Sunday, October 3, 2010

Kelantan hitung nasib


KELANTAN tidak mempunyai pilihan lain kecuali pulang dengan tiga mata penuh ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Skuad The Red Warriors itu perlu memanfatkan sebaik mungkin baki tiga perlawanan peringkat Kumpulan A andai berhajat mara ke peringkat suku akhir.

Pengendali Kelantan, B. Sathianathan dilihat tidak mempunyai banyak masalah menurunkan barisan terbaik malam ini kecuali ayam tambatan, Nurshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang menyertai skuad kebangsaan ke Vietnam.

Menurut Sathianathan, selain mahu membalas dendam ke atas Negeri Sembilan ekoran kekalahan di Kota Bharu pada 14 September lalu, Kelantan mahu lebih selesa melangkah ke saingan suku akhir dengan mencipta kemenangan dalam baki tiga perlawanan Kumpulan A.

"Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahukan kemenangan tetapi bola sepak bukan satu perkiraan yang mudah, segalanya bergantung apa yang berlaku di padang.

"Saya tidak ada Lionel Messi (bintang Barcelona) ketika bertemu Negeri Sembilan, jadi rombakan pemain tidak terlalu besar.

"Para pemain sudah tahu apa yang peminat dan pihak pengurusan mahukan dan saya tahu pemain juga sudah siap untuk itu," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Kelantan kini kembali diperkuat dengan kehadiran Norfarhan Mohamad dan Hairuddin Omar selain, penyerang lincah, Ramzul Zahini Adenan selepas berehat panjang.

Sathianathan berkata, dia mempunyai banyak pilihan dan mereka yang disenaraikan pastinya adalah kesebelasan terbaik yang mampu merencanakan tugas menundukkan anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan.

"Tekanan sudah tentunya ada tetapi saya mahu pemain lebih tenang dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika beraksi dan saya percaya kita mampu melakukan sesuatu untuk mengisi salah satu slot ke pusingan kedua.

"Siapa jua yang akan diturunkan malam esok (malam ini), mereka adalah yang terbaik," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Kelantan dijadualkan bertemu Selangor jika anak-anak buahnya muncul naib juara Kumpulan A, Sathianathan memberitahu: "Soal siapa lawan kita nanti, bukan suatu yang harus saya bimbangkan. Bertemu Selangor atau sesiapapun juga adalah sama kerana jika kita beraksi dengan baik kita mampu menewaskan mereka."

No comments:

Post a Comment