Saturday, January 9, 2010

Terengganu mahu'ratah' Kelantan


IRFAN BAKTI (kiri) memantau latihan skuad Terengganu semalam menjelang perlawanan pertama Liga Super 2010 menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.GELOMBANG yang dicetuskan Kelantan pada musim lalu sedikitpun tidak mengerunkan pengendali Terengganu, Irfan Bakti menjelang pertembungan dua pasukan berjiran itu pada aksi pembuka musim Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Tereng- ganu malam ini.

Sebaliknya, Irfan yang menggantikan Ken Worden sebagai jurulatih Terengganu musim ini bertekad untuk menjadikan Kelantan sebagai mangsa pertamanya dalam kempen Liga Super.

Sambil mengakui akan kekuatan yang dimiliki skuad kendalian B. Sathianathan itu, Irfan juga enggan memperkecilkan kredibiliti anak buahnya yang diibaratkan cukup pakej di setiap posisi.

"Ini adalah perlawanan pertama saya bersama Tereng- ganu dalam Liga Super dan secara kebetulannya, kami akan menentang Kelantan, iaitu pasukan yang muncul naib juara Piala Malaysia.

"Jadi, amat penting untuk kami mengutip tiga mata pada perlawanan sulung ini bagi memberikan semangat tambahan kepada pemain sebelum mengharungi musim penuh mencabar tahun ini," jelas Irfan.

Dalam pada itu, Irfan yang merupakan bekas jurulatih Perlis dan Negeri Sembilan mahu menggunakan segala kelebihan yang ada dalam pasukannya untuk menjinakkan Kelantan di halaman sendiri.

"Saya jangkakan perlawanan ini akan menjadi tumpuan kerana Terengganu dan Kelantan adalah dua pasu- kan berjiran.

"Bagaimanapun, kelebihan akan memihak kepada kami kerana akan beraksi di gelanggang sendiri. Jadi, saya harap semua pemain mampu memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.

"Bagi Kelantan sendiri, walaupun mereka mempunyai ramai pemain bintang, namun pasukan itu masih berdepan kesukaran untuk mencari keserasian. Peluang inilah yang akan kami gunakan pada perlawanan sulung malam esok (ini)," tambahnya.

Enggan mengesahkan kesebelasan utamanya, Irfan bagaimanapun bakal mempertaruhkan sentuhan penyerang kebangsaan, Abd Manaf Mamat di jentera serangan untuk bergandingan bersama Wan Mohd Aliff Wan Jasni ataupun Mohd. Firdaus Faudzi.

Mohd. Ashaari Shamsuddin dan Tengku Hazman Raja Hassan pula bakal mengemudi jentera tengah dengan kapten Marzuki Yusof bakal bergandingan dengan bekas pemain Kedah dari Sabah, Roony Harun dan Mohd. Sharbinee Allawee akan bertindak sebagai penjaga gol.

"Dengan kehadiran beberapa pemain baru dan kualiti yang ada pada bintang muda, saya yakin kami mampu mengutip mata penuh pada perlawanan sulung ini," kata Irfan.

Sathia Lalui Ujian Getir


Tanggal 9 Januari ini merupakan saat ujian getir bagi pengendali Kelantan, B.Sathianathan apabila pasukannya bakal bertemu dengan pasukan jiran yang juga musuh tradisi dalam bola sepak Malaysia, Terengganu.

Perlawanan pembuka tirai bola sepak TM Liga Malaysia 2010 menjadikan ia pertemuan awal untuk dipersembahkan kepada penyokong fanatik kedua-dua pasukan di mana undian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada bulan Disember lalu menterjemahkan tidak lagi terjadi pada pertengahan saingan liga seperti mana musim lalu.

Bagi Sathia, ini adalah ujian sulung yang cukup getir akan dihadapi untuk tampil sebagai finalis Piala Malaysia musim lalu, bagaimanapun pengendali The Red Warriors itu mampu berbangga sebagai pasukan pertama yang akan bertanding pada musim ini.

”Ini adalah persembahan sulung kami untuk musim baru dan menjadi kebanggaan untuk memberi persembahan terbaik terutamanya dalam menentang musuh tradisi Terengganu.

”Bagaimanapun, kita masih lagi berada dalam saat getir kerana akan pergi ke Terengganu bersama beberapa pemain utama yang masih berada dalam kecederaan apatah lagi persiapan pra musim bersama beberapa siri perlawanan persahabatan di Kota Bharu sejak dua minggu lalu memberi keputusan sederhana,” katanya.

Pertemuan musim lalu di dalam Liga Super menyaksikan Kelantan menewaskan Terengganu 3-2 di Kota Bharu manakala aksi timbal balik di Kuala Terengganu pula berkesudahan Terengganu membalas dendam dengan kemenangan 2-0.

Bagi B.Sathia, tiada pilihan lain yang diharapkan selain mencatat keputusan positif biarpun beraksi di tempat orang dengan menaruh harapan tinggi kepada pemainnya malah lebih tinggi lagi harapan penyokong setia pasukan ini untuk melihat langkah pertama Kelantan mengutip mata.

Dengan senarai pasukan yang kuat dan mantap seperti penjaga gol nombor tiga negara, Syed Adney Syed Hussien yang dilihat hampir pasti menjadi calon utama di pintu gol Kelantan berserta Azizi Mat Rose di posisi pertahanan, pasti cepat menyesuaikan diri untuk membentuk gandingan mantap bersama Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Abd. Rosid dan Mohd Zamri Ramli.

Gandingan kapten baru Indra Putra Mahayuddin bersama bekas kapten musim lalu, Mohd Badhri Radzi yang kembali beraksi akan mengukuhkan kedudukan jentera tengah Kelantan.

Turut beraksi pada kali ini, Mohd Norfarhan Muhammad yang masih bergelut dengan kecederaan bersama pemain posisi tengah Mohd Shakir Shaari.

