Tuesday, December 1, 2009

Isu Kafa: 'Bersemuka terus lebih baik'


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang mengeluh soal kewangan bagi meloloskan peluangnya beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan perlu bersemuka terus dengan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Abd. Fatah Mahmood membayangkan pendekatan bersemuka mungkin sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan kemelut yang ditanggung Kafa.

Katanya, membuat kenyataan melalui media sebagaimana yang dilakukan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa bukan langkah yang terbaik.

Menurut beliau sehingga ke hari ini, beliau atas portfolio yang diterajuinya tidak tahu menahu mengenai surat jaminan kerajaan negeri yang diperlukan oleh KAFA.

''Saya tidak pernah menerima apa-apa surat berkaitan kecuali mendapat tahu melalui surat khabar. Mungkin Presiden Kafa menyerahkan kepada Menteri Besar dan belum diminitkan kepada saya, kita tengoklah macam mana nanti," katanya.

Semalam media melaporkan Annuar terpaksa menawarkan dirinya sendiri untuk menyelesaikan masalah jika gagal mendapat surat jaminan daripada kerajaan negeri yang dipohon awal bulan lepas.

Ia sebagai alternatif terakhir memenuhi syarat setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai peruntukan RM2.5 juta dalam kantung persatuan.

''Saya tidak mahu komen, Annuar mahu menjadi penjamin untuk menyelesaikan tuntutan FAM tetapi isunya, kita mendapat tahu masalah tersebut daripada surat khabar tanpa ada surat permohonan atau perbincangan. Tiba-tiba keluar di akhbar seolah-olah mendesak sedangkan kita tidak tahu hujung pangkal.

''Kita hanya baca melalui surat khabar, Kafa banyak hutang, jadi langkah sebaiknya datang dan bincang daripada hati ke hati dan cara anak-beranak sama ada berbincang dengan saya atau Tok Guru dan dengar apa komennya dahulu," katanya.

Fatah berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bertolak ansur dengan Kafa, misalnya baru-baru ini, pihaknya telah menangguhkan pertandingan bola sepak Piala Tok Guru kerana perlawanannya bertindih dengan jadual Liga Malaysia.

"Saya tidak masalah untuk berkompromi, selepas mendapat permohonan mengenainya, saya hantar surat dan terus menangguhkan Piala Tok Guru untuk memberi laluan kepada Piala Malaysia. Apa-apa pun mesti ada perbincangan terlebih dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment