Friday, July 29, 2011

Perjuangan berakhir


PERJUANG Malaysia pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2014 sudah berakhir. Hasrat untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan zon Asia sudah berkecai apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Singapura pada aksi kedua pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Malaysia yang memerlukan kemenangan dua gol pada perlawanan tersebut terpaksa akur dan membiarkan Singapura mara dengan agregat 6-4.

Pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar (Sabtu lepas), Singa- pura menang 5-3.

Jaringan Safee Sali pada minit ke-57 pada aksi malam tadi berjaya disama- kan oleh pemain sayap kanan 'import' dari China, Shi Jiayi pada minit ke-71.

Beraksi di hadapan kira-kira 90,000 penyokong sendiri, Malaysia memperoleh peluang awal tetapi percubaan pemain sayap kiri, S. Kunanlan dari dalam kotak penalti berjaya dihadang penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud.

Singapura kemudian mula mendapat rentak tetapi dua percubaan menerusi penyerang 'import' dari China, Qiu Li pada minit ke-10 dan ke-15 ber- jaya diselamatkan dengan baik penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-22, pemain pertaha- nan Malaysia, Aidil Zafuan Radzak terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan oleh Muslim Ahmad untuk bergandingan dengan Fadhli Shas.

Amirulhadi Zainal yang banyak menggerakkan bahagian sayap kanan Malaysia turut memperoleh peluang tetapi rembatannya dari luar kotak penalti pada minit ke-26 tepat ke daka- pan Izwan.

Khairul Fahmi terus cemerlang dengan melayangkan badan untuk menepis sepakan percuma Shaiful Esah pada minit ke-38 dan menangkis percubaan Mustafic Fahrudin pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-57 apabila Safee merembat kencang dari sudut kanan kotak penalti Singapura setelah menerima lorongan Kunanlan.

Namun kelekaan barisan pertahanan Malaysia sekali lagi dihukum dengan Singapura berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-71 mene- rusi penyudah kemas Jiayi.

Usaha Malaysia yang melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Singapura bagi mencari tambahan dua gol terus menemui kebuntuan.

Lebih malang, penyerang gantian, Ahmad Fakri Saarani gagal mengawal tekanan apabila dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Dengan kegagalan itu, Malaysia mengekalkan rekod lampau yang belum pernah berjaya melangkah ke pusingan ketiga sejak percubaan sulung pada Kelayakan Piala Dunia 1974.

90,000 pulang kecewa


alam yang sepatutnya menjadi pesta buat hampir 90,000 penyokong Harimau Malaya semalam, bertukar hampa apabila Malaysia kalah kepada Singapura pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia.

Keghairahan untuk menyaksikan Malaysia mara ke pusingan ketiga tidak kesampaian apabila Harimau Malaya kalah dengan agregat 4-6. Begitupun Stadium Nasional menyaksikan terciptanya sejarah apabila hampir 90,000 penyokong menyaksikan perlawanan tersebut.

Jumlah penonton yang begitu ramai memang sudah diduga apabila kesemua tiket untuk perlawanan tersebut habis dijual kelmarin.

Penonton mula memenuhi stadium sejak awal petang dan memenuhi segenap ruang stadium sejak awal petang.

Suasana gamat yang disaksikan bukan saja mereka yang berada di stadium, bahkan jutaan yang menonton menerusi siaran langsung di kaca televisyen adalah bukti terbaik menunjukkan bola sepak kebangsaan kembali mendapat kepercayaan mutlak rakyat.

Sokongan padu ditunjukkan oleh peminat ketika bola sepak Malaysia memasuki fasa baru selepas merangkul pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF tahun lalu.

Suasana semalam sesuatu yang jarang dilihat dalam tempoh dua dekad lalu dalam sebarang perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan (tidak termasuk kehadiran kelab Liga Perdana Inggeris), khususnya pra-Piala Dunia.

Ketika Malaysia melayan kunjungan Bahrain pada aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2010 di Stadium Shah Alam pada 27 Oktober 2007, hanya 2,000 orang yang hadir.

