Friday, August 5, 2011

Kelantan, NS satu kumpulan?

FINALIS dua edisi Piala Malaysia berturut-turut, Kelantan dan Negeri Sembilan sekali lagi berdepan kemungkinan berada satu kumpulan pada majlis undian di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang ini.

Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia musim 2009 selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada aksi final.

Secara kebetulan pada majlis undian Piala Malaysia musim lalu, kedua-dua pasukan dijodohkan berada dalam Kumpulan A bersama-sama KL Plus dan PKNS FC.

Namun kedua-dua mereka tetap bertembung sekali lagi pada final tetapi pertaru- ngan kali kedua itu dimenangi pula Kelantan menerusi kemenangan 2-1 untuk kejuaraan sulung Piala Malaysia buat negeri Pantai Timur itu.

Kini bagi undian Piala Malaysia 2011, Kelantan dan Negeri Sembilan diletak dalam balang berbeza berdasarkan prestasi kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super musim ini, sekali gus berkemungkinan diundi sama kumpulan lagi.

Kelantan selaku juara Liga Super musim ini berada dalam Balang 1 bersama-sama Terengganu, Selangor dan Kedah. Empat pasukan ini tidak akan berada dalam satu kumpulan.

Negeri Sembilan pula yang sekadar menduduki tangga kelapan Liga Super musim ini berada dalam Balang 2 bersama-sama Perak, Johor FC dan T-Team.

Juara Liga Premier, PKNS FC pula dalam Balang 3 bersama-sama Sabah, Felda United, Kuala Lumpur manakala Balang 4 dianggotai semua pasukan Liga Premier iaitu Sarawak, PDRM, Johor dan Sime Darby.

Majlis undian di pentas utama Stadium Nasional bermula pukul 5.30 petang ini turut akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan ia di- siarkan secara langsung di Astro Arena Saluran 801.

Saingan Piala Malaysia musim ini akan bermula pada 6 September depan dan final dijangka akan berlangsung pada 29 Okto- ber.

Man. City tidak akan seunggul United - Cantona


Legenda Old Trafford, Eric Cantona menegaskan bahawa Manchester City tidak akan dapat menyamai kejayaan jirannya, Manchester United dengan bergantung hanya kepada kaedah berbelanja besar dalam usaha mereka memburu kejuaraan.

Wang tidak terhad di bawah pemilikan Sheikh Mansour mula membuahkan hasil musim lalu apabila skuad kendalian Roberto Mancini menamatkan penantian trofi kelab itu selama 35 tahun dengan merangkul kejuaraan Piala FA dan turut layak ke Liga Juara-Juara.

Meskipun Mancini memecahkan rekod kelab menerusi pembelian Sergio Aguero pada harga 38 juta pound (RM190 juta) bulan lalu, Cantona percaya City tidak akan menikmati kejayaan jangka masa panjang seperti mana United di bawah bimbingan Alex Ferguson, melainkan mereka memberikan peluang kepada produk-produk remajanya.

"United adalah pasukan terhebat. Saya tidak tahu bagaimana cara City dikendalikan, sebelum ini mereka mungkin ada menumpukan terhadap akademinya. Tetapi yang saya dapat lihat sekarang mereka membina pasukan dengan cara berbelanja, membeli pemain-pemain.

"Mereka sudah berjaya kerana memenangi Piala FA, tapi itu tidak memadai. Mereka tidak akan menjadi sekuat United yang kerap menyuntik bakat-bakat muda ke dalam skuadnya," kata Cantona yang perpindahannya ke Old Trafford pada 1992 menjadi titik bermulanya era kegemilangan United.

Kenyataan Cantona yang kini merupakan pengarah bola sepak untuk kelab Amerika, New York Cosmos itu, hadir tepat pada masanya kerana dia bakal beraksi dalam perlawanan pertunjukkan sempena persaraan Paul Scholes seorang bakat tempatan yang diasah menjadi bintang terkemuka England.

