Saturday, December 5, 2009

City tak gentar

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Mark Hughes menegaskan tiada apa yang perlu ditakuti pasukannya menjelang perlawanan separuh akhir Piala Liga Inggeris menentang Manchester United.

City menempah tiket untuk peringkat separuh akhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Arsenal dalam perlawanan suku akhir di Eastland, awal pagi semalam.

Sudah lebih tiga dekad City tidak memenangi sebarang trofi utama, kali terakhir Piala Liga 1976.

Hughes berkeyakinan tinggi mengenai peluang pasukannya untuk memenangi perlawanan biarpun berdepan juara bertahan yang menewaskan mereka 4-3 dalam Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, September lalu

“Ia satu pertembungan yang hebat dan semua orang di Manchester dan mungkin seluruh dunia akan teruja dengannya,” kata Hughes yang juga bekas penyerang United. “Fokus utama kami adalah terhadap perkara itu.

“Dalam dua perlawanan terakhir, kami berjaya menemui rentak permainan ketika menentang mana-mana pasukan.

“Apabila perlawanan itu berlangsung kami akan menikmatinya dan cuba untuk ke perlawanan akhir di Wembley yang mana pasukan ini sudah lama tidak merasainya.

“Kami berharap dapat merasai pengalaman itu. Kami mahu beraksi dengan baik, prestasi kami semakin meningkat. Kami datang sejauh ini dan kami mahu cuba menjuarai pertandingan ini,” katanya.

City berjaya menumbangkan pasukan muda Gunners hasil gol separuh masa kedua daripada Carlos Tevez, Shaun Wright-Phillips dan Vladimir Weiss.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger terpaksa berdepan tuduhan kurang semangat kesukanan apabila enggan bersalam dengan Hughes selepas tamat perlawanan.

“Itu adalah pilihan dan hak peribadinya,” kata Hughes. “Pada satu ketika, dia bertanya mengapa saya berada di tempatnya di kawasan teknikal dan mungkin dia agak tersinggung disebabkan perkara itu.”

“Tetapi saya fikir dia lebih kecewa apabila pasukannya dibelasah.

“Saya pernah ke Emirates (gelanggang Arsenal) dan dibelasah 6-2 tetapi saya masih menghulurkan tangan dan itulah yang anda mampu lakukan sekurang-kurangnya.

“Terdapat protokol tertentu dan mungkin perkara itu tidak dibuat Wenger. Saya agak kecewa kerana saya cukup menghormatinya dan mungkin dia perlu bersikap lebih mesra,” katanya.

Wenger enggan menjelaskan mengapa dia tidak mahu bersalam dengan Hughes.

“Ia tiada kaitannya dengan perlawanan ini dan saya sedia berjabat tangan dengan siapa yang saya mahu selepas perlawanan,” katanya.

“Jika ia tindakan adab profesionalisme, jadi saya tidak beradab sopan,” gurau jurulatih kelahiran Perancis itu.

Dalam perlawanan lain, Gael Kakuta gagal menyempurnakan penentuan penalti penting buat Chelsea selepas Paulo Ferreira menyamakan kedudukan 3-3 buat skuad Blues pada minit terakhir masa tambahan.

Kakuta, 18, perlu menjaringkan gol untuk menyelamatkan Chelsea menerusi sepakan itu tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Paul Robinson.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam tempoh 90 minit hasil jaringan Didier Drogba dan Salomon Kalou untuk Chelsea manakala gol Blackburn disumbang Nikola Kalinic dan Brett Emerton.

Jaringan penyerang Afrika Selatan, Benni McCarthy pada masa kecederaan dibatalkan kerana ofsaid sebelum menyempurnakan penalti minit ke-93 yang meletakkan Blackburn di depan tapi Ferreira menyamakan kedudukan

No comments:

Post a Comment