Wednesday, August 3, 2011

Annuar mahu semua ambil iktibar insiden mercun


Tragedi letupan mercun yang menimpa penonton, Ahmad Jazimin Jalaluddin sehingga mengakibatkannya buta sebelah mata perlu dijadikan iktibar semua pihak agar insiden sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Peringatan itu diberikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa kepada semua penonton dan mengingatkan mereka supaya mempunyai sikap bertimbang rasa kepada orang lain.

''Mereka yang ikhlas mahu menonton perlawanan bola sepak, tidak mungkin sanggup berbuat begitu (melontar mercun), namun angkara beberapa orang yang sanggup melanggar peraturan, orang lain yang menerima padah.

''Sepatutnya stadium menjadi satu tempat yang selamat kepada mereka yang mungkin mahu membawa keluarga kerana ia turut melibatkan wanita dan kanak-kanak tetapi perkara yang berlaku kepada Jazimin boleh menakutkan orang ramai untuk datang ke stadium menonton perlawanan bola sepak.

''Ini merupakan insiden kali kedua seorang penonton kita buta sebelah mata yang sebelum ini melibatkan seorang remaja juga angkara mercun," katanya.

Tambah Annuar, penguatkuasaan yang ketat sahaja tidak boleh menyelesaikan permasalahan tersebut sebaliknya bergantung kepada penonton.

''Soal penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi kerana ia turut melibatkan kesedaran sivik orang ramai yang hadir ke stadium.

''Jawatankuasa keselamatan boleh bersikap tegas dalam soal pembakaran mercun ini, namun kami tidak boleh menjamin 100 peratus insiden yang sama tidak akan berulang lagi," ujarnya.

Beliau ditemui selepas meluangkan masa lebih setengah jam melawat Jazimin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menyerahkan sumbangan RM2,000 daripada FAM.

Ahmad Jazimin, 29, yang merupakan seorang peniaga pencetak kad kahwin, pecah bola mata kanannya sejurus selepas lagu Negaraku dimainkan ketika perlawanan Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dia yang duduk di tempat duduk terbuka bertentangan tempat kenamaan, mendengar bunyi letupan sebelum mata kanannya terasa pedih.

Bagi Ahmad Jazimin, hanya perkataan terima kasih sahaja mampu diucapkan kepada Annuar Musa yang sudi menziarahinya.

''Terima kasih kerana beliau (Annuar) sanggup meluangkan masa ke sini," katanya yang selalu datang ke stadium sebelum ini, namun tidak menjangka insiden tersebut boleh berlaku.

Jazimin dijangka dibenarkan keluar dari hospital dua hari lagi dan berkemungkinan memerlukan rawatan susulan dalam masa sebulan, namun bergantung kepada laporan daripada pakar.

No comments:

Post a Comment