Wednesday, September 7, 2011

Kijang garang


JURULATIH Kelantan, Datuk M Karathu terpaksa menunggu lebih sejam untuk kembali mengukir senyuman selepas usaha anak buahnya memburu jaringan membuahkan hasil apabila mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Sarawak pada perlawanan pembukaan saingan Piala Malaysia peringkat Kumpulan C, di Stadium Negeri, malam tadi.

Sambil mengakui anak buahnya mendapat rentak sebenar permainan berikutan cuti panjang selain kesuntukan masa, Karathu menyifatkan kemenangan itu cukup penting bagi memastikan The Reds Warriors tidak berada dalam zon bahaya menjelang pertemuan menentang Johor FC, di laman sendiri Sabtu ini.


“Kemenangan ini cukup penting walaupun pemain belum dapat menyesuaikan diri selepas melalui tempoh rehat panjang. Saya memuji corak permainan sehingga berjaya meraih kemenangan di tempat lawan.

“Separuh masa pertama, kami gagal menembusi benteng pertahanan lawan sekali gus sukar menjaringkan gol. Mereka (Sarawak) berkampung di kubu pertahanan sedangkan kami hanya seorang pemain yang berada di kawasan terbabit.


“Saya mengakui pertukaran beberapa pemain pada babak kedua memberikan kelebihan kepada pasukan mengatur corak permainan sehingga menjaringkan gol,” katanya sambil mengakui corak permainan skuad Bujang Senang berada pada tahap membanggakan.


Pada perlawanan itu, Kelantan berjaya membolosi gawang lawan selepas ayam tambatan, Norshahrul Idlan Mohd Talahan berjaya merampas bola daripada pertahanan Sarawak, Chung Keng Hong ketika perlawanan memasuki minit ke-65.

Jaringan itu menghidupkan semangat skuad terkenal dengan slogan ‘Gomo Klate Gomo’ sekali gus menyumbat gol kedua pada m-80 menerusi S Chanturu yang mendapat umpanan Norshahrul menewaskan penjaga gol, Aidil Mohamad.


Sementara itu, Norshahrul berkata, meskipun mencatat kemenangan, dia mengakui pasukannya beraksi jauh pada tahap sebenar ketika saingan Liga Super.

“Saya sudah menjangkakan Sarawak akan beraksi mati-matian bagi memburu kemenangan di gelanggang sendiri. Tahap kami pada malam ini (malam tadi) tidak seperti ketika beraksi dalam Liga Super,” katanya.

Nasib berbeza Kelantan, Selangor


Kelantan memulakan kempen Piala Malaysia 2011 dengan cemerlang selepas menundukkan Sarawak 2-0 di tempat lawan, manakala Selangor bermula langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada T-Team di Kuala Terengganu semalam.

Di Stadium Negeri, Kuching Kelantan yang juga juara Liga Super musim ini tidak menghadapi masalah untuk memungut tiga mata dalam saingan Kumpulan C menewaskan Sarawak 2-0 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha minit ke-69 dan S. Chanturu 85.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C di Stadium Pasir Gudang, Felda United menang 2-0 ke atas Johor FC apabila Farderin Kadir muncul wira dengan menjaringkan kedua-dua gol tersebut pada minit ke-44 dan ke-68.

Selangor yang beraksi dalam Kumpulan D terpaksa menerima hakikat bahawa persediaan mereka masih kurang mantap tatkala T-Team menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk mencatat kemenangan 1-0 hasil jaringan Norfazly Alias pada minit ke-73.

Kuala Lumpur mencuri tumpuan dalam saingan Kumpulan D selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menerusi gol sendiri Azrul Azman (44) , Badrul Hisyam Azmi (64) dan Yong Kuong Yong (76).

Kedah menerajui Kumpulan A selepas memungut tiga mata dengan menewaskan Johor 2-0 di Stadium Larkin hasil Khyril Muhymeen Zambri yang menyumbat dua gol pada minit ketujuh dan ke-80.

Sabah gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Likas apabila terikat tanpa jaringan bertemu Perak.

Terengganu juga bermula dengan langkah kanan walaupun bertandang ke gelanggang lawan.

Terengganu menang 3-0 ke atas Sime Darby di Stadium MP Selayang, apabila memperolehi jaringan melalui Joseph Kallang Tie pada minit keenam manakala Reshafiq Alwi menambah gol kedua 12 minit sebelum separuh masa pertama tamat dan gol ketiga disumbang Abdul Manaf Mamat pada minit ke-86.