"Semasa saya berada di United, saya berjuang bersama pemain daripada dua generasi. Alex memperkenalkan ramai pemain muda, Paul Scholes adalah antaranya.

"Kini, saya kembali ke sini selepas 15 tahun, pengurusnya masih sama.

"Pemain-pemain boleh diganti dengan mudah, terutamanya di kelab seperti United dengan adanya pengurus seperti Alex.

"Saya pergi, Ronaldo pergi, (Mark) Hughes pergi, dan United masih merupakan salah sebuah kelab terulung dunia.

Masalah membawa masuk bintang-bintang asing yang mahal mula dirasai City menyaksikan masa depan Carlos Tevez masih menjadi persoalan sementara Mario Balotelli pula kerap membuat hal di dalam dan luar padang.

Kedua-dua pemain tersebut juga menyuarakan ketidakpuasan mereka terhada kehidupan di Manchester.

Wednesday, August 3, 2011

Red Warriors buru penyerang Perlis, Pahang

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang berunding dengan Persatuan Bola Sepak Pahang dan Perlis bagi meminjam satu atau dua pemain negeri itu untuk membantu memperkuatkan cabaran The Red Warriors mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia dimenangi, musim lalu.

Tanpa mahu menyebut nama pemain dua negeri berkenaan, pengurus pasukan, Azman Ibrahim mengakui Kelantan berminat meminjam pemain negeri itu bagi memantapkan posisi serangannya, terutama untuk bergandingan dengan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.
“Kami sedang berunding dengan Pahang dan Perlis untuk mendapatkan pinjaman bagi pemain negeri itu dan proses perundingan sedang berjalan sekarang.
“Kempen Piala Malaysia amat penting bagi Kelantan mempertahankan gelaran juara yang kita menangi musim lalu,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata, barisan pemain Kelantan akan memulakan sesi latihan selepas solat tarawih bermula 4 Ogos ini bagi persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia, September ini.

Katanya, buat masa ini, pemain Kelantan masih bercuti rehat selama seminggu dan latihan yang bermula 4 Ogos ini membabitkan semua pemain kecuali penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain muda, Mohd Izuan Solahuddin yang bersama skuad Olimpik negara di Slovakia.

Annuar mahu semua ambil iktibar insiden mercun


Tragedi letupan mercun yang menimpa penonton, Ahmad Jazimin Jalaluddin sehingga mengakibatkannya buta sebelah mata perlu dijadikan iktibar semua pihak agar insiden sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Peringatan itu diberikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa kepada semua penonton dan mengingatkan mereka supaya mempunyai sikap bertimbang rasa kepada orang lain.

''Mereka yang ikhlas mahu menonton perlawanan bola sepak, tidak mungkin sanggup berbuat begitu (melontar mercun), namun angkara beberapa orang yang sanggup melanggar peraturan, orang lain yang menerima padah.

''Sepatutnya stadium menjadi satu tempat yang selamat kepada mereka yang mungkin mahu membawa keluarga kerana ia turut melibatkan wanita dan kanak-kanak tetapi perkara yang berlaku kepada Jazimin boleh menakutkan orang ramai untuk datang ke stadium menonton perlawanan bola sepak.

''Ini merupakan insiden kali kedua seorang penonton kita buta sebelah mata yang sebelum ini melibatkan seorang remaja juga angkara mercun," katanya.

Tambah Annuar, penguatkuasaan yang ketat sahaja tidak boleh menyelesaikan permasalahan tersebut sebaliknya bergantung kepada penonton.

''Soal penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi kerana ia turut melibatkan kesedaran sivik orang ramai yang hadir ke stadium.

''Jawatankuasa keselamatan boleh bersikap tegas dalam soal pembakaran mercun ini, namun kami tidak boleh menjamin 100 peratus insiden yang sama tidak akan berulang lagi," ujarnya.

Beliau ditemui selepas meluangkan masa lebih setengah jam melawat Jazimin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menyerahkan sumbangan RM2,000 daripada FAM.

