Thursday, November 19, 2009

Tindakan KAFA waJaR

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

KELAB Penyokong Bola Sepak Kelantan bersetuju dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk tidak mahu mengemukakan rayuan terhadap denda RM50,000 yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 7 November lalu.

Setiausahanya, Harun Ali berkata, keputusan yang dibuat Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa adalah wajar bagi mengelakkan dilabel sebagai pasukan yang sentiasa meraih simpati.

Sebaliknya menurut beliau, tindakan FAM itu seakan-akan mahu membunuh masa depan bola sepak Kelantan.

Jelasnya, FAM perlu sedar, sebahagian sumber pendapatan musim ini datang daripada peminat bola sepak Kelantan kerana mereka sentiasa membanjiri stadium menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan mereka.

"Kelab penyokong sentiasa berdiri di belakang Presiden KAFA dalam menghadapi apa jua situasi termasuk mencari dana melalui tabung derma 'RM1, Satu KAFA' bagi melunaskan denda yang dikenakan FAM," katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Annuar memutuskan untuk tidak merayu terhadap denda RM50,000 yang dikenakan FAM berhubung insiden pada perlawanan 7 November lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Bola Sepak Siber Kelantan (Kelate.Net), Nik Mohd. Sallehuddin Nik Abdul Razak pula berkata, beliau bersama ahli kelab sentiasa menyokong keputusan yang dibuat oleh Presiden KAFA.

Menurutnya, beliau percaya keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan kali ini berkait rapat dalam usaha Annuar untuk mengembalikan maruah bola sepak Kelantan terutama maruah para penyokong Kelantan.

"Apa yang berlaku di Bukit Jalil secara jelas dan nyata bukan di bawah tanggungjawab KAFA kerana perlawanan tersebut dianjurkan oleh FAM dan FAM menerima keuntungan yang banyak daripada perlawanan tersebut.

"Mereka (FAM) perlu mengakui apa yang berlaku di sana tempoh hari adalah berikutan kelemahan kawalan keselamatan dan mengapa KAFA yang terpaksa menanggung akibatnya," katanya.

Nik Mohd. Sallehuddin menambah, selain sikap segelintir penyokong yang kurang beradab dan, sikap FAM yang kurang profesional menjadikan Annuar tawar hati untuk merayu.

No comments:

Post a Comment