Saturday, May 15, 2010

Kijang @ Penyu Menangis?


Kelantan telah pun mengesan segala kegoyahan dan kelemahan barisan pertahan sejak dikejutkan Pahang, namun bagi jurulatih B. Sathianathan kemenangan keatas Johor 4-1 tidak akan dijadikan penanda aras kebangkitan Kelantan kerana situasinya akan berbeza ketika pertarungan dengan Terengganu nanti. Barisan pemain utama pada perlawanan Johor akan dikekalkan dan berharap Che Hishamudin dapat diturunkan. Kelincahan Mohd Badhri @ Piya, Indra dan Norshahrul sudah pasti akan ditambat oleh barisan pertahanan Terengganu, kepakaran Akmal dan Hairuddin dalam mengatur jaringan gol amat ditagih oleh semua peminat. Ramai penyokong kecewa dengan peningkatan mendadak kadar bolos gol sejak 3 perlawanan lepas sudah 5 gol dibolosi berbanding 4 gol bolos untuk 13 perlawanan. Ini menampakkan kemerosotan skuad pertahanan Kelantan yang amat ketara, sudah pasti tugasan berat bakal menanti Azizi, Daudsu dan Subra memastikan barisan pertahanan kental dengan asakan Terengganu pada malam esok. Penyokong juga berterima kasih dan mengucapkan tahniah diatas pemilihan Khairul Fahmi Che Mat selaku antara 3 penjaga gol negara yang akan diterbangkan ke Turki 10-20 Jun nanti, ternyata kehebatan Khairul Fahmi mula dihidu sejak ketangkasannya dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan.

Kerancakan perlawanan malam esok sudah mula dirasai apabila telah ramai para penyokong mengintai kaunter tiket stadium pada hari ini ,setelah melihat kawasan luar stadium dipenuhi ramai peminat motor berkuasa tinggi yang disangkakan penyokong sedang menunggu kaunter tiket dibuka. Situasi kemeriahan dan kefanatikan tidak dapat dirasai dimana-mana stadium di Malaysia namun di Kelantan ianya telah menjadi satu kebiasaan dan kemestian bagi penyokong setia menunjukan kesetiaan dan semangat mereka kepada skuad kesayangan The Red Warriors. Konti media RTM baru sahaja menghubungi TRWC mengesahkan perlawanan pada malam esok akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV1. Para penyokong yang tidak berkesempatan balik bolehlah menyaksikan dan memeriahkan perlawanan ini bersama penyokong yang lain dengan pergi ke lokasi-lokasi yang dijemput oleh kelab-kelab penyokong.

TRW FM juga akan menyiarkan secara langsung bagi peminat di luar negara melalui frenkuensi radio internetnya. Diharap semua peminat dapat memenuhi stadium lebih awal dan memakai pakaian kostum yang menarik bagi memastikan diri anda akan menjadi fokus tarikan kepada juru foto yang sudah pasti akan berlumba-lumba mengambil gambar sempena pertandingan Fotografi KAFA-TRWC 2010 yang sedang berlangsung. Kepada jurufoto diharap tidak melanggar batas sempadan yang ditetapkan pihak stadium tanpa pas media yang dibenarkan. Sama-sama kita doakan kemenangan kepada skuad kita pada malam esok dan memastikan Terengganu terus menangis dibumi kita. Penyokong Kelantan diminta mengelakkan sebarang provokasi, elakkan membawa mercun dan senjata yang berbahaya kerana Pihak KAFA telah berkerjasama dengan pihak keselamatan untuk menjamin keselamatan semua penyokong Kelantan dan Terengganu yang hadir. AYUH KITA PERGI KE STADIUM MEMBERI SORAKAN PADU GOMO KELATE GOMO KEPADA SKUAD THE RED WARRIORS.....KITA AKAN CAPAI PERSADA LIGA...

Sunday, May 9, 2010

Momentum Kemenangan Kelantan Berjaya Disekat Pahang


Ternyata Pahang begitu hebat di gelanggang sendiri dan berjaya memanfaatkan peluang yang diberikan dek kerana kealpaan barisan pertahanan Kelantan yang pada mulanya dilihat sudah selesa dengan jaringan Norfarhan seawal minit ke 6. Namun jaringan awal Kelantan ini tidak berjaya melemahkan semangat juang Pahang untuk terus memburu kemenangan di separuh masa pertama melalui jaringan Azamuddin di minit ke 34 dan Hasmizan di minit ke 37 dan 46. Melihat prestasi semasa The Red Warriors amat baik, cuma taktikal yang dirancang berjaya dihidu lawan sehingga membataskan pergerakan Norshahrul dan penyerang lain. Banyak kesilapan dan kecuaian dikesan dibarisan pertahanan menyebabkan Pahang dengan mudah memanfaatkan peluang jaringan 3 gol. Aksi-aksi kehebatan Pahang ini juga dibantu pengadil yang dilihat terlalu memihak kepada Pahang dan beberapa siri lakonan "sakit Hamstring" pemain Pahang yang berjaya membantut kerancakan aksi pemain The Red Warriors.

Terima kasih dan tahniah buat ketua jurulatih "Abe Ya" yang secara pantas mengubah taktikal kepada 4-3-3 pada 10 minit terakhir dan berjaya membuahkan hasil drastik yang luar biasa, yang mana situasi seperti ini hanya biasa dilihat dalam liga-liga eropah. Tahniah kepada peminat sungguhpun suasana berada dalam keadaan nyaris tewas, para penyokong masih lagi bersemangat merangsang semangat para pemain sehinggakan S Chanturu yang berjaya menjaringkan gol kedua dengan spontan dan pantas membawa lari bola yang berada digawang bagi memanfaatkan masa dan mempercepatkan aksi. Salah seorang peminat yang menyaksikan aksi ini melelehkan airmata kerana terharu dengan semangat juang S Chanturu.

Ramai pemerhati kagum dengan persembahan dan semangat juang para pemain, namun khuatir dengan prestasi ini. Pihak Pengurusan dengan nada serius akan menyaksikan ulang tayang perlawanan dan akan mengkaji kelemahan perlawanan ini sungguhpun Pahang bermain dengan baik. Diharap para peminat yang menyaksikan perlawanan ini dapat berkongsikan kelemahan yang dilihat dan meluahkannya di Facebook The Red Warriors.

Gelagat penyokong yang terlalu teruja meraikan keputusan ini menjadi bualan hangat peserta konvoi apabila ada dikalangan penyokong menukar bendera Pahang di tiang stadium dengan bendera Kelantan dan bersorak beramai-ramai seolah-olah meraikan kemenangan Piala Malaysia. Mungkin detik-detik cemas dan ceria seperti akan menjadi pengalaman yang berharga dalam mengharungi pusing kedua pertama TM Liga Super 2010.