Monday, November 23, 2009

FAM beri peluang kedua

Tarikh kelayakan sertai Liga Malaysia dilanjut hingga Isnin depan

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) jelas masih bersifat lembut apabila syarat kelayakan pasukan untuk beraksi dalam Liga Malaysia, musim depan dilanjutkan lagi sehingga 30 November ini selepas ia diputuskan dalam mesyuarat Exco badan induk itu, semalam.

Ini adalah tarikh kedua diberi selepas tarikh pertama pada penghujung Oktober lalu seakan tidak diendahkan beberapa persatuan negeri dan kelab yang masih lagi gagal menyelesaikan kemelut kewangan terutamanya isu membabitkan pembayaran gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) pemain, Perkeso, potongan cukai Hasil Dalam Negeri, deposit dan denda terdahulu.

Namun, menurut Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, ini adalah peluang terakhir diberi dan tidak akan ada sebarang kompromi selepas daripada tarikh tersebut.

"Saya dimaklumkan sehingga ke tarikh ini beberapa pasukan tidak memenuhi syarat ditetapkan dan FAM akan memberi tempoh sehingga 30 November ini. Selepas itu, kami tidak akan menerima apa apa rayuan daripda mana mana pasukan," katanya dalam satu kenyataan di Wisma FAM, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pasukan yang gagal melunaskan setiap syarat yang ditetapkan ditakrif terkeluar secara automatik daripada saingan musim depan.

"Perak dan Pulau Pinang antara pasukan yang masih lagi belum memenuhi syarat walaupun perbincangan sudah dibuat. FAM sudah lebih awal memberi peringatan kepada mereka mengenai tarikh terakhir itu," katanya.

Antara pasukan lain yang masih gagal ialah Kelantan, Pahang, Melaka dan KL Plus yang mungkin akan menjadi satu satunya pasukan kelab yang akan beraksi musim depan ketika KM Naza, Proton FC dan UPB MyTeam sudah pun mengesahkan penarikan diri daripada saingan.

Sementara itu, FAM menyampaikan cek RM10,000 kepada keluarga bekas ahli majlis, Mejar Zainuddin Abdul Ghani yang meninggal dunia ketika kejohanan bola sepak pantai gara-gara diserang sakit jantung di Kuantan, bulan lalu.

No comments:

Post a Comment