DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG.... BLOG INI DIDIRIKAN PADA DASARNYA SEKADAR UNTUK MEMENUHI MASA LAPANG DAN JUGA BERKONGSI MINAT SERTA MAKLUMAT .... Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu; sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan; segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman
Friday, November 20, 2009
FAM kena akui gagal majukan sukan bola sepak
MALAYSIA yang hingga awal 1980-an adalah antara pasukan digeruni dalam arena bola sepak Asia kini ibarat harimau
tanpa taring. Cuba mengaum, tetapi berbunyi kucing. Suatu ketika hanya Korea Selatan menjadi lawan setanding, tetapi
kini Filipina dan Laos pun boleh mengalahkan negara. Prestasi hambar dalam Kejohanan Piala Asia dengan dibolosi 12
gol mengesahkan pasukan negara sudah terlalu tenat. Apakah yang sudah terjadi kepada bola sepak negara.
Kemerosotan mutu pasukan bola sepak negara bukan perkara baru, tetapi mengapakah pencapaian itu terus merudum
seperti yang dipertontonkan dalam Piala Asia?
Ironi, kemerosotan itu bermula apabila Malaysia memperkenalkan liga semi profesional pada 1989. Ketika mula
diperkenalkan, ramai orang berpendapat bahawa dengan unsur profesionalisme, sudah tentu mutu bola sepak negara
akan bertambah baik kerana pemain dibayar untuk bermain.
Ketika pencapaian Malaysia baik pada peringkat antarabangsa, kebanyakan pemain bermain secara sambilan. Mereka
mempunyai pekerjaan lain. Hanya segelintir majikan seperti Jabatan Penjara Malaysia atau bank membantu dengan
mengambil pemain untuk bekerja. Sepatutnya dengan liga yang kemudian berstatus profesionalisme sepenuhnya,
pemain boleh memberi perhatian sepenuhnya terhadap bola sepak. Timbul tanda tanya mengapa mutu bola sepak
merosot?
Ia menunjukkan sistem kita tiada akauntabiliti. Orang diberi gaji cukup tinggi, tetapi tidak menunaikan tanggungjawab.
Seorang setiausaha persatuan bola sepak beberapa tahun lalu (sekarang saya tidak tahu), boleh mendapat gaji
RM7,000 sebulan. Jumlah ini jauh lebih banyak berbanding apa yang biasa dibayar kepada siswazah.
Malah, saya diberitahu pada suatu masa dulu ada pemain bola sepak mendapat hingga RM17,000 sebulan.
Bagaimana
boleh merosot sedangkan zaman dulu pemain tiada satu sen pun. Saya rasa wang merosakkan segala-galanya.
Bagaimanapun ini tidak berlaku di Eropah. Pemain profesional dibayar gaji tinggi dan mereka bermain bersungguhsungguh
hingga minit terakhir untuk kelab dan negara. Malangnya kita tidak melihat keadaan ini dalam pasukan
kebangsaan?
Masyarakat kita sudah nampak sangat korup. Pemain bola sepak jika tidak ada akauntabiliti pun tidak mengapa.
Apabila seseorang dibayar untuk bermain bersungguh-sungguh, tetapi jika tiada kesungguhan tidak mengapa.
Keseluruhan sistem menjadi begitu dan secara umum, sistem penyampaian sangat lemah. Banyak perkara yang tidak
betul berlaku dan tiada siapa dihukum.
Bukan itu saja, kerajaan menambah lagi duit untuk memperbaiki keadaan dan yang untung ialah mereka yang sejak
awal lagi tidak menunjukkan kesungguhan. Mereka bukan saja tidak dihukum, malah mendapat lebih banyak ganjaran.
Keadaan ini bukan hanya dalam sukan, malah bidang lain. Saya sangat bimbang apabila orang kita tidak
memperlihatkan integriti, termasuk sukan seperti bola sepak.
Sering kali pegawai dan jurulatih yang dipilih bukan orang yang sesuai untuk menjalankan tugas. Sama ada mereka
tidak ada kelayakan yang sesuai atau tidak ada minat terhadap kerja. Saya sendiri mempunyai pengalaman begini ketika
menjadi Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM).
Saya memperkenalkan ijazah sains sukan. Saya membuat keputusan, calon yang sesuai untuk kursus itu perlu
mempunyai dua kelayakan.
Pertama, akademik atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kedua, pengalaman
dalam sukan. Pada pendapat saya, jika tiada pengalaman sukan, dia memang tak guna.
Saya hendak melatih orang menjadi atlit dan jurulatih hebat atau sekurang-kurangnya pengurus hebat. Saya diberitahu
oleh Kementerian Pendidikan ketika itu, saya mesti memilih berasaskan keputusan STPM saja. Saya kata apa gunanya?
Saya ambil orang yang tidak dapat membezakan antara bola kriket dan hoki. Akhirnya saya yang kalah dan terpaksa
kembali ke Jabatan Sejarah.
Bukankah dengan sistem pencarian bakat sejak peringkat sekolah rendah sepatutnya memberi kelebihan?
Pada setiap peringkat, kita tidak menjamin supaya setiap ahli sukan berbakat diberi galakan. Jurulatih juga bukan orang
yang benar-benar mempunyai pengetahuan yang sempurna dan apabila cuba memberi nasihat kepada pemain bola sepak atau atlit, memang tak dapat mencapai keputusan yang baik.
Begitu juga dalam olahraga. Pada Sukan Asia di Bangkok 1966, Malaysia menang tujuh pingat emas dan lima
disumbangkan oleh olahraga. Pada 2006 di Doha, hampir tiada atlit mengambil bahagian. Bukan semakin baik, tetapi
merosot. Hanya badminton, antara jenis sukan yang masih baik.
Keseluruhannya masyarakat kita ketika ini lebih mengutamakan hiburan. Ia adalah pengaruh budaya pop Amerika
Syarikat yang sangat kuat bukan saja terhadap Malaysia, malah negara Asia dan Eropah.
Pemain pasukan kebangsaan ketika Piala Asia kelihatan terkial-kial dengan penyerang hampir tidak mengancam
langsung. Ketika menentang Iran, pada suatu ketika analisis menunjukkan Iran melakukan 44 percubaan ke arah gol,
berbanding hanya lima oleh Malaysia. Mengapa boleh jadi begini?
Dalam perlawanan menentang Uzbekistan, saya rasa antara 15 hingga 20 minit awal permainan, pemain Malaysia
hampir tidak dapat menyentuh bola. Berlari ke sana dan ke sini, tetapi tak dapat mengatur permainan menyerang pihak
lawan.
Barang kali kita perlu melihat pada peringkat sekolah kerana peranan guru adalah penting. Pada zaman dulu, guru
memerhatikan kebolehan murid dalam sukan seperti penyerang lagenda negara, Mokhtar Dahari. Dia bermula sebagai
pelari pecut. Guru pasukan bola sepak nampak dia sangat pantas berlari dan jika diambil bermain bola sepak, boleh
menjadikan Victoria Institution lebih kuat.
Saya juga ketika bermain bola sepak peringkat sekolah, pemain di sayap kanan adalah pelari pecut yang kemudian
mewakili Malaysia dalam Sukan Asia 1958. Apabila kami menghantar bola kepadanya, pemain lain tak boleh kejar.
Sekarang sayap kanan dan kiri hampir tiada dalam bola sepak. Kalau ada pun, tidak boleh berlari pantas. Jurulatih tidak
pandai membuat perancangan. Dia tidak tahu orang yang sesuai untuk sesuatu posisi. Apa guna ada penyerang yang
tidak boleh menendang secara berkesan. Banyak perincian yang perlu diberi perhatian, tetapi saya tak nampak mereka
buat begitu sekarang.
Saya tengok pasukan China dan Uzbekistan bukan begitu baik walaupun kedua-dua pasukan menjaringkan lima gol
ketika menentang Malaysia.
Ramai peminat bola sepak sedih melihat pasukan bola sepak negara menjadi pasukan belasahan?
Saya tak faham macam mana kita boleh sampai pada peringkat begini. Jangan lupa pada 1972, Malaysia melayakkan
diri ke Sukan Olimpik Munich dengan mengalahkan Korea Selatan dan sekali lagi pada 1980, kita layak ke Sukan
Olimpik Moscow dengan mengalahkan negara sama.
Apakah yang menyebabkan Malaysia pada peringkat antara 1960-an hingga awal 1980-an mampu menewaskan Korea
Selatan, tetapi negara itu mengecapi nikmat bertarung pada Piala Dunia?
Banyak perubahan berlaku dalam masyarakat. Pertama, sekolah boleh dikatakan mengabaikan sukan. Bukan seperti
dulu. Misalnya saya mendapati guru yang menjaga sukan semakin lemah. Bukan orang yang benar-benar
berpengetahuan mengenai sukan. Bukan hanya pengetahuan, tetapi ada keghairahan. Sekarang tidak ada.
Saya tahu ada satu atau dua sekolah di Petaling Jaya pernah menugaskan guru wanita menguruskan pasukan bola
sepak. Saya rasa itu tidak boleh. Saya bukan sengaja memperkecilkan kebolehan wanita, tetapi saya rasa wanita di
Malaysia memang tiada pengalaman luas dalam bola sepak.
Apabila mereka keluar dari sekolah, pendedahan mereka kepada cara bermain bola sepak amat kurang. Ketika saya
menjadi guru, saya dengan inisiatif sendiri menghadiri kursus bola sepak dan mengambil peperiksaan dalam kursus itu
untuk menjadi jurulatih. Saya pergi ke sekolah antara jam 2.30 hingga 6.30 petang setiap hari untuk melatih murid dalam
olahraga dan kemudian bola sepak. Ia bukan kerana arahan pengetua, saya sendiri lakukan.
Bukankah penubuhan sekolah sukan dan tidak lama dulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai akademi
bola sepak di setiap negeri, tetapi habuk pun tidak nampak?
Tiada kerjasama ibu bapa. Mereka lebih percaya peperiksaan berbanding sukan. Saya pernah berjumpa bekas jurulatih
kebangsaan, M Karathu yang pernah mengendalikan akademi bola sepak. Dia beritahu ibu bapa tak faham mengapa
anak mereka mesti masuk sekolah macam itu. Masa depan tidak terjamin, sedangkan kalau jika mendapat 7A atau 8A
dalam peperiksaan, masa depan dianggap cerah. Itu tak betul!
Apabila Kementerian Pelajaran mencadangkan untuk membatalkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), siapa yang protes? Ibu bapa! Mereka tak faham jika anak mereka lulus dengan banyak A, itu bukan bererti masa depan terjamin. Tidak ada sebab mengapa murid tidak boleh mencapai
kecemerlangan dalam sukan dan pada masa sama, boleh lulus peperiksaan dengan baik.
FAM dikritik dengan keras. Ramai rakyat Malaysia marah FAM. Adakah kemarahan ini wajar?
FAM diberi banyak sokongan. Kalau pasukan kebangsaan gagal setahun dua, FAM patut mengambil tindakan drastik
untuk mengubah keadaan, tetapi ia tidak berlaku. Sepanjang liga semi profesional diperkenalkan hingga sekarang, lebih
kurang 18 tahun tiada kemajuan memberangsangkan. Mengapa? Sudah tentu FAM terpaksa mengaku gagal. Kalau
gagal selepas dua tiga tahun dan mengambil tindakan tegas untuk mengubah keadaan itu, kita boleh bersimpati, tetapi
ia terlalu lama.
Bukan tak cukup sokongan daripada sektor swasta, malah kerajaan baru saja memberi peruntukan RM12 juta kepada
FAM. FAM mesti mengaku gagal dan memberi penjelasan berhubung kegagalan itu.
Mengapa FAM kelihatan seperti tidak mahu bertanggungjawab terhadap kegagalan pasukan bola sepak negara?
Saya rasa FAM tak serius dan tidak mengambil berat mengenai bola sepak. Sama ada FAM mempunyai pegawai yang
langsung tak faham mengenai bola sepak atau mempunyai pegawai yang terlampau bersikap selesa hingga tak perlu
memberi penjelasan mengapa pasukan bola sepak gagal. Di negara kita, sering kali orang yang tak menjalankan tugas
dengan baik tak dipaksa, sama ada berhenti atau dihukum.
FAM memberi alasan bahawa pemain yang dipilih mewakili negara adalah bakat yang ada daripada pasukan negeri?
Saya tak setuju! Kalau diberi peluang untuk melihat pemain lain daripada yang dipilih oleh FAM, saya dapat mencari
bakat untuk diasuh. Macam saya katakan, kalau saya memilih sayap kanan atau kiri, saya akan memilih pemain yang
pantas, tetapi saya tak nampak mereka buat begitu.
