Friday, April 6, 2012

Kes Annuar tak jejas Red Warriors


KOTA BHARU - Pengurus pasukan Red Warrios, Azman Ibrahim berkata, pemain pasukannya terus fokus kepada perlawanan dan tidak mahu isu penggantungan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kelmarin, mengganggu tumpuan mereka.

Hasilnya Red Warriors mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas wakil Indonesia, Arema dalam aksi Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin.

"Sebelum perlawanan, saya ada jumpa pemain dan memberitahu pasukan mahu menang dalam perlawanan ini sebagai hadiah kepada Tan Sri Annuar.

"Alhamdulillah kita berjaya melaksanakannya. Jadi saya harap pemain dapat fokus dalam perlawanan selepas ini," ujarnya kepada pemberita di sini, semalam.

Annuar ikrar terus majukan bola negara

KOTA BHARU - "Mereka boleh ambil semua pangkat saya, tetapi mereka tidak boleh ambil maruah saya,".

"Mereka boleh gantung atau haramkan saya daripada bola sepak mereka, tapi saya haramkan diri saya daripada berhenti aktif memajukan bola sepak Malaysia,".

Itu luahan Tan Sri Annuar Musa yang digantung dua tahun setengah daripada tugasnya sebagai Timbalan Presiden FAM dan Presiden KAFA, kelmarin di dalam laman sosial Facebook, semalam.

Beliau yang dikenakan hukuman tersebut setelah di dapati bersalah membuat kenyataan media tanpa izin dan melanggar arahan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco), 4 Februari lalu.

Tambah Annuar: "Tindakan FAM memberikan semangat baru kepada saya. Selebihnya saya serahkan kepada masyarakat dan peminat untuk menilai".

Afandi pangku tugas Presiden KAFA


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Afandi Hamzah (gambar) dilantik sebagai pemangku Presiden KAFA berkuat kuasa serta-merta selepas Tan Sri Annuar Musa digantung selama dua tahun enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak pada peringkat nasional dan negeri.

Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim berkata, satu mesyuarat telah diadakan petang semalam dan Ahli Majlis KAFA sebulat suara memilih Afandi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mene- rajui persatuan tersebut.

Menurutnya, pemilihan tersebut dibuat berdasarkan struktur dan hierarki yang mana Afandi merupakan orang No. 2 dalam KAFA selepas Annuar.

Selain itu kata beliau, Afandi di- lihat sebagai individu yang mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan bola sepak Kelantan.

“Secara dasarnya, Datuk Afandi akan memangku jawatan berkenaan sehingga proses pemilihan (Ahli Majlis KAFA yang baharu) diadakan pada 2013.

“Beliau (Afandi) akan memangku tugas sebagai Presiden KAFA dan sebarang keputusan mengenai isu tertentu akan dibuat oleh Majlis Mesyuarat KAFA,” kata Azman kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, hukuman yang dijatuhkan ke atas Annuar menyebabkan KAFA dan seluruh peminat bola sepak Kelantan kehi- langan seorang individu yang amat besar sumbangannya dalam usaha memajukan bola sepak di Kelantan.

Katanya, Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM merupakan individu yang begitu berkaliber dan memberikan sepenuh jiwa raga dalam memastikan bola sepak Kelantan berada pada tahap yang ada kini.

“Apa yang berlaku ini amat mendukacitakan tetapi kita menerima segala takdir. Saya benar- benar berharap agar pasukan Kelantan mampu mengekalkan prestasi.

“Perkara yang berlaku ini seha- rusnya dijadikan semangat untuk kita terus maju dan kepada para penyokong The Red Warriors, kami mengharapkan sokongan penuh daripada anda semua,” ujarnya.

Media tempatan semalam mela- porkan, Annuar digantung selama dua tahun enam bulan oleh Jawa- tankuasa Tatatertib FAM atas tindakannya mengkritik prestasi pasukan bola sepak kebangsaan menerusi media.

Dalam pada itu, Annuar mene- rusi laman sosial Facebook milik- nya dipetik sebagai berkata: “Mereka boleh ambil semua pangkat saya tetapi mereka tidak boleh ambil maruah saya.

“Mereka boleh gantung atau haramkan saya daripada bola sepak mereka tetapi saya haramkan diri saya daripada berhenti aktif memajukan bola sepak Malaysia.

“Tindakan FAM memberikan semangat baharu kepada saya. Selebihnya saya serahkan kepada masyarakat dan peminat untuk menilai.”

Wednesday, January 11, 2012

Red Warriors calar ego Lions XII


JARINGAN penalti Muhammad Ghaddar memastikan Kelantan berjaya menjinakkan Singapura Lions XII 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Pembimbing skuad Red Warriors, Peter Butler melakukan rombakan pada perlawanan itu apabila tidak menyenarai pemain importnya, Antwi Agraye manakala Mohd Nor Farhan Muhamad berada di bangku simpanan.