Jumlah kehadiran semalam juga jauh melebihi angka gabungan tiga perlawanan kelayakan edisi 2006 Malaysia beraksi di laman sendiri, 12,000 di Stadium Darul Makmur, ketika Malaysia tewas 1-3; 9,327 juga di Stadium Darul Makmur (Malaysia 0-2 Kuwait) dan 14,000 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang (Malaysia kalah 0-1 China).

Tuesday, July 26, 2011

Kita perlu dua gol tanpa dibolos


PERTAMANYA, perlu menang 2-0. Yang keduanya, benteng pertahanan harus diperkemaskan. Jika kedua-duanya dapat disempurnakan dengan baik, Harimau Malaya akan menjejak kaki ke pusingan ketiga Kelaya- kan Piala Dunia 2014. Pastinya kejayaan tersebut terpahat menjadi satu sejarah baharu dalam bola sepak negara.

Misi untuk mendapatkan dua gol mungkin bukan tugas berat buat anak-anak didik Datuk K. Rajagobal itu tetapi yang dilihat agak membimbangkan adalah benteng pertahanan. Ia boleh dikatakan agak rapuh dan dalam beberapa perla- wanan kebelakangan ini, mereka terlalu mudah dibolosi. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa bahagian pertahanan merupakan posisi paling lemah dalam skuad Harimau Malaya. Rajagobal sendiri pun tidak mengetahui puncanya. Pemain yang diberi peranan mengawal jentera pertahanan bukannya kurang pengalaman. Mereka ada kualiti.

Mereka ada keyakinan dan mereka juga memiliki semangat juang yang tinggi. Tetapi macam ada yang tidak kena, khususnya pada aksi menentang Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Jalan Besar, Si- ngapura, Sabtu lalu. Macam-macam andaian dibuat terhadap kelemahan itu, namun yang jelas, watak utama di jentera pertahanan itu agak hilang fokus. Puncanya adalah kelemahan mental.

Ia memang biasa berlaku khususnya kepada pemain muda yang belum cukup ilmu di pentas antarabangsa. Keghairahan untuk meraih kemenangan juga boleh menjadi faktor menjejaskan mental mereka dan akibatnya, fokus terhadap permainan hilang. Bila ia berlaku, mereka akan mudah hilang arah seperti yang berlaku pada aksi menentang Singapura, Sabtu lalu. Selepas Malaysia berjaya merapatkan jurang kepada 3-4 setelah ketinggalan 1-4 pada sepa- ruh masa pertama, keadaan menjadi semakin rancak.

Keghairahan mengatasi segala-galanya sehingga barisan pertahanan mula hilang fokus dan arah ketika kembali diasak pemain Singapura. Sepatutnya, pertahanan negara terus mengekalkan sikap tenang untuk mengawal keadaan tetapi sebaliknya yang berlaku. Gol-gol yang dijaringkan oleh pemain Singapura pula terlalu muda. Kadang-kadang prestasi penjaga gol juga boleh menjejaskan semangat barisan pertahanan. Tiga gol mudah pada aksi me- nentang Singapura yang gagal diselamatkan oleh Sharbinee Allawee juga boleh menjadi punca melunturkan semangat.

Apa pun, yang cukup jelas ialah jentera pertahanan memang terlalu longgar dan ia harus diperkemaskan segera dalam usaha untuk mencapai misi mencari kemenangan 2-0 di Bukit Jalil, Khamis ini. Perlu diingat, barisan pemain Singapura tidaklah sehebat mana tetapi kelebihan yang ada pada mereka ialah bijak menyambar peluang. Pantang ada peluang, pasti dirembat ke gawang lawan, dan pemain Harimau Malaya perlu mengawasinya dengan bijak. Kalau tiga gol berjaya diledak di Kota Singa, Bukit Jalil bakal menyaksikan rentak yang lebih garang daripada Harimau Malaya.

Tiada yang mustahil, lagipun jentera serangan skuad bimbi- ngan Rajagobal itu dilihat agak konsisten menggegar gawang lawan. Ketiadaan Safiq Rahim pada aksi kedua ini selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan Sabtu lalu, mungkin agak menjejaskan perancangan yang bakal digunakan oleh Rajagobal. Tetapi berdasarkan aksi pada separuh masa kedua di Stadium Jalan Besar itu, Amirulhadi Zainal mampu menggalas watak yang dimainkan oleh Safiq. Cuma yang perlu diperkemaskan adalah jentera pertahanan yang memang sangat membimbangkan. Apa pun yang akan berlaku, Harimau Malaya perlu menang tanpa dibolosi lawan.

Tidak ada rombakan pertahanan


Desakan agar pemain baru dibawa masuk di bahagian pertahanan tidak dilayan oleh ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal (gambar) yang masih percaya barisan sedia ada mampu menentang Singapura pada Khamis ini.

Menurutnya, beliau masih yakin dengan pemain yang sedia ada walaupun ada yang memberi tekanan dan pendapat supaya memanggil pertahanan Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah berikutan kekalahan 3-5 pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.

"Sejak saya menjadi jurulatih pada 2009 memang saya sering memanggil Norhafiz untuk menguatkan barisan pertahanan bagaimanapun semua orang kena faham kenapa saya tidak senaraikan dia, saya sedar akan pengalamannya," katanya selepas latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelas Rajagobal, Norhafiz sebelum ini mengalami kecederaan lutut, namun tidak adil baginya untuk menyenaraikan semula pemain itu kerana masa sudah suntuk berikutan pemain itu tidak banyak beraksi sejak kebelakangan ini.

"Tidak mungkin dalam tempoh dua hari yang kita ada sebelum perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil saya boleh panggil dia dalam serta-merta, ia mampu memberi tekanan kepadanya, saya harap semua orang dapat memikirnya dengan teliti.

"Buat masa sekarang ini kita kena fikirkan bagaimana menyiapkan pasukan sebaik mungkin dengan barisan pemain sedia ada. Dalam masa yang sama saya harap media tidak memainkan cerita negatif," katanya.

Rajagobal berkata, ketika Indonesia tewas 0-3 kepada Malaysia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF tahun lalu, media di sana terus membangkitkan semangat rakyat agar memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan mereka.

"Saya harap media dapat memainkan peranan untuk membangkitkan semangat rakyat menjelang perlawanan kedua nanti, pemain juga amat memerlukan sokongan padu sekarang ini bagi mengubah kembali keputusan 5-3," katanya.

Ujarnya, sebagai jurulatih memang beliau mahu pemain sedar tetapi setakat semalam tidak ada seorang pemain pun yang menunjukkan bahawa moral mereka semakin luntur, semuanya tetap bersemangat berlatih.

"Saya lihat semua pemain berlatih dengan moral yang baik, mereka perlu sedar bahawa apa sahaja yang berlaku semuanya perlu difikir secara positif, kita tidak ada pilihan lain sebaliknya perlu menang untuk menewaskan Singapura Khamis ini.

"Saya juga mengharapkan Aidil Zafuan Abd. Radzak dapat pulih 100 peratus, sementara itu dua pemain, Safee Sali dan Amirul Hadi Zainal hanya menjalani latihan di gimnasium kerana mengalami demam tetapi ia tidak terlalu serius," katanya.

Rajagobal juga masih menimbang calon yang paling sesuai untuk menggantikan Safiq Rahim yang tidak dapat beraksi Khamis ini akibat menerima kad merah Sabtu lalu, jelasnya, tiga pemain dikenal pasti untuk posisi tersebut.

"Kita masih ada tiga pemain untuk mengisi kekosongan Safiq iaitu Amar Rohidan, Shakir Shaari dan K. Gurusamy, saya akan memilih pemain yang sesuai bagaimanapun bola sepak adalah permainan sepasukan kita tidak boleh hanya mengharap kepada seorang pemain sahaja," katanya.

Monday, July 25, 2011

Jangan ulang lagi


Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mahu benteng pertahanan tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan mudah sehingga dibolosi lima gol malam kelmarin.

Meskipun tewas 3-5 kepada Singapura pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, di sini malam kelmarin, Rajagobal tetap yakin Malaysia akan mara ke pusingan ketiga.

"Kita beri Singapura gol-gol mudah hasil kesilapan sendiri. Kita tak boleh buat begini lagi pada aksi kedua nanti. Kita perlu bangkit untuk menang sekurang-kurangnya dua gol.

"Tapi kita perlu sentiasa positif. Dalam tiga atau empat hari ini, saya akan fikir sesuatu untuk aksi kedua nanti dan tetap yakin kita akan layak," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan malam kelmarin.

Kelonggaran benteng pertahanan gandingan Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli dan Asraruddin Putra Omar menyebabkan gawang Sharbinee Allawee Ramli bolos empat kali pada babak pertama dan satu lagi pada babak kedua.

Khidmat Aidil Zafuan Radzak yang diketepikan akibat kecederaan buku lali pasti ditagih pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis ini sambil 'tangan emas' Khairul Fahmi Che Mat mungkin kembali menjadi harapan.

Namun Rajagobal perlu mencari pengganti sesuai apabila kapten, Safiq Rahim tidak dapat beraksi akibat kad merah diterimanya pada minit ke-49 selepas melakukan terjahan keras terhadap Harris Harun.

"Safiq seorang pemain tengah yang cukup berpengaruh. Ketiadaannya memaksa saya mencari pengganti sesuai. Saya perlu positif, yakin dan percaya dengan pemain lain yang ada," ujar Rajagobal.

Berkemungkinan Ismail Faruqi Ashari yang diletakkan sebagai penyerang kedua di belakang Safee Sali akan mengisi tempat Safiq untuk bergandingan dengan Amar Rohidan di bahagian tengah.

Atau Rajagobal mungkin meletakkan Baddrol Bakhtiar memandangkan dua lagi pemain yang ada, Shakir Shaari dan K. Gurusamy lebih berperanan sebagai pemain tengah bertahan seperti Amar.

"Saya tagih kehadiran 90,000 penyokong Malaysia kerana ia bakal memberi motivasi dan semangat kepada pemain kita di Bukit Jalil nanti. Kita kena yakin bahawa kita mampu menang di laman sendiri," tegas Rajagobal.

Berita bola sepak hiasi muka depan akhbar Singapura


Permusuhan di antara Singapura dan Malaysia dalam saingan bola sepak sentiasa menghidupkan satu suasana meriah serta ketegangan tidak kira di kalangan pemain mahu pun penyokong kedua-dua pasukan.

Ternyata kemeriahan itu turut diterjemahkan dalam akhbar-akhbar utama Singapura semalam yang melaporkan tentang aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Jalan Besar di sini malam kelmarin.

Keputusannya, Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura sebelum mereka bertemu lagi pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis ini.

Hampir semua akhbar tempatan Singapura meletakkan laporan perlawanan malam kelmarin itu sebagai bahan berita di muka depan dan muka belakang akhbar masing-masing.

Akhbar Berita Minggu meletakkan tajuk Kita Menang! di muka hadapan dengan gambar Aleksandar Duric meraikan jaringan kelima Singapura bersama rakan sepasukannya, Qiu Li.

Muka belakang Berita Minggu pula dihiasi dengan tajuk Singa Baham Harimau 5-3, membuktikan betapa terujanya Singapura dengan kemenangan terhadap musuh tradisi, Malaysia.

Akhbar The Sunday Times pula tampil dengan tajuk muka hadapan Five-Star Lions manakala muka belakangnya dengan tajuk Lion Edge Triller.

Sementara akhbar The New Paper on Sunday meletakkan tajuk ringkas Game On! pada muka hadapannya manakala pada halaman sukannya dengan tajuk Can You Believe 5-3?.

Kehangatan laporan media untuk kedua-dua negara ini pasti akan berterusan sehingga aksi kedua pada Khamis ini.

Bagi media Malaysia, biarpun skuad negara kini ketinggalan jaringan 3-5, laporan berbentuk positif diperlukan bagi menaikkan semangat pemain dan juga penyokong di Bukit Jalil nanti.

Contohi cara media Indonesia menghidupkan semangat dan keghairahan penyokong mereka menjelang aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta meskipun mereka telah tewas 0-3 kepada Malaysia pada final pertama di Kuala Lumpur.

Rombak benteng jika mahu mara

"Buat perubahan drastik pada bahagian pertahanan jika mahu layak ke peringkat seterusnya". Itu amaran Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas Malaysia kalah 3-5 kepada Singapura kelmarin.

Jelasnya, jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal harus melakukan perubahan drastik ekoran aksi buruk bahagian pertahanan pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia di republik itu kelmarin.

"Pertahanan kita terlalu lemah dan banyak memberikan ruang kepada lawan terutamanya gol kelima Singapura melalui Aleksandar Duric. Ia menyerlahkan kegagalan pertahanan kita mengunci pemain lawan.

"Malahan dua gol padang yang diperolehi Singapura juga berpunca daripada barisan pertahanan yang tidak jitu dan tidak dapat membaca dengan baik gerakan bola pihak lawan.

"Jurulatih (Rajagobal) harus memperbaiki masalah bahagian pertahanan yang saya fikir semua orang sudah nampak semenjak perlawanan menentang Taiwan lagi. Itu pun nasib baik kita mampu mara atas peraturan gol di tempat lawan.

"Saya hanya lihat Safee Sali, Asraruddin Putra Omar dan S. Kunanlan sahaja beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut, " katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Bukan sekadar pertahanan, beliau juga mahu melihat penjaga gol utama kembali diisi Khairul Fahmi Che Mat, selepas Sharbinee melepaskan lima gol kepada lawan.

"Kalau boleh dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti saya berpendapat penjaga gol, Khairul Fahmi harus diletakkan sebagai penjaga gol utama.

"Dengan adanya Khairul Fahmi, saya fikir keyakinan pemain terutamanya di bahagian pertahanan mampu dipulihkan dalam usaha mencari kemenangan berharga di tempat sendiri, " katanya.

Hamidin juga menyeru para pemain skuad kebangsaan agar jangan lagi dibuai mimpi dengan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF tahun lalu, kerana situasi berdepan dengan Singapura pada Kelayakan Piala Dunia adalah satu perkara yang berbeza.

"Kita tidak berjumpa dengan Singapura dalam perjalanan kita menjuarai Piala Suzuki AFF, jadi kita tidak boleh terlalu mendabik dada kononnya kita hebat dan boleh menewaskan mana-mana pasukan.

"Jadi, berikan fokus seratus peratus pada perlawanan kedua nanti , jangan hanya bersikap terlalu yakin, " jelasnya.

Begitupun, Hamidin tetap yakin Harimau Malaya pasti boleh menggegar di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis ini, jika semangat pemain tidak luntur dalam usaha menebus aib kalah kepada Singapura.

"Peluang mara masih ada, seandainya para pemain beraksi seperti mana yang telah mereka lakukan pada peringkat separuh akhir dan akhir Piala Suzuki AFF, saya rasa kita boleh layak ke pusingan seterusnya," katanya.

Buat masa ini, pertahanan negara yang dibarisi Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar dan Mahali Jasuli sementara Mohd. Aidil Zafuan direhatkan kerana mengalami kecederaan. Pilihan yang ada pada bahagian simpanan ialah Mohd. Rizal Fahmi Ab.Rosid, Azmi Muslim dan Helmi Remeli.

Rajagobal masih boleh memanggil beberapa pemain senior seperti Norhafiz Zamani Misbah dan S. Subramaniam untuk diserapkan dalam skuad sebagai pilihan terakhir.