KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan sekeras-kerasnya khabar angin menyatakan pemain utama pasukan yang tidak dilanjutkan kontrak musim depan terlibat dengan gejala tidak bermoral dengan menjual perlawanan di saingan akhir Piala Malaysia, baru-baru ini.
Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, dua pemain utama daripada tujuh pemain yang tidak dilanjutkan kontrak untuk persaingan musim depan langsung tidak melibatkan isu tersebut, sebaliknya ia dibuat berdasarkan prestasi sepanjang musim.
Katanya, tidak timbul isu pemain menjual perlawanan akhir Piala Malaysia, sekali gus menyebabkan mereka disingkirkan daripada skuad Kijang tersebut, musim depan.
“Keputusan mengetepikan Khalid Jamlus dan Halim Napi adalah berdasarkan prestasi sepanjang musim. Ia bukan kerana ada sesuatu perkara tidak elok.
“Malah keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa Kafa juga tidak hanya dinilai pada perlawanan akhir sahaja,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Namun begitu katanya, walaupun Halim diketepikan daripada beraksi bersama Red Warriors musim depan, tetapi khidmatnya masih digunakan untuk aspek kejurulatihan.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan pemain Kelantan menjual perlawanan akhir Piala Malaysia, Mohamad Noordin berkata, ia adalah satu yang tidak berasas kerana semua pemain bercita-cita untuk mencipta kejayaan bermakna buat rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang.
Katanya, khabar angin tersebut hanyalah permainan orang ramai di kedai kopi, malah dia sama sekali tidak mempercayai kegiatan menjual perlawanan berlaku.
“Malah ada juga cerita kedai kopi yang menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat siasatan ke atas Kafa. Itu semua tidak benar.
“Kafa sendiri tidak meminta SPRM untuk menjalankan siasatan ke atas mana-mana pemain. Ini semua hanyalah khabar angin dan orang ramai tidak perlu mempercayainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment