Friday, February 11, 2011

Masih berharap

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes penghijrahan tiga tonggaknya yang menyarung jersi T-Team musim ini biarpun didakwa masih memiliki kontrak bersama Red Warriors.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Presiden KAFA dengan kakitangan, pegawai pasukan dan pemain Kelantan semalam mengesahkan rayuan itu telah dihantar kepada FAM, dua hari lalu.

Katanya, isu tersebut dianggap belum selesai selepas KAFA diberikan kebenaran untuk membuat rayuan bagi meneliti semula kes berkenaan.

Menurutnya, rayuan itu tidak bermaksud hendak mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Status dan Perpindahan Pemain FAM, sebaliknya KAFA hanya menggunakan saluran yang ada untuk mengetahui kedudukan sebenar peraturan sedia ada.

Persatuan itu hanya mahu mengetahui mengenai status pemain yang berhijrah ke pasukan lain sebelum tamat kontrak.

“Bagi KAFA, ini sesuatu yang bar, jadi kita nak dapat panduan yang jelas, bukan soal peribadi terhadap mereka. Ini kali pertama kita dengar keputusan bahawa tempoh tamat kontrak adalah selepas 30 hari perlawanan terakhir.

“Memang betul ia ada dalam kontrak tapi satu persoalan, macam mana kita nak tahu bila 30 hari selepas perlawanan terakhir kerana tarikh perlawanan sentiasa berubah-ubah.

“Jadi... kita nak bilang 30 hari dari bila. Adakah tarikh yang diisytiharkan yang mungkin kemudian tidak sama dengan tarikh yang ada atau sebenarnya tarikh yang ada atas kontrak.

“Benda-benda begini perlu diperincikan untuk panduan masa depan,” katanya di auditorium Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), semalam.

Utusan Malaysia pada 26 Januari lalu melaporkan, tiga tonggak baru T-Team, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose boleh tidur lena apabila Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak tuntutan ganti rugi KAFA.

Selain tiga trio berkenaan, mesyuarat Jawatankuasa Status yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan semalam turut mendapati tuntutan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) terhadap bekas pemainnya, Azidan Sarudin dan majikan barunya, tidak berasas.

Annuar memberitahu, pihaknya telah menghantar afidavit tersebut kepada tiga pemain itu untuk dijawab, namun KAFA tidak diberi hak untuk meneliti afidavit yang dibuat oleh pemain.

“Mana kita tahu mereka (pemain-pemain) jawab betul atau tidak. Kalau dia jawab bohong macam mana? Saya rasa itu perlu dikaji. Begitu juga apabila kita kemukakan afidavit dan mereka juga kemukakan afidavit.

“KAFA langsung tidak dipanggil untuk perbicaraan. Bolehkah kita nak tulis semua masalah atas kertas sahaja. Sudahlah kita tak boleh tanya apa yang dia jawab, kita juga tidak ada peluang di peringkat Jawatankuasa Status untuk memberikan penerangan sebelum keputusan di buat,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan pengalaman pihaknya, proses tersebut ada kecacatan dan perlu diperbaiki bagi kepentingan semua pihak di masa hadapan.

Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, selepas dimaklumkan secara lisan oleh pihak yang terlibat bahawa pihaknya mengemukakan permohonan ‘stay of execution’ (penggantungan perlaksanaan), KAFA sudah pun berbuat demikian.

Amaran Annuar

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa meminta supaya Akmal Rizal Ahmad Rakhli meminta maaf atas kenyataannya mengenai agihan bonus hasil kejayaan menjulang Piala Malaysia tahun lalu.

Katanya, Kafa tidak mempunyai sebarang masalah dengan Akmal, cuma yang menjadi isu selepas dia mengeluarkan kenyataan mendakwa persatuan itu tidak menjelaskan bonus kemenangan Piala Malaysia kepadanya.


“Kenyataannya terhadap Kafa tidak betul sama sekali sedangkan kita belum menerima bayaran bonus daripada kerajaan negeri. Jika dia enggan memohon maaf kepada Kafa, kami berhak mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan bersama Kakitangan dan Pemain The Red Warriors di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), semalam. Akhbar sebelum ini melaporkan bekas penyerang kebangsaan itu mendakwa dia dinafikan hak pemberian bonus atas kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia tahun lalu.

Annuar berkata, Kafa turut menerima surat tuntutan cukai Akmal dan tiga bekas pemain Kelantan yang lain daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan jumlahnya begitu besar.


Katanya, Kafa akan memaklumkan mengenai surat tuntutan itu kepada Akmal bagi diselesaikan dan pihaknya hanya akan menyelesaikan sekadar yang mampu saja.


“Baki tuntutan selebihnya akan diserahkan kepada pasukan barunya untuk dijelaskan kerana itu sudah menjadi tanggungjawab pasukan itu,” katanya.