Wednesday, November 18, 2009

Kafa tidak akan rayu FAM ke atas denda RM50,000

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan merayu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung denda RM50,000 yang dikenakan ekoran tindakan liar segelintir penyokongnya pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 7 November lalu.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan pihaknya tiada pilihan dan akan tetap membayar jumlah yang ditetapkan itu kerana sedar sekali pun rayuan dibuat, 'diskaun' yang kemungkinan diberikan, terlalu sedikit.

"Kafa tiada pilihan dan akan berikhtiar mendapatkan sumber bagi membayar denda berkenaan, walaupun jumlah itu bagi kami sangat berat, apa lagi Kafa berdepan kemelut kewangan kerana tidak mendapat bantuan kerajaan negeri.

"Dalam apa jua keadaan, penyokong Kelantan adalah sebahagian daripada pasukan dan oleh itu kami akan membayarnya," katanya selepas Mesyuarat Majlis Kafa, semalam.

Minggu lalu, Lembaga Disiplin FAM memutuskan Kafa perlu membayar RM50,000 atas tiga pertuduhan ekoran tingkah laku penyokongnya dalam perlawanan akhir itu termasuk kesalahan membaling mercun dan pelbagai objek ke arah padang selain memasuki padang serta merosakkan harta benda stadium.

Sementara itu, Annuar berkata, Kafa akan menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Kelantan bagi memohon peruntukan RM2 juta untuk meringankan beban persatuan itu menghadapi musim baru Liga Super yang bermula Januari depan.

Bagi saingan musim depan, FAM mengenakan syarat pasukan Liga Super perlu membayar deposit penyertaan sebanyak RM150,000 dan mempunyai kedudukan kewangan berjumlah RM2.5 juta dalam bentuk tunai atau tajaan.

Sehubungan itu, Annuar berkata, bantuan kerajaan negeri sangat diperlukan memandangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung Kafa sangat berat, berbanding kebanyakan persatuan negeri lain yang mendapat sokongan penuh kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment