PORTO: Chelsea akan mengungguli Kumpulan D Liga Juara-Juara jika berjaya meraih kemenangan pertama di gelanggang Porto, Stadium of the Dragon, pagi esok.
Kedua-dua kelab sudah pun layak ke pusingan kalah mati. Chelsea mengumpul 10 mata hasil empat perlawanan, lebih satu mata berbanding Porto tetapi kelab dari London itu tewas dan seri dalam dua kunjungan lalu di bandar utara Portugal itu.
Tempat pertama di peringkat kumpulan memastikan pilihan yang lebih disenangi untuk undian pusingan berikutnya.
Chelsea kini lima mata di depan Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris dan baru saja meraikan kemenangan 4-0 ke atas Wolves, Sabtu lalu.
Pasukan Blues menjaringkan sekurang-kurangnya empat gol dalam lima daripada tujuh perlawanan terakhir.
Frank Lampard dan Jose Bosingwa tidak dapat beraksi berikutan kecederaan tetapi Gael Kakuta yang menampilkan aksi hebat sebagai pemain gantian ketika menentang Wolves, akan membarisi skuad Chelsea.
Kakuta dibenarkan bermain selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan menghentikan sementara penggantungan bermain terhadapnya sehingga mencapai keputusan terakhir berikutan perpindahannya dari Lens.
“Berikutan penggantungan itu, saya tidak beraksi selama berbulan-bulan,” kata Kakuta. “Tetapi saya menjalani dua sesi latihan setiap hari dan saya rasa seronok. Ia terasa bagaikan pramusim,” katanya.
Didier Drogba, Michael Ballack dan Deco direhatkan ketika menentang Wolves akibat kecederaan tetapi masih diterbangkan ke Portugal.
Pemain bek tengah, Ricardo Carvalho dijangka menentang bekas kelabnya selepas direhatkan sepanjang hujung minggu ini.
Chelsea menewaskan Porto 1-0 di Stamford Bridge pada pusingan pembukaan tetapi pasukan Dragons bangkit untuk tiga kemenangan berturut-turut dalam kejohanan itu. - AP
No comments:
Post a Comment