Pemain lain yang tidak kurang hebatnya untuk diketengahkan sebagai penyerang masih lagi dalam teka teki tetapi pilihan Sathia mungkin terarah kepada pemain veteran Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta pemain muda S.Chanturu selain Norshahrul Idlan Talaha.

Beberapa lagi senarai pemain yang mampu memikat hatinya mungkin juga bintang muda, S.Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Wan Zaman Wan Mustapa, selain pemain-pemain berpengalaman, Che Hisamuddin Hassan, Hairuddin Omar dan Mohd Norfarhan Muhammad

Rajagobal iringi pemain ke Eropah


Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dijangka akan mengiringi pemain bawah 23 tahun negara ke kelab-kelab terkemuka Eropah untuk mengikuti kursus kejurulatihan sepanjang berada di sana.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, langkah itu telah dibincangkan semasa pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

‘‘Langkah ini sebagai memantapkan lagi ilmu kejurulatihan beliau dalam membimbing skuad negara.

‘‘Perancangan ini bukan sahaja melibatkan beliau malah mungkin beberapa jurulatih tempatan lain kita akan bawa bersama,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, ia sejajar hasrat FAM mahu melahirkan jurulatih tempatan berkelas dunia yang bukan sekadar tahu melatih pasukan, namun bijak membaca permainan serta penggunaan taktikal terkini dalam era bola sepak moden.

‘‘Kita mahu selepas itu, mereka ini dapat membantu negara membentuk skuad yang lebih mantap serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa bagi jangka panjang.’’ jelasnya.

Selain itu, Azzuddin mendedahkan beliau akan berusaha mengadakan perlawanan persahabatan kepada skuad negara sekurang-kurangnya dua bulan sekali di peringkat antarabangsa.

‘‘Perlawanan seperti ini penting agar momentum skuad emas kita dapat dikekalkan dan mengelakkan sindrom terlalu selesa di kalangan pemain.

‘‘Malah, latihan di peringkat pusat akan selalu diadakan oleh FAM walaupun Liga Malaysia berlangsung dalam tempoh itu, ia sebagai persiapan jangka panjang menghadapi Sukan Asia 2010 Guangzhou, China dan Piala AFF Suzuki,’’ katanya.

Mengulas mengenai pembelian kelab West Ham oleh Datuk Seri Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranum, beliau tidak mahu memberikan sebarang kenyataan sehingga perkara itu menjadi kenyataan.

‘‘Saya tidak mahu nanti kita syok sendiri kerana belum pasti lagi sama ada mereka berdua akan dapat atau tidak memiliki kelab tersebut.

‘‘Namun andai kata mereka berjaya, saya akan ucapkan tahniah dan FAM mungkin boleh mengadakan perbincangan berasingan dan terperinci dengan Fernandes serta Kamaruddin untuk kepentingan bola sepak negara,’’ ujarnya.

Kelmarin, Utusan Malaysia mendedahkan dua tokoh korporat tempatan, Fernandes dan Kamaruddin sedang di peringkat akhir untuk membeli kelab bola sepak Liga Perdana England, West Ham United.

Sumber memberitahu, pembelian kelab yang dibimbing oleh Gianfranco Zola itu akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menerusi pembelian tersebut, Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. (AirAsia) dan Kamaruddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, akan memegang 51 peratus saham kelab tersebut.

“Pemilikan kelab West Ham oleh kedua-dua tokoh korporat itu adalah pelaburan peribadi dan ia tidak melibatkan kepentingan syarikat AirAsia,” kata sumber tersebut

Kelantan mahu baiki pencapaian musim lalu

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meletakkan sasaran lebih tinggi dalam kempen Liga Malaysia 2010, dengan hasrat memperbaiki pencapaian yang dikecapi pasukan itu sepanjang musim lepas.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau percaya bagi kempen 2010 Kelantan mampu meningkatkan pencapaian daripada pasukan yang muncul naib johan Piala FA dan Piala Malaysia musim lepas kepada pasukan yang menjadi johan kedua-dua piala itu tahun ini.

"Ini hadiah yang kita harapkan kalau dulu naib johan Piala FA, tahun ini diharap lebih sikit, kalau dulu naib johan Piala Malaysia, tahun ini lebih sikit, itulah yang diharapkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran jersi baru pasukan The Red Warriors 2010 dan Laman Web Theredwarriors.com di sini, semalam.

Katanya, dalam saingan Liga Super, Kelantan yang menduduki tempat keenam tahun lepas diharap berada di tempat yang lebih selesa tahun ini.

Beliau juga menganggap kempen Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia tahun ini lebih mencabar memandangkan semua pasukan cuba memberi tumpuan untuk mendapat tempat yang terbaik.

Sementara itu, pengeluar pakaian sukan antarabangsa, Umbro menjadi penaja jersi pasukan bolasepak Kelantan musim 2010 menggantikan jenama Sport Zone yang digunakan tahun lepas.

"Jersi utama berwarna merah putih memaparkan penaja-penaja utama iaitu Air Asia, Al-Hamra Group Company, Yusmira Trading dan Akhbar Sinar Harian. Dua lagi jersi rasmi berwarna putih dan biru turut diletakkan lambang 1Malaysia ditengah-tengah," katanya.

Mengenai penubuhan laman web theredwarriors.com beliau berkata ia bagi memudahkan peminat bolasepak Kelantan di dalam dan luar negara yang ingin mendapatkan maklumat terkini pencapaian pasukan itu.

Turut hadir pada majlis itu, wakil Umbro Malaysia S. Muru, Ketua Jurulatih pasukan Kelantan, B. Sathianathan dan kira-kira 500 ahli Kelab Penyokong Kelantan

Thursday, January 7, 2010

Kijang mahu bermula dengan kemenangan

Setelah memanaskan badan pada perlawanan persahabatan di Bangkok baru-baru ini, skuad Kijang yang berwajah baru kini menyasarkan kemenangan pertama dalam aksi pembuka tirai Liga Super 2010, Sabtu ini.

Ia harapan yang cukup tinggi dipertaruhkan oleh B. Sathianathan (gambar) apabila berdepan Terengganu supaya pasukannya dapat bermula dengan rentak yang menyakinkan. Ini kerana sasaran hanyalah satu - untuk muncul sebagai juara..

Kelantan dilihat sebagai pasukan yang cukup mantap musim ini, melalui rombakan di beberapa posisi apabila berjaya menyakinkan beberapa pemain ternama menyertai skuad itu.

Barisan skuad Kijang musim ini diperkukuhkan dengan kehadiran Syed Adney Syed Hussien (My-Team), Norshahrul Idlan Talaha (My-Team), Shakir Shaari (My-Team), S. Chanturu (P.Pinang), S. Subramaniam (Perak), Akmal Rizal Rakhli (KM Naza), Azizi Che Ros(Perlis) dan Hairuddin Omar (T-Team).

B. Sathianathan berkata, prestasi kesemua 25 pemainnya berada dalam keadaan memuaskan, walaupun beberapa tunggak utama mengalami kecederaan.

Pemain yang berada dalam senarai kecederaan termasuk Nor Farhan Mohamad, S. Chanturu dan Zamri Ramli, namun beliau tidak gusar.

"Semua persiapan untuk menentang Terengganu Sabtu ini berjalan lancar khususnya selepas balik dari perlawanan persahabatan di Bangkok, kita mempunyai cukup masa untuk membuat persiapan," katanya.

Beliau menyatakan kepada pemberita demikian selepas menghadiri kursus motivasi bersama pemainnya di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di sini, kelmarin.

Turut hadir memberi kaunseling kepada pemain ialah Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara, Zaitun Othman.

Menurut Sathianathan, musim ini Kelantan meletakkan sasaran cukup tinggi, di mana selain berada di tangga teratas liga, ia juga akan memburu kemenangan bagi menggapai dua lagi piala.

''Untuk mencapai tahap yang tinggi, kita tidak boleh bergantung kepada 11 pemain sahaja, kena kena bergantung harap kepada kesemua 25 pemain yang disenaraikan," ujarnya.

Katanya, mereka boleh bergilir diturunkan apabila perlu tanpa merencatkan prestasi pasukan dengan keupayaan yang seimbang.

Bagi Sathianathan, anak-anak buahnya sudah dipersiapkan supaya tidak berada dalam keadaan tertekan apabila berada dalam keadaan cukup terdesak untuk memastikan memastikan kemenangan.

Penyokong 'perlawanan panas' akan diasingkan

Mulai musim ini, pengasingan tempat duduk penonton yang membabitkan perlawanan 'panas', bakal diwajibkan bagi memastikan perlawanan dapat berlangsung dengan baik.

Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, langkah tersebut akan diperketatkan lagi dalam usaha memastikan tiada lagi insiden yang tidak diingini berlaku di antara kedua-dua pihak penyokong.

Katanya, pendekatan tersebut dipertanggungjawabkan kepada tuan rumah dan jika gagal dilaksanakan mereka bakal didenda sekiranya ada penonton yang menimbulkan masalah.

"Langkah mengasingkan para penyokong, menjadi tanggungjawab kepada tuan rumah terutamanya apabila melibatkan perlawanan di antara pasukan yang sering menimbulkan masalah.

"Langkah tersebut bukanlah untuk membebankan persatuan mahupun peminat bola namun ia perlu dilaksanakan bagi memudahkan sebarang masalah yang berlaku di dalam stadium untuk dikenalpasti," katanya kepada pemberita pada makan malam meraikan pemain-pemain Terengganu di sini, semalam.

Che Mat menambah, selain pengasingan tempat duduk, beliau turut mencadangkan agar pemeriksaan badan dilakukan dengan lebih ketat lagi.

Jelasnya, beliau meminta agar peminat bola sepak bekerjasama dalam melicinkan segala tindakan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

"Selain daripada persatuan memastikan penyokong tidak membawa peralatan dan objek-objek yang tidak seharusnya dibawa, kita akan meminta pihak polis mengadakan pemeriksaan badan dengan lebih teliti.

"Seharusnya peminat bola sepak datang dengan penuh semangat kesukanan dan bukannya dengan niat untuk bergaduh sesama sendiri," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya dalam rangka menambah jumlah anggota pasukannya bagi perlawanan yang melibatkan pasukan berisiko tinggi di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu sepanjang musim ini.

Katanya, pihak polis akan mempertingkatkan kawalan samada ketika penjualan tiket mahupun perlawanan berlangsung.

Jelasnya, anggota polis juga akan diletakkan ditempatkan bersama penonton bagi memudahkan pemantauan dibuat.

"Perlawanan pada Sabtu ini bakal menjadi perlawanan tumpuan kerana Terengganu bertemu Kelantan...dengan kehadiran ramai penonton dari kedua-dua pasukan di stadium tersebut, pelbagai kejadian boleh berlaku.

"Justeru itu, kawalan ketat akan dilaksanakan agar perlawanan tidak tercemar," jelasnya.

Fernandes beli West Ham


Dua tokoh korporat tempatan, Datuk Seri Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranum kini di peringkat akhir untuk membeli kelab bola sepak Liga Perdana England, West Ham United.

Sumber memberitahu, pembelian kelab yang dibimbing oleh Gianfranco Zola itu akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Katanya, menerusi pembelian tersebut, Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. (AirAsia) dan Kamaruddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, akan memegang 51 peratus saham kelab tersebut.

''Pemilikan kelab West Ham oleh kedua-dua tokoh korporat itu adalah pelaburan peribadi dan ia tidak melibatkan kepentingan syarikat AirAsia,'' kata sumber tersebut.

Fernandes merupakan penyokong setia West Ham.

Beliau juga adalah Ketua Pasukan Lotus F1 Racing manakala Kamaruddin merupakan Pengarah pasukan yang akan beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Tambah sumber tersebut, pemilikan kelab England itu turut membuktikan kemampuan rakyat Malaysia membeli sebuah kelab yang beraksi dalam liga bola sepak terkemuka di dunia.

