Friday, November 20, 2009

Steve Butler- Kenapa pegawai FAM tak terfikir!


Saya mengucapkan syabas kepada Steve Butler, bekas jurulatih Kelantan yang telah membuktikan kehebatannya membawa pasukan Kelantan ke final Piala FA. Sebelum ini juga beliau telah membantu Sabah ke peringkat tertinggi dalam bolasepak.

Namun yang saya amat tertarik ialah cadangan yang dikemukakan oleh beliau untuk memajukan bolasepak Malaysia. Persoalannya, sama ada FAM mahu menerima pakai cadangan sedemikian! Saya pernah mencadangkan kepada sebuah persatuan bolasepak negeri beberapa perkara yang serupa sepertimana yang dicadangkan oleh Steve Butler. Namun sampai sekarang tiada perkembangannya.

Yang paling menarik daripada pandangan beliau ialah berkaitan program komuniti yang seharusnya dilakukan oleh setiap pemain profesional kita terhadap masyarakat terutamanya di peringkat sekolah. Sebenarnya masalah bolasepak Malaysia adalah terletak di sekolah. Kebanyakan sekolah tiada jurulatih bolasepak yang bertauliah! Kebanyakannya menggunakan khidmat guru yang sekadar melatih berdasarkan pengalaman sebagai pemain sahaja. Jika pemain-pemain ini dapat di'paksa" melakukan aktiviti komuniti di sekolah, maka semua pemain bolasepak di sekolah akan mendapat manfaatnya dan minat mereka akan bertambah. Di samping itu, pasukan negeri atau kelab juga mesti mengadakan program komunitinya sendiri sepertimana pasukan di luar negara.

Penolakan terhadap pemain import ternyata telah memalapkan terus bolasepak Malaysia. kita harus akui, dengan tahap keupayaan pemain yang kita ada sekarang, bolasepak kita tidak akan ke mana. Kita gah di liga kita, tetapi apabila keluar ke peringkat antarabangsa, pemain kita layu seolah-olah sangat cetek pengalamannya. FAM harus mengambil contoh yang dilakukan oleh kuasa utama bolasepak Asia seperti Jepun, Korea malahan Singapura yang mempunyai liga tempatan yang tinggi tahapnya. Hampir semua liga profesional di dunia ini menggunakan pemain import. Hanya Malaysia sahaja yang menolak peranan pemain import dalam usaha meningkatkan pencapaian. Semangat Kebangsaan dan cintakan negara sahaja tidak memadai dalam bolasepak, jika pemain kita lemah dari segala segi. Bolasepak kita dimainkan secara profesional dan kemahiran serta teknik yang tinggi, bukan dengan semangat semata-mata.

Berbalik kisah bolasepak di sekolah, saya lihat tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh Kemeterian Pelajaran dalam usaha meningkatkan mutu bolasepak. Benar kita ada sekolah sukan, tetapi hakikat sebenarnya tidak semua pemain berbakat diterima masuk ke sekolah ini dan jumlah sekolahnya juga amat terhad. Di tambah pula lagi dengan syarat kemasukannya masih memerlukan kecemerlangan di dalam akademik. Bagaimana dengan ribuan bakat yang ada di sekolah-sekolah harian! Sistem permainan 7 sebelah, kalah mati, berpusat benar-benar telah mematikan sukan bolasepak di sekolah. Purata mereka dapat bermain hanya 2 kali (jika kalah awal) Pemain pula terpaksa bermain 2 permain sehari, pagi dan petang , menjadikan pelajar tidak mendapat rehat yang cukup dan kualiti permainan sudah pasti akan merosot. Tidak seperti pada masa dahulu, permainan secara "home -away ' dalam jarak masa yang lama, membolehkan pemain mempunyai rehat yang cukup, berlatih setiap hari(selepas tamat setiap kali perlawanan), memberikan pemain-pemain ini pengalaman permainan dan masa latihan yang banyak. Apatah lagi, dengan suasana permainan bolasepak yang sangat aktif pada masa itu. Pertandingan peringkat mukim, daerah, belia, jabatan dan sebagainya memberikan pengalaman dan peluang yang banyak untuk mereka mengasah bakat. Sekarang, apabila semua itu telah tiada lagi, ditambah dengan sistem kalah mati dan perlawanan berpusat, ia benar-benar telah mematikan bolasepak di negara ini.

FAM dan Kementerian harus bertindak lebih pro-aktif dan berfokus untuk mengatasi masalah ini. Jika tidak mutu bolasepak kita akan hanya menjadi bahan lawak di kalangan negara-negara yang seangkatan dengan kita dahulu. Orang lain semakin meningkat maju dengan era profesionalnya, tetapi M alaysia semakin menjunam dan merudum teruk.!

No comments:

Post a Comment