Ahmad Jazimin, 29, yang merupakan seorang peniaga pencetak kad kahwin, pecah bola mata kanannya sejurus selepas lagu Negaraku dimainkan ketika perlawanan Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dia yang duduk di tempat duduk terbuka bertentangan tempat kenamaan, mendengar bunyi letupan sebelum mata kanannya terasa pedih.

Bagi Ahmad Jazimin, hanya perkataan terima kasih sahaja mampu diucapkan kepada Annuar Musa yang sudi menziarahinya.

''Terima kasih kerana beliau (Annuar) sanggup meluangkan masa ke sini," katanya yang selalu datang ke stadium sebelum ini, namun tidak menjangka insiden tersebut boleh berlaku.

Jazimin dijangka dibenarkan keluar dari hospital dua hari lagi dan berkemungkinan memerlukan rawatan susulan dalam masa sebulan, namun bergantung kepada laporan daripada pakar.

Tuesday, August 2, 2011

Rajagobal pilih 7 muka baharu

KEGAGALAN skuad bola sepak kebangsaan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014 bukanlah penutup tirai aksi mereka untuk tahun 2011.

Sebaliknya jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal semalam menamakan senarai 25 pelatih untuk kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula esok bagi menghadapi dua aksi persahabatan sepanjang bulan Ramadan ini.

Skuad kebangsaan akan menentang Oman di tempat lawan pada 10 Ogos ini, manakala satu lagi aksi persahabatan yang dijadualkan pada 15 Ogos masih menunggu pengesahan daripada pasukan lawan.

Dalam senarai 25 pelatih tersebut, tujuh nama baru dipanggil Rajagobal kali ini iaitu Norhafiz Zamani Misbah, Khyril Muhymeen Zambri, Joseph Kalang Tie, Faizal Muhamad, Shahrom Kalam serta dua penjaga gol, Farizal Marlias dan Norazlan Razali.

Mereka mengisi kekosongan ditinggalkan tujuh pemain - Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, K. Guru- samy, Izzaq Faris Ramlan dan Ahmad Fakri Saarani - yang akan terbang ke Slovakia awal pagi esok untuk menyertai kem latihan skuad Olimpik negara.

Menurut Rajagobal, beliau sama sekali tidak pernah menutup pintu buat pemain-pemain lain membarisi skuad kebangsaan tetapi tidak dapat berbuat demikian akibat kesuntukan masa ketika aksi bertemu Singapura tempoh hari.

"Saya takkan tutup pintu buat pemain lain. Cuma ketika bertemu Singapura, saya tak sempat untuk melakukannya. Jadi kali ini barulah saya dapat panggil mereka ini dan tengok prestasi mereka.

"Ini peluang terbaik untuk mereka mempa- merkan kemampuan dan kita akan cuba membentuk sebuah pasukan yang lebih kuat menje- lang Piala Suzuki AFF 2012 dan Kelayakan Piala Asia 2015," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain 15 pemain yang berada dalam skuad 24 pemain sewaktu bertemu Singapura dikekalkan, Rajagobal turut memanggil semula tiga pelatih skuad kebangsaan sebelum ini iaitu Farisham Ismail, S. Chanthuru dan Shahrizal Saad.

Namun tidak tersenarai kali ini ialah dua pe- main yang sedang mengalami kecederaan iaitu Aidil Zafuan Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha serta penjaga gol, Nasril Nourdin.

Jelas Rajagobal, program latihan dan perlawa- nan persahabatan skuad kebangsaan tetap perlu diteruskan biarpun selepas kegagalan mara ke pusingan ketiga Piala Dunia 2014 apabila tewas 4-6 menerusi agregat kepada Singapura.

"Daripada awal, saya telah katakan bahawa layak atau tidak kita ke pusingan ketiga, peran- cangan pasukan tetap perlu diteruskan mengikut sasaran utama kita layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

"Tetapi ramai yang tak faham. Siapa yang mahukan kekalahan. Singapura berjaya layak pun bukan dengan cara kita bagi laluan begitu mudah kepada mereka. Jangan buat rumusan hanya berdasarkan satu perlawanan.

"Liverpool sudah 20 tahun masih gagal menjadi juara Liga Perdana England. Arsenal pun sudah lapan tahun tak menang trofi. England pun sudah 40 tahun tak menang Piala Dunia. Begitu juga Belanda yang agak lama tak menang Piala Dunia.

"Sedangkan kita, baru nak bangkit selepas menang Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010. Kita kena terima hakikat, kita perlu naik dari satu peringkat ke satu pe- ringkat," jelas Rajagobal.

Biarpun ramai menganggap skuad kebangsaan terlepas enam aksi kompetitif setelah gagal layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014, perkara itu perlu dilihat dari sudut positif.

Skuad kebangsaan tetap berpeluang menjadi rakan sepelatih buat pasukan-pasukan yang berada satu kumpulan dengan tiga negara Asia Tenggara yang layak ke pusingan ketiga iaitu Indonesia, Thailand dan Singapura.

"Lihat saja sekarang, Oman ajak kita lawan pada 10 Ogos ini. Mereka sama kumpulan dengan Thailand, Australia dan Arab Saudi.

"Jadi, kita akan cuba atur siri perlawanan per- sahabatan sepanjang tahun ini untuk memberi kesinambungan kepada pasukan," ujarnya.

Akhirnya Rajagobal panggil Zamani


Melihatkan betapa rapuhnya bahagian pertahanan skuad negara yang mudah dirobek Singapura sehingga tersingkir pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014, Khamis lalu, barulah Datuk K. Rajagobal kembali memanggil semula tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah.

Bek tengah Negeri Sembilan berusia 30 tahun ini mendapat tempat di hati ketua jurulatih negara itu untuk latihan pusat menjelang dua perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Oman, antara 8 hingga 10 Ogos dan di satu lagi tempat yang akan ditentukan, antara 11 hingga 15 Ogos.

Penyenaraian semula Norhafiz Zamani yang mengemudi bahagian pertahanan Pilihan Malaysia menentang Chelsea, turut ada kaitannya dengan ‘kehilangan’ tiga tulang belakang Harimau Malaya, Fadhli Shas, Muslim Ahmad dan Mahalli Jasuli yang ke Slovakia bagi siri persahabatan persediaan ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012, bulan depan.

Selain itu, skuad negara terpaksa melupakan seketika khidmat seorang lagi tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Radzak yang dikeluarkan kerana kecederaan lama kakinya yang berulang pada minit ke-23 perlawanan yang menyaksikan kita diikat Singapura 1-1 di Stadium Nasional.

Siaran media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, menyebut seramai 25 pemain dinamakan ke kem latihan itu dengan pemain tengah Terengganu, Joseph Kallang Tie dan dua pemain Kedah, Khyril Muhymeen Zambri serta Azmi Muslim merupakan antara tonggak lain yang berpengalaman antarabangsa.

Juga disenaraikan semula ialah ‘Harimau Berantai’ Malaya, Safee Sali yang menjaringkan tiga gol ke atas Singapura lalu selain penjaga gol, Farizal Marlias yang mempamerkan persembahan cemerlang ketika berdepan Chelsea, dengan kesemuanya dikehendaki melapor diri ke Wisma FAM, Kelana Jaya mulai 4 petang esok.

Biarpun sudah terkeluar daripada perebutan tiket ke Brazil 2014, dua perlawanan antarabangsa ini masih mampu mempengaruhi ranking ke-146 dunia Malaysia yang hanya dikemaskinikan sehari sebelum disekat Singapura 6-4 secara agregat dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia.

Monday, August 1, 2011

Selamat Berpuasa

"Bila tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan (HR. Bukhari dan Muslim)."

Melalui kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menyambut bulan suci Ramadhan, mohon maaf lahir bathin..

Selamat menjalankan ibadah puasa. Semoga bulan ramadhan tahun ini jauh lebih baik dari yang sebelumnya....