''Pemilikan West Ham oleh kedua-dua tokoh korporat itu kena pada masanya kerana ketika ini para pemain bola sepak negara sedang mencari kelab untuk berlatih di Eropah.

''Atas semangat 1Malaysia, saya percaya mereka tiada halangan untuk memberi kebenaran jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menempatkan para pemain negara di West Ham,'' kata sumber tersebut..

West Ham United berpusat di Upton Park, timur London, menduduki tangga keempat tercorot Liga Perdana England dengan mengumpul 18 mata dari 20 perlawanan, di depan, Bolton, Hull dan Portsmouth.

Antara pemain utama West termasuk Scott Parker, pemain kebangsaan England, Matthew Upson, penjaga gol Robert Green serta Kieron Dyer.

Musim lalu, West Ham menduduki tempat kesembilan dan kedudukan terbaik kelab itu dalam Liga Perdana ialah di tangga kelima pada 1998-99.

Wednesday, January 6, 2010

Hantar ke kelab sesuai - Akmal


HASRAT Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menghantar pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke kelab-kelab luar negara perlu diperjelas dengan betul.

Jika mereka sekadar diserapkan bagi menjalani latihan untuk tempoh yang singkat, ia dianggap tidak berbaloi.

Tiga pemain yang pernah merasai pengalaman beraksi dalam saingan liga luar negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Rudie Ramli dan Fadzli Saari sempat berkongsi pandangan masing-masing ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi Akmal, 29, yang kini beraksi bersama Kelantan, cadangan Shabery itu dianggap baik tetapi biarlah pemain- pemain itu dihantar ke kelab yang sesuai dan berlatih dalam tempoh jangka panjang.

"Kalau menteri maksudkan untuk hantar bermain bersama kelab luar, ia satu cadangan yang baik dan pemain- pemain ini perlu mengambil peluang yang diberi ini sepenuhnya.

"Tetapi kalau nak hantar untuk lati- han selama tiga atau enam bulan saja, itu tak bagus kerana umur mereka ini sudah 22 dan 23 tahun. Program latihan sesuai untuk pemain remaja saja," kata Akmal.

Akmal berhijrah ke kelab Perancis, Strasbourg pada 1999 ketika berusia 19 tahun bersama Juzaili Samion yang kini mewakili Felda United.

Bagi Rudie, 28, pula yang kini beraksi bersama Selangor, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum sesatu keputusan berhubung penghantaran pemain B-23 negara ke kelab luar dilaksanakan.

"Kalau boleh, cari kelab yang betul- betul dapat memberi ruang kepada pemain-pemain ini beraksi. Tetapi bagi saya, umur 23 tahun ini tak sesuai, lebih baik hantar pemain-pemain Harimau Muda yang usia mereka dalam lingku- ngan 21 tahun ke bawah.

"Mungkin juga boleh dipertimbangkan kelab-kelab Asia seperti di Jepun atau Korea Selatan, itu saya rasa lebih sesuai. Jika di Eropah, banyak halangan seperti masalah cuaca," katanya.

Rudie dihantar berlatih selama sebulan ke Bayern Munich ketika berusia 17 tahun pada 1999 dan setahun kemu- dian, dia beraksi sepenuhnya selama se- musim bersama satu lagi kelab Jerman, SV Wehen.

Fadzli, 27, yang kini bersama KL Plus berpendapat, cadangan Shabery itu baik tetapi perlu dibincangkan lebih mendalam terlebih dahulu dengan para pemain skuad B-23 negara.

"Apa yang penting, mentaliti pemain itu sendiri. Kalau hati dan fikiran mereka masih di Malaysia, tak guna kita hantar mereka ke kelab luar. Lagipun ada pemain yang sudah berkahwin dan sebagainya.

"Patut hantar saja pemain B-21 atau B-19 kerana mentaliti mereka lebih bersemangat. Tetapi kalau boleh, hantar untuk tempoh setahun sekurang-kurangnya. Kalau untuk dua atau tiga bulan, tiada apa-apa hasil," katanya.

Fadzli turut menyertai Rudie beraksi di SV Wehen pada tahun 2001 ketika dia baru berusia 18 tahun.

Hantar pemain ke Eropah tindakan 'pelik'

Jurulatih tempatan menyifatkan keputusan menghantar pemain skuad Bawah 23 tahun beraksi dengan kelab Eropah sebagai 'cadangan pelik'.

Mereka berkata, tindakan seperti itu belum pernah dilakukan oleh mana-mana negara di dunia apabila semua pemain Bawah 23 beraksi dengan kelab Eropah.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, langkah menempatkan pemain dalam pasukan di liga Eropah hanya sesuai pada peringkat usia pemain remaja.

''Pemain Bawah 23 kita bukan budak-budak lagi. Mereka bukannya pelatih akademi yang memerlukan pendedahan.

''Pada tahap usia sebegini, para pemain ini perlu pendedahan pada peringkat pertandingan tinggi,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Irfan berkata beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk melepaskan pemainnya ke Eropah bagi tujuan pendedahan.

''Saya tiada masalah untuk lepaskan dua pemain dalam skuad Terengganu sekarang bersama skuad Bawah 23 negara kerana menyedari ia adalah keperluan negara,'' katanya.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bercadang menghantar 30 pemain skuad Bawah 23 tahun negara beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah.

Persetujuan yang dicapai bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu merupakan salah satu usaha bagi mengekalkan kecemerlangan skuad yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos, baru-baru ini.

Menurut Irfan lagi, beliau bimbang mental pemain skuad emas boleh terjejas jika tidak didedahkan kepada perlawanan yang berbentuk pertandingan.

''Perlawanan persahabatan sahaja tidak mencukupi. Contohnya, seperti bertemu dengan Manchester United kerana ia satu suasana yang berbeza dengan perlawanan sebenar.

''Jika beraksi dalam liga tempatan, kekuatan mental mereka akan sentiasa teruji dan dapat dikekalkan,'' katanya.

Sementara itu, jurulatih Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah berkata, beliau bersetuju jika pendedahan itu bersifat jangka panjang, sebagaimana yang diamalkan kebanyakan oleh pemain dari Afrika, Jepun dan Korea.

''Seandainya pendedahan itu lama dan melebihi satu musim, saya yakin pemain Bawah 23 kita mampu menunjukkan peningkatan daripada segi pembacaan taktikal permainan dan skil mereka.

''Namun, jika ia hanya sekadar pendedahan berbentuk sementara, saya rasa ia mungkin tidak berkesan dalam membantu perkembangan mereka,'' katanya.

Azraai juga berkata, selain England, FAM boleh memilih Jerman atau Perancis yang lebih maju dalam pembangunan akademi bola sepak.

''Kalau tidak pun, membuat program kerjasama dengan Liga-J (Liga Jepun) saya rasa dah cukup bagus,'' katanya.

Tuesday, January 5, 2010

Ferguson alih tumpuan


Pengurus Manchester United, Alex Ferguson (gambar) akan mempertaruhkan barisan terbaik pada pertemuan menentang Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala Liga awal pagi Khamis ini.

Bagaimanapun, Ferguson akan tetap dengan polisinya dengan membariskan pemain-pemain muda apabila berdepan dengan skuad kendalian Roberto Mancini itu.

Kekalahan 0-1 kepada Leeds United pada pusingan ketiga Piala FA kelmarin telah membuatkan Ferguson melakukan beberapa perubahan pemain sebelum berkunjung ke Eastlands nanti.

Feguson mengakui, dia tidak menyangka skuad kendaliannya akan tewas kepada Leeds kerana telah melakukan persiapan yang cukup baik.

"Ianya sangat mengecewakan tetapi dalam bola sepak semua ini tidak mustahil akan berlaku."

"Kami ada perlawanan separuh akhir Piala Liga Rabu ini (awal pagi Khamis) dan beberapa pemain yang beraksi hari ini (kelmarin) tidak akan diturunkan."

"Saya sudah mempunyai gambaran pasukan yang akan diturunkan nanti tetapi mungkin akan ada satu atau dua perubahan," jelas Ferguson.

Sehari sebelum aksi menentang Leeds, tonggak pertahanan United, Nemanja Vidic dilaporkan telah mengalami kecederaan sehingga dia tidak dapat diturunkan.

"Saya tidak dapat memberi penjelasan mengenai situasi itu kerana saya sendiri tidak tahu kecederaan apa yang dialaminya," katanya.

Dalam pada itu, Ferguson bakal berdepan tindakan disiplin apabila dia mengkritik pengadil Chris Foy sejurus selepas tamat aksi kelmarin.

Persatuan Bola Sepak (FA) England menolak dakwaan Ferguson yang mengatakan Foy tidak memberi masa tambahan yang cukup pada aksi di Old Trafford itu.

"Pengadil hanya memberi lima minit masa kecederaan dan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," jelas Ferguso

Skuad B-23 beraksi di Eropah


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk menghantar 30 pemain skuad Bawah 23 tahun negara beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pendedahan di luar negara itu merupakan jalan terbaik untuk mengekalkan kecemerlangan skuad yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos, baru-baru ini.

Untuk itu, katanya, beliau akan ke England minggu depan sebagai destinasi pertama dalam mencari kelab yang sesuai dan berminat untuk berlatih dengan skuad negara.

Sambil merahsiakan nama-nama kelab terbabit, Shabery berkata, beliau juga akan ke beberapa negara Eropah, selain dari England.

''Apabila pulang nanti dari sana nanti, barulah saya akan umumkan bentuk kerjasama yang kita boleh jalinkan dengan kelab-kelab berkenaan.''

''Mungkin kita akan bahagikan para pemain ini kepada beberapa kelab, tidak semestinya mereka akan tertumpu dengan satu kelab sahaja.

''Saya akan membawa perancangan ini ke Kabinet. Usaha ini amat penting demi pembangunan jangka panjang bola sepak negara,'' katanya.

Sebelum ini, cadangan Ahmad Shabery supaya pemain skuad bola sepak Bawah 23 tidak mewakli pasukan negeri atau kelab sukar, didakwa sukar untuk dilaksanakan.

Ia disebabkan faktor kewangan yang dihadapi oleh FAM serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan tersebut dilaksanakan.

Ahmad Shabery berkata, beliau menyedari kekangan yang akan dihadapi oleh FAM dalam memenuhi komitmen itu, kerana kebanyakan pemain terikat dengan kontrak bersama pasukan negeri masing-masing, di samping masalah kewangan untuk menghantar pemain ke luar negara.

''Saya akan berbincang dengan FAM serta pasukan negeri yang terlibat untuk melepaskan pemain mereka sepanjang tempoh pemain yang terpilih untuk ke luar negara, juga membantu daripada segi kewangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai skuad Bawah 23 negara selepas mengadakan perbincangan dengan FAM mengenai hala tuju bola sepak negara di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Setiuasaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Ditanya jika ada pasukan negeri enggan melepaskan pemain mereka kepada skuad kebangsaan, Shabery menegaskan, mereka tiada pilihan lain, selain mengutamakan kepentingan negara.

''Namun, ruang untuk perbincangan tentang masalah itu tetap ada, kita bersedia berunding dalam memenuhi tuntutan mereka terutamanya pembabitan kontrak,'' jelasnya.

Beliau optimis sambutan orang ramai terhadap Liga Super 2010 tidak terjejas teruk hanya kerana tiada penyertaan beberapa pemain kebangsaan dalam skuad negeri.

''Kita hanya mengambil dalam satu atau dua sahaja pemain, paling maksimum mungkin empat pemain dari satu pasukan, saya tidak fikir ia akan memberi kesan teruk kepada semua pasukan negeri,'' katanya.

Selain itu, Shabery juga berkata merancang mewujudkan program pendedahan kepada jurulatih untuk ke luar negara pada masa akan datang.

''Kita tidak mahu sekadar jurulatih kita hanya tahu sekadar melatih, namun turut dibimbing dengan ilmu membaca serta menganalisis permainan bola sepak,'' katanya.

Jurulatih berbelah bagi skuad bola ke luar negara

Cadangan membawa skuad bola sepak Bawah 23 tahun menyertai liga bola sepak di Eropah mendapat sokongan jurulatih pasukan bola sepak negeri, walaupun meramalkan ia bakal merencatkan kehangatan saingan bola sepak tempatan.

Mereka berkata, pendedahan saingan bola sepak peringkat tinggi dalam liga Eropah akan memantapkan lagi skuad yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini.

Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, cadangan tersebut kena pada masanya kerana reputasi liga bola sepak England yang begitu tinggi.

Bagaimanapun, Devan meminta keputusan itu dikaji sebaik mungkin oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandangkan Liga Malaysia 2010 bakal memulakan persaingan Sabtu ini.

''Sepatutnya persiapan bagi perancangan itu dilakukan lebih awal kerana ia akan memudahkan skuad negeri yang kini terjejas untuk mencari pemain pengganti yang sesuai.

''Tambahan pula jika ia dilakukan sekarang, kami di Selangor tidak boleh lagi mengambil mana-mana pemain kerana tarikh pendaftaran pemain bagi setiap pasukan sudah ditutup,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Devan, Selangor bakal terjejas teruk kerana kehilangan enam pemain sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

Beliau juga menambah, mutu permainan Liga Malaysia boleh menurun secara tidak langsung di samping menghilangkan rasa minat penonton untuk hadir ke stadium.

Sementara itu, jurulatih Perlis, Mohd. Nidzam Adzha Yusof berkata, dia menyifatkan langkah menghantar skuad negara ke luar negara tidak kena pada masanya.

''Cadangan itu terlalu drastik kerana ia ternyata boleh menjejaskan rentak pasukan negeri yang dianggotai ramai pemain Bawah 23 tahun negara.

''Seperti Perlis, kami telah melakukan persiapan yang cukup rapi bagi menghadapi Liga Super Sabtu ini bersama-sama empat pemain negara yang berada di dalam pasukan," katanya.

Monday, January 4, 2010

FAM anggap sudah terlambat


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menyifatkan cadangan mengekalkan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos sebagai sudah terlambat.

Namun Redzuan berkata, FAM masih mempunyai dua pasukan iaitu Harimau Muda A (bawah 21 tahun) dan B (bawah 19 tahun) untuk merealisasikan cadangan itu.

"Kedua-dua pasukan ini berada di bawah pengurusan penuh FAM yang boleh kita pupuk mulai sekarang dengan latihan yang sistematik, pendedahan di peringkat antarabangsa dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Selain itu, Redzuan berkata, beberapa pemain dalam skuad B-23 negara juga merupakan pemain-pemain skuad Harimau Muda A di bawah bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah.

Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mencadangkan pemain-pemain skuad B-23 negara tidak dilepaskan untuk bermain dengan pasukan negeri atau kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

Sebaliknya, Shabery mahukan anak-anak buah K. Rajagobal itu dikekalkan sebagai pemain kebangsaan.

Redzuan turut meminta persatuan negeri dan kelab agar menghasilkan pemain-pemain berkualiti bagi meningkatkan lagi tahap sedia ada bola sepak tempatan.

"Berdasarkan analisa yang kita buat sebelum ini, apabila pemain-pemain kebangsaan kembali ke pasukan negeri atau kelab tahap kecergasan mereka akan jatuh.

"Walaupun ia (kecergasan) sudah cukup bagus untuk memenangi kejohanan di peringkat domestik namun ia tidak mencukupi untuk perlawanan antarabangsa," katanya.

Terdahulu, Redzuan bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz menyampaikan ganjaran kepada barisan pemain serta pemain skuad bola sepak negara yang meraih pingat emas di Laos bulan lepas.

Seramai 20 pemain dan lapan pegawai termasuk Rajagobal menerima ganjaran wang tunai yang berjumlah antara RM24,000 hingga RM31,000.

Skuad kendalian Rajagobal itu berjaya menamatkan penantian 20 tahun apabila memenangi pingat emas Sukan SEA selepas menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir.

Leeds singkir United


uara 11 kali, Manchester United tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas mengejut 0-1 kepada kelab Divisyen 3, Leeds United pada perlawanan pusingan ketiga yang berlangsung di Old Trafford, semalam.

Kekalahan paling memalukan United dalam pertandingan tertua di dunia dalam tempoh 26 tahun itu apatah lagi di depan penyokong sendiri menjadikan mereka satu-satunya kelab gergasi Liga Perdana England yang tersingkir paling awal.

Kelmarin Liverpool hampir menerima nasib sama ketika menentang Reading tetapi mujur Steven Gerrard menyelamatkan keadaan dengan gol penyamaan.

Seperti Liverpool, United juga cuba bangkit selepas ketinggalan menerusi jaringan Jermaine Beckford pada minit ke-19 permainan.

Beckford menyambut hantaran jauh rakan sepasukan, Johnny Howson terus ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan dua pemain United termasuk penjaga gol Tomas Kuszczak.

Namun skuad bimbingan Alex Ferguson yang hanya menurunkan ramai pemain simpanan mendapati benteng Leeds begitu ampuh bertahan selepas itu.

Kali terakhir United tewas di tangan kelab liga bawahan dalam saingan Piala FA ini ialah kepada Bournemouth pada 1984.

Ia juga merupakan kekalahan dan sejarah hitam pertama buat Ferguson selaku pengurus sejak memegang jawatan itu pada 1986.

Gagal lahirkan pemain berbakat

PETALING JAYA - Persatuan negeri dan kelab dicabar supaya mencungkil bakat baru yang boleh diketengahkan ke skuad negara berbanding hanya mengambil jalan mudah dengan terus mendapatkan khidmat pemain terkenal yang telah dilatih oleh badan induk bola sepak negara itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, FAM tidak mahu dipandang bersifat 'pilih kasih' kepada pihak tertentu dalam melatih dan mengasuh pemain negara.

Sebaliknya, kata beliau, persatuan negeri memerlukan prinsip saling menyumbang kerana pada akhirnya, skuad kebangsaan akan terus berjaya serta kualiti pemainnya semakin tinggi apabila bersaing di arena antarabangsa.

Tegas Redzuan, selama ini persatuan negeri dan kelab hanya tahu mengambil 'bulat-bulat' pemain kebangsaan didikan FAM, sedangkan banyak peruntukan kewangan tahunan yang telah disalurkan bagi pembangunan bola sepak peringkat negeri tetapi masih gagal menampilkan bakat baru.

"Dahulu kami di FAM penat-penat melatih pemain, ada negeri yang secara mudah mahu balik khidmat mereka.

''Di mana pemain yang betul-betul persatuan negeri cungkil dan lahirkan untuk dipilih mewakili negara?

''Ini bermakna tidak berlaku proses timbal balik, jadi lama kelamaan, liga kita masih di takuk lama dan skuad kebangsaan terus gagal.

"Ada juga pemain didikan FAM yang apabila kembali ke negeri atau kelab asal, merosot tahap kecergasan mereka sehingga cuma sekitar 60 peratus untuk dibawa bermain ke peringkat antarabangsa.

''Kali ini saya cabar persatuan negeri dan kelab supaya latih dan cungkil pemain yang lebih baik daripada skuad Sukan SEA XXV untuk dipanggil ke skuad negara," katanya.

Beliau menghadiri majlis penghargaan skuad Bawah 23 negara yang menjuarai acara bola sepak Sukan SEA XXV di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong; Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Mengenai anak buah K. Rajagobal yang mengakhiri kemarau emas 20 tahun pada temasya dwi-tahunan, kata Redzuan, faktor utama pencapaian itu ialah hasil perancangan FAM sejak kejohanan peringkat belia di Palembang, Indonesia pada 2004.

Skuad emas itu juga mendapat pendedahan peringkat antarabangsa di China, Slovakia, Brazil, Australia dan Vietnam.

Sementara itu, mengenai cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya mengekalkan skuad juara Sukan SEA itu dan melarang mereka daripada kembali bermain dengan pasukan negeri atau kelab asal masing-masing, Redzuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM bagaimanapun menganggapnya sebagai sudah terlewat.

"Mengekalkan pemain di bawah naungan FAM sudah pun diterapkan pada dua lagi pasukan, Harimau Muda A (bawah 21 tahun yang dilatih Azraai Khor Abdullah) dan Harimau Muda B (bawah 18 tahun dilatih Ong Kim Swee). ''Pasukan A akan dihantar bermain sebuah liga luar negara (sedang dirunding dengan Singapura, Slovakia dan Turki), manakala B bermain dalam Liga Perdana.

"Mereka juga akan menjadi pengumpan ke skuad senior kebangsaan dalam beberapa tahun lagi," katanya.

Katanya, beliau menyedari harapan pelbagai pihak semakin tinggi apabila menghadapi misi antarabangsa yang lebih besar selepas ini seperti Sukan Asia (November) dan Piala Suzuki AFF (Disember), serta Kelayakan Olimpik pada 2011, malah untuk mempertahankan emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Sunday, January 3, 2010

Separuh akhir diramal sengit


SAINGAN separuh akhir Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2009 yang akan berlangsung hari ini pasti menghidangkan aksi menarik berdasarkan kehebatan empat pasukan yang layak bagi kategori lelaki dan wanita.

Bagi kategori lelaki, juara bertahan, KL Figos RSA FC mempamerkan kegarangan mereka apabila membelasah Pulau Pinang 3-0 pada perlawanan terakhir semalam untuk muncul juara Kumpulan P.

Kelmarin, mereka mudah membenam ATM 6-1 dan menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur.

Pada aksi separuh akhir hari ini, KL Figos RSA FC akan bertemu naib juara Kumpulan Q, Pahang yang tewas 2-3 kepada T-Team pada aksi terakhir mereka semalam.

Selaku juara Kumpulan Q, T-Team yang sebelum ini menewaskan KWSP 4-3 dan Felda United 3-2, akan bertemu Pulau Pinang yang muncul naib juara Kumpulan P pada satu lagi aksi separuh akhir.

"Memang KL Figos RSA FC kali ini lebih mantap berbanding musim lalu. Tetapi pada saingan kalah mati (separuh akhir), apa pun boleh berlaku dan kita sedar Pahang juga sudah meningkat," kata jurulatih KL Figos RSA FC, Chiew Chun Yong.

Sementara itu, bagi kategori wanita, juara bertahan, PDRM mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan P setelah tewas 2-4 kepada Selangor pada perlawanan terakhir semalam.

Naib juara musim lalu, Kuala Lumpur turut melangkah ke separuh akhir selaku naib juara di belakang KL Figos RSA FC apabila kekurangan perbezaan gol biarpun kedua- dua pasukan terikat 1-1 pada aksi terakhir Kumpulan Q semalam.

Pada separuh akhir hari ini, Selangor akan bertemu Kuala Lumpur manakala KL Figos RSA FC bertemu PDRM.

"Kejayaan Selangor menewaskan juara bertahan, PDRM menjadikan para pemain lebih bersemangat untuk menewaskan Kuala Lumpur pada separuh akhir dan seterusnya ke final buat kali pertama," kata koordinator pasukan Selangor, Raja Restam Azhar Raja Jaafar.

‘Mustahil kekalkan skuad B 23’


Cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk ‘menghalang’ pemain skuad bola sepak Bawah 23 negara yang memenangi emas di Sukan SEA Laos untuk tidak bermain dengan pasukan negeri atau kelab sukar untuk dilaksanakan.

Ia disebabkan faktor kewangan yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan tersebut hendak dilaksanakan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, masalah kewangan adalah perkara utama yang bakal membantutkan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk melihat pemain skuad emas itu tidak mewakili mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

Katanya, kos beraksi di luar negara adalah tinggi dan FAM juga perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada mana-mana negara yang ingin membenarkan skuad tersebut beraksi dalam liga mereka.

Selain itu katanya, ia juga bakal menimbulkan masalah teknikal apabila melibatkan kontrak pemain dengan pasukan mereka ketika ini dan perkara tersebut perlu mendapat kelulusan daripada ahli gabungan FAM.

“FAM menyambut baik cadangan Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya pemain skuad Bawah 23 negara tidak bermain dengan mana-mana persatuan negeri atau kelab.

“Ia jelas menunjukkan KBS mahu memberi perhatian serius kepada sukan bola sepak negara dan melihat sukan kesayangan rakyat negara ini terus maju di peringkat antarabangsa.

“Namun, cadangan tersebut bakal menimbulkan beberapa isu teknikal yang perlu diatasi oleh FAM dan ahli gabungan, terutama dari segi kontrak, gaji, kebajikan pemain dan jurulatih.

“Faktor kewangan FAM juga perlu diambil kira kerana ia bakal melibatkan dana yang besar untuk membawa skuad emas ini beraksi di luar negara.

“FAM kini menanggung tiga buah pasukan secara langsung iaitu skuad Bawah 23, Harimau Muda A dan Harimau Muda B.

“Oleh yang demikian, bagi menjayakan hasrat Menteri Belia dan Sukan, FAM perlu mendapat sokongan penuh daripada KBS serta ahli gabungan FAM,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis makan tengahari bagi meraikan kejayaan skuad bimbingan K. Rajagobal di Restoran Salero Negori, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Azzuddin berkata, hanya beberapa pemain skuad Bawah 23 yang di bawah kontrak FAM, manakala selebihnya terikat dengan persatuan negeri dan kelab.

Katanya, perkara tersebut menyentuh polisi peraturan perlembagaan FAM dan ia perlu mendapat persetujuan daripada ahli gabungan.

Sehubungan itu katanya, dia tidak boleh memberi kata putus berhubung cadangan Menteri Belia dan Sukan tersebut, sebaliknya akan mengemukakan cadangan dinamik tersebut kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan kemudiannya dibawa ke mesyuarat Exco.

Katanya, FAM perlu mendengar pendirian ahli gabungan berhubung perkara tersebut dan badan pengurusan bola sepak negara itu juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak tersebut.

Ancelotti tetap optimis


Bos Chelsea, Carlo Ancelotti tidak mengendahkan ketiadaan Didier Drogba, John Mikel Obi, Michael Essien dan Salomon Kalou yang menyertai kejohanan Piala Negara Afrika sambil mendakwa kejohanan tersebut diadakan kena pada masanya.

Pendahulu Liga Perdana England itu berdepan Watford pada pusingan ketiga Piala FA hari ini, sebelum perlawanan liga menentang Hull, Sunderland, Birmingham dan Burnley di sepanjang Januari ketika kejohanan negara Afrika itu berlangsung di Angola.

Walaupun kejohanan Negara Afrika berlangsung selama tiga minggu, Ancelotti berkata, dia tidak akan menolak untuk mengambil pemain baru dari Afrika pada masa akan datang.

Katanya: “Saya rasa apabila pemain beraksi untuk pasukan kebangsaan, ia bukan masalah. Ia sama seperti para pemain di Eropah.

“Setiap pemain boleh beraksi untuk pasukan kebangsaan mereka. Ia bukan masalah bagi pemain Afrika.

‘‘Ia merupakan peluang terbaik untuk pemain muda membuktikan kualiti mereka. Saya harap mereka akan melaksanakan tugas dengan baik kerana saya percayakan para pemain ini,’’ katanya.

Apa yang pasti, Ancelotti akan merasai pengalaman pertama cabaran saingan Piala FA esok, dan pengurus dari Itali itu sudah bersiap sedia untuk merasai satu perlawanan yang berbeza di England berbanding di Itali.

Di Itali, kejohanan kalah mati tidak dipedulikan termasuk kelab AC Milan dan Juventus, yang pernah dibimbing oleh Ancelotti.

Ramai yang percaya, Piala FA tiada lagi tempat di hati peminat bola sepak England, namun Ancelotti sedar trofi Piala FA masih kekal sebagai satu trofi yang berbaloi dan ini dibuktikan oleh Chelsea musim lalu apabila bangkit dari ketinggalan mengalahkan Everton pada perlawanan akhir.

“Ia pertandingan yang sangat penting di England. Di Itali, Piala Itali tidaklah begitu penting.

“Kami mahu melakukan yang terbaik dan ia merupakan salah satu objektif kami, sasaran kami. Tahun lalu, kami memenanginya. Kami mahu melakukan yang terbaik tahun ini,’’ katanya.

Ancelotti sudah pasti akan mengambil pengajaran yang pernah dialami oleh Chelsea pada tahun lalu ketika dibimbing Luis Felipe Scolari apabila nyaris terkeluar daripada pertandingan Piala FA.

Chelsea dipaksa seri ketika beraksi di tempat sendiri oleh Southend United, yang hanya beraksi di Divisyen Tiga dan walaupun berjaya memenangi perlawanan ulangan, pengurus dari Brazil itu dipecat sebulan selepas itu.

Ancelotti juga tidak mahu terperangkap dengan jadual perlawanan liga kerana mereka akan berhadapan dengan lawan mudah, tambahan pula mereka masih kekal sebagai pendahulu liga memasuki tahun baru.

‘‘Saya mahu meletakkan pasukan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang dihadapi, walaupun kehilangan beberapa tonggak penting seperti Didier Drogba, Salomon Kalou, John Obi Mikel dan Michael Essien yang beraksi pada kejohanan Piala Negara Afrika,’’ katanya.