Thursday, November 19, 2009

Pembelian membazir Chelsea


SEJAK bilionair Russia, Roman Abramovich bertapak di Stamford Bridge lima tahun lalu, beliau berbelanja besar untuk mendapatkan beberapa pemain.

Namun, terdapat beberapa pembelian yang dianggap merugikan. Ikuti senarai pembelian tidak menjadi yang dilakukan Abramovich.

Hernan Crespo
PEMAIN Argentina ini berusaha mengekalkan reputasinya sebagai penyerang bahaya sama seperti ketika dia berada di Itali. Ketibaan Crespo dengan bayaran STG16.8 juta (RM97 juta) pada 2003 memberi isyarat terhadap hasrat besar Abramovich. Tapi Crespo gagal menyesuaikan diri dan selepas beberapa kali dipinjamkan, dia dilepaskan pada musim panas.

Juan Veron
DIA dianggap pembelian paling ganjil. Veron adalah kegagalan sangat besar di Manchester United tapi Blues memberinya peluang kedua dengan bayaran STG15 juta (RM86.9 juta) menerusi perjanjian dilakukan pada 2003. Tidak seorang pun terkejut apabila pemain tengah itu sekali lagi gagal dan akhirnya dia meninggalkan kelab itu secara percuma.

Damien Duff
RAMAI pemerhati terkejut apabila Chelsea membayar STG17 juta (RM98.5 juta) kepada Blackburn untuk mendapatkan khidmat Duff pada 2003 tapi pada mulanya dia dilihat bernilai sebagai pemain sayap yang bermain di posisi berbeza dengan Arjen Robben. Kecederaan menghalang pemain Ireland itu berkembang dan tiga tahun selepas dia tiba di situ, skuad Blues menghantarnya ke Newcastle dengan dijual pada harga STG5 juta (RM28.9 juta).

Adrian Mutu
CHELSEA membelanjakan STG15.8 juta (RM91.6 juta) untuk mendapatkan khidmat Mutu pada 2003 tapi dia dipecat kerana mengambil kokain setahun kemudian. Skuad The Blues membenarkan penyerang itu meninggalkan kelab dengan percuma, kemudian Juventus mendapatkannya selepas dia tamat penggantungan selama tujuh bulan. Bagaimanapun, dia diarah membayar kepada Chelsea STG13 juta (RM75 juta) sebagai ganti rugi.

Shaun Wright-Phillips
WRIGHT-Phillips sepatutnya memberi jawapan kepada Chelsea yang sedang mengintai pemain sayap kanan walaupun berlaku kejutan apabila dia dibeli dengan harga STG21 juta (RM121.7 juta). Namun, Jose Mourinho dan Avram Grant kemudian gagal mencari tempat untuknya diletakkan dalam kesebelasan utama. Justeru, tidak hairanlah apabila Phil Scolari membiarkan dia pergi meskipun mereka kerugian STG12 juta (RM69.5 juta).

Andriy Shevchenko
MENYERTAI Chelsea dengan rekod termahal British bernilai STG30 juta (RM173.9 juta) ketika itu pada 2006, Shevchenko dianggap kegagalan terbesar dalam sejarah permainan bola sepak. Selepas dua tahun menghadapi kesukaran, Sheva meninggalkan kelab itu dan pelaburan ke atasnya dianggap tidak berbaloi.

No comments:

Post a Comment