Saturday, November 21, 2009

Buang 'karan' merayu


ANNUAR (kiri) tidak mahu mengemukakan rayuan terhadap keputusan FAM mendenda KAFA RM50,000 ekoran insiden pada perlawanan akhir Piala Malaysia, 7 November lalu.

Barangkali itu yang difikirkan oleh pihak pengurusan Kelantan selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengambil keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia mengenakan denda RM50,000 ekoran insiden pada perlawanan akhir Piala Malaysia 7 November lalu.

Pendirian tersebut dizahirkannya pada majlis pengumuman senarai pemain skuad Kelantan yang akan beraksi pada musim 2010 di Wisma KAFA beberapa hari lalu.

Tindakan orang kuat KAFA itu, seperti sudah muak berdepan Jawa- tankuasa Rayuan FAM yang tidak pernah memberi ruang kepada Kelantan atau beliau sendiri sebenarnya sudah 'letih' untuk berdepan masalah seumpama ini, tiada siapa yang mengetahuinya.

Bagi musim 2009, Kelantan telah beberapa kali mengemukakan rayuan kepada FAM, namun ia sekadar 'mencurah air ke daun keladi'.

Rayuan pertama Kelantan adalah melibatkan perlawanan pertama Liga Super ketika menentang KL Plus di Kota Bharu.

Perlawanan tersebut tidak dapat dijalankan ekoran padang ditakungi air menyebabkan FAM menyalahkan KAFA kononnya tidak bersedia untuk menganjurkan perlawanan itu.

Sebagai hukumannya Kelantan kehilangan tiga mata apabila KL Plus diberi kemenangan percuma 3-0 sebelum Jawatankuasa Pertandingan FAM menarik balik keputusan tersebut dan perlawanan ulangan berlangsung pada Mei lalu.

Rayuan kedua dibuat oleh KAFA melibatkan insiden rusuhan penyokong di Stadium Sultan Muhammed IV pada 7 April lalu.

FAM mengambil keputusan mendenda KAFA dengan jumlah RM100,000 dan KAFA sekali lagi membuat rayuan untuk mengurangkan denda tersebut.

Malangnya, rayuan tersebut langsung tidak diendahkan dan lebih me- meritkan, jumlah tersebut turut disekalikan bersama denda-denda sebelum ini menjadikannya berjumlah RM153,000.

Ketika Selangor berjaya membawa pulang hampir RM200,000 wang hasil kutipan tiket pada perlawanan akhir Piala FA itu, Kelantan hanya sekadar menerima RM80,000 kerana jumlahnya sudah di potong untuk melangsaikan denda tersebut.

Ketika itu Kelantan cuba mengadakan perbincangan memohon budi bicara FAM untuk mengurangkan denda tersebut, namun tidak dilayan dan cadangan KAFA untuk membayarnya secara ansuran juga ditolak mentah-mentah.

Menyingkap semula sejarah, Kelantan sebelum ini juga pernah mengemukakan rayuan pada musim 2005 selepas Kelantan tersingkir daripada Liga Perdana.

Musim tersebut menyaksikan Kelantan terpaksa beraksi di Liga FAM kerana berada di tangga kedua terbawah Liga Perdana.

KAFA mengemukakan rayuan supaya Kelantan dikekalkan beraksi di Liga Perdana, namun FAM sedikit pun tidak berganjak dengan keputu- sannya.

Lain pula yang berlaku pada musim 2006 apabila giliran Melaka sepatutnya turun ke Liga FAM, namun FAM membuat keputusan mengekalkan Melaka dengan alasan kuota untuk pasukan yang beraksi pada Liga Perdana tidak mencukupi.

Apa yang pasti, seluruh peminat Kelantan mengharapkan mereka diberi lebih keadilan untuk sama-sama menikmati kelebihan beraksi di Liga Malaysia.

Impian untuk bergelar pasukan gergasi seperti Selangor dan Kedah sudah lama diimpikan Kelantan dan kini perubahan yang dibawa oleh KAFA benar-benar menjadikan bola sepak sebagai sebahagian daripada hidup masyarakat mereka. Boleh dikatakan Kelantan sudah berbangga dengan peningkatan mereka.

No comments:

Post a Comment