Wednesday, May 5, 2010

Hairuddin Julang Skuad Warrior's


KELANTAN 2
Norshahrul Idlan Talaha (m-42)
Hairuddin Omar (m-71)

PAHANG 1
Nik Zul Aziz Nawawi (m53)

KOTA BHARU – Hairuddin Omar muncul wira The Red Warrior’s apabila jaringan melalui tandukan cantiknya pada minit ke-71 memastikan Kelantan mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Pahang pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.
Seawal minit pertama, Akmal Rizal hampir meletakkan Kelantan dihadapan apabila rembatan jarak jauhnya mengenai palang pintu gol Pahang.

Perlawanan selepas itu lebih dikuasai oleh pasukan Kelantan walaupun jentera tengah dilihat tidak berupaya menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat.

Minit ke-38, 39 dan 41 menyaksikan Kelantan memperolehi peluang terbaik melalui percubaan Muhd Badhri Radzi, Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli tetapi tersasar.

Satu-satunya peluang terbaik pasukan Pahang untuk menjaringkan gol hadir pada minit ke-40 apabila percubaan Azamuddin Mohd Akil ditepis Khairul Fahmi Che Mat

Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-42 apabila hantaran lintang daripada sebelah kiri pintu gol Pahang oleh Akmal Rizal disambut dengan tolakan mudah Norshahrul Idlan Talaha menewaskan Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang mempamerkan aksi bertenaga memperolehi gol penyamaan pada minit ke-53.

Pemain tengah Pahang, Nik Zul Aziz Nawawi berjaya mengelecek dua pemain pertahanan Kelantan seterusnya merembat masuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Minit ke-71, penyerang gantian, Hairuddin Omar menggamatkan hampir 20 ribu penyokong setia Kelantan apabila menanduk masuk hantaran lintang Muhd Badhri Radzi.

Manakala gerakan satu-dua Norshahrul Idlan dan S Chanturu pada minit ke-83 menyaksikan S Chanturu menyepak lemah ke pintu gol Kelantan.

Norshahrul Idlan sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan selesa dihadapan tetapi rembatannya pada minit ke-85 mengenai tiang gol pasukan Pahang.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail (Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid), Azizi Matt Rose, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Wan Zaman Wan Mustapha, Mohd Norfarhan Muhammad (S Chanturu), Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Hairuddin Omar).

FORMASI : 4-4-2

PAHANG : Mohd Rosfaizul Azuar Ali, Yosri Derma Raju, Muhammad Syawal Norsam, Hasmizan Kamarodin, R Surendran (Abd Rahman Abd Kadir), Mohd Hazri Rozali, Mohd Shahrizan Salleh (KP) (Mohd Fadzirul Zakaria), Mohd Fazli Baharudin, Nik Zul Aziz Nawawi, R Kartigesu (Famirul Asraf Sayuti) dan Azamuddin Mohd Akil.

FORMASI : 4-5-1

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (3) Pahang (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (15) Pahang (4)
Sepakan sudut : Kelantan (4) Pahang (2)
Sepakan percuma : Kelantan (9) Pahang (16)
Offsaid : Kelantan (3) Pahang (4)
Kekasaran : Kelantan (14) Pahang (5)
Kad kuning : Pahang (Mohd Hazri Rozali)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : 2 minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Pahang (45%)