Akhirnya bahagian penyerang lemah dan tidak dapat menembusi pertahanan lawan. Pemain tengah pada pandangan
saya sepatutnya adalah pemain yang sangat kreatif dan boleh menggelecek. Kalau tak menggelecek, dia tak boleh tarik
bahagian pertahanan pihak lawan keluar dari posisi mereka.
Apakah yang FAM sepatut lakukan?
FAM patut memilih orang yang lebih serius, berpengetahuan dan berpengalaman. FAM ada peluang melakukannya.
FAM pernah mengiklankan untuk jawatan Setiausaha Agung. Selepas temu duga dan disenarai pendek, orang yang
dipilih adalah orang FAM sendiri. Saya rasa itu bukan cara paling baik. Tak nampak ada kesungguhan.
Pasukan kebangsaan sekarang dikuasai pemain Melayu. Hanya ada seorang pemain India. Keadaan ini jauh berbeza
ketika era kecemerlangan negara yang komposisi pemain berbilang kaum. Adakah ia memberi kesan?
Saya rasa tidak. Saya tak tahu apakah sebab orang Cina sudah berhenti bermain bola sepak. Dulu ada banyak
pasukan bola sepak Cina. Di Ipoh saja ada tiga pasukan. Seperti yang saya katakan tadi, banyak perubahan berlaku
dalam masyarakat yang tidak menolong menaikkan mutu bola sepak negara.
Golongan muda lebih sukakan hiburan dan bola sepak bukan mudah. Jangan ingat sesiapa saja boleh memahami bola
sepak. Kita mesti mengkaji perkembangan bola sepak seperti cara permainan sebelum dan selepas Perang Dunia
Kedua serta sekarang. Saya tak setuju andaian bahawa pendekatan bola sepak sekarang paling baik.
Saya rasa kita perlu melihat seperti peringkat Piala Dunia. Saya berpendapat bahawa pasukan paling baik dalam
sejarah ialah Brazil pada 1970. Pasukan itu hampir sempurna. Sesiapa saja yang menjadi jurulatih mesti cuba meneliti
cara mereka bermain ketika itu. Saya masih ingat pada Piala Dunia 1962, Pele cedera menyebabkan Brazil bimbang.
Bagaimanapun, mereka ada sayap kanan, Garincha, yang dengan sendiri memenangi Piala Dunia untuk Brazil. Begitu
juga Maradona yang dengan sendiri melakukan begitu untuk Argentina.
Pemain begitu yang benar-benar berkebolehan sekarang tak ada. Saya salahkan jurulatih yang tidak menggalakkan
permainan individu, mereka selalu kata bola sepak adalah permainan pasukan. Saya rasa bukan begitu mudah. Kalau
ada pemain bintang, pasukan itu ada kelebihan. Kalau ada pemain luar biasa, jangan campur tangan.
Jurulatih mesti sentiasa berbincang mengenai perkara ini dan tak boleh mengandaikan mereka tahu semuanya. Kalau
mereka bereksperimen dengan idea dan pasukan gagal, dia mesti sanggup mengubah pendekatannya. Kita tak boleh
pilih orang sebegini sebagai jurulatih kerana dulu, dia adalah pemain yang baik atau kononnya dia jurulatih yang baik.
Konon tak cukup, dia mesti buktikan dia berkebolehan. Jika tidak, dia mesti ditukar. Pada peringkat negeri selalunya
apabila Menteri Besar bertukar, pengurus dan jurulatih pun bertukar. Apa kaitan Menteri Besar dengan mutu bola sepak.
Kita harus berdepan dengan hakikat bahawa kita bukan bersungguh-sungguh mahu pasukan kita maju.
Saya masih ingat ketika Hatem Soussi melatih pasukan kebangsaan, saya diberitahu bahawa dia adalah jurulatih yang
sangat serius dan sentiasa mahukan standard yang tinggi daripada pemain. Apabila dia menggugurkan seorang dua
pemain, mereka pergi ke `atas’ dan pemain yang digugurkan dipilih semula.
Kalau itu berlaku, macam mana pasukan boleh maju. Jawatankuasa jangan campur tangan dengan keputusan jurulatih.
Jurulatih adalah orang yang berpengetahuan dan kalau tak boleh melakukan tugasnya, kita tukar, tetapi jangan campur
tangan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment