Sunday, November 29, 2009

Peluang kukuhkan cengkaman


LONDON - Chelsea memiliki peluang untuk mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Perdana England apabila turun menentang jiran setempat, Arsenal malam ini.

Barisan Carlo Ancelotti itu bakal membuka jurang kepada 11 mata andai menang pada aksi di Stadium Emirates itu.

Arsenal yang kini berada di tempat ketiga liga nampak tempang dengan beberapa pemain utamanya dihantui masalah kecederaan seperti Robin van Persie, Gael Clichy, Nicklas Bendtner, Kieran Gibbs dan Abou Diaby.

Chelsea pula bakal mendapat berita gembira dengan kehadiran semula Frank Lampard dan Michael Essien yang sudah pulih daripada kecederaan.

Namun Ancelotti tetap mahu berdiplomasi sambil berkata bahawa masih terlalu awal untuk menutup peluang pencabar-pencabar terdekat andai Chelsea berjaya menewaskan Arsenal malam ini.

"Apabila kamu berdepan pasukan kuat seperti Arsenal atau Manchester United, ia satu ujian penting. Arsenal salah sebuah pasukan terpenting di England dan juga Eropah. Mereka bermain dengan baik.

"Saya suka cara permainan mereka yang menyerang serta menyukarkan pasukan lawan. Ia bakal menjadi ujian terbaik buat kami. Saya jangkakan satu pertemuan menarik," kata Ancelotti.

Penyerang Chelsea, Nicolas Anelka yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Porto Rabu lalu berhasrat untuk menamatkan penantian yang agak lama untuk menjulang trofi Liga Perdana England buat kali kedua.

"Saya akan berasa gembira jika kami menang ke atas Arsenal. Mereka sebuah pasukan yang kuat tetapi Chelsea juga kuat. Saya pernah menjulang trofi bersama Arsenal dan saya yakin dapat mengulanginya bersama Chelsea pula," kata Anelka.

Sementara itu, Arsenal pula telah mengalami kekalahan pertama dalam tujuh perlawanan terakhir mereka setelah tewas kepada Sunderland minggu lalu.

Namun pengurusnya, Arsene Wenger jelas tidak mahu berbangga untuk bergelar pencabar utama kejuaraan sehinggalah mereka dapat menumbangkan pasukan utama seperti Chelsea.

"Sudah pasti perlawanan ini satu ujian besar. Tapi memang ini yang kami mahukan dan inilah masa untuk kami tunjukkan kekuatan sebenar.

"Arsenal bukan lagi boleh dianggap barisan muda. Saya rasa kami memiliki kekuatan dan kami mampu untuk menunjukannya pada perlawanan menentang Chelsea ini," kata Wenger. - AFP

No comments:

Post a Comment