Monday, November 16, 2009

Annuar: Kafa sumbang RM2.4 juta



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan denda RM50,000 ekoran tindakan liar segelintir penyokong pada final Piala Malaysia, 7 November lalu mendedahkan ia sudah menyumbang hampir RM2.4 juta kepada badan induk itu sepanjang musim ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan sumbangan itu adalah melalui bayaran levi dan denda yang dikenakan selain hasil jualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.


Beliau berkata, sehubungan itu Kelantan adalah antara persatuan bola sepak negeri yang memberi sumbangan terbesar kepada FAM dan denda RM50,000 dikenakan FAM itu walaupun dilihat kecil sesetengah pihak, sebenarnya membebankan.

Katanya, setakat ini Kafa sudah dikenakan denda kira-kira RM250,000 akibat tingkah laku penyokongnya sepanjang musim 2009 selain RM200,000 lagi untuk bayaran levi.

“Jika diambil kira, Kelantan cuma mendapat geran sebanyak RM300,000 tetapi terpaksa membayar lebih daripada yang kami diperoleh,” katanya, semalam.

Annuar menegaskan, pelbagai pihak harus tidak lupa bahawa anggaran kira-kira RM2 juta lagi disumbangkan Kafa menerusi hasil jualan tiket dua perlawanan akhir membabitkan pasukan The Red Warriors itu.

“Denda RM50,000 bukan ringan bagi persatuan yang hidup atas wang derma dan pengorbanan peribadi. Kafa juga turut dibebani hutang lapuk bertimbun.

“Kita anggarkan denda dikenakan ke atas Kafa mencecah suku juta berbanding geran cuma RM300,000 yang diperoleh dari FAM. Jangan lupa, Kafa juga bayar levi RM200,000 yang menunjukkan Kafa membayar lebih daripada apa yang FAM berikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment