Sunday, November 29, 2009

PAFA masih berhutang

CEK berjumlah RM272,000 yang diserahkan Exco Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Perak, Zainol Fadzi Paharudin kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad kelmarin sebenarnya hanya untuk tunggakan gaji lima pemain dan seorang jurulatih.

Demikian jelas salah seorang bekas pemain Perak, Hamsani Ahmad yang kini merupakan penjaga gol skuad Liga Super Selangor.

Menurut Hamsani, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sepatutnya tidak dibenarkan untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2010 kerana mereka sebenarnya masih berhutang dengan beberapa pemain Perak yang lain untuk musim 2008 itu.

"Sebenarnya RM272,000 itu hanyalah untuk bayar tunggakan gaji kepada Steve Darby (bekas jurulatih Perak), Hardi Jaafar, S. Subramaniam serta tiga pemain import, Carlos Caceres, Mario Esteban dan Jorge Munoz.

"Ini kerana, mereka ini membuat aduan terus kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi bantuan Darby.

"Kami pemain-pemain yang lain turut juga menulis surat aduan tetapi hanya kepada FAM.

"Jadi saya berasa kecewa kerana jika PAFA dibenar beraksi untuk liga musim depan, sudah pasti sampai bila-bila PAFA tidak akan bayar tunggakan gaji kami itu," kata Hamsani kepada Kosmo! semalam.

Jelas Hamsani, baki kira-kira 20 pemain yang beraksi untuk Perak pada musim 2008 itu masih belum menerima tunggakan gaji mereka selama empat bulan.

FAM telah menetapkan syarat supaya segala hutang termasuk tunggakan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu diselesaikan pasukan yang berkenaan sebelum 12 tengah hari Isnin ini.

No comments:

Post a Comment