Tuesday, January 5, 2010

Skuad B-23 beraksi di Eropah


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk menghantar 30 pemain skuad Bawah 23 tahun negara beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pendedahan di luar negara itu merupakan jalan terbaik untuk mengekalkan kecemerlangan skuad yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos, baru-baru ini.

Untuk itu, katanya, beliau akan ke England minggu depan sebagai destinasi pertama dalam mencari kelab yang sesuai dan berminat untuk berlatih dengan skuad negara.

Sambil merahsiakan nama-nama kelab terbabit, Shabery berkata, beliau juga akan ke beberapa negara Eropah, selain dari England.

''Apabila pulang nanti dari sana nanti, barulah saya akan umumkan bentuk kerjasama yang kita boleh jalinkan dengan kelab-kelab berkenaan.''

''Mungkin kita akan bahagikan para pemain ini kepada beberapa kelab, tidak semestinya mereka akan tertumpu dengan satu kelab sahaja.

''Saya akan membawa perancangan ini ke Kabinet. Usaha ini amat penting demi pembangunan jangka panjang bola sepak negara,'' katanya.

Sebelum ini, cadangan Ahmad Shabery supaya pemain skuad bola sepak Bawah 23 tidak mewakli pasukan negeri atau kelab sukar, didakwa sukar untuk dilaksanakan.

Ia disebabkan faktor kewangan yang dihadapi oleh FAM serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan tersebut dilaksanakan.

Ahmad Shabery berkata, beliau menyedari kekangan yang akan dihadapi oleh FAM dalam memenuhi komitmen itu, kerana kebanyakan pemain terikat dengan kontrak bersama pasukan negeri masing-masing, di samping masalah kewangan untuk menghantar pemain ke luar negara.

''Saya akan berbincang dengan FAM serta pasukan negeri yang terlibat untuk melepaskan pemain mereka sepanjang tempoh pemain yang terpilih untuk ke luar negara, juga membantu daripada segi kewangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai skuad Bawah 23 negara selepas mengadakan perbincangan dengan FAM mengenai hala tuju bola sepak negara di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Setiuasaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Ditanya jika ada pasukan negeri enggan melepaskan pemain mereka kepada skuad kebangsaan, Shabery menegaskan, mereka tiada pilihan lain, selain mengutamakan kepentingan negara.

''Namun, ruang untuk perbincangan tentang masalah itu tetap ada, kita bersedia berunding dalam memenuhi tuntutan mereka terutamanya pembabitan kontrak,'' jelasnya.

Beliau optimis sambutan orang ramai terhadap Liga Super 2010 tidak terjejas teruk hanya kerana tiada penyertaan beberapa pemain kebangsaan dalam skuad negeri.

''Kita hanya mengambil dalam satu atau dua sahaja pemain, paling maksimum mungkin empat pemain dari satu pasukan, saya tidak fikir ia akan memberi kesan teruk kepada semua pasukan negeri,'' katanya.

Selain itu, Shabery juga berkata merancang mewujudkan program pendedahan kepada jurulatih untuk ke luar negara pada masa akan datang.

''Kita tidak mahu sekadar jurulatih kita hanya tahu sekadar melatih, namun turut dibimbing dengan ilmu membaca serta menganalisis permainan bola sepak,'' katanya.

No comments:

Post a Comment