Kelantan yang terpaksa mengambil tempoh agak lama untuk menyesuaikan diri dengan padang rumput tiruan mula mengatur serangan pada minit ke-12 hasil rembatan deras Indra Putra Mahayuddin tetapi ditepis penjaga gol tuan rumah, Izwan Mahbud.

Peluang terbaik Lion XII mencipta jaringan hadir pada minit ke-18 selepas Safuwan Ibrahim bijak melambungkan bola dari luar kotak penalti hampir memerangkap penjaga gol, Mohd Khairul Fahmi Che Mat yang sudah tergamam di gawang sendiri.

Skuad bimbingan V Sundramoorthy yang mendapat sokongan padu lebih 7,000 penyokong yang membanjiri stadium menghadiahkan jaringan pertama pada minit ke-31 selepas pemain pertahanan, Baihakki Khaizan menanduk masuk menewaskan Khairul Fahmi hasil sepakan percuma Shahdan Sulaiman.

Ketika aksi menuju penghujung babak pertama, Norshahrul Idlan Talaha memastikan gol penyamaan apabila merembat kencang hasil bola sepakan lintang Daudsu Jamaluddin.

Tindakan Butler mengeluarkan Nurul Azwan Roya yang agak kurang menyerlah dengan memasukkan Nor Farhan membuahkan hasil apabila bekas pemain T-Team itu bijak melorongkan bola kepada Ghaddar sehingga memaksa Izwan menjatuhkan pemain import dari Lubnan itu dalam kotak penalti pada minit ke-78.


Ghaddar yang masih tercari-cari jaringan pertama bersama Kelantan mudah merembat leret untuk menewaskan Izwan bagi memastikan Kelantan membawa pulang tiga mata.

Tuesday, January 10, 2012

Saya berasa kecewa - Hamidin


"SAYA berasa kecewa dengan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh yang disiarkan beberapa media tempatan semalam (kelmarin)."

Demikian respons Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika mengulas kontroversi baharu yang melanda PBSNT.

Kekeliruan tersebut tercetus ekoran surat pekeliling yang dikeluarkan oleh FAM bertarikh 23 Disember lalu.

"Saya kecewa kerana beliau (Che Mat) menuduh saya sebagai 'celupar' dalam kenyataan saya berhubung surat pekeliling itu.

"Mungkin ini sekadar salah faham atau penilaian yang diterima oleh pihak PBSNT berlainan. Saya selalu ingatkan kepada seluruh pasukan negeri dan kelab bahawa sebarang kekeliruan, sila rujuk kepada FAM.

"Tetapi surat pekeliling edaran 23 Disember lalu, seluruh kandungan surat itu adalah jelas dan saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah membuat apa- apa tuduhan kepada PBSNT tetapi di sini saya ingin tegaskan maksud (surat pekeliling) itu kekal dan tiada mengatakan pasukan Terengganu (tarikh pemain import beraksi di Liga Malaysia) dilanjutkan," katanya kepada pemberita di Padang SUK semalam.

Terdahulu, dalam surat pekeliling berkenaan, FAM menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari (semalam).

Dua pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva Santos Carniet disahkan akan menyarung jersi Penyu bagi saingan Liga-M dan juga kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dalam reaksi segeranya kepada Kosmo! pada 6 Januari lalu memberitahu, kedua-dua pemain itu boleh beraksi pada kejohanan AFC dan bukannya Liga-M.

Ini kerana menurutnya, hasil semakan FAM sebelum ini mendapati kedua-dua pemain itu tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh FAM sebelum ini.

Azzuddin menambah, Terengganu dan mana-mana pasukan yang gagal membuat pendaftaran pemain import pada 8 Disember lalu boleh kembali berbuat demikian sebaik pendaftaran dibuka semula April depan.

Meskipun Azzuddin sudah memperjelaskan kekeliruan berhubung tarikh pemain import, Che Mat sekali lagi tampil menjelaskan pendiriannya bagi membersihkan maruah persatuan negeri itu yang dianggap masih belum cukup memulihkan penderitaan PBSNT.

Justeru, Che Mat mahu Hamidin juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, sendiri membuat permohonan maaf kepada PBSNT atas kekeliruan yang timbul daripada surat pekeliling itu.

Namun, Hamidin meluahkan keyakinan, dalam masa sama turut meluahkan rasa kesalnya kerana Che Mat selaku bekas Naib Presiden FAM dan JKPT seharusnya lebih peka dengan perkara ini.

Hamidin menambah, Setiausaha Agung PBSNT, Abdullah Salleh merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) JKPT boleh menjelaskan perkara itu kepada Che Mat.

"Abdullah Salleh bersama lain-lain AJK telah bermesyuarat empat kali sepanjang November dan Disember tahun lalu.

"Di dalam mesyuarat itu, kami tidak pernah mencadang atau membangkitkan untuk melanjutkan tarikh pemain import untuk Terengganu kerana keputusan jawatankuasa telah dilampirkan di dalam surat ini (pekeliling 23 Disember).

"Semua 22 pemain ini adalah kekal beraksi sehingga 2 April yang mana tarikh kedua jendela perpindahan pemain import dan tempatan dibuka.

"Jadi, sekiranya PSBNT kurang jelas, mereka boleh bertanya sendiri kepada Abdullah atau merujuk perkara ini kepada FAM."

Hamidin turut menjelaskan, penambahan dua pemain import Terengganu yang akan beraksi pada AFC itu sahaja dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kelulusan FAM.

Ditanya mengenai Che Mat menuntut permohonan maaf tersebut, Hamidin memberitahu, beliau menghormati Che Mat dan tiada perselisihan faham berlaku.

Liverpool hadapi Man. United


LONDON - Liverpool diundi bertemu Manchester United pada aksi pusingan keempat kempen Piala FA.

Pertemuan tersebut pasti mengimbas kembali insiden yang berlaku selepas penyerang Liverpool, Luis Suarez menghamburkan kata-kata berunsur perkauman kepada tonggak pertahanan United, Patrice Evra dalam saingan Liga Perdana England pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, Suarez sudah didapati bersalah dan dikenakan hukuman penggantungan sebanyak lapan perlawanan serta dijangka terlepas aksi yang bakal berlangsung di Anfield itu.

Sebagai rekod, pertemuan antara Liverpool dengan United adalah yang pertama buat kedua-dua pasukan selepas insiden yang mencetuskan kontroversi tersebut.

Bagi skuad The Reds, ia merupakan peluang terbaik buat mereka untuk membalas dendam di atas kekalahan kepada United yang menyingkirkan mereka pada kempen musim lalu.

"Berdepan Liverpool... pasti ia merupakan suatu perlawanan yang menarik untuk kempen Piala FA kali ini.

"Buat peminat-peminat United, mari kita sama-sama saksikan dan berilah sokongan kepada kami," kata tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand di laman sosial Twitternya.

Sementara itu, perancang Liverpool, Charlie Adam dalam catatannya di laman Twitter berkata: "Ia merupakan satu undian yang menarik apabila berdepan United di laman sendiri."

Liverpool mara ke pusingan keempat selepas membelasah Oldham Athletic 5-1 (Jumaat lalu), manakala United menewaskan musuh sejiran, Manchester City 3-2 pada aksi pusingan ketiga kelmarin.

Dalam pada itu, satu lagi perlawanan yang dijangka menjadi tumpuan sekiranya Queens Park Rangers (QPR) berjaya menewaskan Milton Keynes Dons kerana mereka akan berdepan Chelsea yang terlebih dahulu menyingkirkan Portsmouth 4-0 pada aksi pusingan ketiga kelmarin.

Ketika ini, kapten skuad The Blues, John Terry masih lagi disiasat selepas didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap tonggak pertahanan QPR, Anton Ferdinand.

Sunday, October 23, 2011

Peter Butler Sah Bimbing Kelantan 2012.


Peter James Butler sah mengantikan Datuk M. Karathu selaku ketua jurulatih Kelantan pada musim 2012.
Menurut Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media sebentar tadi, Butler akan membimbing Kelantan pada musim depan dibantu oleh Zahasmi Ismail dan Sidek Shamsudin manakala Hashim Mustapha diturunkan menjadi jurulatih Piala Presiden bersama dengan Nafuzi Zain.

Butler tidak asing dengan skuad Kelantan dimana beliau pernah membimbing The Red Warriors sehingga berjaya melayakkan diri buat kali pertama ke perlawanan akhir Piala FA tetapi bertindak meninggalkan Sang Kijang sebelum Piala Malaysia bermula.

Peninggalan Butler memaksa KAFA memujuk B. Sathianathan untuk membimbing Kelantan sehingga mampu muncul juara kali pertama setahun selepas itu.

Wednesday, September 7, 2011

Kijang garang


JURULATIH Kelantan, Datuk M Karathu terpaksa menunggu lebih sejam untuk kembali mengukir senyuman selepas usaha anak buahnya memburu jaringan membuahkan hasil apabila mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Sarawak pada perlawanan pembukaan saingan Piala Malaysia peringkat Kumpulan C, di Stadium Negeri, malam tadi.

Sambil mengakui anak buahnya mendapat rentak sebenar permainan berikutan cuti panjang selain kesuntukan masa, Karathu menyifatkan kemenangan itu cukup penting bagi memastikan The Reds Warriors tidak berada dalam zon bahaya menjelang pertemuan menentang Johor FC, di laman sendiri Sabtu ini.


“Kemenangan ini cukup penting walaupun pemain belum dapat menyesuaikan diri selepas melalui tempoh rehat panjang. Saya memuji corak permainan sehingga berjaya meraih kemenangan di tempat lawan.

“Separuh masa pertama, kami gagal menembusi benteng pertahanan lawan sekali gus sukar menjaringkan gol. Mereka (Sarawak) berkampung di kubu pertahanan sedangkan kami hanya seorang pemain yang berada di kawasan terbabit.


“Saya mengakui pertukaran beberapa pemain pada babak kedua memberikan kelebihan kepada pasukan mengatur corak permainan sehingga menjaringkan gol,” katanya sambil mengakui corak permainan skuad Bujang Senang berada pada tahap membanggakan.


Pada perlawanan itu, Kelantan berjaya membolosi gawang lawan selepas ayam tambatan, Norshahrul Idlan Mohd Talahan berjaya merampas bola daripada pertahanan Sarawak, Chung Keng Hong ketika perlawanan memasuki minit ke-65.

Jaringan itu menghidupkan semangat skuad terkenal dengan slogan ‘Gomo Klate Gomo’ sekali gus menyumbat gol kedua pada m-80 menerusi S Chanturu yang mendapat umpanan Norshahrul menewaskan penjaga gol, Aidil Mohamad.


Sementara itu, Norshahrul berkata, meskipun mencatat kemenangan, dia mengakui pasukannya beraksi jauh pada tahap sebenar ketika saingan Liga Super.

“Saya sudah menjangkakan Sarawak akan beraksi mati-matian bagi memburu kemenangan di gelanggang sendiri. Tahap kami pada malam ini (malam tadi) tidak seperti ketika beraksi dalam Liga Super,” katanya.

Nasib berbeza Kelantan, Selangor


Kelantan memulakan kempen Piala Malaysia 2011 dengan cemerlang selepas menundukkan Sarawak 2-0 di tempat lawan, manakala Selangor bermula langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada T-Team di Kuala Terengganu semalam.

Di Stadium Negeri, Kuching Kelantan yang juga juara Liga Super musim ini tidak menghadapi masalah untuk memungut tiga mata dalam saingan Kumpulan C menewaskan Sarawak 2-0 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha minit ke-69 dan S. Chanturu 85.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C di Stadium Pasir Gudang, Felda United menang 2-0 ke atas Johor FC apabila Farderin Kadir muncul wira dengan menjaringkan kedua-dua gol tersebut pada minit ke-44 dan ke-68.

Selangor yang beraksi dalam Kumpulan D terpaksa menerima hakikat bahawa persediaan mereka masih kurang mantap tatkala T-Team menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk mencatat kemenangan 1-0 hasil jaringan Norfazly Alias pada minit ke-73.

Kuala Lumpur mencuri tumpuan dalam saingan Kumpulan D selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menerusi gol sendiri Azrul Azman (44) , Badrul Hisyam Azmi (64) dan Yong Kuong Yong (76).

Kedah menerajui Kumpulan A selepas memungut tiga mata dengan menewaskan Johor 2-0 di Stadium Larkin hasil Khyril Muhymeen Zambri yang menyumbat dua gol pada minit ketujuh dan ke-80.

Sabah gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Likas apabila terikat tanpa jaringan bertemu Perak.

Terengganu juga bermula dengan langkah kanan walaupun bertandang ke gelanggang lawan.

Terengganu menang 3-0 ke atas Sime Darby di Stadium MP Selayang, apabila memperolehi jaringan melalui Joseph Kallang Tie pada minit keenam manakala Reshafiq Alwi menambah gol kedua 12 minit sebelum separuh masa pertama tamat dan gol ketiga disumbang Abdul Manaf Mamat pada minit ke-86.

Monday, August 29, 2011

Salam Aidilfitri



Salam Aidil Fitri kepada semua pembaca.

Doa kami, anda semua selamat pulang ke kampung halaman masing-masing dan kembali semula dengan selamat selepas bercuti panjang sempena hari lebaran ini.

Semoga sambutan kali ini lebih meriah dan bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kepada pembaca budiman yang dihormati, sekiranya ada tersilap dan salah, kami menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf.
Sekali lagi, selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin dari kami..
- Hazray & isteri