Saturday, December 26, 2009

Harimau Muda sedia mengaum

MENJELANG Liga Perdana 2010 yang bakal membuka tirai 11 Januari depan, pastinya skuad muda negara, pasukan Harimau Muda bakal mencuri tumpuan peminat sukan bola sepak tanah air.

Biarpun rata-rata pemain masih muda, namun umur bukan menjadi penghalang buat mereka untuk bersaing dengan pasukan yang lebih berpengalaman. Sehingga kini, seramai 30 orang pemain dipilih untuk mengemudi pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Ong Kim Swee itu.

Aksi barisan muda ini bakal menjadi saingan berdasarkan prestasi mereka di kejohanan dalam dan luar negara. Dengan kejayaan cemerlang menjuarai Piala Belia pada tahun 2007, naib juara Piala Belia (2008), naib juara Pra Sukan Sea di Laos, Suku Akhir Piala AFF U18 di Vietnam dan pengalaman bermain di Newspaper Cup Vietnam.

Malah pendedahan perlawanan di Slovakia baru-baru ini akan menjadi penguat untuk mereka menunjukkan aksi sebenar.
Kim Swee berkata, seramai 48 orang pemain telah dipanggil bagi menjalani latihan pemilihan dan 14 orang telah digugurkan.

“Pemain-pemain yang terpilih akan didaftarkan untuk mengharungi perlawanan liga bulan depan dan setakat ini saya masih menilai prestasi mereka. Saya percaya semua akan menunjukkan prestasi terbaik mereka, tambahan pula dengan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa mengukuhkan lagi kekuatan pasukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia mengharapkan prestasi konsisten semua yang terpilih pemain atau mereka bakal berdepan dengan tersingkir daripada pasukan.

"Saya akan terus memantau prestasi mereka, dan sekiranya masih berada di tahap yang sama ataupun menurun, kami akan mengkaji balik kelemahan yang ada. Tidak guna menyimpan pemain yang tidak memberi sepenuh komitmen, namun setakat ini semuanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Kim Swee berkata, pasukan Harimau Muda akan terus mengadakan perlawanan persahabatan bagi memantapkan lagi kombinasi posisi, kekuatan serta membaiki kelemahan yang ada.

"Kami mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan PDRM, dan mereka beraksi cemerlang. Selepas ini, beberapa lagi sesi perlawanan persahabatan akan diadakan pada Isnin ini (28 Dis) menentang pasukan Kuala Lumpur Pos Malaysia, Kuala Lumpur (2 Jan) dan satu lagi perlawanan pada 6 Januari yang akan diumumkan nanti," katanya.

Barisan Harimau Muda kini meneruskan latihan mereka di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) dan Stadium Hang Tuah, Melaka di mana mereka akan menjadikan venue itu sebagai 'tuan rumah' menjelang perlawanan liga nanti.

Henry muka baru Manchester City?


LONDON - Kapten Perancis, Thierry Henry mungkin kembali beraksi dalam kempen Liga Perdana England.

Bagaimanapun, Henry tidak akan kembali menyarung jersi Arsenal, sebaliknya penyerang Barcelona itu dilapor bakal menyertai Manchester City.

Media Sepanyol melaporkan bahawa Barcelona bersedia mendengar sebarang tawaran ke atas pemain berusia 32 tahun itu pada musim perpindahan Januari depan.

Pengurus baru City, Roberto Mancini dikatakan mahu seorang penyerang berpengalaman mengetuai jentera serangannya dalam misi menduduki empat kedudukan teratas liga.

Henry mempunyai kontrak bersama Barca sehingga 2011, namun dia juga dikatakan menjadi buruan kelab Amerika Syarikat, New York Red Bulls.

Barca sedar mereka akan mendapat wang penjualan yang tinggi ke atas penyerang Perancis itu sekiranya dijual pada Januari depan.

Henry jarang mendapat tempat dalam skuad utama Barca musim ini berikutan kemerosotan prestasi dan kecederaan yang dialaminya.

Kehadiran Zlatan Ibrahimovic juga dikatakan yang menipiskan lagi peluang Henry berada dalam kesebelasan utama Barca musim ini.

Sebelum ini, Henry telah dikritik hebat selepas sengaja menampan bola dengan tangan ketika membantu Perancis menewaskan Republik Ireland pada kempen kelayakan Piala Dunia 2010.

Friday, December 25, 2009

Sathianathan perkemas barisan sebelum Liga M


SELEPAS mencatat satu keputusan seri dan dua kekalahan dalam siri perlawanan persahabatan menentang tiga kelab handalan Liga Super Thailand di Bangkok baru-baru ini, skuad Kelantan meneruskan misi memperkemas barisan sedia ada menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Malam kelmarin, skuad kendalian B. Sathianathan itu mencipta kemenangan sulung dalam aksi persahabatan selepas menang 2-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Norfarhan Mohamad dan penyerang baru, S, Chanturu masing-masing meledak satu gol buat skuad Wira Merah.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat ramalan terhadap keupayaan Kelantan bagi mengharungi musim 2010 nanti.

Sathianathan nampaknya menggunakan kesempatan dalam siri perlawanan persahabatan ini untuk mencuba kesemua barisan pemainnya.

Beliau kini menjadi orang yang paling pening bagi mencari gandingan terbaik memandangkan skuad kendaliannya memiliki ramai pemain berstatus bintang.

Bagaimanapun, gandingan Chanturu dan seorang lagi penyerang baru, Norshahrul Idlan Talaha dilihat memerlukan sedikit lagi masa sebelum mereka mampu membentuk kombinasi terbaik.

Kehadiran Shakir Shaari juga bakal menambah kekuatan Kelantan di bahagian tengah, namun bekas pemain UPB My-Team itu perlu lebih bekerja keras.

Di posisi pertahanan, Azizi Mat Rose dianggap cukup berpengalaman mengendalikan benteng Kelantan bersama Daudsu Jamaluddin.

Syed Adney Syed Hussein yang akan menggantikan Halim Napi pula perlu memperbaiki beberapa kelemahan andai mahu menjadi penjaga gol utama Kelantan musim depan.

Wednesday, December 23, 2009

Mansuhkan UPSR untuk bangunkan sukan di sekolah

Memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah antara cadangan yang ditimbulkan pada Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 semalam dalam usaha membangunkan sukan secara lebih serius di sekolah rendah.

Cadangan itu bagaimanapun enggan diulas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Ko-Kurikulum Kementerian Pelajaran, Dr. Zubir Hassan.

"Dalam soal memansuhkan UPSR ini, saya tidak mempunyai kuasa untuk bercakap mengenainya kerana ia membabitkan soal dasar kementerian," katanya.

Beliau menjawab cadangan wakil Majlis Sukan Negara yang juga bekas atlet kebangsaan, Zaiton Othman (gambar) ketika pembentangan dan maklum balas sukan di sekolah pada Konvensyen Sukan Kebangsaan.

Bagaimanapun katanya, kementerian pelajaran tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan konsep "Mengembalikan sukan di peringkat sekolah" seperti yang diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.

"Untuk itu kita telah mengadakan satu seminar pembangunan sukan sekolah bagi memberi peluang kepada pendidik berbincang dan berkongsi maklumat demi perubahan dalam pembangunan sukan di sekolah," tegasnya.

Sehingga ini katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, pihak kementerian sedang dalam proses menyiapkan dua buah sekolah sukan di Pahang dan Sabah di mana setiap satunya bernilai di antara RM80 juta hingga RM90 juta.

"Selain itu keputusan kerajaan mengehadkan pengambilan mata pelajaran di dalam Sijil Pelajaran Malaysia adalah bagi memberi ruang kepada pelajar di sekolah sukan berlatih dengan lebih berkesan lagi," katanya.

Tuesday, December 22, 2009

Antara Gambar di Padang Latihan pada minggu ini







Skuad negara uji Syria


SKUAD bola sepak kebangsaan dijadualkan menentang Syria pada satu aksi persahabatan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 2 Januari depan.

Ia sebagai aksi pemanas badan sebelum skuad negara bertandang ke Dubai untuk menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi terakhir Kumpulan C saingan kelayakan Piala Asia 2011 pada 6 Januari depan.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, aksi bertemu Syria yang kini menduduki ranking ke-91 dunia itu mungkin menjadi perlawanan ujian tunggal buat skuad negara sebelum bertandang ke UAE berasaskan faktor kesuntukan masa.

"Kami baru saja tiba dari Laos Sabtu lalu. Pemain masih keletihan dan ada juga di antara mereka yang sudah kembali berlatih bersama pasukan negeri masing-masing.

"Tapi mereka ini akan dipanggil semula untuk menjalani kem latihan pusat bermula Khamis ini sebagai persediaan menghadapi UAE pada 6 Januari depan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Rajagobal, dia akan memanggil seramai 23 pelatih dengan majoritinya pemain-pemain bawah 23 tahun (B-23) yang baru saja memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 Laos minggu lalu dengan hanya dua pemain senior akan diselitkan.

"Seperti dua aksi kelayakan Piala Asia menentang Uzbekistan sebelum ini, saya hanya akan panggil dua pemain senior iaitu Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah," jelasnya.

Biarpun harapan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2011 tampak hampir berkubur, pertemuan dengan UAE pada 6 Januari depan itu tetap dianggap penting demi menjaga maruah negara.

Pada perlawanan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 21 Januari lalu, skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan telah dibelasah teruk 5-0 oleh UAE.

Malaysia kini di tangga ketiga Kumpulan C dengan tanpa sebarang mata di belakang Uzbekistan (9 mata) dan UAE (3 mata).

Monday, December 21, 2009

KAFA Perkenal Tiket Elektronik Touch N Go Musim Depan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan memperkenalkan pembelian tiket secara elektronik "touch n go" kepada penonton bola sepak di Stadium Sultan Mohammad Ke-1V di sini musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KAFA, Tuan Hashim Tuan Yaakob berkata penggunaan kad elektronik itu bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengelakkan kebocoran penonton yang memasuki stadium tanpa tiket yang sah.


Beliau berkata langkah itu juga selaras dengan usaha KAFA meningkatkan pendapatan melalui penjualan tiket ke arah menjadikan 2010 sebagai "Tahun Bola Sepak Kelantan".

"Keputusan Pengurusan KAFA menggunakan tiket melalui sistem elektronik ini dianggap sebagai langkah berkesan dalam usaha membendung kebocoran penonton tanpa tiket, terutama yang menggunakan pintu masuk utama dan eksklusif di stadium," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sistem itu akan dimulakan menjelang perlawanan permulaan Piala FA musim depan pada 12 Januari.

Selain itu, katanya KAFA juga akan meningkatkan kempen menarik lebih ramai penaja membeli tiket di semua tempat duduk, serendah RM250 sehingga RM3,000 semusim.

Tuan Hashim berkata, selain untuk menarik lebih ramai penyokong memberi komitmen kepada skuad Red Warriors, langkah itu juga dapat menambahkan kutipan wang melalui tiket.

Tuan Hashim berkata, usaha yang dijalankan oleh KAFA itu mendapat kerjasama dengan pihak kerajaan negeri menerusi Perbadanan Stadium yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

B-23 dapat restu pemain senior

Selepas memenangi pingat emas Sukan SEA Laos, skuad bimbingan K. Rajagobal terus dinaikkan pangkat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai skuad utama pasukan kebangsaan dan mendapat ‘restu’ daripada beberapa bekas pemain senior.

Bekas ketua pasukan skuad senior kebangsaan yang membantu Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia, Shukor Adan berkata, apa yang dilakukan oleh FAM adalah satu pendekatan yang bagus dan skuad tersebut tidak seharusnya dibubarkan.

“Skuad ini telah lama dibentuk oleh Rajagobal sejak mereka beraksi di peringkat bawah 20 tahun lagi, mereka sudah serasi bersama, biarlah mereka kekal dalam jangka masa yang panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, pasukan ini juga tidak seharusnya dihentam dengan kritikan pedas andai kata suatu hari nanti mereka tewas dalam perlawanan lain, sebaliknya mereka perlu diberi peluang bagi memantapkan lagi pasukan tersebut.

“Saya tidak rasa terkilan jika skuad senior tidak diberi peluang kerana lama-kelamaan umur mereka juga akan meningkat dan secara tidak langsung mereka juga akan menjadi pemain senior,” kata bekas pemain Selangor itu.

Sementara itu, seorang lagi bekas ketua pasukan skuad senior kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, skuad emas Sukan SEA Laos 2009 itu perlu dikekalkan dan diberi masa secukupnya bagi menggalas cabaran sebagai pasukan utama Malaysia.

“Mereka menggalas tanggungjawab berat tatkala usia mereka masih lagi muda tetapi kita perlu memberi mereka masa untuk terus meningkat naik terutama sekali apabila beraksi di peringkat terbuka,” kata bekas pemain Perak itu.

Katanya, pemain ini perlu terus memburu kejayaan di peringkat yang lebih besar seperti Sukan Asia dan Piala Asia, walaupun perjalanan ke arah itu masih terlalu jauh tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil untuk Aidil Zafuan Abd. Radzak dan rakan-rakannya menyerlah di kejohanan tersebut.

“Kita perlu memberi mereka sedikit masa dan pendedahan terhadap beberapa perlawanan antarabangsa, semua ini bergantung kepada rancangan yang bakal diterapkan FAM nanti,” katanya.

Bagi Hairuddin Omar, beberapa pemain senior perlu diselitkan dalam skuad tersebut tetapi bukan dalam jumlah yang ramai, cukup sekadar dua atau tiga orang pemain di beberapa posisi penting.

“Gabungan antara pemain senior dan skuad muda ini mampu untuk memantapkan lagi skuad kebangsaan lebih-lebih lagi jika mereka bertemu dengan pasukan senior dari negara lain,” kata pemain yang akan beraksi untuk pasukan Kelantan musim depan.

Tambah bekas pemain senior kebangsaan itu, kehadiran beberapa pemain senior akan mewujudkan persaingan yang sihat antara sesama sendiri.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim sependapat dengan Hairuddin, katanya perlu ada dua atau tiga pemain senior diselitkan dalam skuad tersebut dan dalam masa yang sama pemain yang sedia ada tidak dipecahkan.

“Mustahil jika tidak ada seorang pun pemain senior yang bagus untuk digandingkan dengan mereka, kehadiran pemain senior nanti akan menjadi penunjuk arah buat pemain-pemain muda supaya persembahan mereka terus kekal cemerlang,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan yang membawa Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 1989, Dollah Salleh berkata, pemain bawah 23 tahun yang ada sekarang memang sangat berkualiti dan dia sendiri pernah mendapat komen dari jurulatih luar bahawa skuad ini akan membawa pulang pingat emas Sukan SEA.

“Saya tidak nafikan ini adalah pasukan kebangsaan yang terbaik, sebelum mereka pergi ke Sukan SEA saya sudah menjangkakan mereka akan dinaik taraf menjadi pasukan kebangsaan,” katanya.

Dollah berkata, kemenangan skuad Rajagobal membuka mata pengkritik yang sering berpendapat bola sepak di Malaysia sudah berkubur tetapi kejayaan dicatatkan di Laos membuka mata mereka dunia bola sepak di Malaysia masih lagi hidup.

Sunday, December 20, 2009

Liverpool longlai


Reputasi Liverpool sebagai gergasi bola sepak England sudah berakhir.

Semalam, skuad kendalian Rafael Benitez itu terus dihimpit malang apabila tewas kepada pasukan tercorot, Portsmouth 0-2 pada aksi Liga Perdana England.

Kekalahan itu merupakan kekalahan ketujuh yang dialami The Reds daripada 18 perlawanan, sekali gus menyukarkan peluang mereka untuk muncul juara liga musim ini.

Pada aksi di Fratton Park semalam, pertahanan Perancis Nadir Belhadj meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-33.

Derita Liverpool berterusan pada minit ke-45 apabila bintang tengahnya, Javier Mascherano diperintah keluar padang selepas mengasari pertahanan Portsmouth, Tal Ben Haim.

Babak kedua bersambung, Liverpool yang diperkuatkan dengan kehadiran Fernando Torres dan Steven Gerrard cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun Frederic Piquionne memastikan Portsmouth meraih tiga mata penting dengan gol kedua pada minit ke-82.

Bagi Liverpool, kekalahan itu meletakkan mereka hanya mengutip 27 mata sementara Portsmouth kekal di tangga tercorot dengan 14 mata.

Satu lagi pasukan gergasi, Manchester United turut mengalami nasib yang sama apabila tewas 0-3 kepada Fulham sementara Manchester City mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Sunderland.

B-23 naik pangkat ke skuad utama

Yakin dengan kemampuan skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan bahawa pasukan itu kini menggalas tugas sebagai skuad utama negara.

Langkah itu sekali gus mengetepikan skuad senior kebangsaan yang sebelum ini menemui jalan buntu untuk mengharumkan nama negara dengan keputusan terakhir yang dicatatkan pasukan itu adalah kekalahan 5-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Januari lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad bagaimanapun berkata, badan induk itu memberi kebebasan sepenuhnya kepada jurulatih pasukan, K. Rajagobal untuk menentukan pemain mana yang dimahukannya untuk berada di dalam pasukan negara.

“Pemain-pemain ini akan dikekalkan sebagai satu pasukan. Saya melihat pasukan ini cukup mantap tambahan pula usia mereka masih muda dan ia memberi ruang kepada kita ‘menggilap’ mereka menjadi lebih baik untuk tempoh lebih lama.

“Bagaimanapun, terpulang kepada Rajagobal selaku jurulatih pasukan untuk membawa masuk mana-mana pemain yang dirasakan perlu. Saya fikir, beliau lebih arif dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Laos di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang awal pagi semalam.

Mengulas mengenai imbuhan yang bakal diterima pasukan itu, Azzuddin memberitahu, perkara itu akan diumumkan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, baginda berada di luar negara. Sebaik Tuanku pulang, FAM akan meminta perkenan baginda untuk mengumumkan perkara itu bagi menghargai jasa pemain kita,” ujarnya.

Sementara itu, Rajagobal ketika ditemui masih enggan mendabik dada dengan kejayaan anak buahnya dan menyifatkan pasukan itu masih di dalam proses pembelajaran.

“Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan kejayaan kami. Namun, saya tidak mahu pemain leka dan berharap agar mereka fokus serta mengambil serius setiap perlawanan yang dilalui selepas ini.

“Saya mahu pemain-pemain muda ini dikekalkan. Tidak dinafikan, kita kini masih berada di tahap pembelajaran jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan negara lain yang jauh lebih senior.

“Namun saya percaya, jika mereka dikekalkan bersama, dalam masa tiga tahun, Malaysia akan memiliki pasukan yang benar-benar mantap dan bagus untuk dipertaruhkan,” ujarnya.

Bagi mengharungi tempoh itu, Rajagobal meminta agar rakyat Malaysia bersabar untuk menagih kejayaan yang lebih besar dari skuad bimbingannya.

“Para pemain ini masih muda, justeru kita mempunyai ruang untuk mengasuh mereka. Cumanya, rakyat perlu bersabar dan tidak rakus dalam meletak harapan terlalu tinggi kepada pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Rajagobal memberitahu beliau akan selepas ini akan menyiapkan pasukan itu untuk menentang UAE bulan depan bagi melengkapkan jadual saingan kelayakan Piala Asia.

Tambahnya, satu perlawanan persahabatan akan dilangsungkan sebelum para pemain negara dibawa terbang ke UAE bagi berhadapan pasukan kebangsaan negara berkenaan.

“Buat masa ini biarlah mereka berehat setelah berhempas pulas di Laos. Mereka akan kembali menjalani latihan bermula 24 Disember depan dan selepas itu, kita akan fikir apa yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya.

Pedalaman Hulu Kelantan mula banjir

Pedalaman Hulu Kelantan mula dilanda banjir apabila beberapa kawasan perkampungan hari ini dinaiki air berikutan hujan lebat dan angin kencang yang melanda negeri ini sejak tiga hari lepas.

Tinjauan Bernama di daerah Tanah Merah dan Kuala Krai mendapati beberapa perkampungan telah ditenggelami air dan kebanyakan penduduk sedang sibuk mengemaskan barangan dan dokumen penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah berkata, Kampung Kursial dan Kampung Tok Bok di sini telah dinaiki air sedalam satu meter dan beberapa keluarga terpaksa dipindahkan sementara ke rumah saudara mara mereka.

"Sehingga kini keadaan banjir di daerah ini masih terkawal dan tiada pusat pemindahan yang dibuka. Bagaimanapun pihak kita telah pun mengambil langkah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang lebih besar sekiranya hujan berterusan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini