Wednesday, December 2, 2009

'Jangan pandang rendah lawan'

KUALA LUMPUR - Acara bola sepak membuka tirai temasya sukan dwi-tahunan Sukan SEA ke-25 Laos apabila pasukan negara beraksi menentang Timor Leste hari ini dengan skuad bimbingan K. Rajagobal turun dengan misi 'wajib menang'.

Keputusan perlawanan Kumpulan A di Stadium Nasional di Vientiane yang dijadual bermula pada pukul 3 petang waktu Malaysia, bakal menjadi penentu sejauh mana skuad negara mampu mara setelah diundi dalam kumpulan maut bersama Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Skuad kebangsaan tiada pilihan selain daripada memungut tiga mata penuh ke atas Timor Leste.

Ini kerana tiga mata dari perlawanan hari ini akan mencerahkan peluang Malaysia memburu sasaran ke separuh akhir.

Rajagobal berkata, menumbangkan Timor Leste, di ranking ke-200 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) perlu dilaksanakan dan tiada alasan jika gagal melaksanakannya.

''Di atas kertas, memang kita pasukan pilihan. Dan kita harus sedar Malaysia masih dianggap sebagai antara pasukan terbaik di rantau ini.

''Ia mengiringi Timor Leste apabila menentang kita untuk mereka beraksi bermati-matian.

''Untuk itu, pemain perlu lebih serius serta tidak memandang rendah terhadap keupayaan lawan,'' katanya.

Skuad bawah 23 negara berlepas ke Laos menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi semalam setelah penerbangan kelmarin ditunda kerana tidak mendapat kelulusan mendarat awal daripada Laos.

Tanpa perlu terlalu memikirkan soal kelewatan tiba di Laos, para pemain harus segera mengetepikan masalah penerbangan yang tertunda dengan memberi fokus sepenuhnya apabila menentang Timor Leste.

Para pemain perlu mengelak daripada menerima kejutan kerana kekuatan dan keupayaan Timor Leste boleh disifatkan 'misteri'.

Malah Rajagobal sendiri tidak mengetahui kemampuan sebenar pasukan bola sepak Timor Leste.

Kayu ukur kekuatan Timor Leste hanya disaksikan oleh Rajagobal dua tahun lalu pada kejohanan Bawah 19 Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) di Palembang .

"Walaupun mereka kalah, tetapi mereka begitu sukar ditundukkan oleh pasukan handal seperti Singapura.

"Saya rasa Timor Leste ada kelebihan tersendiri,'' katanya.

Di atas padang, Rajagobal sudah mendapat 'skuad impian' 20 pemain yang bakal menggapai misi ke separuh akhir.

Syed Adney Syed Hussein terpaksa memberi laluan kepada Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias di posisi penjaga gol.

Aidil Zafuan Radzak bakal memikul tugas sebagai ketua pasukan di Laos. Dia merupakan antara enam pemain daripada skuad Sukan SEA Korat 2007 yang gagal meraih pingat selain adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak di samping Farizal, Amirulhadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha dan Safiq Rahim.

No comments:

Post a Comment