Thursday, November 26, 2009

Ujian terakhir buat Rajagobal


PERLAWANAN ujian menentang Maldives di Stadium UiTM, Shah Alam, 4.30 petang ini bakal menjadi medan terakhir buat jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal memilih 20 pemain terbaik untuk dibawa ke Vientiane, Laos Isnin depan, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Menurut Rajagobal, pertemuan tersebut bakal digunakan sepenuhnya untuk menguji semua 25 pelatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara terutama beberapa pemain yang baru pulih daripada kecederaan.

"Sepatutnya pemain-pemain yang baru pulih ini memerlukan dua atau tiga perlawanan untuk diuji. Tapi masa sudah suntuk dan kita hanya sempat mengadakan satu perlawanan ujian.

"Selepas perlawanan menentang Maldives ini, saya akan bincang dengan pembantu-pembantu saya dan kita mungkin akan pilih 20 pemain ke Laos selepas sesi latihan Sabtu ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ketika dua kali bertemu Uzbekistan pada aksi kelayakan Piala Asia 2011 pada 14 dan 18 November lalu, Rajagobal tidak dapat menguji sepenuhnya kemampuan empat pemain iaitu Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim, Farderin Kadir dan Abd. Manaf Mamat kerana mereka baru pulih daripada kecederaan.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan A pada Sukan SEA kali ini dan akan memulakan cabaran bertemu Timor Leste (2 Disember), Vietnam (6 Disember), Kemboja (8 Disember) dan Thailand (11 Disember).

No comments:

Post a Comment