Tuesday, December 1, 2009

Bangkok medan Kijang atur langkah 2010


BIARPUN: Liga Super 2010 belum bermula, skuad bola sepak Kelantan mengambil langkah awal dengan mengatur persiapan sebaik mungkin bagi meneruskan kecemerlangan musim lalu.

Skuad bimbingan B Sathianathan bakal berangkat ke Bangkok minggu depan bagi menjalani latihan serta perlawanan persahabatan dengan kelab di sana.

Musim ini, Kijang berbangga dengan kejayaan ke final Piala FA dan Piala Malaysia sebelum tunduk kepada Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengurus skuad Kijang, Azman Ibrahim berkata, dengan barisan pemain musim baru ini, pihaknya berpuas hati dan yakin akan kembali lebih cemerlang musim depan. :

"Kami akan berada di Bangkok pada 8 hingga 18 Disember ini bagi menjalani latihan dan turut mengadakan perlawanan di kelab-kelab di sana. Ini bertujuan memberi pendedahan kepada pemain sebelum musim baru Liga Super bermula," katanya ketika dihubungi: Sinar Harian :semalam.

Mengenai muka-muka baru yang membarisi skuad Kelantan musim depan, Azman berkata, dia sangat berpuas hati dan berharap mereka mampu mengulangi kejayaan Kelantan apabila layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan FA walaupun pertama kali beraksi di Liga Super.

"Berdasarkan prestasi musim lalu, ada beberapa bahagian yang perlu dirombak dan saya yakin dengan gabungan pemain yang sedia bersama pemain baru, Kelantan mampu menjulang piala yang gagal dilaksanakan sebelum ini," katanya.

Azman berkata, pihaknya mengambil langkah awal mengadakan sesi latihan dan perlawanan persahabatan awal kerana dia yakin semua pasukan yang bakal beraksi musim depan turut membuat persiapan rapi.

"Bukan pasukan Kelantan sahaja yang teruja mengadakan persiapan awal kerana pasukan lain juga turut mempunyai misi tersendiri sebelum pembukaan perlawanan musim baru nanti," katanya.

Antara nama-nama besar yang turut dipanggil menyarung jersi Kelantan ialah Nurshahrul Idlan Talaha, Syed Adney Syed Hussein, S Subramaniam, S Chanturu, Azizi Mat Rose, Shakir Shaari dan Akmal Rizal Rakhli.

No comments:

Post a Comment