Thursday, December 3, 2009

Kuala Lumpur 'dinaik pangkat' ke Liga Super

KUALA LUMPUR - Tiada lagi pasukan yang tergantung penyertaannya ke Liga Malaysia musim 2010 gara-gara tunggakan gaji pemain manakala sebuah pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur mendapat 'kenaikan pangkat' apabila ditawarkan bermain dalam Liga Super.

Enam pasukan yang diberikan tarikh akhir untuk menjelaskannya Isnin lalu - Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Melaka dan Shahzan Muda boleh menarik nafas lega untuk menyertai Liga M selepas dinilai Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Che Mat Jusoh mengesahkan mereka telah menunaikan syarat asas lain penyertaan Liga M yang termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), potongan cukai pendapatan dan jaminan sumber kewangan.

"Bagi menggenapkan 14 pasukan dalam Liga Super 2010 selepas penarikan diri KM Naza dan UPB-MyTeam, kami menawarkan satu tempat kepada Kuala Lumpur berdasarkan pencapaian tempat keempat mereka dalam Liga Perdana musim 2009," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Jelasnya, skuad bimbingan Razip Ismail itu yang turut ditawarkan ke Liga Super atas faktor kecekapan pengurusan kewangannya, bagaimanapun perlu memenuhi syarat tambahan dan diberikan peluang menjawabnya sehingga mesyuarat Majlis, Isnin ini.

Bagi menjadikan 12 pasukan yang bermain dalam Liga Perdana 2010 pula menurut Che Mat, Staf Universiti Sains Malaysia (USM) dari Pulau Pinang ditawarkan kenaikan daripada Liga FAM sebagai menggantikan Proton yang turut menarik diri.

"Sebuah pasukan dari Perlis, Kelab Sukan Komuniti Tambun Tulang yang sepatutnya layak bermain pada Liga Perdana 2010, pula memilih untuk kekal dalam Liga FAM," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa hampir tiga jam itu.

Katanya, kedua-dua skuad belia negara, Harimau Muda A dan B akan setaraf semua pasukan lain dalam Liga Super dan Liga Perdana sekali gus melayakkan mereka mengaut hadiah wang tunai yang ditawarkan jika bergelar juara selain menyertai Piala Malaysia yang berdasarkan merit bagi musim depan.

"Piala Malaysia musim 2010 hanya akan disertai 12 pasukan terbaik Liga Super dan empat pasukan teratas Liga Perdana pada musim yang sama. Ia bukan lagi mengambil kesemua negeri, Angkatan Tentera dan Polis secara automatik dan pertandingannya bermula dari 14 September hingga 20 November tahun depan," katanya.

Jelasnya, Liga Super akan membuka tirainya pada 9 Januari 2010 dengan didahului perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah yang menemukan juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan dengan juara Piala FA 2009, Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

"Liga Super akan berakhir pada 24 Julai sementara Liga Perdana ditetapkan dari 11 Januari hingga 23 Julai; Piala FA dari 2 Februari hingga 10 April dan Liga FAM bermula 7 Mac. Liga juga akan dihentikan seketika sepanjang Piala Dunia di Afrika Selatan (11 Jun hingga 11 Julai) dan Sukan Malaysia Ke-13 di Melaka.

"Liga turut akan berehat sepanjang bulan Ramadan tahun depan selain FAM akan menganjurkan sebuah kejohanan antarabangsa, Pestabola Merdeka dari 2 hingga 16 Oktober," kata Che Mat yang juga Naib Presiden FAM.

No comments:

Post a Comment