Saturday, December 26, 2009

Harimau Muda sedia mengaum

MENJELANG Liga Perdana 2010 yang bakal membuka tirai 11 Januari depan, pastinya skuad muda negara, pasukan Harimau Muda bakal mencuri tumpuan peminat sukan bola sepak tanah air.

Biarpun rata-rata pemain masih muda, namun umur bukan menjadi penghalang buat mereka untuk bersaing dengan pasukan yang lebih berpengalaman. Sehingga kini, seramai 30 orang pemain dipilih untuk mengemudi pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Ong Kim Swee itu.

Aksi barisan muda ini bakal menjadi saingan berdasarkan prestasi mereka di kejohanan dalam dan luar negara. Dengan kejayaan cemerlang menjuarai Piala Belia pada tahun 2007, naib juara Piala Belia (2008), naib juara Pra Sukan Sea di Laos, Suku Akhir Piala AFF U18 di Vietnam dan pengalaman bermain di Newspaper Cup Vietnam.

Malah pendedahan perlawanan di Slovakia baru-baru ini akan menjadi penguat untuk mereka menunjukkan aksi sebenar.
Kim Swee berkata, seramai 48 orang pemain telah dipanggil bagi menjalani latihan pemilihan dan 14 orang telah digugurkan.

“Pemain-pemain yang terpilih akan didaftarkan untuk mengharungi perlawanan liga bulan depan dan setakat ini saya masih menilai prestasi mereka. Saya percaya semua akan menunjukkan prestasi terbaik mereka, tambahan pula dengan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa mengukuhkan lagi kekuatan pasukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia mengharapkan prestasi konsisten semua yang terpilih pemain atau mereka bakal berdepan dengan tersingkir daripada pasukan.

"Saya akan terus memantau prestasi mereka, dan sekiranya masih berada di tahap yang sama ataupun menurun, kami akan mengkaji balik kelemahan yang ada. Tidak guna menyimpan pemain yang tidak memberi sepenuh komitmen, namun setakat ini semuanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Kim Swee berkata, pasukan Harimau Muda akan terus mengadakan perlawanan persahabatan bagi memantapkan lagi kombinasi posisi, kekuatan serta membaiki kelemahan yang ada.

"Kami mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan PDRM, dan mereka beraksi cemerlang. Selepas ini, beberapa lagi sesi perlawanan persahabatan akan diadakan pada Isnin ini (28 Dis) menentang pasukan Kuala Lumpur Pos Malaysia, Kuala Lumpur (2 Jan) dan satu lagi perlawanan pada 6 Januari yang akan diumumkan nanti," katanya.

Barisan Harimau Muda kini meneruskan latihan mereka di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) dan Stadium Hang Tuah, Melaka di mana mereka akan menjadikan venue itu sebagai 'tuan rumah' menjelang perlawanan liga nanti.

No comments:

Post a Comment