Sunday, November 29, 2009

The Professor kembali bimbing Jengking


JOHOR BAHARU - Nasir Yusof kembali diberi tanggungjawab menjadi jurulatih skuad bola sepak Johor selepas diarahkan bercuti oleh majikannya Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ).

Bekas pemain kebangsaan yang digelar sebagai The Professor itu dipilih semula, selepas perletakan jawatan Presiden PBNJ, Ahmad Mohammad bulan lepas bersama dua pegawai kanan persatuan itu, di samping tempoh masa untuk persatuan membuat persiapan menjelang sepak mula Liga Malaysia 2010 yang akan bermula lebih kurang dua bulan sahaja lagi.

Exco Sukan Johor, Jais Sarday yang diberikan tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan kemelut PBNJ memilih Nasir untuk mencongak cabaran pasukan Johor musim baru 2010.

"Nasir, nama pertama di dalam senarai saya untuk menjadi jurulatih pasukan Johor. Kami mempunyai kira-kira dua bulan sebelum musim baru (Liga Malaysia) membuka tirai dan kita memerlukan seorang jurulatih untuk memilih pemain dan membimbing pasukan," katanya.

Nasir yang membimbing pasukan Johor musim 2009 dalam saingan Liga Perdana membawa pasukan itu melakar kejayaan sehingga dinaikkan ke saingan Liga Super musim depan sebelum diarahkan oleh pihak pengurusan PBNJ bercuti, tiga hari sebelum sepak mula kempen Piala Malaysia musim ini.

Tidak ada sebarang alasan diberikan oleh PBNJ mengapa Nasir diarahkan bercuti namun ada dakwaan yang mengatakan terdapatnya sebilangan pegawai pasukan itu yang kurang senang dengan cara Nasir yang membawa orang luar untuk membantu persiapan pasukan itu.

"Perkara itu sudah berlalu, Nasir seorang jurulatih yang bagus dan saya percaya beliau boleh melakukan yang terbaik untuk pasukan. Saya telah bercakap sendiri dengan Nasir dan beliau sanggup memikul tanggungjawab itu kembali," katanya.

Jais berkata agenda seterusnya yang harus beliau selesaikan ialah membentuk semula barisan kepimpinan dan pengurusan PBNJ selepas Presidennya dan dua pegawai kanan persatuan yang meletakkan jawatan bulan lepas.

"Untuk mengisi jawatan Presiden dan jawatan lain yang dikosongkan sebelum ini, kita perlu memanggil mesyuarat luar biasa persatuan dan kita kini dalam proses untuk mengadakannya," katanya.

Menurutnya terdapat beberapa nama yang telah dicadangkan kepada beliau sebagai calon untuk mengisi jawatan presiden persatuan itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment