Wednesday, December 2, 2009

Devan pengurus, jurulatih Gergasi Merah

KELANA JAYA - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam membuat keputusan melantik K. Devan sebagai pengurus dan jurulatih baru skuad Merah Kuning tersebut bagi menghadapi persaingan Liga Malaysia 2010.

Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, pemilihan Devan untuk menggalas dua jawatan utama tersebut adalah berdasarkan kemampuan yang dimiliki oleh pengendali berpengalaman itu.

Katanya, pelantikan tersebut dilihat tidak akan memberi masalah kepada Devan, sebaliknya ia dilihat mampu memantapkan lagi skuad Gergasi Merah.

"FAS yakin dengan kemampuan Devan untuk menggalas dua jawatan tersebut. Pelantikan tersebut tidak akan memberi masalah kepadanya," katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Amin.

Mengulas lanjut, Abdul Mokhtar berkata, tugas berat sebagai pengurus pasukan adalah bergaul rapat dengan pemain-pemain dan merancang misi pasukan.

Jelasnya, peranan pengurus tersebut boleh dipikul oleh Devan dengan baik kerana dia sentiasa berada di samping pemain dan dia juga adalah ketua jurulatih.

Dalam pada itu, Abdul Mokhtar turut mengumumkan enam nama pemain baru Selangor bagi musim 2010.

Katanya, enam pemain tersebut adalah Farderin Kadir, Safiq Rahim, Mohd. Bunyamin Umar, Azrine Efendy Sa'duddin, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi dan pemain berpengalaman, Liew Kit Kong.

Ditanya mengenai kedudukan Pengurus Selangor musim ini, Zakaria Ab. Rahim, Abdul Mokhtar berkata, FAS bersetuju untuk meletakkannya di bahagian pemasaran.

Jelasnya, pemilihan Zakaria untuk menjawat tugas baru itu adalah kerana kebolehan dan kekuatannya di bahagian itu.

No comments:

Post a Comment