anfield itu.

Sebagai rekod, pertemuan antara Liverpool dengan United adalah yang pertama buat kedua-dua pasukan selepas insiden yang mencetuskan kontroversi tersebut.

Bagi skuad The Reds, ia merupakan peluang terbaik buat mereka untuk membalas dendam di atas kekalahan kepada United yang menyingkirkan mereka pada kempen musim lalu.

"Berdepan Liverpool... pasti ia merupakan suatu perlawanan yang menarik untuk kempen Piala FA kali ini.

"Buat peminat-peminat United, mari kita sama-sama saksikan dan berilah sokongan kepada kami," kata tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand di laman sosial Twitternya.

Sementara itu, perancang Liverpool, Charlie Adam dalam catatannya di laman Twitter berkata: "Ia merupakan satu undian yang menarik apabila berdepan United di laman sendiri."

Liverpool mara ke pusingan keempat selepas membelasah Oldham Athletic 5-1 (Jumaat lalu), manakala United menewaskan musuh sejiran, Manchester City 3-2 pada aksi pusingan ketiga kelmarin.

Dalam pada itu, satu lagi perlawanan yang dijangka menjadi tumpuan sekiranya Queens Park Rangers (QPR) berjaya menewaskan Milton Keynes Dons kerana mereka akan berdepan Chelsea yang terlebih dahulu menyingkirkan Portsmouth 4-0 pada aksi pusingan ketiga kelmarin.

Ketika ini, kapten skuad The Blues, John Terry masih lagi disiasat selepas didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap tonggak pertahanan QPR, Anton Ferdinand.