Friday, November 20, 2009


JOHN Terry, Steven Gerrard dan Cesc Fabregas adalah antara 21 pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menurunkan tandatangan dan melekapkan lilitan lengan ketua pasukan masing-masing di bingkai berkaca yang dijual secara lelongan menerusi internet.

Lelongan koleksi barangan sukan yang diadakan semalam bertujuan mengutip dana bagi dua tujuan - pertubuhan amal kebangsaan Yayasan Willow dan Yayasan Steve Bernard.

Yayasan Willow, yang ditubuhkan oleh bekas penjaga gol Arsenal, Bob Wilson dan isterinya Megs, menganjurkan hari-hari istimewa buat pesakit kronik berusia antara 16 dan 40 tahun di seluruh Britain.

Baru-baru ini ia menganjurkan pertemuan dengan pemain bola sepak dan bintang pop seperti McFly serta mengadakan kunjungan ke opera selain satu sesi memandu bersama bekas bintang Formula Satu, Damon Hill.

Wilson berkata: "Lilitan lengan ketua pasukan ini satu barangan yang benar-benar menarik dan saya pasti mana-mana peminat bola sepak pasti teruja untuk memilikinya.

"Membeli hanya satu lilitan lengan dalam lelongan ini bukan sekadar satu pembelian fantastik barangan peringatan sukan tapi akan membawa makna buat mereka yang mendapat faedah daripadanya menerusi hari istimewa yang dianjurkan buat mereka."

Yayasan Steve Bernard menyokong projek sukan sebagai memperingati Steve yang gilakan sukan, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan kereta berdekatan Chichester pada November 2005, ketika berusia 18 tahun.

Selepas kematiannya, keluarganya menubuhkan yayasan itu untuk mengumpul wang bagi projek sukan di kawasan Bournemouth selain di luar negara.

Tony Bernard, pengarah Yayasan Steve Bernard berkata: "Kami berbangga bekerjasama dengan Yayasan Willow dalam lelongan koleksi barangan yang fantastik ini. Barangan unik ini akan membantu kehidupan beberapa insan istimewa."

Lilitan lengan itu ditandatangani oleh pemain itu sendiri dan kebanyakannya pernah digunakan, malah ada tanda-tanda seperti ia digunakan. Ia dihiasi di dalam satu bingkai kaca di samping gambar pemain terbabit sedang beraksi.

Lelongan secara 'online' itu akan berlangsung selama 10 hari, bermula semalam dan berakhir pada 22 November ini, dengan semua keuntungan dibahagi sama rata antara kedua badan kebajikan itu. Semua lilitan lengan itu boleh dilihat menerusi laman web www.willowfoundation.org.uk/captainsarmbands.

Hingga kini, Yayasan Willow sudah menganjurkan lebih 5,000 hari istimewa buat pesakit kanser, cystic fibrosis, penyakit motor neurone dan distrofi otot.

Tahun ini - ulang tahun ke-10 yayasan itu - ia akan menganjurkan 1,500 hari istimewa, berbanding hanya 17 pada tahun pertamanya.

Yayasan Steve Bernard pula menyokong lebih 40 projek dalam 16 jenis sukan dan empat benua sejak penubuhannya pada Februari 2006.

Projek itu termasuk kerja-kerja dengan sebuah pasukan bola sepak kurang upaya hingga projek pedalaman di Kenya, Uganda dan Thailand.

No comments:

Post a Comment