Wednesday, November 18, 2009

KAFA pohon geran RM2 juta


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan memohon permohonan geran sebanyak RM2 juta daripada kerajaan negeri sebagai jaminan untuk pasukan Kelantan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Komitmen bersama kerajaan negeri adalah penting dalam membangunkan sukan yang menjadi perhatian seluruh rakyat ini dengan pencapaian mengejut skuad Kijang musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, geran tersebut akan dijadikan bukti kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meletakkan syarat setiap pasukan perlu mempunyai kekuatan kewangan untuk bersaing.

Justeru katanya, permohonan secara rasmi akan dibuat dan KAFA berharap kerajaan negeri dapat membantu untuk memastikan Kelantan dapat meneruskan kecemerlangan.

“Perkara 2.6 dalam syarat kelayakan yang ditetapkan oleh FAM mewajibkan setiap pasukan bertanding mempunyai surat sokongan daripada kerajaan atau mana-mana penaja sebagai bukti kekuatan kewangan.

“Bagi KAFA, kita memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk menyertai liga musim depan oleh itu kita memerlukan sokongan daripada semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma KAFA di sini, semalam.

Annuar berkata, KAFA akan turut mencari sumber lain yang dapat membantu persatuan dalam apa juga bentuk terutama sekali melalui penajaan.

Ujarnya, kutipan tiket musim depan juga dijangka mampu membantu dengan dianggarkan sejumlah RM2 juta hingga RM2.5 juta mampu dikutip.

“Jumlah ini boleh membantu kewangan pasukan antara 50 ke 60 peratus tetapi ia masih tidak mencukupi kerana jumlah yang diperlukan untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak profesional adalah sangat tinggi.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, Annuar turut mengumumkan enam pemain baru yang berjaya diajak beraksi bersama dengan skuad Kijang musim depan.

Mereka adalah Syed Adney Syed Husin sebagai penjaga gol, S. Subramaniam dan Azizi Mat Rose di bahagian pertahanan; Shakir Shaari (pemain tengah) dan tiga pemain penyerang baru iaitu Nor Sharul Idlan Talaha, Akmal Rizal Rakhli dan S. Chanturu yang beraksi dengan Pulau Pinang musim ini.

Jelas beliau, penambahan ini juga menandakan berakhirnya masa depan bersama Skuad Kijang buat beberapa nama yang menjulang Kelantan musim ini termasuk Mohd. Khalid Jamlus dan Mohd. Halim Napi.

“Kita memerlukan pasukan muda dan bertenaga untuk membawa pasukan dalam saingan musim akan datang oleh itu beberapa pemain lama terpaksa disingkirkan,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment